Bicara Kalbu: Tempat tidur anak lelaki, perempuan kena asing elak terpandang aurat
? Saya dilahirkan dalam keluarga harmoni. Begitu pun, fikiran terganggu mengenangkan peristiwa ketika berusia tujuh tahun kerana pernah tidur bersama abang berusia 13 tahun. Pada masa itu saya tidak tahu perbuatan itu adalah salah di sisi agama.
Apabila remaja dan didedahkan dengan pembacaan dan ceramah mengenai istilah dara, suci, rogol, sumbang mahram dan sebagainya, saya berasa tertekan dan berdosa.
GADIS RESAH,
Batu Pahat, Johor.
Kisah masa kecil adik menggambarkan betapa pentingnya memisahkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan.
Pada usia tujuh tahun pula anak-anak perlu diajar dan dilatih solat. Apabila meningkat 10 tahun, anak-anak diberi hukuman (dirotan) jika enggan atau meninggalkannya. Jadi apabila baligh anak sudah bersedia dan terbiasa melaksanakan solat.
Ibu bapa perlu tahu bahawa sejak usia ini pula, anak-anak harus dipisahkan tempat tidurnya daripada adik beradik berlainan jenis. Ia supaya setiap anak dapat membataskan pergaulan dengan adik beradik mahramnya dan menjaga pandangan daripada melihat auratnya.
Pendidikan akidah mengenai muraqabatullah (menumbuhkan sikap berasa diawasi Allah) sepatutnya menjadi dasar etika pergaulan dengan lawan jenis (walaupun dengan adik beradik sendiri) dan sesama anggota keluarga. Etika pergaulan itu juga yang menjadi dasar cara bergaul dengan bukan mahram.
Apa yang adik bimbangkan daripada perbuatan itu belum pasti benar-benar berlaku. Cubalah ingatkan betul-betul peristiwa yang dialami masa itu dulu, iaitu tidur bersama abang. Jika sepanjang tidur itu, tidak berlaku perbuatan yang melampaui batas, maka adik tidak perlu bimbang.
Jika hanya sekadar tidur, tidak ada-ada yang perlu ditakutkan, apatah lagi dikaitkan dengan dengan rosaknya kehormatan sebagai seorang gadis. Jika abang itu benar-benar membuka aurat adik dan melakukan sesuatu, adik ada sebab untuk berasa cemas.
Rasa cemas dan trauma peristiwa masa kecil ini dapat diatasi dengan memperoleh maklumat yang jelas akibat daripada peristiwa itu. Cubalah berjumpa doktor pakar sakit puan untuk diperiksa sama ada masih mempunyai selaput dara atau tidak.
Pilihlah doktor wanita yang percayai dan amanah. Semoga hasil pemeriksaan itu tidak seperti yang adik bayangkan. Jika maklumat yang tepat diperoleh, jika daripada pemeriksaan itu terbukti dara sudah terusik, janganlah memikirkannya sehingga berlarutan.
Terimalah ini sebagai takdir dan kita tidak boleh pusing jam ke belakang. Secara moralnya adik masih suci sebagai seorang gadis. Peristiwa itu berlaku pada zaman kanak-kanak yang masih mentah dan jahil, malah ia dimaafkan.
Sibukkan diri adik dengan kegiatan berfaedah, bersungguh-sungguh dalam pelajaran, manfaatkan setiap waktu yang dimiliki dengan membuat kebaikan kebaikan baik dalam rumah (menunaikan tugas sebagai anak yang solehah) di sekolah dan masyarakat.
Apabila kita membiasakan diri berbuat baik, diri akan sentiasa menjadi positif. Pada akhirnya konsep diri positif ini akan membantu adik melihat kehidupan dengan lebih optimis.
Dalam kehidupan ini, banyak kejadian yang tidak kita diduga. Namun, jika konsep diri positif ini berakar dalam diri, perasaan resah, cemas dan bimbang dapat dikelola secara bijak dan tepat.
Simpan kisah pahit ini dalam diri adik seorang. Jangan beritahu kepada sesiapa pun, hatta kepada bakal suami mengenainya. Ini akan mengeruhkan suasana. Ramai bakal suami boleh memaafkan, tetapi tidak boleh melupakannya. Ia akan menjadi cerita duri dalam daging kehidupan kamu berdua.
Tampilkan keperibadian Islam. Cubalah tingkatkan mutu akhlak. Saya yakin seorang pemuda yang soleh hanya tertarik pada wanita yang solehah yang tercermin daripada keperibadian dan akhlaknya. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang paling bertakwa.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Semoga mendapat jodoh seorang pemuda soleh yang boleh menerima adik seadanya dan boleh membahagiakan dunia akhirat.
# DIJAWAB oleh Prof Madya Maznah Daud, Pensyarah Syariah Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment