Soalan :
SAYA berasal dari Pahang dan mengkategorikan diri sebagai penganggur terhormat. Saya berkelulusan universiti tetapi tidak mempunyai pekerjaan tetap. Saya runsing kerana kebanyakan rakan sudah mempunyai pekerjaan. Saya menghadiri pelbagai ujian dan beberapa sesi temu duga, namun gagal. Saya berasa sangat kecewa dan rendah diri. Saya tidak pernah penat berdoa kepada Allah, nampaknya sehingga saat ini rezeki saya belum ada lagi. Nasib baik belum menyebelahi saya. Minggu ini saya dipanggil untuk satu temu duga lagi. Jauh di lubuk hati, saya rasa bimbang, takut dan gementar. Takut dikecewakan lagi. Apa patut saya lakukan.
Siswazah Runsing,
Pahang Darul Makmur.
Jawapan:
Kerunsingan saudara adalah sesuatu yang normal. Sudah tentulah seorang graduan universiti mengharapkan pekerjaan sesuai dengan kelulusannya. Di samping ingin menyara kehidupan, anda juga menjadi harapan keluarga di kampung.
Sudah tentu mereka mengharap dan meletakkan harapan menggunung kepada saudara untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dan barangkali untuk membela keluarga serta adik di kampung. Saudara jangan berputus asa. Sebenarnya tempoh yang saudara lalui untuk memperoleh pekerjaan adalah sebahagian daripada proses pendedahan dan pengalaman itu juga adalah pekerjaan. Proses temu duga misalnya memberikan kita latihan dan lebih keyakinan untuk berdepan dengan bakal majikan. Sekalipun kita gagal dalam siri temu duga, ia sebaliknya memberi nilai tambah kepada kita untuk menghadapi sesi temu duga seterusnya dengan lebih yakin dan berketrampilan.
Dengan bersikap positif, saudara akan mempamerkan prestasi lebih baik dalam temu duga akan datang. Jangan terlalu kecewa kerana saudara baru beberapa kali dipanggil untuk sesi temu duga. Thomas Edison mencuba sebanyak 1,000 kali untuk mendapat cahaya elektrik. Jadikan kegagalan dalam sesi temu duga yang lalu sebagai dorongan untuk membuat sedikit kerja rumah iaitu mencari apakah kelemahan yang perlu dielakkan supaya tidak berulang dalam sesi temu duga seterusnya.
Apa pula kekuatan yang perlu ditampilkan untuk meyakinkan bakal majikan. Anggaplah setiap kegagalan sebagai peluang untuk memperbaiki mutu persembahan dan ketrampilan apabila dipanggil untuk sesi temu duga buat sekian kalinya. Hari ini, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, bakal majikan menilai calon secara menyeluruh. Kelayakan akademik ibarat pasport untuk memohon pekerjaan tertentu. Namun, sama ada seseorang itu berjaya mendapat pekerjaan diidamkan bergantung kepada kualiti yang menggambarkan potensi seseorang pekerja.
Majikan akan menilai seseorang berdasarkan kepada kriteria yang boleh membawa kejayaan kepada organisasi atau syarikat. Sering kali dalam dunia pekerjaan yang kompetitif pada hari ini, pencapaian akademik tidak lagi menjadi kriteria utama bahkan jatuh pada nombor dua atau tiga. Bakal majikan lebih cenderung menguji kematangan calon, bakat kepemimpinan, kemampuan berinteraksi sosial, kemampuan berdepan dengan cabaran dan tekanan. Universiti hari ini berusaha menerap nilai insaniah, memperkasa emosi, sosial, spiritual dan kemahiran kemasyarakatan.
Perasaan rendah diri kerana rakan sudah memiliki pekerjaan boleh disingkirkan. Perasaan itu terjadi kerana saudara suka membandingkan diri dengan mereka yang sudah bekerja. Cuba bandingkan diri dengan mereka yang belum mempunyai pekerjaan. Sekurang-kurangnya saudara ada kerja walaupun tidak tetap. Yakinlah setiap orang sudah ditentukan rezeki masing-masing dan kita harus berusaha untuk mendapatkannya.
Pemahaman konsep tawakal perlu diserap dalam pemikiran saudara. Pada masa sama, teruskanlah membina jaringan dengan kawan yang sudah mendapat pekerjaan. Mereka boleh menjadi mata dan telinga saudara untuk mengintai peluang pekerjaan yang wujud di agensi dan tempat kerja masing-masing. Di samping itu belajarlah daripada pengalaman mereka, bagaimana mereka menghadapi sesi temu duga. Mungkin ada panduan tertentu boleh dikongsikan yang menjadi rahsia kejayaan mereka.
Saya juga ingin mencadangkan saudara mendapatkan buku panduan yang banyak di pasaran mengenai cara menghadapi temu duga atau strategi mendapatkan pekerjaan. Buku itu ditulis dengan bahasa mudah dan contoh praktikal berdasarkan pengalaman sebenar. Saya yakin saudara akan mendapat manfaat yang banyak daripada buku itu.
Jangan lupa untuk berdoa dan menyerahkan kepada Allah selepas kita berusaha. Solat hajat memohon Allah memberikan pekerjaan yang sesuai untuk saudara, lebih penting yang membawa kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Ingat dan yakinlah, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Kadang-kadang kita mengharapkan sesuatu, tetapi Allah tahu ia tidak baik bagi kita lalu ditangguhkan hajat itu supaya kita mendapat yang lebih baik daripada yang terlepas.
Satu hari nanti saudara akan mendapat pekerjaan. Apabila mendapat pekerjaan nanti semua kesusahan dan keresahan yang dilalui hari ini akan menjadi pengalaman manis yang memperkaya hidup kita di muka bumi ini. Saya tahu bagaimana perasaan saudara dan apa erti dunia pengangguran kerana saya juga adalah graduan pada zaman ekonomi meleset sekitar tahun 1987/88. Pelbagai kerja saya lakukan termasuklah pekerjaan yang tidak memerlukan sebarang kelulusan. Itu adalah kenangan manis yang memperkaya jiwa dan mewarnai kehidupan.
Jawapan disediakan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan yang lepas boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment