Friday, May 04, 2007

Perlakuan adik jejas keharmonian rumah tangga kakak

Perlakuan adik jejas keharmonian rumah tangga kakak

SEBAGAI anak sulung, saya menjadi harapan ibu bapa untuk membimbing dan menasihat adik yang bermasalah. Oleh itu, adik tinggal bersama keluarga saya kononnya bagi memudahkan saya memantau mereka.


Malangnya, adik tidak menghormati saya dan suami, sebaliknya mengambil kesempatan di atas kebaikan kami. Semua perbelanjaan dan tugas rumah tidak pernah dibantu, seolah-olah kami menanggung anak sendiri dan kadang kala terasa seperti orang gaji kepada mereka.

Ada adik yang sudah bekerja tidak pernah menghulur wang untuk meringankan perbelanjaan rumah yang selama ini ditanggung saya dan suami. Lama-kelamaan, suami mula rasa beban menyara adik saya.

Apabila ditegur, mereka akan bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Saya cuba mengadu kepada ibu bapa mengharapkan bantuan sebaliknya, mereka menganggap saya cerewet dan tidak bertolak ansur. Sedangkan jika adik tinggal bersama ibu bapa, mereka juga menghadapi masalah sama dan pernah mengadu kepada saya. Saya sering bergaduh dengan suami kerana sikap adik saya.

Akhirnya, untuk menyelamatkan rumah tangga yang dibina selama lima tahun, saya mengambil keputusan menyuruh adik yang sudah bekerja untuk berpindah dan mencuba hidup sendiri.

Tindakan saya menyebabkan ibu kecewa. Walaupun dia tidak beritahu tetapi saya tahu daripada tindak tanduknya sehingga beliau meninggal dunia disebabkan sakit.

Saya rasa bersalah dengan tindakan yang saya ambil itu? Bagaimana saya perlu menangani masalah ini?



YANG TERKILAN,

Petaling Jaya Utara.



DALAM menghadapi apa juga masalah, dua asas penting perlu diyakini dan dihayati iaitu setiap perubahan bermula daripada diri kita sendiri seperti termaktub dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”

Kedua, ketika berhadapan dengan manusia, walau siapapun mereka, kita mesti ingat bahawa manusia adalah makhluk yang tidak sunyi daripada kelemahan dan mempunyai pelbagai harapan yang tidak mungkin dipenuhi dan dicapai kesemuanya.

Dalam hal ini terdapat satu ungkapan berbunyi, ‘mengharap keredaan semua manusia itu adalah satu matlamat yang tidak mungkin dicapai’.

Berlandaskan dua asas tadi, puan boleh hadapi masalah ini daripada dua perspektif iaitu pertama, melihat ke dalam. Maksudnya lihat kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri sendiri.

Terima segala kesulitan yang dihadapi sebagai ujian. Hidup ini memang medan ujian. Ujian diturunkan sama ada dalam bentuk kesenangan atau kesusahan. Jika kita sabar menghadapi ujian kesusahan, dosa kita diampuni, darjat kita diangkat tinggi. Begitu juga jika kita bersyukur menerima ujian kesenangan.

Kedua, melihat ke luar. Maksudnya setiap manusia ada hak dan tanggungjawab terhadap satu sama lain. Seorang wanita apabila berkahwin wajib memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap suami dan rumah tangga.

Jika seseorang wanita taat kepada suami dengan ikhlas, dengan niat mematuhi ketentuan Allah dan Rasul, hidupnya diberkati dan diredai Allah. Kisah yang berlaku pada zaman Nabi SAW boleh dijadikan iktibar.

Seorang wanita tidak pulang menziarahi ayahnya yang sakit tenat kerana suaminya tiada di rumah dan dia tidak berupaya menghubunginya untuk meminta izin sehingga ayahnya meninggal dunia.

Lantaran ketaatan berpegang teguh pada ketentuan Allah itu, Allah mengampunkan dosa ayahnya dan dimasukkannya ke dalam syurga.

Jangan harapkan perubahan berlaku serta-merta. Allah amat mengetahui dan akan menunjukkan kepada kita sama ada yang baik atau buruk, sama ada kita suka atau benci.

Kadangkala kita terlalu cepat menghukum. Apabila kita mendapat berita duka, kita pantas berkata, ini tidak bagus. Tetapi benarkah itu tidak bagus? Mungkin itu bagus. Cuma kita belum tahu hikmah di sebaliknya.

Setiap yang berlaku dalam kehidupan kita mesti mempunyai sebab. Kita lahir di dunia mempunyai sebab. Cuma kita mungkin kurang sabar. Kita mahukan jawapan atau perubahan berlaku dengan serta-merta.

Kita perlu bersabar dan bijak membuat keputusan supaya tidak menimbulkan masalah pada masa depan. Hidup perlu diteruskan!



Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud, Pengerusi Mawaddah dengan kerjasama Wanita JIM

No comments: