Friday, April 04, 2008

Bicara Kalbu: Tinggal bersama bukan muhrim hampiri zina

www.bicarakalbu.blogspot.com

Soalan SAYA mempunyai kawan berasal dari China yang datang ke Malaysia kerana mengikuti program pertukaran pelajar di institut pengajian tinggi selama tiga bulan. Sepanjang berada di sini, beliau menunjukkan minat mendalami Islam kerana terpikat dengan budaya orang Melayu serta wanita Islam yang bersolat, bertudung dan amalan lain. Bagaimanapun, tanpa disedari beliau tinggal menyewa bersama teman lelaki beragama Islam kerana beranggapan perbuatan itu tidak salah menurut agama dianutinya. Apa yang mengejutkan, beliau menghantar mesej kepada kami memberitahu dirogol teman lelakinya. Beliau sedih kerana tidak menyangka perkara itu akan berlaku memandangkan teman lelaki itu beragama Islam. Beliau tidak pernah menyangka peristiwa hitam ini terjadi kepada dirinya dan mula mempersoalkan di manakah kasih sayang Allah? Kami tergamam dengan kejadian memalukan ini. Apakah yang perlu kami jelaskan ?

Siswi simpati Lembah Klang

Jawapan

Persoalan ini perlu ditangani dengan cara sebaiknya. Kita seharusnya bersimpati dan memberi pertolongan serta sokongan kepadanya di atas apa yang menimpa beliau. Kita perlu menjelaskan kepada beliau perbuatan lelaki itu mewakili Islam dan tidak boleh diandaikan Muslim sejati. Persoalan rasa selamat kerana lelaki itu Islam tidak ada berkaitan dengan kes ini.

Seharusnya sebaik saja dia dirogol, dia mesti buat laporan polis kerana ini bukan persoalan agama, tetapi berkaitan kes jenayah. Dia seharusnya diberitahu dalam Islam adalah haram lelaki dan perempuan yang bukan muhrim tinggal bersama. Fahamkan kepadanya prinsip murni perhubungan lelaki perempuan dalam Islam ialah tidak ada seks sebelum perkahwinan. Apalagi untuk tinggal bersama. Apa yang berlaku tidak ada kena mengena dengan kasih sayang kerana Allah. Islam datang bersama manual kehidupan yang amat lengkap iaitu al-Quran dan hadis. Jika semua mengikut kedua-dua sumber yang ditetapkan, hidup akan sejahtera. Manusia diberi pilihan sama ada untuk ikut atau sebaliknya. Jika sesuatu perkara tidak baik berlaku jangan salahkan Allah atau Islam. Yang salah individu itu sendiri.

Islam bukan sekadar menegah perlakuan zina, malah Islam melarang perbuatan yang boleh mendekatkan seseorang kepada zina termasuk tinggal bersama lelaki perempuan, berdua-duaan di tempat gelap dan keintiman yang tidak ada batasan. Firman Allah bermaksud: "Dan Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." (Surah al-Isra' ayat 32) .

Manusia adalah makhluk yang dikurniakan akal. Oleh itu, dia diberi pilihan sama ada untuk mengikuti agama atau menyimpang agama. Dalam kes ini, wanita berkenaan menjadi mangsa kejahatan lelaki itu. Tidak adil jika Allah dipersalahkan sedangkan yang melakukan perbuatan itu adalah orang yang tidak mengikut perintah Allah. Walaupun wanita itu kecewa dengan apa yang berlaku ke atasnya, jangan berputus asa dengan kehidupan. Dia perlu kuatkan semangat untuk terus menjalani hidup, dan berdoa kepada Tuhan semoga hidupnya lebih sejahtera.

Jangan jadikan peristiwa ini sebagai penutup jalan hidupnya. Mungkin banyak lagi kebahagiaan lain yang menanti, yang dia sendiri tidak pernah menjangka. Allah berfirman yang bermaksud: "Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka." (Surah al-Thalaaq, ayat 2-3) Orang di sekeliling juga perlu sentiasa memberi sokongan dan semangat padanya Di saat genting seperti ini, dia perlukan sokongan dan panduan. Persaudaraan Islam perlu dizahirkan melalui aktiviti sokongan, kaunseling dan hubungan kasih simpati.

Jawapan disediakan panel penasihat PAKSI JIM. Setiap persoalan boleh dilayari www.bicarakalbu.blogspot.com

2 comments:

Penulis said...

Saya sering terdengar bahawa jika suami isteri itu bekerja maka anak-anak akan terabai dan seterusnya akan membawa kepada ketidakbahagiaan. Namun dalam keadaan hidup yang semakin mencabar dengan segala hal termasuklah peningkatan kos hidup, kita tidak dapat mengelak dari keadan yang seperti disebutkan. Melalui pengalaman saya yang mempunyai 3 anak yang bersekolah. ia seolah-olah membenarkan penyataan yang tersebut. kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk bersama anak-anak, terutamanya isteri yang yang sepatutnya ditanggung oleh suami namun terpaksa bekerja untuk membantu suaminya. saya sering terasa bersalah. Namun bila direnungkan ia adalah cabaran dan ujian dari Tuhan yang maha esa. Namun sebagai suami saya tidak akan berputus asa untuk meningkatkan kebahagiaan keluarga saya. Saya mempunyai cita-cita agar isteri saya sepatutnya berada di tempat yang sepatutnya. Insyaallah.

http://intrapreneurship6.blogspot.com

Pengkritik said...

Adakah pendapatan suami mesti lebih tinggi dari isteri. Adakah itu menjamin kebahagiaan?

http://intrapreneurship6.blogspot.com