Friday, February 03, 2006

Pujian, asah minda bantu anak berjaya

Bicara Kalbu: Pujian, asah minda bantu anak berjaya
Dr Hafidzi Mohd Noor

SAYA mempunyai empat anak. Anak sulung berusia 15 tahun dan boleh dikategorikan sebagai cerdik kerana mula membaca dengan lancar ketika berumur lima tahun. Tetapi, dia mempunyai sedikit kekurangan, enggan menyalin kerja di sekolah. Saya kasihan melihat keadaannya yang kadang kala dimarahi dan dipukul guru kerana perkara itu. Pelbagai kaedah saya lakukan, termasuk berjumpa guru untuk menyelesaikan masalah ini. Lagi satu, dia suka berkhayal ketika ujian dan peperiksaan. Dia hanya akan menjawab beberapa soalan yang mudah.

Apabila membaca soalan yang memerlukan berfikir, dia tinggalkan begitu saja. Saya bimbang sekiranya ini akan menjadi kebiasaan tidak baik. Anak kedua pula tidak berapa cerdik. Dia masih merangkak-rangkak membaca, tetapi cekap menghafal. Apabila saya bacakan sesuatu teks kepadanya beberapa kali, dia boleh mengingat dengan mudah.

Dia juga anak yang banyak mulut dan kerap memarahi pembantu rumah. Kadangkala pembantu saya berkecil hati dengannya, sedangkan saya tidak pernah memarahi pembantu di hadapan anak. Tolong berikan sedikit panduan menangani masalah anak saya ini.

IBU BIMBANG,
Kuala Lumpur.

TINDAKAN guru memukul adalah tidak wajar walaupun berada dalam keadaan tertekan dengan disiplin pelajar, tidak mendengar kata dan beban kerja yang bertambah.

Guru perlu mengubah paradigma. Mereka harus sedar, profesion perguruan hari ini sangat mencabar dan memerlukan beberapa perubahan pendekatan dalam mendekati pelajar bermasalah.

Pelajar sekolah degil dan tidak berdisiplin kerana dirangsang faktor luaran, termasuk didikan, pendedahan dan kawalan di rumah serta di luar kawalan guru.

Apa yang boleh dilakukan ialah menggunakan pendekatan memberi galakan dan pujian. Beberapa kajian di Barat menunjukkan guru yang memberi pujian ke atas perbuatan positif pelajar berjaya meningkatkan prestasi pelajar bermasalah dari segi akademik dan disiplin walaupun sedikit.

Pendekatan sama boleh dilakukan di rumah. Ibu boleh memberi galakan atau pujian berpatutan setiap anak menyiapkan tugas atau kerja sekolah. Perkara itu walaupun pada peringkat awal tidak dilakukan sepenuhnya. Anak tadi akan terangsang dan merasakan dirinya dihargai setiap kali menyempurnakan tugas. Secara beransur-ansur prestasi kerjanya akan meningkat.

Mengenai anak malas menjawab soalan yang memerlukan dia berfikir, kita kena sama-sama fikirkan bagaimana mereka boleh teruja dengan menjawab soalan yang memerlukannya berfikir.

Pertama perlu budayakan berfikir bersama-sama anak. Berfikir banyak faedahnya, termasuk merangsang minda, menjadikan seseorang itu lebih tajam fikirannya dan lebih ceria menghadapi kehidupan. Ini sebenarnya nikmat yang hanya dirasakan oleh mereka yang berfikir.

Cuba bersama anak menjawab soalan atau masalah Matematik yang memerlukan berfikir. Tunjukkan betapa nikmat yang dikecapi apabila berjaya menjawab soalan selepas melalui proses berfikir yang meskipun mencabar, tetapi memberi pulangan.

Pulangan jangka pendek ialah kita mendapat kepuasan menjawab soalan dengan menggunakan kekuatan minda. Pulangan jangka panjang ialah menjadikan otak lebih tajam dan cekap dalam menyelesaikan masalah.

Mungkin puan boleh guna contoh yang digunakan saintis dalam kajian primate (beruk cimpanzi). Seekor cimpanzi dalam kurungan diberikan sebiji pisang yang diletakkan di luar kurungan, tetapi cukup jauh untuk dicapai. Haiwan itu juga diberikan dua batang kayu. Satu kayu pendek dalam kurungan, tetapi tidak cukup panjang untuk mencapai pisang. Satu kayu lagi lebih panjang di luar kurungan.

Apa yang dilakukan oleh cimpanzi tadi ialah menggunakan kayu pendek untuk mencapai kayu yang lebih panjang. Dengan kayu yang lebih panjang itu, ia berjaya mencapai pisang tadi. Ini satu contoh di mana haiwan itu menggunakan ‘fikirannya’ untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan kehidupannya.

Bayangkan apa yang bakal terjadi jika ia malas menggunakan 'fikirannya'. Pasti ia akan kelaparan.

Kemampuan berfikir kita tentu lebih hebat daripada cimpanzi. Kita pasti akan mengagumi betapa akal fikiran yang dikurniakan Tuhan kepada kita sangat hebat sehingga dapat menyelesaikan masalah yang jauh lebih kompleks.

Galakkan berfikir sebagai satu tanda kesyukuran ke atas anugerah Allah paling mahal kepada kita yang bergelar insan.

Mengenai masalah anak kedua puan, mungkin gejala memarahi pembantu rumah adalah manifestasi daripada rasa rendah dirinya. Dia meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada pembantu rumah. Kenapa pembantu rumah? Mungkin dia berasa lebih selamat daripada memarahi adik-adiknya. Risiko memarahi pembantu rumah mungkin tidak akan mendapat teguran daripada ibu bapa berbanding menegur adik-adiknya.

Apa yang boleh dilakukan adalah terangkan bahawa pembantu rumah adalah sebahagian daripada ‘keluarga’ kita. Peranannya cukup besar kerana banyak membantu kerja rumah demi kesejahteraan keluarga.

Ajarkan juga akhlak menghormati orang yang lebih tua. Pembantu rumah sebagai orang tua wajib dihormati.

Dalam hal ini, anak diajar supaya bersopan santun dan berbudi bahasa ketika hendak meminta sesuatu daripada pembantu rumah.

Ingatkan dia bahawa pembantu rumah walaupun digaji oleh ibu dan ayah, tidak bermakna anak-anak boleh berlagak seperti tuan terhadapnya.

Mengenai anak yang mempunyai masalah membaca, pada pandangan saya membaca adalah kemahiran dan perlu dipupuk. Berikan dia bahan bacaan ringan yang boleh menanam minat membaca dan membacalah bersamanya.

Elok juga dibawa berjumpa pakar untuk memastikan anak puan tidak mengalami masalah kesihatan seperti autisme dan lembam kerana memang ada masalah kesihatan yang berkait dengan masalah membaca yang lambat.

# Jawapan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor, Pensyarah Universiti Putra Malaysia. Sebarang persoalan dan jawapan layari www.wanitajimceria.blogspot.com

No comments: