MASALAH perlakuan seks di luar nikah di kalangan remaja cukup membimbangkan kami. Perbuatan itu bukan saja memalukan ibu bapa, malah lebih penting masa depan remaja terbabit. Melihatkan masalah ini semakin membimbangkan, Apakah cara praktikal dan berkesan untuk menyekatnya
BAPA RISAU, Merlimau, Melaka.
jawapan:
SUSAH hendak menjawab soalan ini. Selalunya orang menganggap ia sebagai teori dan retorik apabila cuba menjawab daripada perspektif Islam. Kita dapati dalam banyak perbincangan mengenai topik ini, banyak luahan yang hanya menyalahkan orang agama. Antaranya mengatakan 'ustaz hanya tahu menghukum haram'. Kita boleh melihat permasalahan ini dari dua perspektif. Pertama, mengikut cara Barat. Contohnya, apabila ada masalah jangkitan HIV yang berleluasa, maka mereka cuba menanganinya dengan pendidikan seks selamat serta pemberian kondom dan jarum percuma. Tetapi Barat jarang melihat kepada sebab atau akar punca masalah kerana seks bebas adalah syurga kehidupan mereka. Mengenai pendidikan seks kepada remaja, saya bersetuju dengan pendapat pakar psikologi dan Ketua Unit Pembangunan Penyelidikan Kesihatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof Dr Sarinah Low Abdullah yang mengatakan sesetengah ibu bapa tidak menitikberatkan pendidikan seks kepada anak. Hal ini menyebabkan mereka berusaha mendapatkan maklumat yang 'tidak selamat' daripada sumber lain seperti rakan, buku, majalah, laman web atau cakera padat video lucah. Pendidikan seks ini sangat sensitif dan ramai ibu bapa enggan membicarakannya secara terbuka dan ilmiah. Ibu bapa perlu membina jambatan hubungan yang baik dengan anak terlebih dulu sebelum membicarakannya secara telus dan terus terang. Hubungan kekeluargaan yang erat juga mampu menghindarkan golongan remaja daripada melakukan perkara negatif. Pada masa sama, remaja kita diajar cara berfikir dengan lebih rasional dan tidak terlalu terikut-ikut dengan budaya yang tidak sihat ini. Kedua, bagaimana pula Islam menangani perkara begini. Di sinilah ia berbunyi teori dan retorik. Islam menangani isu ini dengan menyentuh perkara asas. Pada asasnya ia berbentuk 'mencegah lebih baik daripada mengubati'. Tanpa nilai asas ini, remaja akan memudah ‘tergoda’ dengan pujuk rayu dan ajakan untuk melakukan perkara tidak baik. Hal ini kerana tiada disiplin dan prinsip kukuh untuk dipegang. Pendidikan nilai dan spiritual ini akan membantu mereka dalam menjadi benteng menangani gejala tidak sihat. Islam memberi ingatan "...jauhilah kamu daripada zina." Islam kata “...kalau hendak keluarkan air mani, biarlah pada tempat yang halal.” Islam mengatakan kepada lelaki "...tundukanlah mata kamu apabila memandang perempuan." Islam mengatakan "....carilah kawan yang baik.” Ada pula orang menjawab: “Ada pendidikan agama yang baik pun buat juga.” “Dari sekolah agama pun buat juga.”Maka, jawapan saya, yang boleh diberikan adalah pendidikan dan sekolah agama adalah ilmu. Selepas ilmu adalah praktik atau amalan dan pemantauannya. Dalam praktiknya ada pula cabaran. Islam mengatakan, berilah pendidikan yang baik, kemudian carilah kawan yang baik, apabila memandang perempuan/lelaki tundukan mata kamu dan kemudian jangan kamu bergaul bebas tanpa batasan, tanpa akhlak. Insya-Allah terjauh kamu daripada zina. "Jauhilah kamu daripada zina" adalah sesuatu yang relatif. Katakanlah apabila dua pasangan pergi menonton di pawagam. Dalam gelap, badan bergesel, tangan berpegang dan pada masa itu tidak berlaku zina, tetapi perasaan dan berahi akan terbuka pada masa itu. Kalau lelaki itu ada duit, jangan terperanjat selepas itu akan ‘check in’ di hotel pula. Bagi seorang yang liberal, kenapa kaitkan zina dengan menonton wayang, takkan tengok wayang boleh jadi zina. Tetapi Islam kata itu semua akan membawa kepada zina. Itu sebabnya perkataan yang digunakan adalah ’jauhi zina’ bukan ‘berzina’. Zina tidak berlaku dengan hanya jumpa pertama kali. Zina berlaku selepas terbitnya perkenalan serta pergaulan dan kemesraan. Salam perkenalan sebuah zina adalah senyuman pertama, kemudian ‘dating’ pertama. Selepas itu, berjumpa berdua-duan pertama. Kebanyakan adegan asal yang ringan-ringan hanya bermula di tempat yang sunyi berlaku dalam keadaan berdua-duaan. Apabila kalah kepada syaitan (makhluk ketiga) dan nafsu, maka peluangnya terbuka, perobohan pertama mahkota terjadi. Jadi apa jawapan praktikalnya hari ini? Jawapan saya adalah tanggungjawab berat ini mesti dipikul oleh setiap lapisan masyarakat yang membabitkan tokoh politik, media, pertubuhan bukan kerajaan, agamawan, pendidik, ibu bapa dan peribadi yang inginkan masyarakat yang berahlak dan bertamadun.
DIJAWAB oleh Harun Mohd Yusof, perunding kewangan dan ahli JIM. Masalah dan jawapan layari www.wanitajimceria.blogspot.com.
Friday, September 02, 2005
Senyuman pertama buka ruang kepada salam perkenalan zina
Labels:
dilema ibu,
HIV,
kondom,
pergaulan,
permasalahan remaja,
Rumahku syurgaku,
seksologi,
zina
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment