Friday, April 27, 2007

Suami curang mahu ketepi teman wanita

Suami curang mahu ketepi teman wanita
Oleh Dr Hafidzi Mohd Noor

SAYA terbaca jawapan Dr Hafizi mengenai suami curang di ruangan Bicara Kalbu yang disiarkan Berita Harian. Saya adalah suami curang. Untuk pengetahuan, saya berkahwin dengan isteri ketika berusia 22 tahun akibat ditangkap khalwat. Ketika bujang saya agak liar tetapi berubah selepas mendirikan rumah tangga dan dikurniakan tiga anak.


Tiga tahun lalu, saya berkenalan dengan pelayan pelanggan dan menjadi liar semula, seperti minum arak dan mengambil pil ecstasy. Isteri tidak mengetahui perkara ini.

Selepas mengikuti kursus kerohanian, saya bertekad untuk berubah dan memutuskan hubungan dengan teman wanita saya. Baru-baru ini, teman wanita saya berjumpa dengan isteri dan menceritakan perhubungan kami.

Teman wanita memaksa saya mengahwininya dan mendakwa beliau kini mengandungkan anak saya.

Saya menjelaskan segala-galanya kepada isteri. Persoalannya, adakah dengan menolak hasrat teman wanita itu tindakan yang betul dan bagaimana jika dia melakukan perkara tidak diingini nanti.



Suami insaf,

Sungai Buloh, Selangor



Terlebih dulu saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada saudara kerana saudara sudah berubah dan mengambil langkah untuk berubah. Anggaplah kesulitan yang saudara lalui untuk meninggalkan semua tabiat buruk sebagai jihad yang diberi ganjaran pahala besar.

Sebenarnya sukar bagi orang yang sudah biasa dengan amalan buruk untuk meninggalkannya, kecuali disertai tekad yang kuat. Nasihat saya ialah teruskan istiqamah dan sentiasa menghampirkan diri kepada Allah.

Banyakkan melakukan ibadat seperti solat dengan khusyuk dan melaksanakan sebanyak mungkin amalan sunat supaya Allah mencintai kita. Apabila kita semakin hampir dengan Allah, maka Dia akan memelihara kita daripada sebarang keburukan dan kemungkaran.

Persoalan yang saudara hadapi kini ialah kesilapan lalu yang dirahsiakan tetapi kini didedahkan kepada isteri dan anak. Saudara boleh melihat ini dari beberapa sudut.

Sudut pertama, anggap dan terimalah ini sebagai kifarah yang akan membersihkan diri dan menghapuskan dosa. Kedua, peristiwa ini memberi peluang kepada saudara untuk memohon maaf atas segala keterlanjuran terhadap isteri dan anak.

Menulis dan mengucapkannya tidak semudah menanggungnya, tetapi, itulah hakikat kebenaran amat pahit untuk ditelan tetapi menjadi penawar amat mujarab.

Kini isteri saudara harus membuka hatinya untuk memaafkan saudara, namun ia tidak semudah difikirkan. Hati seorang wanita mungkin boleh memaafkan, namun sukar untuk melupakan. Biarlah 'masa menjadi rawatan'.

Masalah yang lebih rumit ialah apabila bekas teman wanita mendakwa dia kini mengandung hasil hubungannya dengan saudara. Terus terang saya katakan, saya tidak ada jawapan kepada masalah ini.

Tiada siapa yang boleh mengesahkan sama ada teman wanita saudara berbohong atau bercakap benar kerana hanya saudara dan dia yang tahu kebenarannya.

Jika saudara berkata benar, maka jelaslah bekas teman wanita berbohong. Tetapi kebenaran tidak boleh dipertahankan dengan dakwaan semata-mata. Ia perlu disahkan dengan bukti.

Dari sudut Islam, ia adalah tuduhan serius. Menuduh zina adalah kesalahan yang dinamakan qazaf dan jika tuduhan ini tidak dibuktikan ia boleh dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang syariah.

Namun, apakah teman wanita saudara pernah berfikir dari sudut ini, dengan cara dan gaya hidup yang jauh dari petunjuk Islam. Jika dia bercakap bohong, ia melakukannya semata-mata untuk memerangkap saudara atas keterlanjuran lalu.

Saudara meletakkan diri saudara dan keluarga dalam keadaan yang amat rumit. Tiada siapa dapat mengeluarkan saudara daripada kemelut dicipta sendiri melainkan Allah.

Bermunajatlah kepada Allah dengan doa yang lazim dibaca, “Wahai Tuhan Kami, kami telah menzalimi diri kami dan jika Engkau tidak mengampunkan kami, maka kami termasuk orang yang rugi.” Semoga saudara menemui jalan keluar.



Oleh Dr Hafidzi Mohd Noor



l Penulis ialah pensyarah di Universiti Putra Malaysia. Soalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, April 20, 2007

Aktif dalam kokurikulum, akademik lebih baik

Aktif dalam kokurikulum, akademik lebih baik

SAYA sedang belajar pada tahun pertama di sebuah universiti tempatan di Lembah Klang. Saya adalah antara pelajar yang aktif di kolej. Saya dipilih pihak pengurusan kolej untuk menerajui struktur kepemimpinan kolej tetapi menolak atas alasan takut pelajaran terabai. Melihat sudut lain, saya rasa menjadi tanggungjawab diberi kepercayaan untuk membantu rakan lain. Masalahnya, semester depan, saya akan ambil subjek yang semakin membebankan dan saya agak risau dengan keadaan ini. Saya harap dapat diberi suntikan semangat menghadapi keadaan ini?

LIYA,

Siswi Lembah Pantai.

SAYA tidak berhasrat memberi jawapan kepada kemusykilan anda kerana hanya anda saja yang mengetahui apakah pilihan dan keputusan terbaik untuk diambil. Saya hanya ingin memberi garis panduan untuk memudahkan anda membuat keputusan.

Berada pada tahun satu sebenarnya ialah masa untuk menyesuaikan diri dengan rutin hidup sebagai seorang mahasiswa. Tahun pertama di universiti seharusnya digunakan untuk mengukur kekuatan dan kelemahan dalam melaksanakan tanggungjawab hakiki sebagai mahasiswa.

Dengan mengenali diri (kelemahan dan kekuatan) seseorang mahasiswa itu boleh membuat penyesuaian supaya kelemahan dapat dibaiki dan kekuatan dapat dimanfaatkan dalam memikul tanggungjawab sebagai pelajar secara optimum.

Waktu itu, tanggungjawab mahasiswa bukan sekadar memenuhi aspirasi akademik semata-mata kerana universiti meletakkan visi dan misi pendidikan ke arah melahirkan graduan yang seimbang.

Universiti mensasarkan untuk melahirkan mahasiswa yang bukan saja menguasai kemahiran 'kognitif' (akademik dan penguasaan pelbagai ilmu dan iktisas) juga memiliki ciri kepemimpinan, kemahiran sosial dan kematangan emosi yang ditunjangi nilai kerohanian.

Paradigma pendidikan hari ini yang luas skopnya dan tidak lagi terbatas di sekitar buku teks akademik dan rujukan semata-mata. Tidak ada alasan untuk mahasiswa memberi tumpuan kepada pencapaian akademik dan mengabaikan pemupukan kualiti memperkasa jati diri yang lain.

Hakikat ini semakin ketara apabila majikan dan dunia pekerjaan tidak lagi menitikberatkan pencapaian akademik semata-mata, malah turut menekankan nilai kepemimpinan, kematangan, kestabilan emosi, kesediaan berhadapan dengan cabaran, luas pengetahuan dan berpengalaman dalam pelbagai keadaan. Ini semua tidak mungkin diperoleh daripada sebarang buku teks.

Pelajar harus membabitkan diri dengan warga kampus dan masyarakat di luar sana dengan menyertai pelbagai organisasi dan inisiatif sama ada yang diwujudkan dalam lingkungan kampus atau lingkungan kemasyarakatan.

Di sinilah pelajar akan terdedah kepada cabaran kepemimpinan, penyelesaian masalah secara praktikal, menseimbangkan pelbagai kecenderungan dan mencari titik persefahaman.

Apa yang saya bentangkan di atas adalah asas atau titik tolak kepada penyelesaian atau pilihan yang ada di tangan anda. Nasihat saya, ukurlah baju di badan sendiri.

Jika anda rasakan sudah bersedia memikul tanggungjawab kepemimpinan dan pada masa sama boleh memberikan tumpuan yang optimum kepada akademik, maka menyahut cabaran adalah pilihan terbaik.

Tetapi jika anda ragu-ragu dan tidak pasti bagaimanakah beban tanggungjawab tadi boleh disesuaikan dengan rutin belajar, maka seeloknya anda mengundurkan diri buat sementara waktu untuk memikul tugas kepemimpinan utama.

Ini tidak bermakna anda terus menarik diri. Anda masih boleh melaksanakan peranan dalam struktur kepimpinan kolej tetapi sebagai ahli jawatankuasa atau yang seumpamanya.

Jika anda memilih atau menyahut cabaran dan menerajui kepemimpinan, pastikan anda mempunyai pasukan yang kuat untuk bersama menjayakan aktiviti dan memikul tanggungjawab kepemimpinan. Ini untuk mengelakkan anda terbeban dengan tanggungjawab yang sepatutnya dikongsi bersama.

