Friday, March 28, 2008

Politik beradab cermin masyarakat bermaruah

Bicara Kalbu:
www. bicarakalbu.blogspot.com

Soalan

SEJAK akhir-akhir ini saya menerima dan mendengar pelbagai cerita mencemaskan yang boleh mencetuskan huru-hara dan pertelingkahan antara kaum. Keputusan pilihan raya yang mengejutkan menimbulkan satu persepsi serba baru kepada semua rakyat Malaysia yang menimbulkan perasaan bercampur-baur. Kononnya orang Melayu takut ketuanan Melayu hilang dan bangsa bukan Melayu pula takut tragedi rusuhan kaum berulang. Apakah sikap yang perlu kita ambil untuk menangani isu ini?

Fatimah Liew
Puchong Perdana

Jawapan:

Keputusan pilihan raya yang mengejutkan banyak pihak adalah manifestasi rakyat menggunakan kuasa undi dalam amalan demokrasi. Jangan terlalu emosional.
Keresahan timbul akan dapat diselesaikan jika kita semua memegang falsafah berjiwa besar apabila menang dan berlapang dada dalam kekalahan. Jangan risau dengan ketuanan Melayu akan hilang atau rusuhan kaum akan tercetus kerana Hak Melayu dijamin Perlembagaan. Perkara yang mengikat dan menjadi peraturan kita ialah Perlembagaan, dan ia mengikat semua orang, tidak mengira Melayu atau bukan Melayu.

Kita baru saja membuat pilihan. Kita akan ada lagi peluang untuk memilih kerana pilihan raya diadakan setiap empat tahun. Jangan terbawa-bawa dengan cerita yang tidak berlandaskan kebenaran dan tanpa bukti. Apa yang penting dalam suasana sekarang ialah rakyat harus bertenang, tidak menyebarkan khabar angin dan tidak memanjangkan khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima tanpa menyelidik dari mana punca cerita itu. Jangan mudah termakan sebarang bentuk elemen provokasi yang boleh mengundang perbalahan. Biar menggelegak di dada tetapi sejuk di kepala. Masyarakat juga perlu lebih berwaspada supaya tidak mudah terpengaruh dengan cerita palsu yang mengelirukan. Setiap cerita sensasi yang meragukan haruslah diselidiki supaya kita tidak melaksanakan perkara yang berbentuk provoksi dan menghasut.


Hayati firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah dilakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6) Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membawa berita dusta itu ialah segolongan daripada kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang) mereka sendiri dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata." (Surah an-Nuur. ayat 11-12) ..


Al-Quran turut memberi peringatan jelas kepada orang yang mendengar, menyebar fitna
dan tuduhan palsu, tanpa sikap berbaik sangka atau memastikannya terlebih dulu. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam adalah organisasi akar umbi yang boleh digerakkan potensinya secara maksimum. Inilah masanya mereka tampil ke depan, memperkasakan suara ummah daripada kaca mata dakwah. Selama ini suara ummah didominasi oleh parti politik. Langkah pantas 21 NGO Islam Pulau Pinang bertemu Ketua Menteri baru, harus dipuji dan dituruti negeri lain dengan segera. Wawasan politik orang dakwah adalah kesatuan ummah Islam tanpa
mengira bangsa dan kebajikan untuk semua.

Islam untuk semua bukan hanya monopoli untuk Melayu dan bukan musuh bangsa lain.


Diharapkan perubahan besar pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 semakin mengeratkan lagi ikatan persahabatan dan ukhuwah antara kita semua. Dalam agenda Islam untuk semua, semua rakyat Malaysia tanpa sebarang pengecualian haruslah mampu bergerak bersama. Di sinilah perlunya kebijaksanaan dan kematangan dalam berpolitik. Politik yang matang sentiasa ada semangat idealisme luhur bersandarkan lunas dan prinsip Islam sejati. Budaya politik beradab juga mencerminkan masyarakat bermaruah yang menolak taksub, mengutamakan perpaduan dan mengetepikan perbezaan ideologi, perkauman dan kerakusan terhadap kuasa demi kepentingan bangsa dan negara yang lebih murni. Semoga Allah memelihara kita semua dan menganugerahkan kekuatan untuk memakmurkan lagi bumi bertuah yang dikasihi ini.

Jawapan disediakan Ahli Jawatankuasa Wanita Jim Pusat, Endok Sempo M Tahir. Semua persoalan dan jawapan boleh dilayari di www. bicarakalbu.blogspot.com

Friday, March 07, 2008

Persahabatan renggang gara-gara pilihan raya

Persahabatan renggang gara-gara pilihan raya

SAYA mempunyai dua kategori kawan, seorang yang tidak mahu mengundi, kerana berpendapat mengundi pada pilihan raya umum ini membuang masa dan membawa permusuhan, sementara seorang lagi ialah seorang kaki kempen yang sangat bersemangat, tetapi tidak sensitif perasaan kawan. Saya melihat sejak demam pilihan raya ini hubungan dua orang kawan tadi menjadi renggang. Saya tidak suka bergaduh dan tersepit di tengah-tengah. Saya mengharapkan pilihan raya cepat selesai untuk melihat persahabatan antara kami bertiga kembali jernih.

Kawan simpati

Kajang, Selangor

PENDAPAT seorang kawan itu ada kebenarannya namun, tanggungjawab warga negara mesti ditunaikan dengan menjaga etika memilih pemimpin dalam pilihan raya. Negara berdemokrasi hanya dapat dilaksanakan jika semua rakyat faham hak mereka sebagai rakyat dan pengundi.

Jangan risau kerana hanya tinggal esok bagi rakyat Malaysia memilih wakil Dewan Undangan Negeri DUN dan Parlimen. Proses pemilihan dalam pilihan raya ini memberikan ruang kepada setiap individu yang layak memilih menurut rasional dan rasa hati nurani.

Dalam pada itu, kita perlu memahami etika Islam supaya proses demokrasi ini tidak dinodai dengan politik wang, pujukan dan ugutan atau cercaan yang menimbulkan tekanan serta paksaan kepada setiap pemilih.

Sejarah Islam yang panjang memaparkan kontroversi mengenai penentuan kriteria pemimpin. Dilema dalam menentukan pemilihan pemimpin bukan sesuatu perkara yang baru. Selepas kewafatan Rasulullah SAW pada 11 Hijrah/632 Masihi, umat Islam pernah digegarkan dengan isu serupa.

Selepas Rasulullah menghembuskan nafas terakhir, terjadi ketegangan antara golongan Muhajirin dan Ansar. Dua kekuatan besar itu bmerasakan masing-masing layak menduduki kerusi khalifah untuk menggantikan kepemimpinan Rasulullah SAW.

Perdebatan dan ketegangan berlaku ketika proses perlantikan secara sederhana berlangsung di Saqifah bani Saidah yang akhirnya melantik Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama. Yang paling menarik, pemilihan masyarakat Muslim ini serentak dengan ikrar taat setia kepada Abu Bakar.

Peristiwa ini secara tidak langsung mengiktiraf kedaulatan rakyat. Nilai yang diterapkan mencerminkan suatu sistem demokrasi sekali gus menepis pemerintahan alamonarki.

Walaupun pada masa itu tidak ada apa yang kita namakan pada hari ini sebagai pilihan raya, persetujuan golongan Muhajirin dan Ansar menyelesaikan masalah pemimpin memiliki hakikat yang tidak jauh bezanya dengan pilihan raya kita masa ini.

Melihat realiti sejarah, pemilihan seorang pemimpin itu dapat dijadikan bukti bahawa untuk memilih pemimpin dalam perspektif Islam adalah sebuah kemestian. Kepemimpinan dalam Islam dipandang sebagai satu instrumen penting bagi melindungi agama dan kemajuan mengurus kehidupan di dunia.

Kekosongan pemimpin akan mendatangkan kekacauan. Lebih daripada itu, menurut Islam, pemimpin adalah ‘bayangan khalifah’ Allah di muka bumi. Ulama bersepakat perlantikan pemimpin bagi kaum Muslim adalah wajib syarie.

Majoriti ulama menyatakan Islam adalah agama dan negara. Al-Ghazali melukiskan hubungan antara agama dan kekuasaan politik sebagai berikut: “Sultan (kekuasaan politik) adalah wajib untuk ketertiban dunia; ketertiban dunia wajib bagi ketertiban agama; ketertiban agama wajib bagi keberhasilan di akhirat.”

