Friday, September 28, 2007

Amalan jihad melindung agama Allah

SAYA pelajar institut pengajian tinggi awam dan mempunyai kenalan sekuliah beragama Hindu. Dia bertanyakan soalan mengenai penghayatan umat Islam yang lebih menonjol pada Ramadan. Pemerhatiannya seolah-olah menyatakan Ramadan adalah bulan jihad Islam. Dia pernah bertanya adakah jihad termasuk dalam pengajaran agama Islam, jika jihad termasuk dalam ajaran Islam bagaimanakah untuk membuktikannya?

Siswa ingin tahu,
Bangi.


RAMADAN sebagai bulan ibadat, penuh rahmat dan barakah menciptakan suasana keagamaan dan spiritual di kalangan umat Islam. Di dalamnya ada pelbagai modul, sesi, kaedah latihan dan mujahadah seperti menahan diri supaya tidak makan dan minum serta menahan marah.

Kita juga digalakkan memperbanyakkan ibadat serta meninggalkan perkara mungkar. Boleh dikatakan Ramadan adalah bulan latihan dan jihad membina jiwa suka berkorban, membangkitkan spiritual dan jati diri Muslim.

Jihad adalah salah satu bahagian utama Islam. Dari sudut bahasa, jihad bermaksud kesungguhan dan keinginan. Keinginan teman saudara mempelajari atau mengambil tahu mengenai Islam boleh ditakrifkan sebagai jihad. Mungkin ini boleh memberi gambaran lebih jelas kepada beliau konsep umum jihad.

Tetapi sebelum itu harus kita amati dan fahami apakah pengertian jihad itu terlebih dulu kerana secara langsung menjawab persoalan mengapa ia penting dalam Islam. Media Barat khususnya sudah menyempitkan pengertian jihad dan menyamakannya dengan keganasan.

Jihad secara umumnya bermaksud berusaha bersungguh-sungguh ke arah sesuatu yang ideal atau ke arah mencari reda Allah. Contohnya, kita wajib solat kerana ia tunggak agama dan kita juga maklum solat berjemaah di masjid ganjarannya adalah berganda.

Kita juga sedia maklum, bukan semua orang boleh bangun awal pagi semata-mata untuk bersolat Subuh berjemaah. Tetapi bagi yang insaf dan sanggup, dia akan berusaha bersungguh-sungguh mengatasi sama ada sifat malas, tarikan nafsunya untuk terus tidur dan sebagainya.

Usaha ini adalah jihad. Rasulullah SAW bersabda, jihad yang paling besar ialah jihad menentang hawa nafsu kita sendiri. Ini dalam konteks peribadi. Begitu juga dalam konteks keluarga dan masyarakat. Segala usaha gigih kita untuk menyampaikan mesej Islam adalah jihad.

Perkara yang sering menjadi tumpuan media atau pihak tertentu apabila berbicara mengenai istilah jihad ini ialah jihad mempertahankan Islam atau jihad menentang mereka yang mencabul kedaulatan Islam.

Antara dalil mengenai jihad ialah firman Allah yang bermaksud: "Tetapi Rasul dan orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang yang beroleh kebaikan, dan mereka orang yang beruntung." (Surah At-Taubah, ayat 88)

Allah berfirman yang bermaksud: "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang yang sabar." (Surah Al-Imran, ayat 142)

Jihad dalam ayat itu merujuk kepada pengertian berperang menegakkan Islam dan melindungi orang Islam, memerangi hawa nafsu, mendermakan harta untuk Islam dan membanteras yang batil dan menegakkan yang benar.

Bagaimana menjadikan setiap amalan kita itu yang terbaik melainkan kita bersungguh-sungguh. Bagaimana mungkin boleh kita katakan kita sudah berikan yang terbaik melainkan selepas kita korbankan sedikit kesenangan seperti bersolat Subuh berjemaah.

Adalah mudah untuk masuk syurga, tapi harganya tidak murah. Mudah kerana Allah menggariskan apa yang perlu kita lakukan, Rasulullah SAW pula menunjukkan jalannya. Tetapi ia tidak murah kerana yang harus kita korbankan ialah apa kita amat sayang, suka atau amat hargai. Dan pengorbanan yang paling tinggi ialah dengan nyawa kita bila keadaan memerlukan.

Jawapan disediakan Amir Razelan dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan yang lalu sila lawati www.bicarakalbu.blogspot.com.

Friday, September 21, 2007

Puasa boleh kekang nafsu seks

SAYA mempunyai seorang kawan baik. Dulu dia selalu melakukan zina dan maksiat. Apabila menjelang Ramadan dia ingin berhenti daripada melakukan dosa dan maksiat itu. Namun keinginan seksnya adalah tinggi. Adakah saya harus mengatakan dia harus melakukan onani kerana dia masih belum bersedia untuk berkahwin atas dasar kewangan. Bukankah onani itu berdosa? Adakah berdosa jika saya memberitahunya dia harus onani untuk menangani masalah keinginan seksnya yang kuat itu? Apakah hukum puasanya jika dia beronani.

Pemuda Al Kahfi
Lembah Klang

Kita bersyukur kepada Allah kerana dengan limpah kurnia dan sifat-Nya yang Maha Pengasih merahmatinya dengan taubat menjelang Ramadan. Dia meninggalkan satu dosa daripada 10 dosa besar. Sama-samalah kita berdoa supaya Allah memberikannya kekuatan dalam melawan nafsu dan ketahanannya memupuk kesedaran yang baru ditemuinya.

Onani dianggap penyakit ketagihan seks. Dalam Islam, seks adalah sesuatu yang tabii dan syariat membuka ruang untuk memenuhi keperluan seks melalui perkahwinan. Jika yang terbabit tidak mampu berkahwin, beliau disarankan supaya banyakkan berpuasa kerana puasa boleh melemahkan libido atau selera seks seseorang. Insya-Allah dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, boleh melatih seseorang untuk mengekang kehendak seks meluap-luap.

Pada umumnya majoriti ulama berpendapat perbuatan onani haram dan berdosa berdasarkan ayat al-Quran:

"Dan, orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi, barang siapa yang mencari selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang yang melewati batas" - Al Muminun (5-7).

Maka orang yang melakukan onani adalah orang yang melepaskan syahwat bukan pada tempatnya.

Kenyataan itu disokong oleh riwayat hadis Qudsi seperti berikut:

Di hari akhirat Allah tidak akan melihat golongan ini lantas terus berfirman: Masuklah kalian ke dalam api neraka bersama-sama mereka yang (berhak) memasukinya.

Golongan itu ialah orang homoseksual, bersetubuh dengan haiwan, orang yang mengahwini isteri dan juga anak perempuannya pada waktu sama, orang yang kerap melakukan onani, kecuali jikalau mereka semua bertaubat dan memperbetulkan diri sendiri (maka tidak lagi akan dihukum).

Dr Yusuf Qardhawi menggariskan dalam bukunya 'Halal dan Haram dalam Islam' merumuskan perbuatan itu dibenarkan jika dikhuatiri terjatuh kepada melakukan zina. Hukum Onani bagi mereka yang tidak mampu bernikah dan takut terjatuh ke dalam maksiat ialah harus dan tidak berdosa.

Namun apabila melakukan onani itu hanya kerana mencari keseronokan dan berhibur dengannya maka hukumnya ialah haram dan ditegah. Ini kerana ia termasuk perbuatan yang keji dan kotor serta memudaratkan akal dan jiwa sehingga menjadikan diri dikuasai syahwat dan dibimbangi terjebak kepada zina.

Hukum onani akan menjadi haram apabila seorang lelaki itu menggunakan gambar lucah, atau bayangan di otaknya akan perkara kotor atau berkhayal wanita kerana ini bukan lagi beronani demi mencegah zina, sebaliknya ia sudah bertujuan mencari kepuasan dan berseronok dan ini diharamkan. Tidak boleh berseronok dengan jalan yang haram.

Apa yang perlu dilakukan kawan saudara ialah beliau kena banyak bermujahadah. Tindakannya meninggalkan perbuatan zina yang pernah dilakukan dulu adalah satu jihad pada dirinya dan Allah.

Jawapan disediakan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor dan Endok Sempo M Tahir dengan kerjasama Wanita JIM.

Friday, September 14, 2007

Cara terbaik khatam al-Quran pada Ramadan

SOALAN:

SAYA selalu mendengar ceramah mengenai Ramadan adalah bulan al-Quran dan kita digalakkan khatam al-Quran sebanyak mungkin sepanjang Ramadan ini. Boleh berikan panduan bagaimana cara supaya saya mampu khatam al-Quran pada Ramadan dan cara terbaik berinteraksi dengan al-Quran.
Gadis profesional,
Lembah Klang

JAWAPAN:

RAMADAN adalah satu-satunya bulan disebut namanya dalam al-Quran dan pada bulan itu diturunkan al-Quran.

Cara paling mudah khatam al-Quran ialah dengan membaca al-Quran secara konsisten sebanyak empat setengah muka setiap kali selepas solat lima waktu. Dengan izin Allah akan khatam dalam masa sebulan. Membaca empat setengah muka hanya mengambil masa lima minit saja.

Memang benar amalan utama pada Ramadan selain berpuasa ialah berinteraksi dengan al-Quran. Berinteraksi dengan al-Quran boleh dilakukan pelbagai cara:

l Belajar dan mengajar. Mereka yang tidak tahu membaca al-Quran atau tidak memahami maknanya wajib berusaha mengatasinya. Sebaik-baik waktu memulakan usaha itu adalah pada Ramadan kerana pahalanya akan berlipat kali ganda berbanding bulan lain.

Mereka yang dianugerah ilmu mengenai al-Quran hendaklah mengajarnya kepada mereka yang memerlukan. Kedua-dua golongan ini adalah orang yang terbaik di sisi Allah seperti sabda Nabi SAW bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Belajar dan mengajar al-Quran bukan setakat belajar dan mengajar membacanya saja. Ia meliputi belajar dan mengajar maksud serta tafsiran ayatnya.

l Membacanya sama ada pada siang atau malam. Allah memuji mereka yang rajin membaca al-Quran dan menyediakan untuk mereka ganjaran besar.

Allah berfirman bermaksud: “Ahli-ahli kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (sudah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Quran) pada waktu malam, ketika mereka sujud (mengerjakan sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah daripada orang yang salih.” (Surah ali-Imran, ayat 113-114)

l Menghayati titah perintahnya. Al-Quran diturunkan untuk membawa petunjuk, membimbing kepada kebaikan, menjelaskan jalan benar serta jalan yang menyesatkan. Justeru, tidak cukup bagi kita sekadar membaca tanpa cuba memahami dan menghayati isi kandungannya. Allah mencela orang yang tidak mengambil pengajaran daripada kitab suci diturunkan-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka). Janganlah pula mereka menjadi seperti orang yang sudah diberikan kitab sebelum mereka, selepas orang itu melalui masa yang lanjut, maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang fasik.” (Surah al-Hadid, ayat 16)

l Jadikan al-Quran sebagai penawar. Allah berfirman bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian juga.” (Surah al-Isra’, ayat 82)

Abu Saed al-Khudri meriwayatkan bahawa seorang sahabat menjampi dengan surah al-Fatihah untuk merawat seorang Arab Badwi yang pengsan kerana disengat binatang berbisa. menerusi jampi itu Badwi berkenan sembuh lalu menghadiahkannya 30 ekor kambing dan memberinya serta ahli rombongannya minum susu segar.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

l Hafal sebahagian surah atau ayat-ayatnya. Cara terbaik adalah menghafal keseluruhan al-Quran daripada awal hingga akhir. Bagi yang tidak berkesempatan atau tidak berkemampuan, hafal sebahagian daripadanya, khususnya ayat atau surah digalakkan membacanya setiap hari.

Ibn Abbas berkata Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam dadanya sedikitpun daripada al-Quran seperti rumah usang yang tidak berpenghuni.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Antara surah yang sangat besar kelebihan menghafalnya ialah surah al-Mulk. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Di dalam al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, memberi syafaat kepada seseorang (yang membacanya) sehingga diampunkan dosanya, iaitu surah al-Mulk.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, September 07, 2007

Suami larang terus hubungan dengan rakan

Bicara Kalbu: Suami larang terus hubungan dengan rakan

SEMASA bujang saya mempunyai ramai kenalan tetapi selepas mendirikan rumah tangga saya tidak lagi menghubungi mereka kerana larangan keras daripada suami. Saya ingin penjelasan daripada sudut agama mengenai memutuskan silaturahim antara sesama Islam atas arahan suami. Adakah tindakan itu berdosa? Saya tidak mahu menimbulkan perasaan tidak sedap hati suami terhadap saya. Atau adakah kerana taatkan suami maka saya berdosa memutuskan silaturahim. Saya ingin bertanya apakah hukumnya memutuskan silaturahim dengan kawan lama disebabkan kecurigaan suami terhadap kawan berkenaan.

Isteri serba salah


Kg Nakhoda,
Kuala Lumpur

Jika kawan yang dimaksudkan puan itu ‘kenalan lelaki’ sememangnya suami puan mempunyai hak untuk menghalang puan menghubungi mereka selepas berumahtangga. Dalam Islam, istilah kawan tidak selayaknya pada jantina yang berlawanan jenis.

Jika kawan yang dimaksudkan itu tempat kita bergurau senda atau bermesra, maka Islam membataskan hanya kepada jantina yang sama. Sebolehnya kenalan dengan berlawanan jantina dibataskan mengikut adab dan peraturan pergaulan ditetapkan dalam Islam.

Apabila seseorang itu sudah berumahtangga, maka dia harus memelihara pergaulannya dengan jantina berlainan jenis dengan membataskan kepada urusan rasmi seperti kerja, persatuan dan seumpamanya.


Imam Jalaluddin as-Suyuthi meriwayatkan dalam kitab Lubabun Nuqul fi Asbabin Nuzul satu hadis daripada Ibnu Abbas bahawa Umayyah bin Khalaf, Abu Jahal bin Hisyam dan beberapa tokoh Quraisy lainnya pernah bertanya Rasulullah SAW: “Hai Muhammad! Mari, mintalah berkat daripada tuhan-tuhan kami, nanti kami akan masuk agamamu.”

Rasulullah SAW ingin sangat mereka memeluk agama Islam dengan menjelaskan mengenai Islam kepada mereka. Maka Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu daripada apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, supaya kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami; dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia. Dan kalau Kami tidak memperkuat (hatimu), nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka. Jika terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (seksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula seksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.” (Surah al-Isra’, ayat 73-75)

Imam Muhammad bin Ibrahim al-Wazir (775-840 Hijrah) berkata: “Perhatikan ancaman (dari Allah SWT) yang keras ini kepada yang paling Dia cintai (Nabi Muhammad SAW), orang yang diampuni dosa-dosanya baik yang sudah lalu mahupun yang akan datang. Sesungguhnya penyebab daripada ancaman itu tidak lain adalah kerana pergaulan.”

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "(Agama) Seseorang itu adalah sama seperti (mengikuti) agama sahabat karibnya, maka perhatikan dengan siapa kalian bersahabat.” (Hadits riwayat Abu Dawud)

Berdasarkan dalil di atas tindakan puan atas arahan suami tidaklah dikategorikan sebagai memutus silaturahim. Apabila kita tidak menjauhkan diri daripada orang yang membawa kemungkaran, lambat laun nanti kitapun akan terbawa-bawa atau terikut olehnya.

Jika kawan puan itu perempuan, maka tiada yang menghalang puan untuk meneruskan hubungan seperti biasa. Bahkan hubungan itu perlu dipupuk ke arah kebaikan dan suami puan tidak seharusnya menghalang puan.

Memutuskan silaturahim adalah satu istilah yang berat kerana ia satu perbuatan dosa. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Tidak akan masuk syurga sesiapa yang memutuskan silaturahim.” Ertinya perbuatan ini termasuk dalam dosa besar.

Malah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Silaturahim bermaksud menyambungkan tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan serta menjaga keutuhan persaudaraan yang terbina terhadap saudara, kerabat dan teman.

Membina dan mengeratkan silaturahim adalah tuntutan yang wajib di sisi Islam di mana Rasulullah SAW membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang Muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari.”

Mewujudkan silaturahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang sudah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan, malah ia membawa erti lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa saja menerusi sifat saling membantu dan bertolak ansur.

Biasanya punca permasalahan dan gejala keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan saling menjauhkan diri. Seorang Muslim berkewajipan mengajak saudaranya yang bertelagah itu ke jalan perdamaian sama ada dengan cara menemui, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.

Seseorang yang berada dalam suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain.

Jangan bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan. Sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan kemudian barulah boleh diampunkan Allah.

Jika suami puan melarang puan menghubungi kenalan perempuan, mungkin ada sebab dia bertindak demikian. Contohnya, sikapnya tidak elok atau akhlaknya yang kurang manis, maka suami puan punya asas untuk menasihati puan supaya menjauhinya. Carilah sebab musababnya dan berbincanglah secara hati ke hati dengan suami. Tetapi ini tidaklah bermakna puan harus memutuskan silaturahim dengan kenalan.

Memutuskan silaturahim bererti tidak bertegur sapa dan tidak memenuhi hak seseorang Muslim. Cukup sekadar puan mengurangkan interaksi dengannya. Adapun haknya sebagai Muslim perlu dipenuhi seperti menjawab salam, memenuhi jemputan, menziarahi apabila dia sakit, berkongsi kedukaan dan mengucapkan tahniah di atas kejayaannya, memberi nasihat apabila diminta dan menghantar jenazahnya ke tempat persemadian apabila dia meninggal dunia.

Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor dan Endok Sempo Mohd Tahir. Soalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari www.bicarakalbu.blogspot.com