Friday, July 29, 2005

Panduan bagaimana memilih Taska terbaik

Soalan Saya seorang ibu muda yang sangat mementingkan soal pendidikan anak. Tidak dinafikan ibu bapa mahukan menjaga dan mengasuh anaknya sendiri. Dalam keadaan tertentu, tugas itu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Masalah saya adalah untuk mencari penjaga atau taman asuhan, pusat jagaan atau kelas fardu ain yang baik untuk anak-anak. Saya berharap puan dapat membantu dalam hal ini.

Ibu Muda,

Tanah Merah, Kelantan

Jawapan:

Sebagai seorang yang menguruskan taska, tadika dan pusat jagaan harian kanak-kanak selama lebih 10 tahun, insya-Allah saya dapat membantu puan.

Ada beberapa tips dan kriteria pemilihan pusat jagaan kanak-kanak.


  • Mesti berdaftar.

Taska dan pusat jagaan mesti berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tadika pula dengan Jabatan Pelajaran.


  • Berjumpa, bersemuka dan berbincang dengan pengusaha/penyelia.

Hasil perbincangan itu puan dapat melihat dan menilai sendiri bahawa dia mengetahui sedikit sebanyak mengenai tata cara, peraturan dan penjagaan anak-anak.

Pastikan dia itu seorang yang mesra, peramah dan penyayang. Daripada situ juga puan boleh menilai sama ada dia mempunyai pengalaman, terlatih, minat pada tugas dan ikhlas.

Jika dia suka kerja itu, maka anak anak kita akan gembira. Keikhlasan, pengalaman dan pendedahan latihan sangat penting.


  • Kebersihan.

Pastikan puan masuk ke dalam kelas dan melihat dapur. Pastikan ia dalam keadaan memuaskan.


  • Bayaran Yuran.

Puan perlu bertanya dengan sejelas-jelasnya dan kalau memungkinkan boleh tawar menawar jika yurannya terlalu mahal. Buat perbandingan dengan pusat jagaan lain. Tanyakan juga bayaran lebih masa jika puan lambat mengambil anak.


  • Program.

Pastikan pusat itu mempunyai program tersusun supaya anak-anak mendapat pengisian mental, jiwa dan emosi sewajarnya.


  • Takaful.

Pastikan pusat itu mempunyai insurans takaful.


  • Kegiatan membabitkan ibu bapa.

Adakah mereka menggalakkan kegiatan seumpama?


  • Peraturan taska/tadika/pusat jagaan. Pastikan pusat jagaan mempunyai peraturan dan simpan satu salinannya.

  • Keceriaan.

Pastikan suasana riang dan ceria di sekitarannya. Suasana banyak faktor penggalak pengembangan minda anak-anak.


  • Fardu ain.

Ada tadika dan pusat jagaan menawarkan pembelajaran fardu aini. Bagaimanapun, puan perlu pastikan bagaimana mereka menekankan kegiatan amali mengambil wuduk dan solat.


  • Bayaran balik.
Puan perlu bertanya mengenai bayaran yang telah dibayar jika bertukar fikiran sebelum habis sebulan anak dihantar ke situ. Bolehkah puan dapatkan sebahagian bayaran balik daripada yuran yang dibayar? Ramai ibu bapa tertipu dalam perkara ini.

Bagi anak yang berumur empat tahun, mereka boleh dihantar ke taska, tadika atau pusat jagaan.

Saya lebih suka menghantar anak ke taska kerana konsep bermain sambil belajarnya yang lebih bebas dan sesuai pada tahap usia ini.


  • Senyum selalu. Banyak berdoa dan tawakal. Insya-Allah, semua masalah boleh diatasi.


Dijawab oleh Rosnah Ahmad, pengurus dan pengusaha taska. Pandangan dan masalah layari www.wanitajimceria.blogspot.com

No comments: