Friday, June 29, 2007

Tabarruj dan tengok wayang

Soalan:
Apabila membaca penulisan prof mengenai aurat dan batas pergaulan dalam Islam, beberapa persoalan timbul dalam fikiran saya, minta penjelasan terhadap kemusykilan saya:
Bolehkah terangkan dengan lebih lanjut definisi ‘tabarruj’ dengan spesifik. contohnya, bersolek. adakah terus tidak boleh, atau ada kelonggaran. saya pernah mendengar ceramah Dr Syeikh Darsh (bekas imam Central Mosque, London) yang membolehkan bersolek sederhana, asalkan tidak melampau, e.g. lipstick yang tidak berlebihan kerana itu saya memakai lipstick yang nipis ('natural' colour) dan asas mekap (foundation) untuk menutup lubang bekas kecacatan muka.

Seperti yang kita ketahui, jika kaum hawa dan kaum adam duduk berdua-duaan di tempat gelap hukumya berdosa. Hukum itu adakah sama dengan kita masuk ke panggung wayang.

Sakinah,
Bekas siswi London
Jawapan

Assalamu’alaikum wr.wb.

Jawapan bagi soalan 1:

Manusia pada umumnya suka kepada kecantikan dan perhiasan. betapa tidak? mereka diciptakan dengan cukup indah dan sempurna oleh Allah Yang Maha Cantik dan suka kepada kecantikan. Diriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “sesungguhnya Allah itu cantik. dia suka kepada kecantikan".

Justeru, Islam yang merupakan agama fitrah tidak menghalang sesuatu yang baik dan digemari manusia termasuk berhias. Allah s.w.t. sendiri memerintahkan hambanya agar menggunakan perhiasan yang cantik, khussunya ketika ke masjid. firman Allah s.w.t. bermaksud:

“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.

Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-nya untuk hamba-hamba-nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?".

katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat. Demikian lah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.

Al-A’raf:31,32

Dalam hal ini, wanita juga tidak dilarang menghiaskan diri agar kelihatan cantik dan menarik. tetapi mereka dilarang mempamerkan atau menonjolkan perhiasannya di hadapan manusia yang tidak sepatutnya melihat keindahan tubuh badannya. perhatikan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau sahya yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” An-Nur:31

Di dalam ayat yang lain, Allah s.w.t. berfirman maksudnya:
“…..dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan rasul-nya. sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” al-ahzab:33

Ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri rasulullah s.a.w. melarang mereka bertabarruj seperti wanita-wanita jahiliah dahulu.

Perkataan ’tabarruj’ ditafsirkan oleh ulamak dengan beberapa tafsiran.

Menurut mujahid, Qatadah dan lain-lain, perkataan ’tabarruj’ bermaksud berjalan dengan lagak sombong, mengada-ngada, lembut dan lemah gemalai.

Muqatil bekata tabarruj maksudnya meletakkan selendang di atas kepala tanpa mengikatnya lalu menyerlahkan anting-anting, rantai dan leher.

Mibrad pula berkata tabarruj ialah menzahirkan atau mendedahkan kecantikan yang wajib ditutup.

Menurut Abu ‘Ubaidah, seseorang wanita dikatakan bertarruj apabila dia mendedahkan kecantikan yang boleh meransang syahwah lelaki.

Ada ulamak berkata, maksud ayat itu ialah “jangan kamu berhias seperti perhiasan orang kafir, iaitu dengan memakai pakaian nipis dan berwarna warni”
.
Kesimpulan yang dapat dibuat dari tafsiran-tafsiran di atas, Allah memerintahkan isteri-isteri nabi s.a.w. berpakaian sopan dan tidak mendedahkan kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka ketika keluar dan berjalan di luar rumah kerana perbuatan mendedahkan perhiasan itu sama seperti tingkah laku perempuan jahiliah yang tidak segan silu menarik perhatian dan menggoda kaum lelaki.

Perlu disebutkan bahawa sungguhpun zahir ayat ini dikhitab atau ditujukan kepada isteri-isteri nabi s.a.w., tidak bermakna hanya mereka sahaja dilarang berkelakuan sedemikian. larangan itu tentunya meliputi seluruh wanita yang beriman kerana isteri-isteri nabi s.a.w. adalah ummahat almukminin atau ibu-ibu kepada seluruh orang yang beriman.

Timbul persoalan di sini, apakah perhiasan yang wajib ditutup dan yang tidak wajib ditutup?

Merujuk firman Allah s.w.t. di dalam surah an-nur ayat 31 yang bermaksud: “….dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya…”
Ahli tafsir berkata perhiasan yang dipakai oleh wanita terbahagi kepada dua, yang tersembunyi dan yang zahir. perhiasan yang tersembunyi ialah yang dipakai atau dikenakan pada anggota yang wajib ditutup seperti gelang kaki, gelang tangan, subang dan rantai leher. manakalan perhiasan yang zahir, kebanyakan mereka berpendapat maksud perhiasan yang zahir ialah pakaian atau perhiasan pada pakaian luar. Sebahagian ulamak berpendapat perhiasan yang harus dizahirkan ialah celak, cincin, gelang tangan dan muka. kata ibn ‘abbas r.a. perhiasan yang zahir ialah celak dan cincin. menurut satu riwayat dari ibn ‘abbas r.a. beliau berkata perhiasan yang zahir ialah muka, celak di mata, inai di tapak tangan dan cincin. inilah perkara yang boleh dilihat pada seorang wanita apabila kita memasuki rumahnya. qatadah berkata perhiasan yang boleh dilihat ialah gelang dan cincin berdasarkan sabda rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat menampakkan tangannya kecuali setakat ini.” dan baginda menggengam di tengah-tengah lengannya.

Saidatina ‘aisyah r.a. menceritakan:” Pada suatu hari anak saudaranya datang ke rumahnya dengan memakai perhiasan. apabila Rasulullah s.a.w. terpandangkannya baginda memalingkan muka ke arah lain. ‘Aisyah berkata: “Ya Rasulullah! dia anak saudaraku dan masih kecil”. baginda bersabda: “Ya ‘Aisyah! apabila seorang wanita telah datang haid, tidak halal baginya mendedahkan tubuhnya kecuali muka dan tangan”. Baginda menggenggam lengannya sendiri, antara genggaman itu dengan tapak tangan adalah satu genggaman. (Tafsir al-Tobari)

Berdasarkan beberapa pandangan yang dikemukakan di atas dapat disimpulkan bahawa bahagian yang tidak wajib ditutup ialah tangan serta perhiasan yang ada padanya seperti gelang, cincin dan inai, muka dan perhiasannya. perhiasan pada muka yang dinyatakan hanya celak.

Alat-alat perhiasan lain atau make up seperti gincu, eye shadow, bedak, pemerah pipi dan sebagainya hukumnya adalah seperti berikut:

Menurut al-syafi’iyyah (ulamak mazhab syafi’iy) sebagaimana dinaqalkan oleh al-Nawawi, haram bagi wanita yang tidak mempunyai suami atau yang melakukannya tanpa izin suami dan harus bagi wanita yang bersuami dengan izin suaminya. (Sahih Muslim dengan Syarah al-Nawawi, j14, m.s 104). Demikian juga pendapat sebahagian hanabilah (ulamak mazhab hanbali) bahwa keluar rumah dengan memakai perhiasan yang mengandungi bauan yang wangi juga haram. nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Wangian lelaki adalah yang terserlah baunya dan tersembunyi warnya, wangian wanita adalah yang terserlah warnanya dan tersembungi baunya”. riwayat Al-Tirmizi.

Walau apapun muslimah yang ingin memakai make up seharusnya menjauhi alat atau bahan yang mengandungi kimia atau campuran yang membahayakan kerana Islam memerintahkan umatnya agar menjauhi semua perkara yang mendatangkan kemudaratan sama ada cepat atau lambat. Begitu juga dalam berhias tidak boleh berlebihan-lebihan kerana berlebihan-lebihan juga adalah sikap yang tidak disukai oleh Allah dan rasul. Fudhalah bin ‘Ubaid berkata: “sesungguhnya Rasulullah s.a.w. melarang kami daripada banyak bermewah dan berhias” riwayat Abu Dawud.



Jawapan bagi soalan kedua:

Sebelum menjawab ya atau tidak soalan yang ditanyakan di atas, beberapa perkara asas perlu dijelaskan terlebih dahulu.
Pertama: Allah s.w.t. tidak mengharamkan perkara yang baik dan bermanfaat kepada manusia. Perkara yang diharamkan adalah perkara yang tidak berfaedah, keji, buruk serta mendatangkan mudarat kepada hambanya sama ada dalam jangka masa yang cepat atau lambat.

Kedua: perkara yang haram terbahagi kepada dua jenis: haram li dzatihi dan haram li ghayrihi.

Haram li dzatihi ialah sesuatu yang diharamkan Allah lantaran keburukan dan kemudaratannya seperti mencuri, berzina, minum arak dan seterusnya.

Haram li ghayrihi diharamkan bukan kerana keburukan atau kemudaratannya tetapi kerana kaitannya dengan perkara yang haram atau ia boleh menjadi punca berlakunya perkara yang haram. Contohnya makan buah rambutan yang dicuri; makan buah rambutan bukanlah sesuatu yang memudaratkan tetapi haram dimakan kerana diperolehi dengan cara mencuri.

Lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan di tempat sunyi tidak berbahaya kalau hanya sekadar duduk tetapi, boleh menjadi punca kepada berlakunya zina. Maka duduk berdua-duaan di tempat sunyi adalah haram.

Berdasarkan dua prinsip di atas, cuba fikirkan; tidakkah masuk ke dalam panggung wayang juga boleh mendorong kepada zina? Secara fizikalnya pasangan tidak duduk berduaan tetapi dalam keadaan suasana yang gelap, setiap orang yang masuk membawa hal sendiri-sendiri, masing-masing tidak ambil pusing antara satu sama lain. Dalam keadaan demikian kesempatan untuk meraba, berpegang tangan, malah berpelukan tidak ada siapa yang akan mencegahnya. Ditambah pula dengan adegan-adegan menggairahkan yang terpampang di layar membangkitkan lagi keinginan yang berkemungkinan besar mengheret pasangan mencari tempat lebih exclusive bagi memenuhi keinginan yang telah memuncak dan sukar dibendung.

Jadi masuk ke dalam panggung wayang dengan pasangan yang belum dikahwini boleh dikatakan termasuk dalam kategori mendekati zina yang secara jelas dilarang keras oleh Allah s.w.t. di dalam firmannya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” al-isra’ :32

Jawapan disediakan oleh Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM(wanitajim0@yahoo.com). Persoalan dan jawapan yang lepas boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, June 22, 2007

Lelaki tidak muslih punca wanita ‘rosak’

Bicara Kalbu: Lelaki tidak muslih punca wanita ‘rosak’

PERMASALAHAN lelaki dewasa ini, saya berpendapat antara sebabnya ialah keruntuhan moral di kalangan wanita Islam terutama dari segi berpakaian. Al-Quran menganjurkan supaya wanita menutup aurat mereka antaranya bertujuan mengelakkan keruntuhan akhlak di kalangan sesama manusia, bukan saja untuk kaum adam, malah untuk kaum hawa. Malangnya, kini wanita Melayu berani mendedahkan aurat. Ada model iklan wanita Melayu sudah berani berpakaian melampaui kesopanan. Memang wanita dijadikan cantik, tetapi tidaklah perlu kepada mereka menunjukkan secara berlebihan kepada semua orang. Oleh itu, mengapa apabila berlaku perkara negatif, lelaki sering dipersalahkan?

Saiful,Melaka

Sebenarnya apabila bercakap mengenai penjagaan akhlak, lelaki dan wanita memikul tanggungjawab sama berat. Kedua-dua golongan perlu menjaga batas pergaulan, menutup aurat dengan rapi dan menjaga pandangan.

Pada hari ini, wanita tidak menjaga aurat, tidak menjaga batas pergaulan dan lelaki juga sama menyumbang kepada fenomena ini. Bahkan, tidak salah jika saya katakan wanita hari ini rosak disebabkan kegagalan lelaki melaksanakan amanah yang dipikul ke atas mereka.

“Lelaki itu adalah pelindung/pemimpin bagi wanita.” Itu yang ditegaskan al-Quran. Jika kita buat tinjauan kenapa wanita sama ada anak gadis atau isteri mendedahkan aurat di khalayak ramai. Sebabnya ialah ayah dan suami di rumah tidak menjalankan tanggungjawab mendidik dan membimbing wanita yang berada dalam tanggungannya.

Jika mereka menjalankan peranan sebagai ayah dan suami yang melaksanakan amar ma'ruf dan nahi mungkar di kalangan isi rumah, maka kita tidak akan melihat perbuatan membuka aurat secara berleluasa di kalangan masyarakat Islam hari ini.

Fenomena ini jelas menunjukkan kebanyakan rumah tangga Islam rosak kerana suami dan ayah yang tidak salih dan tidak muslih (tidak melakukan amal salih dan tidak mengajak ahli keluarga beramal salih).

Kemudian kita lihat pula pada skop yang lebih besar. Wanita hari ini dieksploitasi semahunya oleh industri perniagaan. Wanita menjadi bahan komersial yang diperdagangkan. Memang benar mereka menjadi hiasan muka majalah, akhbar, papan iklan dan wanita litar dengan pakaian menggiurkan. Siapakah di belakang mereka? Di belakang mereka ialah syarikat multinasional yang menjadikan wanita bahan pelaris. Di belakang mereka juga industri fesyen yang kebanyakannya dipelopori pereka fesyen lelaki.

Saya berpandangan, setiap kali melihat wanita mendedahkan aurat, saya terfikir siapakah yang bertanggungjawab ke atas wanita ini. Jika dia masih gadis maka, ayahnya yang akan dipersoal oleh Allah nanti. Jika dia sudah bergelar isteri, maka suaminya yang akan dipertanggungjawabkan. Jika mereka gagal memberikan jawapan yang benar, maka mereka akan menanggung akibat di akhirat nanti kerana bersifat dayus (tidak mampu memimpin isteri dan anak perempuan).

Mengenai 50 wanita nisbah seorang lelaki menunjukkan bahawa tanggungjawab seorang lelaki yang salih pada akhir zaman amat berat. Jika ada seorang lelaki salih di kalangan kita maka dia harus mengambil tanggungjawab bukan saja ke atas isteri dan anaknya, tetapi anak saudaranya, sepupunya, adik beradiknya dan sesiapa juga yang berada dalam lingkungan keluarganya. Oleh kerana sebahagian besar lelaki tidak memenuhi peranan itu maka peranan itu beralih kepada lelaki salih yang berada dalam keluarga berkenaan.



Jawapan disediakan Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di laman web www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, June 15, 2007

Bicara Kalbu: Bimbang tak mampu sedia hantaran kahwin tinggi

APABILA terbaca beberapa siri penulisan dalam Jendela Hikmah mengenai perkahwinan adalah ubat kepada cinta songsang di kalangan orang muda yang membawa kepada zina, maka saya rasa terpanggil untuk menyahut cabaran itu. Saya berniat mengahwini kekasih hati tetapi saya bimbang tidak mampu memberikan hantaran tinggi kepada bakal isteri. Apakah sebenarnya nilai hantaran yang paling minimum yang diwajibkan oleh Islam?



Mat bermotosikal
Klang, Selangor

Kebimbangan saudara itu memang ada asasnya. Bacaan saudara mengenai episod perkahwinan membabitkan perbelanjaan besar, mas kahwin yang mahal dan hantaran mewah itu menghantui pemikiran saudara.

Berapa ramai daripada masyarakat kita yang mampu berbuat demikian? Apakah kayu ukur penentuan mahar dan mas kahwin dalam kehidupan masyarakat kita?

Adakah kita secara tidak sedar mula menggunakan kayu ukur penentuan nilai wanita dalam perkahwinan menggunakan laras penilaian artis barat yang menghabiskan berjuta-juta dolar untuk berkahwin, kemudian bercerai tidak lama selepas itu.

Adakah kadar mahar dan hantaran yang mewah dan mahal itu menjamin kebahagiaan dan kelangsungan perkahwinan?

Secara tidak langsung laporan berlebihan mengenai kemewahan mahar dan hantaran perkahwinan membentuk beberapa persepsi baru yang negatif dalam minda masyarakat ketika membuat persediaan mengadakan majlis perkahwinan dan niat pasangan yang bakal berkahwin.

Persepsi negatif itu antaranya:

# Untuk mendapat mahar dan hantaran tinggi mestilah menjadikan diri seorang yang popular dan glamor, sedangkan ilmu dan akhlak tidak diambil kira.

# Lelaki berasa lebih terancam dan takut untuk berkahwin jika belum ‘kaya.’ Mereka akan susah untuk berkahwin awal kerana takut dipaksa memberikan hantaran mahal yang di luar kemampuan. Sehingga ada yang mencari jalan haram untuk memuaskan nafsu seks mereka.

# Nilai wanita masa kini adalah berasaskan wang ringgit saja. Buktinya ialah saudara kini (dan juga segelintir masyarakat) yang masih keliru antara 'mas kahwin' dan 'hantaran'. Sebenarnya ada perbezaan ketara antara keduanya.

Mas kahwin disebut sebagai mahar adalah hak/harta isteri yang wajib suami serahkan kepada isteri untuk menghalalkan pernikahan antara keduanya, sama ada disebut ketika akad atau tidak disebut.

Firman Allah bermaksud: “Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian wajib.” (Surah an-Nisa’, ayat 4)

Allah berfirman lagi bermaksud: “Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina.” (Surah an-Nisa’, ayat 24)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi.” (Hadis riwayat Bukhari)

Mas kahwin boleh diberikan dalam bentuk apa saja asalkan berfaedah, sama ada wang ringgit, barang atau sesuatu yang bermanfaat.

Rasulullah SAW pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu apapun untuk dijadikannya mas kahwin lalu Rasulullah SAW bertanya kepada lelaki itu: “Adakah kamu menghafaz sedikit daripada ayat al-Qur'an? Lelaki itu menjawab dia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah SAW pun mengahwinkan lelaki itu dengan mas kahwin surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Mahar juga disebut sebagai ‘Sadoqathinna’ bagi menggambarkan kebenaran dan kesungguhan keinginan untuk berkahwin daripada pihak yang memberi atau dengan kata lain menunjukkan bahawa pihak suami benar-benar ingin berkahwin apabila dia bersedia memberikan mas kahwin kepada isteri.

Hantaran pula ialah hadiah daripada suami kepada isteri dan juga hadiah daripada isteri kepada suami, iaitu saling bertukar hadiah sebagai tanda setuju dengan perkahwinan itu. Hantaran tidak wajib tetapi hukum adat dan hukumnya harus.

Mengenai kadar mas kahwin, ulama berselisih pendapat dari segi kadar minimum. Ulama sepakat mengatakan tiada had maksimum berdasarkan ayat 20 surah An-nisa' yang menyebut perkataan ‘qintor’ bermaksud emas yang sangat banyak.

Menurut Ibn 'Abbas dan Mujahid, qintor bersamaan 70 mithqal, kata Abu Said emas sepenuh belulang lembu. Namun, disunatkan kita tidak berlebihan dalam memberikan hantaran menurut dalil di bawah:

Daripada 'Aisyah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya nikah yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah (rendah) maharnya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqiy)

Daripada 'Aisyah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Setengah daripada keberkatan wanita ialah mudah peminangannya dan mudah maharnya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqiy)

Abu Hurairah berkata, “Adalah sodaq kami ketika zaman Rasulullah ada bersama kami 10 waqyah.” (1 waqyah bersamaan 40 dirham)

Saidina Umar berkata: “Awas! Janganlah kamu melampau dalam memberi mas kahwin kepada wanita kerana sesungguhnya jika wanita itu seorang yang mulia di dunia atau seorang yang bertakwa di sisi Allah, nescaya Rasulullah SAW orang yang paling utama berbanding kamu dalam memberi mas kahwin yang banyak. Padahal aku tidak pernah mengetahui Rasulullah SAW berkahwin dengan mana-mana isterinya atau mengahwinkan mana-mana puterinya dengan mas kahwin lebih daripada 12 waqyah.” (Hadis riwayat Al-Tirmizi )

Mengenai kadar melampau batas, menurut Ibn Qudamah (Mazhab Hambali), tidak digalakkan lebih daripada 500 dirham, iaitu kadar mahar isteri Rasulullah SAW, begitu juga pendapat ulama Mazhab Syafie, Maliki, had melampau ialah kadar melebihi kebiasaan orang ramai.

Hikmat mengelakkan daripada berlebih dalam membayar mahar adalah untuk memudahkan pemuda berkahwin supaya tidak terpesong kepada perkara yang tidak diingini seperti zina dan perkara yang membawa kepada buruk akhlak.

Saidina Umar berkata dalam khutbahnya: “Sesungguhnya lelaki yang berlebih dalam memberi mahar perempuannya sehingga menjadikan perempuan itu permusuhan dalam diri lelaki itu.” (Hadis riwayat an-Nasaie)

Apa yang perlu kita utamakan ialah kesederhanaan, keberkatan dan kelangsungan perkahwinan bakal dilalui pasangan pengantin itu. Bukan glamor dan menunjuk-nunjuk yang membawa kepada riak serta unsur negatif dalam masyarakat yang sebilangan besar tidak mampu mengadakan hantaran yang mahal.

FAKTA
Faktor pengaruhi kadar mahar

# Kebiasaan masyarakat yang mudah berubah dan terlalu mengikut aliran semasa.
# Kenaikan harga barang.
# Taraf hidup masyarakat.
# Tahap kesedaran Islam – semakin tinggi kesedaran beragama, semakin sederhana maharnya, begitu sebaliknya.

Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, June 08, 2007

Wanita bujang harus menyusu anak angkat

Bicara Kalbu: Wanita bujang harus menyusu anak angkat

SAYA seorang wanita bujang berumur 47 tahun yang bekerjaya. Saya tidak berkahwin kerana ada beberapa masalah peribadi dan ia bukan kehendak saya. Dalam umur yang sudah mendekati senja, saya berasakan peluang untuk berkahwin amat tipis. Saya berhasrat untuk mencari anak angkat sebagai pengisi kesunyian.


Baru-baru ini saya mengambil anak angkat seorang bayi lelaki daripada seorang remaja yang terlanjur dan sudah insaf. Saya menasihatkan remaja terbabit supaya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Kini remaja itu sudah kembali ke rumah ibu bapanya dan menyambung pelajaran.

Saya amat bersyukur dengan rezeki Allah. Saya bercita-cita menjadikan bayi lelaki ini sebagai 'anak saya' sebenar, agar satu masa nanti tidak timbul masalah 'mahram' dan 'aurah' apabila dia dewasa kelak.

Saya menghubungi seorang doktor pakar mengenai penyusuan bayi bagi wanita yang belum berkahwin. Katanya, walaupun saya belum pernah berkahwin tetapi perkembangan sains kedoktoran masa kini boleh memberikan sejenis hormon penggalak yang berupaya mengeluarkan susu daripada seorang wanita yang belum berkahwin.

Persoalan saya ialah apakah pandangan Islam dan persepsi budaya Melayu mengenai perkara ini (wanita bujang menyusukan bayi)?

Ibu ingin tahu
Kg Tunku, PJ

ISLAM tidak melarang umatnya mengambil anak angkat. Dengan niat dan cara yang betul, memelihara anak angkat boleh menjadi amal salih yang dapat membekalkan pahala berterusan menjangkau ke alam barzakh dan akhirat.

Pengambilan anak angkat oleh mereka yang mempunyai kemampuan kewangan dan kemasyarakatan sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah sosia. Dengan kata lain, amalan mengambil anak angkat memenuhi keperluan secara timbal balik dan memenuhi naluri keibuan dalam jiwa setiap wanita.

Namun, tidak semua wanita dianugerahi cahaya mata. Maka, mengambil anak adalah penyelesaian baginya. Dan dari segi yang lain pula ia memberi peluang kepada anak yang tidak mempunyai tempat bernaung kerana kematian ibu bapa, kemiskinan dan sebagainya mendapat pembelaan sewajarnya.

Mengenai hukum wanita bujang menyusukan anak angkat, fuqaha pernah membincangkannya dalam bab – adakah disyaratkan wanita yang menyusukan itu disetubuhi (bersuami) dan mencapai usia tertentu atau tidak?

Ulamak, Mazhab Hanafi, Syafi'e dan Hambali berpendapat, wanita yang menyusukan bayi itu tidak disyaratkan berkahwin dan disetubuhi. Jika payu dara seorang dara mengeluarkan air susu, dan susu itu diminum oleh bayi, maka berlakulah hurmah (haram berkahwin) antara wanita itu dan kerabatnya dengan bayi itu seperti haram dengan sebab hubungan nasab.

Mengenai usia wanita yang menyusukan, mereka menyatakan disyaratkan usia wanita itu tidak kurang sembilan tahun kerana kemampuan mengeluarkan susu adalah berkaitan dengan kemampuan mengandung dan melahirkan anak. Kanak-kanak bawah sembilan tahun tidak boleh dikatakan sudah mampu (dari segi fizikal) melahirkan anak.

Dari segi persepsi budaya Melayu, apa yang saya perhatikan ia sering berubah-ubah dan tidak semua berlandaskan hukum syarak. Sesuatu yang pada suatu masa dianggap jelek, bertukar menjadi baik pada masa yang lain. Justeru, apa yang penting adalah hukum Allah SWT kerana Dialah satu-satunya yang berhak menentukan halal atau haram sesuatu perkara.

(Jawapan disediakan Oleh Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Untuk persoalan dan jawapan bagi isu-isu yang lepas, boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com)

Friday, June 01, 2007

Cinta sejati tumbuh selepas akad nikah

Bicara Kalbu: Cinta sejati tumbuh selepas akad nikah
Oleh Endok Sempo M Tahir

SAYA mengagumi seorang jejaka yang juga pemimpin pelajar kerana sikapnya yang tidak ego dan menghormati wanita. Kami pernah bertemu dan berbual. Sejak itu, saya berasakan perasaan aneh yang menurut rakan, itulah cinta. Adakah bercinta itu salah? Apakah perspektif Islam mengenai cinta.


Siti Murni
Bandar Baru Uda, Johor.

CINTA adalah sebahagian daripada fitrah manusia. Cinta memang sudah ada dalam diri kita. Bersyukurlah orang yang diberi cinta dan mampu menyingkap rasa cinta dengan tepat dan menurut syariah.

Bercinta tidak salah jika diniatkan untuk menuju alam perkahwinan yang diredai Allah. Nabi Muhammad SAW meninggalkan resipi cinta yang diriwayatkan Abdullah bin Mas'ud: “Wahai generasi muda, barang siapa di antara kalian mampu serta berkeinginan untuk bernikah. Kerana sesungguhnya pernikahan itu dapat menundukkan pandangan mata dan memelihara kemaluan. Dan barang siapa di antara kalian belum mampu, maka hendaklah berpuasa, kerana puasa itu dapat menjadi penghalang untuk melawan gejolak nafsu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, dan Tirmidzi)

Apabila kita sudah membetulkan niat, maka kita mesti menjadikan diri kita ‘salihah’ supaya orang yang salih akan datang menemui kita atau ditemukan Allah. Kita wajib ingat bahawa jodoh adalah ketentuan Allah, manusia hanya boleh merancang tetapi Allah yang menentukan. Kita cuma dapat berusaha mencari jodoh yang baik menurut Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik.” (Surah al-Imran, ayat 14)

Cinta paling tinggi martabatnya adalah cinta kerana Allah, kita bertemu dan berpisah kerana Allah. Pakar psikologi, Prof Madya Dr Mat Saat Baki, pernah menulis: “Cinta itu berkembang. Kita tidak jatuh cinta. Cinta pandang pertama adalah satu mitos. Sebenarnya perasaan cinta itu berkembang dari semasa ke semasa. Lebih lama kita memahami, mengenali seseorang itu, akan lebih dalam perasaan cinta. Namun, menurut beberapa kajian dan perkongsian pengalaman, ternyata cinta pertama tidak diperlukan sebagai asas kebahagiaan tetapi boleh membantu untuk mencapai kebahagiaan.”

Tetapi jika tidak berhati-hati, cinta boleh membutakan mata hati kita. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cintamu kepada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: “Hendaklah kita benar-benar memejamkan mata dan memelihara kemaluan, atau nanti Allah benar-benar akan menutup rapat matamu.” (Hadis riwayat Tabrani)

Cinta yang selalu menjadi dugaan dan membawa padah ialah cinta yang cenderung kepada maksiat. Cinta yang semakin menggelorakan hawa nafsu, makin berkurang rasa malu dan akhirnya terlanjur. Inilah paling merbahaya. Dari sinilah bermulanya fenomena cinta terlarang, seks tanpa nikah yang merosakkan generasi dan mencemar keturunan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah Al Isra', ayat 32)

Islam tidak melarang atau mengekang manusia daripada rasa cinta tetapi mengarahkan cinta berjalan di atas landasan yang menjaga martabat kehormatan, baik wanita mahupun lelaki. Jika kita jatuh cinta, perlu berhati-hati kerana seperti minum air laut, semakin diminum semakin haus. Cinta yang sejati adalah cinta yang tumbuh selepas akad nikah.

Cara untuk mengendalikan rasa cinta adalah dengan menjaga pandangan, tidak berkhalwat atau berdua-duaan dalam bentuk apapun dan tidak saling bersentuhan apatah lagi bercium dan berpelukan, memang jelas haramnya.

Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki dan wanita berkhalwat (berduaan di tempat sepi), sebab syaitan menemaninya, janganlah salah seorang daripada kalian berkhalwat dengan wanita, kecuali disertai dengan mahramnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika bimbang keterlanjuran cinta, alihkan rasa cinta itu kepada Allah dengan membanyakkan selawat, zikir, istighfar dan solat sehingga kita tidak diperdayakan oleh nafsu. Jika kita tewas, nafsu yang akan memperdayakan kita.

Jawapan disediakan oleh Endok Sempo M Tahir, Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pusat. Segala persoalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com