Inilah sebenarnya tujuan Rasul. Jadi wajib adanya imam adalah kewajipan agama yang tidak ada jalan untuk meninggalkannya.

Pemikir politik seperti Abu al-Hasan al-Mawardi dalam al-Ahkam al- Sulthaniyah, Ibn Taimiyah dalam al- Siyasah al-Syar’iyah, Yusuf Qardhawi dalam Fiqh al-Daulah dan Sayyid Muhammad Rasyid Ridha dalam al-Khilafah au al-Imamah al- ‘Udhma juga berpendapat serupa.

Siapakah sebenarnya orang yang berhak menjadi pemimpin (DUN dan Parlimen) yang bakal kita panggil Yang Berhormat (mesti pula yang berkhidmat untuk rakyat) dalam pandangan Islam.

Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menunjukkan secara jelas kriteria seorang pemimpin. Firman Allah bermaksud: “Pemimpin adalah seorang yang mampu memberi manfaat bagi orang yang dipimpinnya.” (Surah al-Maidah, ayat 42)

Apabila seseorang mahu menjadi pemimpin, ia harus berani tampil ke depan, memberi contoh yang hebat sama ada dalam ucapan dan perbuatan, memberi dan meniupkan semangat mengarah aspirasi, serta meningkatkan keazaman untuk berubah dan maju di tengah-tengah masyarakat.

Firman Allah lagi bermaksud: “Sesungguhnya Kami mengutus engkau (Muhammad) dengan kebenaran sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan dan engkau tidak akan diminta pertanggungjawaban mengenai penghuni-penghuni neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 119)

Al-Mawardi memberi tujuh syarat dalam penentuan kriteria pemilihan pemimpin iaitu:

l Bersifat adil yang mampu melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya dan tindak-tanduknya tidak bersikap diskriminasi. Keadilan bererti tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya.

l Memiliki pengetahuan yang luas dan bersifat universal supaya dia mampu mengupas berbagai persoalan termasuk mengistinbat hukum-hakam.

l Sihat pancaindera iaitu baik pendengaran, jelas penglihatan, dan petah lisannya apabila berbicara serta mantiqnya tinggi untuk menjawab persoalan rakyat.

l Sihat anggota badannya daripada pelbagai penyakit dan kekurangan. Dengan itu dia mampu memberikan maklum balas yang cepat untuk bertindak.

l Kreatif dalam mengatur dan menguruskan hal ehwal serta bijak menjaga kebajikan dan kebaikan rakyatnya.

l Memiliki keberanian dan berdiri teguh memelihara rakyatnya menghadapi kesusahan hidup termasuk serangan musuh;

l Nasab Quraisy. Syarat terakhir ditafsirkan secara kontekstual oleh Ibn Khaldun, lebih menekankan pada kualiti, kemampuan dan keterampilan.

Kriteria itu boleh dijadikan panduan kerana tugas pemimpin sangat berat. Oleh itu, Rasulullah SAW pernah memberi wasiat supaya umat Islam tidak meminta jawatan. Sabda Baginda bermaksud: “Janganlah kamu meminta jawatan, jika kamu diberi jawatan kerana meminta, ia akan menjadi (beban) berat, tetapi jika kamu diberi jawatan bukan kerana memintanya, maka Allah akan membantu kamu.”

Namun, pemahaman hadis itu pada masa sekarang, mungkin kurang popular, tetapi kita berhak memilih pemimpin menurut acuan di atas sebagai standard moral untuk memilih pemimpin yang bermoral, berpengetahuan dan komited terhadap kebajikan serta kebaikan rakyat.

Pilihlah pemimpin mengikut saranan al-Quran dan hadis. Pilih pemimpin yang mesra rakyat, tidak rasuah dan tidak gila kuasa, yang memancarkan wibawa kerana memiliki komitmen serta integriti. Pemimpin perlu amanah, bijak dan kreatif, jujur serta santun kepada rakyat.



Jawapan disediakan Ahli Jawatankuasa Wanita JIM, Endok Sempo M Tahir. Semua persoalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com