Jika anda memilih untuk mengundurkan diri sekalipun, saya berpendapat anda wajar menawarkan khidmat kepada kepemimpinan kolej setakat keadaan mengizinkan.

Ini penting sebagai pendedahan dan persediaan untuk memikul tanggungjawab lebih besar apabila anda sudah berjaya menyusun rutin belajar dan pencapaian akademik stabil.

Memikul tanggungjawab kepimpinan atas kapasiti apa sekalipun akan menjadikan anda lebih kemas dalam aspek disiplin diri dan pengurusan masa. Pelajar yang lebih berdisiplin dan mengurus masa dengan baik akan menatijahkan pencapaian akademik lebih cemerlang. Selamat maju jaya.


Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor, Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Serdang dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Saturday, April 14, 2007

Mengimbangi hak suami, isteri kunci kebahagiaan hidup berumah tangga

Bicara Kalbu: Mengimbangi hak suami, isteri kunci kebahagiaan hidup berumah tangga

SAYA selalu melihat aktivis hak asasi manusia sangat menekankan hak manusia sejagat, namun bagaimana hak ini dapat diserapkan dalam keluarga. Bagaimanakah kita mengharmonikan konsep ketaatan mutlak kepada seorang suami dengan hak asasi wanita dalam Islam. Adakah hak asasi wanita di pandang berat dalam keluarga Islam?


Isteri merdeka

Kota Damansara, Selangor

Institusi keluarga Islam sebenarnya tunjang kepada perlindungan hak asasi manusia yang merangkumi isteri, suami dan anak serta keluarga besar termasuk ibu, ayah serta adik beradik.

Sebagai seorang yang memperjuangkan hak asasi dari segi konsep, politik, warga dan amali, saya yakin institusi keluarga berperanan penting menjelaskan dan menyaksikan betapa Islam tidak hanya menekankan aspek rohani semata-mata tetapi juga menawarkan pakej terperinci yang saling kait-mengait antara satu sama lain termasuk hak setiap ahli dalam keluarga.

Isi ringkas kepada khutbah terakhir Rasulullah SAW: “Wahai manusia, sesungguhnya kamu mempunyai hak ke atas isteri-isteri kamu, dan mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Hak kamu adalah mereka tidak menodai tempat tidur kamu dan mereka tidak melakukan secara nyata sesuatu yang tidak baik. Jika mereka melakukannya juga, maka Allah membenarkan kamu untuk memisahkan mereka dari tempat tidur dan memukul tanpa menyakiti mereka.”

Keluarga dan rumah tangga dalam Islam bagi mewujudkan ketenteraman, ketenangan dan kedamaian. Ini yang mendasari hubungan antara suami isteri, hak masing-masing hinggalah kepada anak-anak.

Akad antara suami dan isteri diikat dengan hak satu ke atas yang lain. Teras utama hak suami terhadap isteri supaya menjaga kesucian kehormatannya dan berkelakuan mulia. Ini sekali gus mengandungi perintah timbal balik supaya suami juga mesti setia, menjaga kesucian diri dan bersifat mulia.

Perkataan qawwamun dalam al-Quran seseorang yang bertanggungjawab atau yang menjaga sesuatu atau melindungi seseorang. Erti yang lebih mendalam dan komprehensif iaitu suami bertanggungjawab menjaga, menyara, membangunkan sahsiah dan melindungi isterinya secara fizikal, mental dan spiritual.

Huraian ini menyedarkan kita betapa adilnya Islam menentukan hak sewajarnya buat manusia dalam konteks keluarga. Jika hak suami supaya isteri menjaga kesucian dan kehormatan dirinya serta berakhlak mulia, ini bermaksud suami yang melaksanakan tugas ‘qawwam’ mesti terlebih dulu memiliki dan menjiwai sifat mulia itu.

Jika suami dan isteri memahami inti pati hubungan ini maka ketenangan akan mengalir deras dalam institusi keluarga. Suami berasa tenang dan tenteram isteri menjaga kehormatannya, manakala isteri juga berasa aman dan selamat kerana yakin di sisinya ada seorang suami sebagai pelindung.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden JIM, Syed Ibrahim Al Habshi, dengan kerjasama Wanita JIM. Segala persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, April 06, 2007

Bicara Kalbu: Jiwa anak perlu diterap nilai mulia Rasulullah

Bicara Kalbu: Jiwa anak perlu diterap nilai mulia Rasulullah

SAYA ibu kepada tiga anak berumur empat, lapan dan 10 tahun. Bagaimana cara menyemai perasan cintakan Nabi Muhammad SAW dalam diri anak saya?


