Friday, April 20, 2007

Aktif dalam kokurikulum, akademik lebih baik

Aktif dalam kokurikulum, akademik lebih baik

SAYA sedang belajar pada tahun pertama di sebuah universiti tempatan di Lembah Klang. Saya adalah antara pelajar yang aktif di kolej. Saya dipilih pihak pengurusan kolej untuk menerajui struktur kepemimpinan kolej tetapi menolak atas alasan takut pelajaran terabai. Melihat sudut lain, saya rasa menjadi tanggungjawab diberi kepercayaan untuk membantu rakan lain. Masalahnya, semester depan, saya akan ambil subjek yang semakin membebankan dan saya agak risau dengan keadaan ini. Saya harap dapat diberi suntikan semangat menghadapi keadaan ini?

LIYA,

Siswi Lembah Pantai.

SAYA tidak berhasrat memberi jawapan kepada kemusykilan anda kerana hanya anda saja yang mengetahui apakah pilihan dan keputusan terbaik untuk diambil. Saya hanya ingin memberi garis panduan untuk memudahkan anda membuat keputusan.

Berada pada tahun satu sebenarnya ialah masa untuk menyesuaikan diri dengan rutin hidup sebagai seorang mahasiswa. Tahun pertama di universiti seharusnya digunakan untuk mengukur kekuatan dan kelemahan dalam melaksanakan tanggungjawab hakiki sebagai mahasiswa.

Dengan mengenali diri (kelemahan dan kekuatan) seseorang mahasiswa itu boleh membuat penyesuaian supaya kelemahan dapat dibaiki dan kekuatan dapat dimanfaatkan dalam memikul tanggungjawab sebagai pelajar secara optimum.

Waktu itu, tanggungjawab mahasiswa bukan sekadar memenuhi aspirasi akademik semata-mata kerana universiti meletakkan visi dan misi pendidikan ke arah melahirkan graduan yang seimbang.

Universiti mensasarkan untuk melahirkan mahasiswa yang bukan saja menguasai kemahiran 'kognitif' (akademik dan penguasaan pelbagai ilmu dan iktisas) juga memiliki ciri kepemimpinan, kemahiran sosial dan kematangan emosi yang ditunjangi nilai kerohanian.

Paradigma pendidikan hari ini yang luas skopnya dan tidak lagi terbatas di sekitar buku teks akademik dan rujukan semata-mata. Tidak ada alasan untuk mahasiswa memberi tumpuan kepada pencapaian akademik dan mengabaikan pemupukan kualiti memperkasa jati diri yang lain.

Hakikat ini semakin ketara apabila majikan dan dunia pekerjaan tidak lagi menitikberatkan pencapaian akademik semata-mata, malah turut menekankan nilai kepemimpinan, kematangan, kestabilan emosi, kesediaan berhadapan dengan cabaran, luas pengetahuan dan berpengalaman dalam pelbagai keadaan. Ini semua tidak mungkin diperoleh daripada sebarang buku teks.

Pelajar harus membabitkan diri dengan warga kampus dan masyarakat di luar sana dengan menyertai pelbagai organisasi dan inisiatif sama ada yang diwujudkan dalam lingkungan kampus atau lingkungan kemasyarakatan.

Di sinilah pelajar akan terdedah kepada cabaran kepemimpinan, penyelesaian masalah secara praktikal, menseimbangkan pelbagai kecenderungan dan mencari titik persefahaman.

Apa yang saya bentangkan di atas adalah asas atau titik tolak kepada penyelesaian atau pilihan yang ada di tangan anda. Nasihat saya, ukurlah baju di badan sendiri.

Jika anda rasakan sudah bersedia memikul tanggungjawab kepemimpinan dan pada masa sama boleh memberikan tumpuan yang optimum kepada akademik, maka menyahut cabaran adalah pilihan terbaik.

Tetapi jika anda ragu-ragu dan tidak pasti bagaimanakah beban tanggungjawab tadi boleh disesuaikan dengan rutin belajar, maka seeloknya anda mengundurkan diri buat sementara waktu untuk memikul tugas kepemimpinan utama.

Ini tidak bermakna anda terus menarik diri. Anda masih boleh melaksanakan peranan dalam struktur kepimpinan kolej tetapi sebagai ahli jawatankuasa atau yang seumpamanya.

Jika anda memilih atau menyahut cabaran dan menerajui kepemimpinan, pastikan anda mempunyai pasukan yang kuat untuk bersama menjayakan aktiviti dan memikul tanggungjawab kepemimpinan. Ini untuk mengelakkan anda terbeban dengan tanggungjawab yang sepatutnya dikongsi bersama.

Jika anda memilih untuk mengundurkan diri sekalipun, saya berpendapat anda wajar menawarkan khidmat kepada kepemimpinan kolej setakat keadaan mengizinkan.

Ini penting sebagai pendedahan dan persediaan untuk memikul tanggungjawab lebih besar apabila anda sudah berjaya menyusun rutin belajar dan pencapaian akademik stabil.

Memikul tanggungjawab kepimpinan atas kapasiti apa sekalipun akan menjadikan anda lebih kemas dalam aspek disiplin diri dan pengurusan masa. Pelajar yang lebih berdisiplin dan mengurus masa dengan baik akan menatijahkan pencapaian akademik lebih cemerlang. Selamat maju jaya.


Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor, Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Serdang dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

No comments: