Friday, May 25, 2007

Jiwa lapang tanda kemanisan iman dicapai

Jiwa lapang tanda kemanisan iman dicapai
Bicara Kalbu

? SAYA selalu mendengar cerdik pandai agama berkata mengenai manisnya iman. Namun, apa yang saya alami, amat susah hendak merasai kemanisan iman itu. Apa yang saya rasakan beberapa tindakan amalan membebankan dan mengganggu jadual kerja. Tolonglah saya mencari kelazatan dan kemanisan iman.

Gadis was-was

Kota Damansara, Petaling Jaya



Kelazatan iman tidak boleh dirasai jika kita tidak memulakan langkah untuk memahami hikmat di sebalik setiap apa yang kita lakukan, mengapa dan bagaimana kita lakukannya. Kesedaran diri adalah kata awalan terhadap setiap amalan yang kita buat.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.” (Muttafaq alaih)

Anas berkata, “Aku melayani Rasulullah SAW selama sepuluh tahun, Baginda tidak pernah memukulku, tidak pernah mencelaku dan tidak pernah bermuka masam di hadapanku. Rasulullah SAW mendoakan Anas dikurnia harta dan anak yang ramai dan doa Baginda dikabulkan Allah.

Makna hadis ini, ada tiga sifat yang jika ada pada seseorang maka orang itu akan berasakan manisnya iman. Manisnya iman adalah rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah, ketenangan jiwa, kesenangan hati dan lapangnya dada.

Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata, “Syaikh Abu Muhammad bin Abu Hamzah berkata: “Pengungkapan dengan lafaz ‘manis’ kerana Allah mengumpamakan iman seperti pohon, seperti di dalam firman-Nya bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik.” (Surah Ibrahim, ayat 24)

Kalimat yang baik adalah kalimat ikhlas, kalimat tauhid, sedangkan pohon adalah pokok daripada keimanan, cabangnya adalah menjalankan perintah dan menjauhi larangan, daun-daunnya adalah segala amal kebaikan yang harus diperhatikan seorang mukmin, dan buahnya adalah segala macam bentuk ketaatan.

Manisnya buah ketika buah sudah matang, dan puncak daripada rasa manis itu adalah apabila buah telah benar-benar masak. Maka ketika itulah akan terasa manisnya buah itu.

Mencintai Allah mestilah melebihi cintanya kepada orang lain seperti orang tua, anak, diri sendiri dan sesiapa saja yang dekat dengan kita. Beriman kepada Allah memiliki rasa manis yang tidak mungkin dinikmati, kecuali oleh orang yang beriman dengan sebenar-benar keimanan, penuh keikhlasan dan ilmu.

Oleh kerana itu, tidak semua orang yang mengatakan dirinya Muslim atau mukmin secara automatik dapat berasakan manisnya iman. Iman bukan cukup hanya dengan angan-angan, tetapi wajib dimantapkan dalam hati, dikuatkan dengan perkataan dan perbuatan yang dijiwai sepenuh hati. Kata kunci segala permasalahan ini adalah ikhlas.

Mengikut Imam Ibnul Qayyim, antara perbuatan untuk memperoleh kecintaan Allah dan kemanisan iman, selepas melakukan ibadat wajib:

l Membaca al-Quran dengan merenungkan dan memahami maknanya.

l Mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan sunat.

l Terus menerus berzikir kepada Allah dalam setiap tindak tanduk kehidupan dengan hati, lisan atau perbuatan.

l Mendahulukan apa yang dicintai Allah daripada apa yang dicintai diri sendiri.

l Berkawan dengan orang yang jujur mencintai Allah dan orang salih.

l Menjauhi segala perkara yang dapat menghalangi pautan hati dengan Allah.

Mencintai Rasulullah SAW yang menyusul selepas mencintai Allah adalah ciri terpenting yang harus dimiliki siapa saja yang ingin berasakan kelazatan iman. Cinta Allah dan Rasul-Nya adalah kayu ukur bagi kecintaan terhadap diri sendiri, orang tua, anak dan seluruh manusia.

Suatu ketika Saidina Umar berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu apa pun, kecuali diriku.” Maka Nabi SAW menjawab, “Bukan begitu, demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri.” Maka Umar menjawab, “Demi Allah, sesungguhnya engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Maka Nabi SAW menjawab, “Sekarang Umar, (telah sempurna imanmu).”