Cinta adalah ungkapan sangat indah dalam kehidupan manusia. Dengan cinta manusia sengsara dan dengan cinta manusia bahagia. Syurga boleh diraih dengan cinta, iaitu cinta hakiki kepada insan terpilih bernama Nabi Muhammad Rasulullah SAW.

Firman Allah bermaksud: Katakanlah “Jika bapa, anak, saudara, isteri, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir kerugian, dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) jalan berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.” (Surah At-Taubah, ayat 24)

Puan inginkan anak mengenali dan mencintai Rasul mereka. Apabila anak mengenali dan mencintai Rasul, hasilnya akan dapat dilihat dalam tingkah laku mereka. Akhlak Rasulullah SAW akan terpapar dalam tindak tanduk mereka.

Namun, kerja ini tidak mudah kerana puan perlu menjadi contoh kepada anak terlebih dulu dan caranya:

> Rasulullah SAW sebagai teladan

Puan perlu terapkan nilai ‘kenali nabi’ kepada anak kecil dengan menjadikan sirah nabi sebagai bahan cerita kepada mereka. Anak suka mendengar cerita dan ceritalah mengenai insan bernama Muhammad SAW.

Ceritakan peri laku Baginda, pengorbanannya, kasih sayangnya kepada umatnya, pembelaan kepada agamanya. Cinta kepada Rasulullah SAW dengan sebenar cinta adalah asas akidah seorang Muslim.

Cinta bermula daripada kekaguman. Demikian pula hanya pujian terhadap budi pekerti Rasulullah SAW melahirkan cinta yang tidak dapat dipisahkan rentetan zaman yang terbentang panjang.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Hisyam bahawa dia berkata, kami pernah bersama Nabi. Sementara Baginda memimpin tangan Umar bin Khathab, Umar berkata kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai dari segala sesuatu kecuali diriku. Nabi bersabda, “Tidak, demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya. Hingga kamu lebih mencintai aku daripada dirimu sendiri? Umar berkata kepadanya, “Sesungguhnya sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri. Nabi bersabda, “Sekarang, wahai Umar? (Hadis riwayat Bukhari)

Anak perlu ditunjuk, diajar, dilatih dan paling penting selalu diingatkan mengenai akhlak yang baik dan tingkah laku tidak digemari orang. Berikan galakan dan anggukkan kepala jika puan bersetuju.

Budayakan komen positif apabila anak berbuat baik. Jangan bertangguh berikan penghargaan dan iktiraf kebajikan dilakukan. Kaitkan setiap akhlak yang baik itu ada dalam diri Rasulullah SAW.

Apabila anak puan melakukan kesalahan atau perbuatan tidak elok, jangan bertindak negatif, bercakap dan tunjukkan cara betul dan katakan kepadanya mengapa harus dibuat begitu. Elak berleter.

> Rasulullah SAW kaya sifat mulia

Sifat Rasulullah SAW diterjemahkan dalam kehidupan seharian puan bersama anak. Kesempurnaan Baginda tiada bandingan. Baginda pemaaf, penyayang, sabar, adil dan jujur.

Untuk memupuk akhlak mulia dalam diri dan jiwa anak, cuba panduan berikut:

# Puan menjadi pendengar yang baik

Dengar dulu setiap patah perkataan diucapkan. Jangan sekali-kali menyampuk atau memotong cakap anak. Ketika bercakap, pegang tangannya atau letakkan tangan di atas bahunya supaya dia berasa kehadiran puan.

# Elakkan gelaran melukakan

Elakkan memanggil anak dengan gelaran yang dibenci (terutama apabila puan marah). Walaupun kadang-kadang ia hanya gurauan tetapi gelaran itu boleh melukakan hatinya.

Elak melabel perbuatan anak, sebaliknya minta mereka jelaskan perbuatan mereka.

# Selalu memberikan salam kepada tetamu atau bertamu ke rumah orang. Tunjukkan kegembiraan dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan tamu ke rumah. Ajar anak bersalam dan hormat kepada tetamu.

# Latih buat kerja

Sama ada di rumah atau berkunjung rumah orang lain, didik anak membersihkan bekas makanan. Ceritakan bagaimana Rasulullah SAW menjadi orang pertama menjenguk salah seorang Quraisy yang selalu meludahnya setiap kali Baginda ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.

Baginda turut membantu sahabat membuat parit ketika Perang Khandak. Jadikan Baginda contoh idola dalam mendidik anak semoga akhlak anak puan turut mengikut akhlak Rasulullah SAW.

Jawapan disedia oleh Endok Sempo Tahir dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com