Thursday, August 20, 2009

Perjanjian Perkongsian Syarikat

Assalamualaikum.
Ustazah,

Saya Abdul Razak, adalah seorang usahawan yang terlibat dalam bidang pembuatan. Saya terlibat dalam bidang ini secara kebetulan. Dahulu saya seorang pekerja di syarikat ini.

Pada permulaannya, syarikat ini ditubuhkan oleh dua rakan kongsi, dan saya dipelawa oleh rakan kongsi 1 untuk bersama melabur dalam syarikat tanpa ada pegangan saham. Di atas dasar kepercayaan maka saya pun turut bersama melabur.

Apabila syarikat mula beroperasi dalam masa sebulan, timbul masalah antara rakan kongsi 1 dan 2. Rakan kongsi 2 telah mengambil pertanggungjawaban untuk membeli syer rakan kongsi 1 dan saya dipelawa untuk mengambil 10% dari syer itu. Rakan kongsi 2 tidak menunjukkan komitmen untuk membayar dan syarikat terumbang-ambing dalam 5 tahun ini.

Di atas kepercayaan untuk melihat syarikat berkembang, pinjaman telah dibuat dengan menggunakan nama saya sebagai pemegang syer majoriti. Rakan kongsi pula tidak menunjukkan sebarang komitmen menyebabkan saya dikejar pihak bank. Saya telah mengambil keputusan dengan tidak membenarkan rakan kongsi menandatangani cek lagi. Alhamdulillah, dalam 2 tahun, saya telah melunaskan hutang pembekal dan bank walaupun tidak penuh seperti yang di harapkan.

Baru-baru ini, pihak rakan kongsi 1 telah membuat tuntutan mahkamah agar rakan kongsi 2 membayar wangnya kembali. Tetapi pihak 2 tidak mampu membuat pembayaran penuh seperti yang diharapkan oleh pihak 1 dan dia berhasrat ingin mengambil kembali syarikat ini.

Saya memang tidak mampu untuk membuat pembayaran disebabkan saya memang tiada modal. Saya menjalankan syarikat ini supaya ia mampu bergerak dan boleh membayar gaji pekerja serta hutang tertunggak.

Apabila syarikat ini ingin diambilalih, hak saya terpaksa dilepaskan tetapi hutang syarikat tidak mahu ditanggung oleh pihak 1. Maka saya akan menanggung hutang pembekal dan KWSP .Pihak 1 akan menanggung mesin disebabkan dia menjadi gerantor mesin kilang.

Jika dia mengambil mesin itu maka saya tidak dapat bergerak dan syarikat akan ditutup.
Harap pihak puan memberi pandangan untuk melepaskan keresahan jiwa saya.

Cadangan dan Penyelesaian

Merujuk kepada situasi yang dihadapi oleh Encik Abdul Razak dan berpandukan kepada Undang-Undang Perkongsian di bawah Akta Perkongsian 1961, kesemua pihak iaitu rakan kongsi 1, 2 dan Encik Razak adalah bertanggungjawab terhadap semua liabiliti termasuklah hutang dalam bentuk pinjaman, gadaian dan sebagainya serta apa-apa bentuk tuntutan dari pihak luar pada masa yang material.

Ini bermakna segala masalah yang sedang berlaku dan akan berlaku pada masa hadapan tidak seharusnya ditangggung oleh Encik Razak seorang sahaja kerana undang-undang perkongsian menetapkan setiap rakan kongsi adalah terikat dan bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan atau perlakuan yang dilakukan oleh rakan kongsi lain termasuklah rakan kongsi bersifat sleeping partner atau dormant partner.

Malahan sekiranya terdapat sebarang bentuk tuntutan yang dibuat oleh pihak luar sama ada bank, individu, pembekal, pekerja, KWSP dan sebagainya terhadap sesuatu kontrak, perjanjian dan lain-lain maka semua rakan kongsi iaitu rakan kongsi 1, 2 dan Encik Razak sendiri adalah bertanggungjawab walaupun beliau hanyalah melabur dalam syarikat tanpa apa pegangan saham.

Namun di dalam kes ini tidak dapat dipastikan sama ada rakan kongsi 1 telah keluar daripada perjanjian perkongsian atau tidak, ataupun beliau masih lagi sebagai sleeping partner atau dormant partner. Sekiranya beliau telah keluar daripada perjanjian perkongsian sepenuhnya, beliau masih bertanggungjawab terhadap sebarang masalah dan tuntutan yang dibuat ketika mana beliau masih menjadi rakan kongsi.

Status rakan kongsi 2 dengan kes Encik Razak juga masih tidak jelas iaitu dalam hubungan perjanjian perkongsian ini, mereka berdua sama ada beliau adalah rakan kongsi aktif atau sleeping partner atau dormant partner. Di samping itu, sama ada wujud perjanjian bertulis di antara pihak-pihak terbabit atau sekadar perjanjian lisan sahaja yang mana perjanjian lisan juga merupakan ikatan kontrak yang sah.

Oleh yang demikian, isi kandungan perjanjian perkongsian yang dibuat antara rakan kongsi 1 dan 2 amat material dan penting untuk diteliti bagi menjawab serta menghurai persoalan yang berlaku. Di samping itu, perjanjian perkongsian di antara Encik Razak dan rakan kongsi 2 juga penting untuk diteliti bagi memastikan isi kandungan dan terma syarat yang dipersetujui oleh mereka.

Ini adalah juga memastikan jalan keluar serta penyelesaian menurut lunas undang-undang apabila berlakunya pengambilalihan syarikat, isu hak Encik Razak sebagai rakan kongsi, masalah hutang syarikat yang tidak mahu ditanggung oleh pihak rakan kongsi lain, liabiliti Encik Razak dan rakan kongsi lain untuk menanggung hutang supplier dan KWSP dan sebagainya yang boleh membawa kepada penutupan operasi syarikat dan kilang.
Jawapan telah disediakan oleh Wanita JIM Pulau Pinang.

3 comments:

From Me to WE said...

slm ziarah, slm juang zhir btin fillah. nice blog,nice entry. Alhmdulillah. Mabruk sis. :) amzb.

blogger misteri said...

menanti post seterusnya

Sofa Abdul Muiin Multazam said...

Mohon Maaf, hanya sekedar saran untuk yang punya blog ini. Nama blognya klo bisa diganti, karena berbeda antara "KALBU" dengan "QOLBU".
Dalam Bahasa Arab "KALBU" artinya ajing, "QOLBU" artinya hati. Mungkin yang dimaksud oleh yang punya blog hatikan...
Terima Kasih