Saturday, August 20, 2005

Keupayaan nafsu wanita tiada kaitan dengan bersunat

Bicara Kalbu: Keupayaan nafsu wanita tiada kaitan dengan bersunat

?Lemah atau kuat bergantung kepada pembinaan hormon
Sewaktu di England, saya terkejut apabila berhadapan dengan pendapat orang Islam di sana yang mengatakan bahawa amalan bersunat wanita tidak digalakkan. Mereka menegaskan budaya ini wajib dihapuskan sama sekali kerana menghina wanita, mencederakan ‘mahkota’nya yang sangat sensitif. Ia juga menjadi penyebab kepada kurangnya nafsu seks. Bolehkah jelaskan isu ini.

INGIN TAHU,
Seremban, Negeri Sembilan.

Bersunat disebut sebagai khitan dalam bahasa Arab bererti potong. Khitan juga bererti memotong qulfah iaitu kulit yang menutupi kepala zakar (Abdullah Nasih ‘Ulwan; Tarbiyatu al-Aulad 1/109). Kamus Dewan menyebut khatan, sunat, ertinya memotong kulub dan berkhatan, bersunat, bersuci, maknanya potong kulub orang Islam (Kamus Dewan 549). Khitan bagi wanita dinamakan khafd iaitu merendahkan (Ibnu al-Qayyim: Tuhfatu al-Maudud 106)kerana bahagian yang dipotong itu merendahkan hujung clitoris.

Menurut al-Mawardi, khitan bagi perempuan adalah memotong kulit pada atas faraj yang berbentuk seperti balung ayam (tiga segi) yakni clitoris. Bahagian yang wajib dipotong adalah kulit yang berlebihan di sebelah atas clitoris, tidak sampai ke pangkalnya (Ibnu al-Qayyim; op.cit 106)

Daripada pengertian syarak itu, dapat disimpulkan bahawa khitan bagi perempuan adalah dengan memotong sedikit saja daripada bahagian atas clitoris. Bahagian yang wajib dipotong adalah hujungnya yang menonjol tinggi daripada faraj, bukan memotong semua sekali.

Seperti amalan khitan di kalangan lelaki yang bermula pada zaman Nabi Ibrahim, amalan berkhatan bagi wanita juga berlaku pada zamannya. Isterinya, Sarah dikhatankan. Peristiwanya bermula apabila Hajar (salah seorang isteri Nabi Ibrahim) mengandung, Sarah berasa cemburu, lalu bersumpah untuk memotong tiga bahagian anggotanya sendiri. Nabi Ibrahim bimbang kalau-kalau Sarah akan memotong hidung dan telinganya.

Lalu Baginda menyuruhnya melubangkan kedua-dua telinganya dan berkhatan (Ibnu al-Qayyim; ibid 131). Setelah itu amalan khitan menjadi sunnah bagi wanita Islam.

Khitan diamalkan juga pada zaman Firaun yang mana didapati mumi perempuan Mesir purba mengamalkannya. Begitu juga di negara lain di Afrika seperti di Ethopia dan Sudan. Khitan seterusnya diamalkan di merata dunia termasuk Malaysia. Sesetengah mereka menganggap amalan ini sebagai adat. Sesetengah yang lain pula menganggapnya sebagai tuntutan agama.

Ulama berselisih pendapat mengenai hukum khitan bagi wanita. Ada yang berpendapat hukumnya wajib, ada yang mengatakan sunat. Ada pula yang berpendapat khitan adalah satu kemuliaan saja kepada kaum wanita.

# Imam al-Syafie dan satu riwayat daripada Imam Ahmad mewajibkan wanita berkhatan sama seperti lelaki (Ibnu Taimiyah; al-Fatawa al-Kubra 51-52). Pada mereka dirujukkan kepada hadis yang dijadikan hujjah bagi mewajibkan khitan ke atas lelaki.

Antara hadis itu adalah sabda Rasulullah SAW kepada seorang yang baru menganut Islam: “Cukurlah rambut ketika kafirmu dan berkhatanlah.”

Dalam riwayat lain yang disebut terdulu, Rasulullah bersabda: “Sesiapa (yang baru) memeluk Islam hendaklah dia dikhatankan meskipun sudah tua.” (Al-Syaukani;op.cit 1/136).

Kedua-dua hadis ini menunjukkan amalan khitan adalah wajib. Perintah wajib ini meliputi lelaki dan wanita. Ini didasarkan kepada keumuman daripada lafaz hadis berkenaan (al-Syaukani; ibid 1/134).

# Riwayat lain daripada Imam Ahmad pula menyatakan berkhatan wajib ke atas lelaki saja. Tidak diwajibkan ke atas perempuan. Ia adalah sunnah yang sangat dimuliakan. Pendapat ini menjadi pegangan jumhur ulama. Ia dirujukkan kepada hadis Rasulullah yang menyatakan khitan tidak wajib ke atas perempuan.

Antara lain Syadad bin Aus menyebutkan bahawa Rasulullah bersabda: “Khitan adalah sunnah untuk lelaki dan suatu penghormatan untuk wanita.” (Ahmad bin Hanbal; al-Musnad 6/433).

Ummu ‘Attiyah r.a. pula meriwayatkan bahawa Rasulullah memberitahu tukang khatan perempuan supaya jangan memotong terlalu dalam. Hal ini kerana yang demikian itu (memotong tidak terlalu dalam) adalah mahkota wanita dan sangat disukai oleh suami. (Abu Daud; al-Musnad 167).

Hadis di atas menunjukkan khitan bagi anak perempuan adalah sunat, bukan wajib. Khitan disyariatkan kepada lelaki dan perempuan sebagai satu perbezaan antara orang Islam dan kafir. Oleh kerana itulah orang yang baru memeluk Islam dikehendaki berkhatan, lelaki atau perempuan.

# Dr Yusuf Al Qaradhawi berpendapat persoalan khitan anak perempuan terserah kepada ibu bapa sama ada mahu melakukannya atau tidak. Bagi mereka yang beranggapan khitan anak perempuan ada kebaikannya, eloklah mengkhatankannya. Bagi mereka yang tidak mengkhatankannya pula, tidak berdosa kerana ada ulama yang berpendapat khitan bagi wanita hanya satu kemuliaan. Begitu pun, Dr Yusuf berpendapat mengkhatankan anak perempuan adalah lebih baik (Dr Yusuf Qaradhawi: al-Fatawa al-Mu’asirah 384).

# Imam al-Akbar Mahmud Syaltut berpendapat: Hukum khitan bagi lelaki dan perempuan bukan didasarkan kepada nas naqli, tetapi disandarkan kepada kaedah umum syariah iaitu ‘tidak harus menyeksa sesuatu yang hidup kecuali ada kemaslahatan’.

Khitan bagi lelaki ada maslahah yang perlu dijaga iaitu menghindarkan jangkitan kuman yang menyebabkan kanser zakar atau penyakit lain yang berbahaya. Tetapi, dalam persoalan khitan bagi kaum perempuan, tiada maslahah yang perlu dijaga.

Menurut beliau lemah atau kuat nafsu seseorang perempuan bergantung kepada pembinaan hormon dalam diri seseorang. Begitu juga berakhlak atau tidak seseorang bergantung kepada pendidikan agamanya, suasana masyarakat dan keprihatinan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak.

Lemah atau kuat nafsu seseorang perempuan tiada hubung kait dengan khitan.

Oleh itu khitan bagi perempuan bukan kerana tuntutan syarak, akhlak dan kesihatan. Ia didasarkan kepada persoalan fitrah manusia semata-mata (Muhammad Syaltut; al-Fatawa 333-334).

Penulis berpendapat walaupun ulama berselisih pendapat mengenai hukum khitan wanita, eloklah kita mengamalkan khitan walaupun ia bukan wajib atau sunat. Paling kurang ia adalah fitrah insaniah yang seiring dengan tabiat dan fitrah Islam.

Selain itu, ia masih sunnah yang diamalkan pada zaman Rasulullah. Baginda pernah mengajarkannya kepada wanita pada zamannya. Kalau kita tidak mengamalkannya bererti kita mengetepikan salah satu daripada amalan wanita zaman Rasulullah. Di samping itu, masih ada hadis yang menjelaskan bahawa khitan itu satu kemuliaan kepada wanita. Mungkin setakat ini kita belum pasti apa maslahatnya. Banyak ibadat lain yang dilakukan tanpa kita ketahui maslahat dan hikmatnya.

DIJAWAB oleh Prof Madya Dr Anisah Abd Ghani, Ketua Jabatan di Akademi Islam Universiti Malaya. Jawapan dan persoalan boleh layari www.wanitajimceria.blogspot.com

1 comment:

me said...

saya melahirkan anak perempuan diluar negara, walaupun saya amat ingin agar anak saya dikhatankan tapi, di sini tidak terdapat service oleh kementerian kesihatan utk melakukan khatan untuk anak perempuan. Dan menurut seorang rakan yg menjadi doktor sakit puan. Sekiranya dilakukan dibelakang dan terdapat infection, kemungkinan pihak undang2 akan memasukkan kes tersebut di dalam kes dera. Anak perempuan saya sudah hampir berusia 3 tahun. Dan kami masih belum pernah kembali ke tanahair. Adakah dinasihatkan utk saya khatankan juga sebaik saja kami kembalikan ke tanahair. Tetapi saya bimbang akan reaksi anak saya, apabila menjalani proses khatan nanti. Terima kasih.