Soalan:
SAYA gadis berusia 26 tahun dan bakal bertunang dengan jejaka pilihan hati yang direstui keluarga. Apa yang menghantui diri adalah dosa silam dengan bekas kekasih.
Bakal suami mengetahui kisah saya yang pernah bercinta, kemudian berpisah kerana keluarga tidak merestui perhubungan kami. Namun, bakal suami selalu bertanya apa yang kami lakukan pada masa lalu. Dia mengharap saya tidak melakukan perkara bertentangan dengan agama.Patutkah saya memberitahu bakal suami bahawa kami pernah tidur sekatil (tidak berzina)? Saya amat menyesali apa yang berlaku.Tunang ingin tahu apakah yang telah saya lakukan dengan bekas kekasih. Katanya, kasih sayangnya kepada saya mungkin tergugat jika mengetahui perkara itu daripada orang lain. Dia mahu mengetahuinya kerana mungkin menerima saya selagi berkata benar dan menceritakan keseluruhannya. Dalam hal ini patutkah saya berkata benar dan menceritakan keburukan dan kesilapan lalu.Siapakah lagi yang boleh menutup aib sendiri jika saya yang membukanya? Apakah perasaan bakal suami apabila mengetahui bahawa kami pernah tidur sekatil? Adakah dia benar-benar dapat menerima saya selepas itu? Saya ingin tahu adakah saya sekufu dengan bakal suami dan patutkah teruskan hubungan ini? ADIK DALAM DILEMA,Johor Bahru, Johor.
Jawapan:
RASA sesal atas kesalahan yang pernah dilakukan pada masa silam adalah antara tanda taubat diterima. Tidak pernah ada seorang pun di dunia ini yang tidak melakukan kesalahan. Baik kesalahan itu kecil atau besar. Sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan dan dosa adalah bertaubat dan meminta ampun daripada Allah.Perasaan adik yang rendah diri kerana mendapat pasangan yang ‘baik’ itu adalah akibat daripada perasaan berdosa terhadap perbuatan masa silam. Adik berhak mendapat seorang suami yang soleh setelah bertaubat dan bercita-cita menjadi wanita solehah.Pernahkah adik membaca kisah sahabat Nabi Muhammad SAW, tidak sedikit daripada mereka yang dulunya hidup dalam keadaan jahiliah. Minum arak, berzina, berjudi, makan riba dan membunuh anak perempuan kerana malu. Itu adalah antara kebiasaan masyarakat kafir Arab pada masa itu. Namun, kemudian mereka bertaubat dan memeluk Islam. Jadi keIslaman mereka menghapus semua dosa yang pernah dilakukan sebelumnya. Kenyataan sejarah menunjukkan sahabat adalah orang terbaik sepanjang sejarah umat Islam. Nabi Muhammad pernah mengatakan bahawa kurun masa hidup sahabat itu sebagai ‘khairul qurun’ iaitu masa terbaik untuk umat manusia.Dengan melihat kepada apa yang berlaku pada diri sahabat, tidak salahnya adik sekarang melakukan perkara sama. Berhenti terus melakukan dosa, bertaubat dan minta ampun kepada Allah. Hapuskan semua kisah memori masa lalu yang kelam dan ganti dengan lembaran hidup baru yang putih bersih.Beritahu tunang adik, bahawa adik tidak pernah berzina dan masih suci. Minta dia cuba memahami hakikat kehidupan yang dilalui. Kita pasti melalui dua fasa iaitu fasa jahiliah dan Islam. Sewaktu jahiliah kita melakukan beberapa perkara yang tidak syarie kerana kejahilan dan kelemahan sendiri. Namun, sebaik memasuki fasa Islam, kita mula memahami tuntutan Islam. Kini adik sudah bertaubat dan tidak akan melakukan perkara yang tidak elok seperti dulu. Perkara yang berlalu biarkan disimpan dalam lipatan sejarah. Tidak payah diungkit-ungkit lagi. Jangan biarkan syaitan membuai perasaan ‘rasa bersalah’ itu. Bina hidup baru dengan perspektif baru. Jangan ceritakan peristiwa hitam itu secara terperinci. Hal ini akan menyusahkan diri sendiri dan akan mengubah tanggapan tunang kepada adik.Ingatan penting! Jangan sekali-kali adik benarkan tunang sekarang menyentuh atau berpegang tangan dengan adik. Keadaan ini kerana 'pertunangan' tidak menghalalkan pergaulan bebas, apa lagi bersentuhan, sebab belum ada sebarang ikatan yang menghalalkannya.Adik perlu ingat bahawa jika benarkan perkara itu berlaku dengan tunang ia akan menimbulkan tanda tanya tunang terhadap perhubungan dulu.Dari sekarang adik hendaklah solat sunat taubat setiap kali ada masa terluang. Mohon kepada Allah supaya mempermudahkan segala urusan. Semoga adik istiqamah mempertahankan mahkota Muslimah.
Dijawab Prof Madya Maznah Daud Pensyarah Syariah Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor. Pandangan dan persoalan layari www.wanitajimceria.blogspot.com
Saturday, July 02, 2005
Gadis dihantui dosa silam dengan bekas kekasih
Labels:
dilema isteri,
dosa silam,
kufu,
pergaulan,
pertunangan,
taubat,
zina
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Yang dihormati para pembaca,
Saya mengalami perkara yang sama, Tapi yang berbezanya, saya berterus terang setelah disuruh bersumpah. Saya ingin memutuskan pertunangan tapi dia enggan. Sepanjang 8 tahun perkahwinan,kami tidak bahagia. Dia sering mengungkit kisah silam saya dan sering mengaibkan saya didepan anak-anak dan pembantu rumah. Dia juga menceritakan kepada kawan baiknya. Beberapa kali juga dia meludah muka saya dan memanggil saya dengan pangilan pelacur dan macam-macam lagi. Dia masih bertahan kerana anak-anak. Saya anggap semua ini sebagai dugaan Tuhan dan hukumanNya semasa didunia atas perbuatan silam saya. Saya redha dan masih bersabar dan terus mempertahankan perkahwinan kami. Semoga menjadi iktibar buat semua ....
Post a Comment