Friday, June 27, 2008

‘Kahwin lari’ undang pelbagai implikasi

‘Kahwin lari’ undang pelbagai implikasi

PENULISAN puan mengenai kahwin lari dan sorok-sorok minggu lalu menarik perhatian saya. Seorang kawan terbabit dengan kahwin lari dan saya nyaris terbabit sama. Apakah nasihat puan kepada mereka yang terbabit dalam hal ini? Apakah kesan daripada perkahwinan lari atau sorok-sorok ini.

Wanita Metropolitan,

Kuala Lumpur

Jawapan:

KITA perlu berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap hasutan syaitan. Perlu diketahui kehancuran rumah tangga adalah matlamat utama musuh nombor satu manusia itu. Jaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti yang digariskan Allah serta Rasul.

Adab dan batas itu mesti dipatuhi semua, tidak kira lelaki atau perempuan, sudah berkahwin atau belum. Kepada isteri, jika ditakdirkan suami berkahwin lain sama ada dengan pengetahuan atau sebaliknya, jangan bertindak di luar batas kewarasan.

Sebesar manapun kesilapan yang dilakukan suami, kita mesti kembali kepada qada dan qadar Allah. Kalau bukan kerana jodoh, kita sendiri pun tidak akan menjadi isterinya. Begitulah juga perkahwinannya dengan wanita kedua atau seterusnya.

Nabi Muhammad SAW ketika berpesan kepada sepupunya Ibn Abbas bersabda yang bermaksud: “Ingatlah jika seluruh umat bersepakat untuk memberikan sesuatu kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu berbuat demikian, kecuali kebaikan yang ditulis oleh Allah untukmu. Dan jika mereka bersepakat untuk memudaratkan kamu, mereka tidak dapat memudaratkan kamu, kecuali apa yang sudah ditulis oleh Allah ke atasmu.”

Kesan positif dan negatif daripada kahwin lari dan sorok-sorok antaranya:

l Kesan terhadap isteri dan anak ialah suami tidak berlaku adil dalam hak giliran bermalam, tidak mampu memberi nafkah, meninggalkan isteri dan anak tanpa nafkah, suami berubah tingkah laku menjadi pemarah dan isteri terpaksa bekerja kerana tidak menerima nafkah.

l Kesan terhadap Isteri ialah suami enggan atau mengelak untuk mendaftarkan perkahwinan menyebabkan hak isteri dalam tempoh perkahwinan terabai dan tidak dilaksana oleh suami.

Keadaan akan bertambah rumit jika suami menghilangkan diri selepas dikurniakan anak bagi proses pendaftaran dan ia akan memberi kesan kepada persekolahan. Sukar untuk mengambil tindakan mahkamah seperti menuntut cerai.

l Kesan terhadap suami pula, perlu berusaha berlaku adil serta menanggung beban kewangan (jika berpendapatan rendah), sukar membahagi masa untuk kedua-dua keluarga yang menjurus kepada berlaku pembohongan.

Seksyen 23(4) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan, apabila suami membuat permohonan berpoligami, maka isteri sedia ada hendaklah dipanggil oleh mahkamah supaya hadir.

Apabila permohonan didengar isteri pertama selepas mengetahui suami berpoligami tanpa kebenaran mahkamah bolehlah memfailkan tuntutan di mahkamah supaya suami berlaku adil dalam perkahwinan dan jika mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Persoalan lain membabitkan isu kahwin lari termasuk persoalan sah atau tidaknya perkahwinan seperti wali hakim dan wali mujbir selain keengganan suami mendaftarkan perkahwinan bagi mengelak tanggungjawab terhadap isteri.

Perkahwinan tidak didaftar mendatangkan masalah kerana isteri tidak boleh menuntut hak seperti mutaah, nafkah edah, nafkah anak serta tidak boleh ke sekolah kerana tiada sijil kelahiran.

Ada juga isteri membenarkan suami berkahwin lain tetapi menetapkan syarat seperti meminta nafkah bulanan banyak, pindah milik harta atas nama mereka dan tindakan lain menyebabkan suami mengambil keputusan kahwin sorok-sorok.

Jawapan disediakan oleh peguamcara dan peguambela, Sazira Abdul Aziz yang juga AJK Wanita JIM Muar, Johor. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com


Friday, June 20, 2008

Pasangan ‘kahwin lari’ mesti daftar semula

Bicara kalbu: Pasangan ‘kahwin lari’ mesti daftar semula

SAYA sudah beristeri, namun jatuh cinta buat kali kedua. Keinginan untuk ‘kahwin lari’ semakin kuat kerana tidak mendapat restu isteri pertama. Apakah pandangan puan mengenai isu kahwin lari? Bagaimana pula hak isteri dan anak daripada pernikahan ini?
Suami Teringin,

Johor.

Secara umumnya kahwin sorok-sorok atau lari tidak boleh dilihat secara terpisah daripada isu lain. Ia hanyalah sebahagian daripada gejala penyakit sosial yang membarah dalam masyarakat pada hari ini.

Menurut Islam, institusi keluarga mesti dibina atas tapak akidah kukuh, disusun mengikut acuan syariah yang lengkap dan dihias akhlak Islam yang unggul dan murni.

Oleh itu, dari sudut moral dan tanggapan masyarakat kahwin sorok-sorok dan kahwin lari menjatuhkan maruah diri dan keluarga. Ia akan menjadi sejarah hitam, merosakkan nama, reputasi dan menjadi sebutan hingga ke anak cucu. Sebaiknya, elakkan daripada melakukannya.

Apabila terjadi perkahwinan yang sah, sama ada secara sembunyi atau terang-terang, hak dan tanggungjawab tidak boleh dielakkan. Jika ditakdirkan mendapat anak, maka haknya sama dengan anak isteri pertama dalam serba serbinya.

Bagi pernikahan sorok-sorok, mesti disabitkan sah oleh Mahkamah Syariah (didaftarkan semula menurut proses biasa dengan membayar denda).

Isteri bagi pasangan yang berkahwin lari atau sembunyi mempunyai hak yang sama dengan isteri pertama. Ada lapan hak isteri mesti ditunaikan dalam tempoh perkahwinan iaitu:

l Mahar. Firman Allah yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah an-Nisa’, ayat 4)

Ketika Khalifah Umar menganjurkan adanya had mas kahwin, ada seorang wanita tua yang menyanggah. Dan Umar bersetuju dengan pendapat wanita itu, dengan berkata: “Wanita itulah yang benar, Umar yang salah.”

Seksyen 21 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: Mas kahwin hendaklah biasanya dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada pihak perempuan atau wakilnya di hadapan orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu dan sekurang-kurangnya dua orang saksi lain.

Seksyen 57 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan:

Tiada apa juga yang terkandung dalam akta ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah hukum syarak terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinannya dibubarkan.

l Nafkah. Firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah mengikut kemampuannya. Barang siapa yang sempit (sedikit) rezekinya, hendaklah memberi nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberati diri seseorang, melainkan menurut yang diberikan Allah kepadanya. Nanti Allah mengadakan kemudahan sesudah kesukaran.” (Surah at-Talak, ayat 7)

Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan:

(1) Tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya

(2) Tertakluk kepada hukum syarak dan pengesahan mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya; meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut hukum syarak.

l Perhubungan suami isteri. Firman Allah yang bermaksud: “Isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang disukai dan sediakanlah amal yang baik untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya pada hari akhirat kelak. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 223)

l Perlindungan daripada gangguan/penderaan. Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak untuk mendapat suatu perintah membubarkan perkahwinan atas satu atau lebih alasan berikut, bahawa suami menganiayainya, lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya, berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak atau cuba memaksa isteri hidup secara lucah.

Seksyen 107 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: Mahkamah berkuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau pada atau selepas pemberian sesuatu perintah perceraian, fasakh, atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya dari mengganggu atau menceroboh dengan apa carapun ke atas suami atau isteri atau bekas suami atau bekas isterinya.

l Keadilan. Seksyen 128 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: Seseorang yang tidak memberi keadilan sewajar kepada isterinya mengikut hukum syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.

l Membubarkan perkahwinan. Seseorang wanita berhak memohon perceraian dalam beberapa keadaan yang dibenarkan oleh hukum syarak dan diperuntukkan oleh Undang-Undang Keluarga Islam iaitu perceraian dengan talak atau dengan perintah, khuluk atau tebus talak, taklik atau janji, fasakh dan lian.

l Memiliki harta.

l Layanan baik dan bimbingan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berpesanlah kamu terhadap berbuat baik kepada perempuan, kerana sesungguhnya perempuan ini dijadikan dari tulang rusuk yang bengkok. Sekiranya engkau cuba membetulkannya, ia akan patah, sekiranya engkau membiarkannya, dia akan terus bengkok.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Jawapan disediakan peguam cara dan peguam bela, Sazira Abdul Aziz, AJK Wanita JIM Muar. Persoalan lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blog spot.com.


Friday, June 13, 2008

Hati kena tenang hadapi isu harga minyak

Soalan,

MINYAK naik harga, semua orang mengeluh. Saya yang berpendapatan kecil rasa terhimpit dan tertekan kerana hujung bulan ini gaji saya tidak cukup untuk membayar bil dan menampung keperluan keluarga. Isteri sentiasa merungut, anak pula masih belum memahami. Harga baru minyak yang menjadi hadiah sambutan hari bapa tahun ini sungguh ‘mencabar’ naluri kebapaan saya. Mohon berikan saya motivasi untuk terus melangkah dengan semangat waja meneruskan hidup.

BUKAN BAPA MITHALI,
Taman Perkasa, Cheras.

Jawapan,

APA yang saudara rasakan dikongsi oleh hampir semua rakyat Malaysia, terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Dengan minyak naik diikuti barang keperluan, jiwa kita mungkin tertekan. Kita akan memikirkan bagaimana susahnya menampung kehidupan.

Ada dua perkara di situ. Pertama ialah hati yang susah dan kedua, usaha tambahan yang diperlukan untuk menampung perbelanjaan seperti melakukan kerja sambilan. Justeru, kita memerlukan hati yang tenang untuk menghadapi kesusahan ini. Tanpa jiwa yang tenang, hati akan resah hingga boleh membuatkan seseorang menjadi pemarah dan anak serta isteri menjadi mangsa. Begitu juga dengan prestasi di tempat kerja, bakal menurun disebabkan hati yang tidak tenang memikirkan masalah dihadapi.

Bagaimanapun, keadaan ini perlu diterima secara positif kerana Allah sebenarnya sudah memberi cara untuk mendapatkan ketenangan jiwa dalam firman-Nya yang bermaksud: “Apabila kamu susah, maka bersabarlah dan bersembahyanglah.”

Bersabar adalah satu kaedah untuk mengawal hati yang resah, tidak tenang atau kelam kabut. Kita boleh bercakap dengan diri diselang seli bacaan zikir menyebut nama Allah untuk mengurangkan keresahan dirasai. Apabila kita sendiri yang memujuk diri, Insya-Allah hati yang berkocak akan rasa tenang sedikit demi sedikit. Steven Covey dalam bukunya 7 Sikap Orang Efektif menulis, “Ada perkara yang boleh kita kawal, dan ada perkara yang tidak boleh kita kawal.” Sebagai orang Islam kita memahami banyak perkara yang tidak boleh kawal. Apabila kita tidak boleh kawal, kita banyak berserah dan bertawakal kepada Allah. Untuk berserah dan bertawakal, kita perlu berdoa kepada Allah.

Ada hadis mengatakan, apabila kita bersembahyang dengan baik dan sempurna, maka doa akan dimakbulkan. Sebaiknya kita membanyakkan sembahyang dan berdoa untuk memohon Allah memberi ketenangan hati menghadapi dugaan.

Selain itu, dicadangkan saudara supaya bersedekah. Bunyinya memang pelik kerana dalam keadaan menghadapi masalah kewangan, tiba-tiba kita diminta bersedekah. Sebenarnya, bersedekah tidak perlu menunggu banyak tetapi apabila ada kesempatan, hendaklah kita bersedekah. Kemudian pohon pada Allah diberikan rezeki secukupnya. Selain itu, satu cara untuk merasakan kehebatan Allah ialah dengan memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling kita.

Dalam perkara sedekah ini, mungkin kita pernah mengalami keadaan di mana rezeki datang selepas kita bersedekah. Mungkin ada yang lokek dan kedekut untuk bersedekah. Cuba imbas kembali bahawa ada kalanya kita mendapat kebaikan daripada sedekah itu. Kebaikan itu datang secara langsung atau tidak langsung kepada kita. Untuk kita yang beriman kepada Allah, kita tidak patut takut bersedekah walaupun dalam keadaan harga minyak naik. Allah sudah berjanji, orang bersedekah itu tidak akan miskin. Janji Allah adalah benar dan sentiasa benar. Percayalah. Apabila Allah berjanji kita tidak akan miskin dengan bersedekah, bermakna Allah berjanji bahawa rezeki kita akan cukup. Mungkin kita tidak akan kaya, tetapi percayalah, rezeki kita akan dicukupkan Allah. Maka teruskanlah bersedekah. Buatlah selalu walau sedikit. Apabila ada peluang untuk bersedekah, buatlah. Bukankah hadis mengatakan jika kita membuang duri dari atas jalan, itu juga satu sedekah. Oleh itu jangan tunggu lagi, bersedekahlah!

Jawapan disediakan penasihat kewangan bebas dan penulis buku Rancang Hidup Rancang Wang, Haron Mohd Yusof. Semua persoalan dan jawapan boleh dilayari www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, June 06, 2008

Anak salih penerus amal baik ibu bapa

Soalan:

SAYA lahir daripada keluarga baik-baik kerana ibu bapa orang terhormat dan beragama. Mereka mendidik anak sebaiknya. Namun, kami anak yang hidup dalam dunia kini, kadangkala kami terlanjur melakukan dosa dan perkara dilarang. Kini ibu bapa sudah tiada, adakah mereka menanggung dosa atas apa kami lakukan.

Lisa, Malaysia Timur.

Jawapan;

Islam meletakkan asas dalam hal ini iaitu seseorang tidak akan menanggung dosa seorang lain. Apa yang dilakukan seseorang, maka dia akan menanggung akibat perbuatannya dan di akhirat dia akan dibalas setimpal dengan dosa dilakukan.

Tetapi dalam Islam ada konsep amal jariah. Maksudnya, jika kita melakukan sesuatu yang baik dan orang lain terdorong melakukan kebaikan sama hasil daripada didikan, bimbingan dan tunjuk ajar, maka kita akan menerima pahala.

Begitu juga dosa boleh diwarisi jika kita mendidik dan mengajar orang untuk melakukan kejahatan, lalu kejahatan itu dituruti dan disebar luaskan orang lain. Dalam hal ibu bapa pun begitu juga. Jika mereka meninggalkan anak yang salih, maka mereka akan memperoleh bahagia berpanjangan di alam barzakh kerana amal salih dilakukan anak hasil didikan ibu bapanya.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila mati anak Adam, maka putuslah amalannya kecuali tiga iaitu, anak salih yang mendoakan untuknya, ilmu yang diajarkan dengannya dan sedekah jariah yang ditinggalkan."

Bagaimana pula jika ibu bapa tadi meninggalkan anak yang tidak salih. Ibu bapa sedemikian akan menerima tempiasnya di akhirat kerana kegagalan mendidik anak ke jalan Islam. Tetapi jika ibu bapa sudah menjalankan kewajipan dengan baik, tetapi anak tetap tidak mahu berubah, malah melakukan perbuatan bertentangan dengan apa diajarkan, maka Allah tidak akan membebankan ibu bapa dengan sesuatu di luar kemampuannya.

Jawapan disediakan oleh Prof Madya Dr Hafizi Mohd Noor dengan kerjasama wanita JIM.