Friday, December 09, 2005

Lapan cara atasi sikap rendah diri, prestasi

Lapan cara atasi sikap rendah diri, prestasi

SOALAN:

SAYA seorang pelajar yang amat pendiam dan suka menyendiri. Walaupun, berjaya menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi, namun masih lagi dihantui perasaan kurang yakin dengan kemampuan diri. Kadang-kala saya berasa malas hendak ke kuliah secara tiba-tiba dan hilang tumpuan.

Saya juga kurang yakin untuk bergaul dengan pelajar lain. Terus terang saya katakan saya berasal daripada keluarga susah. Ibu bapa saya bekerja kampung dan tidak banyak berbual dengan saya, malah banyak menghabiskan masa mereka membanting tulang untuk menyekolahkan saya dan adik. Mungkin saya terlampau mementingkan diri, tetapi hakikatnya ada ketika dan masanya, ingin juga rasakan suasana keluarga seperti keluarga pelajar remaja lain.

PELAJAR HILANG TUMPUAN,
Alor Gajah, Melaka

JAWAPAN

Adik amat bertuah kerana mempunyai ibu bapa yang begitu komited dan sanggup berhabisan demi untuk masa depan anaknya. Oleh itu, hargailah pengorbanan mereka.

Kini adik berada di institusi pengajian tinggi. Hal ini bermakna, adik mempunyai cukup kelayakan untuk diterima masuk ke situ. Maka, pisau sudah berada pada tangan kanan manakala mentimun pada sebelah kiri. Terpulanglah pada diri adik untuk menghiris atau memotong mentimun itu. Atau adik memilih untuk tidak melakukan apa-apa.

Adik harus perlu sentiasa mengingati diri bahawa adik harapan keluarga. Adik juga perlu nekad dan tanamkan semangat untuk dapat mengubah masa depan keluarga.

Seperkara lagi, adik hendaklah membuktikan diri adik sebagai contoh teladan dan ikutan bagi adik yang lain untuk turut mengikuti jejak langkah dalam mencapai cita-cita mereka.

Mungkin perkara berikut boleh membantu untuk mengekalkan prestasi memuaskan dalam pengajian:

Carilah teman sekuliah atau kumpulan perbincangan supaya dapat memberi nasihat dan tunjuk ajar ketika terasa kurang bermotivasi.

Untuk ini, adik harus juga berhati-hati iaitu perlu bijak memilih kawan. Bukan kawan yang sokong membawa rebah, kawan yang mendorong adik membuang masa, melakukan perkara yang sia-sia dan tidak sepatutnya.

Berjumpa dengan kaunselor atau penasihat akademik di fakulti atan pusat pengajian (sekiranya tiada, cari pensyarah yang dapat memahami) untuk sentiasa mendapat khidmat nasihat dan kata-kata dorongan.

Ramai pelajar universiti agak keberatan untuk berjumpa dengan pensyarah subjek masing-masing. Apatah lagi dengan penasihat akademik yang sememangnya diperuntukkan kepada setiap pelajar.

Sesungguhnya, tiada yang lebih menggembirakan hati pensyarah, selain dapat meluangkan waktu bersama pelajar dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Sentiasa membuat jadual belajar yang terancang dan bijak mengurus masa. Perkara ini boleh ditimba daripada perbincangan dengan pelajar lain. Jika tidak pun, boleh menentukannya sendiri kerana adik boleh mengukur sejauh mana kemampuan diri dalam memberikan tumpuan kepada sesuatu perkara. Tiada orang yang lebih mengenali diri adik selain diri sendiri.

Budayakan teknik pembelajaran yang efektif. Pembelajaran efektif bukan bermaksud duduk menghadap buku berjam-jam lamanya. Dalam kebanyakan kes, perbuatan ini hanya sia-sia. Kadang-kala, dengan memberikan tumpuan dan perhatian dalam masa yang cukup dan padat akan lebih membuahkan hasil memuaskan.

Pastikan adik membabitkan diri dengan kegiatan lain selain belajar seperti bersukan, berpersatuan dan sebagainya. Ia supaya adik tidak cepat berasa dengan hanya menumpukan perhatian kepada pelajaran. Fizikal cergas akan melahirkan otak cerdas.Sentiasa berdoa kepada Allah agar diberikan petunjuk dan hidayah serta dijauhi daripada perasaan malas dan tidak bersemangat.

Selalu berhubung dengan ibu ayah adik. Sungguhpun kemungkinan adik tidak berupaya untuk memiliki alat komunikasi moden, canggih dan terkini seperti remaja lain, tidak ada alasan untuk tidak selalu berhubungan dengan mereka.

Cara lama seperti berutus surat mempunyai kesan yang mendalam kerana surat boleh disimpan dan dibaca berulang kali. Cubalah meluahkan perasaan dan menyatakan kasih sayang kepada mereka.

Ibu ayah mana yang tidak akan tersentuh hati dengan kiriman surat daripada anak. Carilah peluang untuk mendapatkan restu mereka, terutama ibu.

Sentiasalah berada dalam kalangan pelajar yang rajin mendekati masjid, melaksanakan solat jemaah dan merancang kegiatan kerohanian yang berfaedah di antara pelajar.

Akhir sekali, teliti maksud ayat 11, surah ar-Ra’d sebagai pedoman. Firman Allah bermaksud : “...Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri...”

Pepatah Melayu ada menyatakan ‘kalau tak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya’. Keluarlah daripada tempurung pemikiran sempit yang menyekat dan mengongkong diri dan melihat diri dari sudut yang lebih positif.

Jawapan oleh Profesor Madya Umi Kalthum Ngah, Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik Universiti Sains Malaysia. Penulis boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com

No comments: