Friday, March 07, 2008

Persahabatan renggang gara-gara pilihan raya

Persahabatan renggang gara-gara pilihan raya

SAYA mempunyai dua kategori kawan, seorang yang tidak mahu mengundi, kerana berpendapat mengundi pada pilihan raya umum ini membuang masa dan membawa permusuhan, sementara seorang lagi ialah seorang kaki kempen yang sangat bersemangat, tetapi tidak sensitif perasaan kawan. Saya melihat sejak demam pilihan raya ini hubungan dua orang kawan tadi menjadi renggang. Saya tidak suka bergaduh dan tersepit di tengah-tengah. Saya mengharapkan pilihan raya cepat selesai untuk melihat persahabatan antara kami bertiga kembali jernih.

Kawan simpati

Kajang, Selangor

PENDAPAT seorang kawan itu ada kebenarannya namun, tanggungjawab warga negara mesti ditunaikan dengan menjaga etika memilih pemimpin dalam pilihan raya. Negara berdemokrasi hanya dapat dilaksanakan jika semua rakyat faham hak mereka sebagai rakyat dan pengundi.

Jangan risau kerana hanya tinggal esok bagi rakyat Malaysia memilih wakil Dewan Undangan Negeri DUN dan Parlimen. Proses pemilihan dalam pilihan raya ini memberikan ruang kepada setiap individu yang layak memilih menurut rasional dan rasa hati nurani.

Dalam pada itu, kita perlu memahami etika Islam supaya proses demokrasi ini tidak dinodai dengan politik wang, pujukan dan ugutan atau cercaan yang menimbulkan tekanan serta paksaan kepada setiap pemilih.

Sejarah Islam yang panjang memaparkan kontroversi mengenai penentuan kriteria pemimpin. Dilema dalam menentukan pemilihan pemimpin bukan sesuatu perkara yang baru. Selepas kewafatan Rasulullah SAW pada 11 Hijrah/632 Masihi, umat Islam pernah digegarkan dengan isu serupa.

Selepas Rasulullah menghembuskan nafas terakhir, terjadi ketegangan antara golongan Muhajirin dan Ansar. Dua kekuatan besar itu bmerasakan masing-masing layak menduduki kerusi khalifah untuk menggantikan kepemimpinan Rasulullah SAW.

Perdebatan dan ketegangan berlaku ketika proses perlantikan secara sederhana berlangsung di Saqifah bani Saidah yang akhirnya melantik Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama. Yang paling menarik, pemilihan masyarakat Muslim ini serentak dengan ikrar taat setia kepada Abu Bakar.

Peristiwa ini secara tidak langsung mengiktiraf kedaulatan rakyat. Nilai yang diterapkan mencerminkan suatu sistem demokrasi sekali gus menepis pemerintahan alamonarki.

Walaupun pada masa itu tidak ada apa yang kita namakan pada hari ini sebagai pilihan raya, persetujuan golongan Muhajirin dan Ansar menyelesaikan masalah pemimpin memiliki hakikat yang tidak jauh bezanya dengan pilihan raya kita masa ini.

Melihat realiti sejarah, pemilihan seorang pemimpin itu dapat dijadikan bukti bahawa untuk memilih pemimpin dalam perspektif Islam adalah sebuah kemestian. Kepemimpinan dalam Islam dipandang sebagai satu instrumen penting bagi melindungi agama dan kemajuan mengurus kehidupan di dunia.

Kekosongan pemimpin akan mendatangkan kekacauan. Lebih daripada itu, menurut Islam, pemimpin adalah ‘bayangan khalifah’ Allah di muka bumi. Ulama bersepakat perlantikan pemimpin bagi kaum Muslim adalah wajib syarie.

Majoriti ulama menyatakan Islam adalah agama dan negara. Al-Ghazali melukiskan hubungan antara agama dan kekuasaan politik sebagai berikut: “Sultan (kekuasaan politik) adalah wajib untuk ketertiban dunia; ketertiban dunia wajib bagi ketertiban agama; ketertiban agama wajib bagi keberhasilan di akhirat.”

Inilah sebenarnya tujuan Rasul. Jadi wajib adanya imam adalah kewajipan agama yang tidak ada jalan untuk meninggalkannya.

Pemikir politik seperti Abu al-Hasan al-Mawardi dalam al-Ahkam al- Sulthaniyah, Ibn Taimiyah dalam al- Siyasah al-Syar’iyah, Yusuf Qardhawi dalam Fiqh al-Daulah dan Sayyid Muhammad Rasyid Ridha dalam al-Khilafah au al-Imamah al- ‘Udhma juga berpendapat serupa.

Siapakah sebenarnya orang yang berhak menjadi pemimpin (DUN dan Parlimen) yang bakal kita panggil Yang Berhormat (mesti pula yang berkhidmat untuk rakyat) dalam pandangan Islam.

Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menunjukkan secara jelas kriteria seorang pemimpin. Firman Allah bermaksud: “Pemimpin adalah seorang yang mampu memberi manfaat bagi orang yang dipimpinnya.” (Surah al-Maidah, ayat 42)

Apabila seseorang mahu menjadi pemimpin, ia harus berani tampil ke depan, memberi contoh yang hebat sama ada dalam ucapan dan perbuatan, memberi dan meniupkan semangat mengarah aspirasi, serta meningkatkan keazaman untuk berubah dan maju di tengah-tengah masyarakat.

Firman Allah lagi bermaksud: “Sesungguhnya Kami mengutus engkau (Muhammad) dengan kebenaran sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan dan engkau tidak akan diminta pertanggungjawaban mengenai penghuni-penghuni neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 119)

Al-Mawardi memberi tujuh syarat dalam penentuan kriteria pemilihan pemimpin iaitu:

l Bersifat adil yang mampu melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya dan tindak-tanduknya tidak bersikap diskriminasi. Keadilan bererti tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya.

l Memiliki pengetahuan yang luas dan bersifat universal supaya dia mampu mengupas berbagai persoalan termasuk mengistinbat hukum-hakam.

l Sihat pancaindera iaitu baik pendengaran, jelas penglihatan, dan petah lisannya apabila berbicara serta mantiqnya tinggi untuk menjawab persoalan rakyat.

l Sihat anggota badannya daripada pelbagai penyakit dan kekurangan. Dengan itu dia mampu memberikan maklum balas yang cepat untuk bertindak.

l Kreatif dalam mengatur dan menguruskan hal ehwal serta bijak menjaga kebajikan dan kebaikan rakyatnya.

l Memiliki keberanian dan berdiri teguh memelihara rakyatnya menghadapi kesusahan hidup termasuk serangan musuh;

l Nasab Quraisy. Syarat terakhir ditafsirkan secara kontekstual oleh Ibn Khaldun, lebih menekankan pada kualiti, kemampuan dan keterampilan.

Kriteria itu boleh dijadikan panduan kerana tugas pemimpin sangat berat. Oleh itu, Rasulullah SAW pernah memberi wasiat supaya umat Islam tidak meminta jawatan. Sabda Baginda bermaksud: “Janganlah kamu meminta jawatan, jika kamu diberi jawatan kerana meminta, ia akan menjadi (beban) berat, tetapi jika kamu diberi jawatan bukan kerana memintanya, maka Allah akan membantu kamu.”

Namun, pemahaman hadis itu pada masa sekarang, mungkin kurang popular, tetapi kita berhak memilih pemimpin menurut acuan di atas sebagai standard moral untuk memilih pemimpin yang bermoral, berpengetahuan dan komited terhadap kebajikan serta kebaikan rakyat.

Pilihlah pemimpin mengikut saranan al-Quran dan hadis. Pilih pemimpin yang mesra rakyat, tidak rasuah dan tidak gila kuasa, yang memancarkan wibawa kerana memiliki komitmen serta integriti. Pemimpin perlu amanah, bijak dan kreatif, jujur serta santun kepada rakyat.



Jawapan disediakan Ahli Jawatankuasa Wanita JIM, Endok Sempo M Tahir. Semua persoalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

No comments: