Monday, June 27, 2005

Muhasabah diri dalam tangani suami curang

SOALAN:

SAYA sedar, suami berlaku curang dan membuat maksiat dengan wanita lain. Untuk pengetahuan, suami saya rajin ke surau, berjemaah dengan anak-anak serta menyuruh mereka rajin belajar berbuat baik. Bagaimanapun, saya kecewa dengan sikapnya. Pernah saya merajuk dan bertukar bilik agar dipujuk dan diberi penjelasan mengenainya. Malangnya, keadaan bertambah buruk. Suami mengambil kesempatan keluar malam. Jika bertugas di luar tidak memberitahu saya ke mana dia pergi. Saya cuba berdamai dan memohon maaf. Malangnya suami enggan memaafkan. Saya tidak dibenarkan tidur bersama dan bilik dikuncinya. Saya tetap setia sebagai isteri. Saya masih uruskan makan minum dan pakaiannya. Saya kecewa sebab diabaikan berbelas tahun lamanya. Persoalannya bagaimanakah amalan saya? Takut tidak diterima Allah kerana tidak mendapat keredaan suami. Saya sudah meminta maaf walaupun suami tetap dengan perangai buruknya. Apakah yang perlu saya lakukan untuk menginsafkan suami?

ISTERI Malang.

JAWAPAN:

DUNIA ini adalah pentas ujian. Tidak ada seorang pun dari kita yang terlepas daripada diuji. Hanya bentuk ujian yang berbeza. Mengenai masalah puan, ada beberapa cadangan yang boleh difikirkan. Menjadi sunnah Allah, segala perubahan bermula dari dalam diri sendiri. Firman Allah bermaksud: "(Balasan) yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Anfal, ayat 53) Sehubungan itu, puan perlu melakukan muhasabah diri dengan tulus ikhlas. Perhatikan apakah puan sudah menunaikan segala tanggungjawab terhadap Allah, rasul, ibu bapa, anak-anak, saudara mara, jiran tetangga, masyarakat, negara, saudara seagama seluruhnya. Begitu juga tanggungjawab terhadap makhluk Allah yang lain. Kadang-kadang kecuaian dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap pihak lain dibalas dengan kecuaian orang lain terhadap hak diri kita. Ambillah kesempatan waktu suami tidak mahu tidur sebilik untuk bermunajat, berdoa dan memohon ampun kepada Allah di atas segala kesilapan dan dosa terhadap-Nya dan makhluk-Nya. Apabila sudah menunaikan hak Allah dan makhluk-Nya (sekadar yang termampu), insya-Allah, hak kita akan ditunaikan-Nya pula. Nafkah dan layanan baik adalah sebahagian daripada tanggungjawab suami terhadap isteri yang termaktub dalam al-Quran. Isteri berhak untuk memperolehnya. Sebab itu, ulama berpendapat sekiranya hak itu tidak diberi sewajarnya, isteri diberi dua pilihan. Pertama, membuat tuntutan supaya ikatan perkahwinan ditamatkan. Perceraian adalah mimpi ngeri yang tidak sanggup dibayangkan oleh kebanyakan wanita. Ramai yang lebih suka memilih untuk menanggung derita dalam rumah tangga daripada berfikir untuk bercerai. Jadi pilihan yang kedua adalah bersabar. Jika kita bersabar Insya-Allah ganjarannya sangat besar. Untuk merawat kerisauan, puan boleh bergiat diri dalam kegiatan berfaedah. Sertailah pertubuhan dakwah, sosial atau kebajikan. Dengan ilmu yang ada, banyak sumbangan yang boleh puan berikan bagi membantu masyarakat yang menghadapi masalah yang jauh lebih kronik dan mencemaskan. Apabila menolong saudara kita, insya-Allah Dia akan menolong kita pula. Paling utama daripada segala-galanya adalah doa. Sesungguhnya hati manusia adalah milik Allah. Hanya Dia yang berkuasa mengubahnya. Jadi jangan berputus asa dalam berdoa. FAKTA Sifat wanita mulia Tidak suka menuntut perkara yang membebankan suami Tidak berhias untuk lelaki bukan muhrimnya Menjauhkan diri daripada sifat tercela Tidak meninggikan suara melebihi suara suami Tidak keluar rumah tanpa izin suami Tidak membelanjakan harta suami tanpa izinnya Menjalankan kewajipan terhadap ajaran agama Tidak menuntut cerai atau talak Tidak cepat cemburu pada sesuatu yang belum pasti Berbuat baik dalam menjalinkan hubungan dengan keluarga suami Tahan menderita ketika suami ditimpa musibah

DIJAWAB oleh Prof Madya Maznah Daud, Pensyarah Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor. PANDANGAN dan permasalahan boleh layari www.wanitajimceria.blogspot.com

1 comment:

Unknown said...

Adakah anda mengesyaki suami anda curang?

Anda ingin tahu butiran apakah butiran chat/email/apa yang ditaip ke dalam facebook/tagged dll?

Saya mempunyai software khas untuk anda mengetahui setiap patah perkataan yang ditaip semasa chat/email/facebook dll.

Software canggih ini biasanya berharga RM300 di pasaran.

Saya boleh installkan software ini di dalam PC anda untuk RM70 sahaja sekali dengan servis pemasangan.

Email saya di dreambuilder2u@yahoo.com atau contact saya di 0134434329 (Ahmad) jika anda berminat.

Tawaran harga ini terhad dan boleh naik ke harga asal bila2 masa sahaja.

Keutamaan kepada warga Lembah Klang tetapi sesiapa yang berminat yang berada di negeri lain boleh berbincang.

Terima kasih.