Anas juga meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, beliau bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman salah seorang di antara kalian, sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia.”

Antara cara mencintai Nabi SAW:

l Beriman bahawa Muhammad SAW adalah utusan Allah, yang diutus kepada seluruh umat manusia, sebagai pemberi peringatan dan khabar gembira, sebagai penyeru ke jalan Allah dengan pembawa cahaya kebenaran.

l Bercita-cita untuk bertemu dengan Baginda dan khuatir jika tidak dapat bertemunya.

l Menjalankan perintah Baginda dan menjauhi larangannya. Orang yang mencintai seseorang, maka akan mentaatinya walaupun nyawa jadi galang gantinya.

l Menolong sunnahnya, mengamalkan, menyebarkan, membela dan memperjuangkannya.

l Banyak berselawat dan bersalam kepada Rasulullah SAW.

l Berakhlak dengan akhlak Baginda dan beradab dengan adabnya.

l Mencintai sahabat dan kaum kerabat Baginda dan membela mereka.

l Mengkaji perjalanan hidup dan sirah Baginda serta mengetahui keadaan dan berita berkaitan Baginda.

Mencintai seseorang kerana Allah maksudnya menjaga hubungan kasih sayang antara seorang Muslim dengan saudaranya atas landasan iman kepada Allah SWT dan amal soleh.

Kita mencintai saudara kita bukan kerana keuntungan kebendaan atau harta, kita membencinya atau menjauhinya bukan kerana kemiskinan atau tidak memperoleh manfaat dunia darinya. Ukuran cinta kita kepadanya adalah atas dasar iman dan amal salih.

Saling mencintai kerana Allah mempunyai hak yang harus ditunaikan antaranya membantu memenuhi keperluan saudaranya dan menolong pada saat dia memerlukan bantuan, tidak membuka aib, tidak membenci, tidak iri dan dengki terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada saudara kita.

Sentiasa mendoakan saudara kita tanpa pengetahuannya dan mengucapkan salam jika bertemu, bertanya khabar keadaannya, tidak sombong dan tinggi diri. Jalinan seorang Muslim dengan Muslim lain dibangun atas landasan cinta kepada Allah.

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Baginda mengenai tujuh golongan yang akan dinaungi Allah antaranya: “Dua orang yang saling menyintai kerana Allah, berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya.”


Jawapan disediakan oleh Lembaga Penasihat Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga (PAKSI-JIM)

Friday, May 18, 2007

Panduan ibu bapa bendung masalah anak mengamuk

Bicara Kalbu: Panduan ibu bapa bendung masalah anak mengamuk

SAYA mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun yang aktif dan cerdik. Masalahnya sejak kebelakangan ini dia sering mengamuk jika kemahuannya tidak dipenuhi dan ada ketikanya dia membaling apa saja yang ada dalam genggamannya, merebahkan diri ke lantai serta pernah juga dia cuba memukul saya.


Seperkara lagi, jika anak saya menangis, dia akan terus menangis sehingga saya datang memujuknya. Dia juga sekarang menjadi seorang yang penakut. Saya risau jika perangainya berlarutan hingga besar.

Ibu Risau,
Kuala Lumpur.

PAKAR kanak-kanak mendapati anak berumur antara 16 bulan hingga tiga tahun akan selalu mengamuk atau throw temper tantrums. Ini adalah perkembangan yang normal kerana kanak-kanak peringkat itu mempunyai kemahuan tinggi dan mereka juga egosentrik atau mementingkan diri (terutama pada umur dua tahun). Mereka juga sedang belajar untuk menjadi lebih berdikari dan suka melakukan sendiri banyak perkara.

Kanak-kanak peringkat itu juga akan mengamuk kerana kecewa apabila tidak dapat melakukan tugasan atau memanipulasikan mainan seperti kehendak mereka. Mereka akan mengamuk apabila permintaan tidak dipenuhi dan mendengar perkataan ‘jangan’.

Walaupun mengamuk adalah satu perkembangan normal tetapi sebagai ibu bapa, kita mesti menolong anak mengawal tabiat itu. Ia hendaklah dibendung sejak mula perkembangannya.

Disertakan beberapa panduan bagaimana menghadapi anak yang suka mengamuk. Harap membantu. Juga boleh layari www.rentis.blogspot.com untuk penulisan saya yang lain berkaitan kanak-kanak.

Kita boleh mengawal tabiat mengamuk dengan cara:

# Mengalih perhatian anak apabila nampak simptom seperti hendak mengamuk seperti muka anak merah atau mula hendak menangis.

Pernah seorang ibu menangis apabila anaknya mengamuk dan meragam. Melihat ibunya menangis, anak itu bertanya kenapa ibunya menangis. Jawab ibu itu, dia menangis kerana anaknya yang baik meragam.

Mendengar jawapan ibunya, anak itu berhenti meragam lalu terus memeluk dan mencium ibunya. Cara ini mungkin boleh dilakukan oleh ibu dalam usaha memujuk anak yang menangis dan meragam.

# Tenang menghadapi kerenah anak. Bacakan untuk diri anda surah al-Inshirah untuk menenangkan diri. Berdoalah dalam hati supaya Allah berikan kekuatan minda dan jiwa untuk menjadi ibu yang baik, sabar dan penyayang. Berdoalah untuk anak anda dan tiupkan di ubun-ubunnya dengan penuh kasih sayang.

Elak daripada memarahi atau menjerit pada anak kerana tidak akan membantu. Berbual dengan anak dan terangkan kenapa dia tak boleh atau tidak dapat melakukan sesuatu. Jika anak mengamuk kerana tidak dapat melakukan sesuatu tugasan atau permainan, cuba beri tugasan atau permainan lebih mudah atau bantu anak untuk mencapai objektifnya. Memberi pelukan dan ciuman kasih sayang juga membantu.

# Jika anak terus mengamuk, cuba jangan peduli dan tinggalkan sekejap. Dr Hugh Jolly dalam bukunya, A book of child care, memberikan seorang akan memberikan persembahan yang lebih baik di hadapan penonton. Saya dapati panduan ini mujarab untuk anak saya dan kebanyakan anak di Taska. Jadi, jika anak terus mengamuk jangan perhatikan. Cuma pastikan anak selamat kerana ada budak yang akan mencederakan diri seperti menghantuk kepala ke lantai apabila mengamuk. Ada juga yang menjadi sesak dan sukar bernafas.

# Apabila anak berhenti mengamuk, bincang dengan mereka kenapa perangainya tidak elok dan kenapa permintaannya tidak boleh dipenuhi. Terangkan juga bahawa kita akan tegas dengan pendirian kita.

# Tegas dan elakkan daripada mengalah dengan kehendak anak dan memenuhi permintaannya yang tidak sepatutnya kerana kanak-kanak memang bijak. Sekali kita mengalah apabila anak mengamuk, mereka akan tahu kelemahan kita dan akan mengamuk setiap kali keperluannya tidak dipenuhi. Juga jangka masa mengamuk akan lebih panjang.

Beberapa bulan lalu, anak lelaki kecil saya mula mengamuk apabila kehendak hatinya tidak dituruti. Saya ambil pendekatan tidak peduli. Selepas dua tiga kali, dia tidak mengamuk lagi.

Apabila buat tidak tahu dia akan berhenti mengamuk. Selepas itu dia cuba menarik perhatian dan apabila anak saya sudah berusaha, barulah saya memeluk, berbincang dan dia akan kembali tenang.


Jawapan disediakan oleh Rosnah Ahmad dan Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Prof Madya Dr Umi Kalthum Ngah, dengan kerjasama Wanita JIM (wanitajim0@yahoo.com)

Friday, May 04, 2007

Perlakuan adik jejas keharmonian rumah tangga kakak

Perlakuan adik jejas keharmonian rumah tangga kakak

SEBAGAI anak sulung, saya menjadi harapan ibu bapa untuk membimbing dan menasihat adik yang bermasalah. Oleh itu, adik tinggal bersama keluarga saya kononnya bagi memudahkan saya memantau mereka.


Malangnya, adik tidak menghormati saya dan suami, sebaliknya mengambil kesempatan di atas kebaikan kami. Semua perbelanjaan dan tugas rumah tidak pernah dibantu, seolah-olah kami menanggung anak sendiri dan kadang kala terasa seperti orang gaji kepada mereka.

Ada adik yang sudah bekerja tidak pernah menghulur wang untuk meringankan perbelanjaan rumah yang selama ini ditanggung saya dan suami. Lama-kelamaan, suami mula rasa beban menyara adik saya.

Apabila ditegur, mereka akan bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Saya cuba mengadu kepada ibu bapa mengharapkan bantuan sebaliknya, mereka menganggap saya cerewet dan tidak bertolak ansur. Sedangkan jika adik tinggal bersama ibu bapa, mereka juga menghadapi masalah sama dan pernah mengadu kepada saya. Saya sering bergaduh dengan suami kerana sikap adik saya.

Akhirnya, untuk menyelamatkan rumah tangga yang dibina selama lima tahun, saya mengambil keputusan menyuruh adik yang sudah bekerja untuk berpindah dan mencuba hidup sendiri.

Tindakan saya menyebabkan ibu kecewa. Walaupun dia tidak beritahu tetapi saya tahu daripada tindak tanduknya sehingga beliau meninggal dunia disebabkan sakit.

Saya rasa bersalah dengan tindakan yang saya ambil itu? Bagaimana saya perlu menangani masalah ini?



YANG TERKILAN,

Petaling Jaya Utara.



DALAM menghadapi apa juga masalah, dua asas penting perlu diyakini dan dihayati iaitu setiap perubahan bermula daripada diri kita sendiri seperti termaktub dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”

Kedua, ketika berhadapan dengan manusia, walau siapapun mereka, kita mesti ingat bahawa manusia adalah makhluk yang tidak sunyi daripada kelemahan dan mempunyai pelbagai harapan yang tidak mungkin dipenuhi dan dicapai kesemuanya.

Dalam hal ini terdapat satu ungkapan berbunyi, ‘mengharap keredaan semua manusia itu adalah satu matlamat yang tidak mungkin dicapai’.

Berlandaskan dua asas tadi, puan boleh hadapi masalah ini daripada dua perspektif iaitu pertama, melihat ke dalam. Maksudnya lihat kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri sendiri.

Terima segala kesulitan yang dihadapi sebagai ujian. Hidup ini memang medan ujian. Ujian diturunkan sama ada dalam bentuk kesenangan atau kesusahan. Jika kita sabar menghadapi ujian kesusahan, dosa kita diampuni, darjat kita diangkat tinggi. Begitu juga jika kita bersyukur menerima ujian kesenangan.

Kedua, melihat ke luar. Maksudnya setiap manusia ada hak dan tanggungjawab terhadap satu sama lain. Seorang wanita apabila berkahwin wajib memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap suami dan rumah tangga.

Jika seseorang wanita taat kepada suami dengan ikhlas, dengan niat mematuhi ketentuan Allah dan Rasul, hidupnya diberkati dan diredai Allah. Kisah yang berlaku pada zaman Nabi SAW boleh dijadikan iktibar.

Seorang wanita tidak pulang menziarahi ayahnya yang sakit tenat kerana suaminya tiada di rumah dan dia tidak berupaya menghubunginya untuk meminta izin sehingga ayahnya meninggal dunia.

Lantaran ketaatan berpegang teguh pada ketentuan Allah itu, Allah mengampunkan dosa ayahnya dan dimasukkannya ke dalam syurga.

Jangan harapkan perubahan berlaku serta-merta. Allah amat mengetahui dan akan menunjukkan kepada kita sama ada yang baik atau buruk, sama ada kita suka atau benci.

Kadangkala kita terlalu cepat menghukum. Apabila kita mendapat berita duka, kita pantas berkata, ini tidak bagus. Tetapi benarkah itu tidak bagus? Mungkin itu bagus. Cuma kita belum tahu hikmah di sebaliknya.

Setiap yang berlaku dalam kehidupan kita mesti mempunyai sebab. Kita lahir di dunia mempunyai sebab. Cuma kita mungkin kurang sabar. Kita mahukan jawapan atau perubahan berlaku dengan serta-merta.

Kita perlu bersabar dan bijak membuat keputusan supaya tidak menimbulkan masalah pada masa depan. Hidup perlu diteruskan!



Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud, Pengerusi Mawaddah dengan kerjasama Wanita JIM