Saturday, November 12, 2005

Pergaulan, seks bebas petanda kehancuran ummah

Pergaulan, seks bebas petanda kehancuran ummah

SAYA bercinta dengan seorang wanita. Demi cinta kami terlanjur. Tetapi, saya tidak berasa bersalah sebab ikhlas dengannya. Saya hendak mengambilnya sebagai isteri. Saya tidak bertujuan mempermainkannya.

Rakan saya mengatakan tindakan itu adalah ‘gentleman’.

Tetapi, saya dimarahi oleh orang tua saya. Saya berasa mereka berfikiran kolot. Apakah pandangan dan nasihat tuan.

BOBOY,
Pulau Pinang

SAYA bersyukur terhadap ’keikhlasan’ saudara dan berharap itulah asas perbincangan kita. Dengan keikhlasan itu jugalah saya memberikan jawapan ini kepada saudara.

Dunia pada hari ini sedang dilanda krisis. Antaranya ialah krisis nilai. Krisis nilai inilah yang menjadi sebab keruntuhan Empayar Rom. Edward Gibbon dalam bukunya The History of Decline and Fall of the Roman Empire menulis bahawa: “Segala dasar akhlak dan moral di Rom telah runtuh sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas.

Pada akhir abad keenam, kerajaan Romawi Timur berada pada ambang keruntuhan yang paling dahsyat sekali!”

Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menyelamatkan kita daripada kehancuran. Sabda Rasulullah bersabda: ”Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Nilai akhlak inilah yang menjadi landasan dan kayu pengukur yang penting bagi kita. Akhlak tidak menghalang kehendak fitrah. Ia mencantikkannya.

Contohnya, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya.

Alangkah indahnya firman Allah bermaksud: “Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu! (Surah al-Baqarah, ayat 223).

Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskan nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya.

Saya harus mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep Machiavellianisme yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence, Itali, Niccolo Machiavelli.

Machiavelli, dalam bukunya The Prince menekankan konsep ‘the end justifies the means’ atau niat menghalalkan cara.

Memang ada yang berpendapat bahawa pergaulan dan seks bebas ini adalah lambang kemajuan dan kemodenan.

Jika demikian, mari kita perhatikan hasil dan sumbangan seks bebas kepada dunia. Seks bebas telah berjaya merebakkan penyakit Aids, contohnya di Thailand, sehinggakan akhbar Der Spiegel pernah menjadikan tajuk ‘Aids in Asia – Killer Epidemic in Sex Paradise.’ (Aids di Asia – Wabak Pembunuh di Syurga Seks), sebagai tajuk muka depannya.

Di California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada 1997. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika mendapati anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada dua kali ganda kemungkinan diserang masalah emosi dalam hidup mereka, berbanding dengan anak lain (Rujukan: California Teenage Pregnancy Statistics).

Kita di Malaysia juga telah dimalukan dengan kes pembuangan bayi luar nikah di kalangan remaja. Semua ini bukanlah sumbangan yang membanggakan bagi dunia moden.

Islam menekankan bahawa niat dan cara perlu betul. Niat kena ikhlas, cara kena mengikut syariat. Syariat mengharamkan zina.

Nabi Muhammad bersabda, selepas dosa syirik kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya! (Hadis riwayat Ahmad dan Tabrani).

Saya berharap saudara Boboy akan kembali ke jalan yang murni berdasarkan agama. Seks bebas dan keruntuhan moral bukannya lambang kemajuan sebaliknya lambang kemunduran dan kehancuran.

Jawapan Dr Danial Zainal Abidin, Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy. Soalan dan jawapan boleh dilayari www.wanitajimceria.blogspot.com

No comments: