Saturday, October 08, 2005

Hanya sebahagian syaitan dibelenggu sepanjang Ramadan

Hanya sebahagian syaitan dibelenggu sepanjang Ramadan

SAYA terbaca hadis bermaksud ”....pada Ramadan semua pintu syurga terbuka dan semua pintu neraka tertutup.” Apakah yang dimaksudkan dengan sabda Nabi Muhammad SAW ini.

Pada Ramadan semua syaitan dibelenggu, tetapi mengapa pula sepanjang bulan mulia itu ada orang Islam yang tidak berpuasa dan melakukan perkara yang mungkar? Apakah kemaksiatan atau dosa itu tidak ada campur tangan daripada syaitan?

Jawapan:

HADIS yang menyatakan bahawa syaitan dibelenggu pada Ramadan adalah hadis sahih yang diriwayatkan oleh sejumlah ulama hadis seperti Imam Bukhari, Muslim, Ahmad dan Ibnu Huzaimah.

Daripada Abu Hurairah bahwa Rasulullah bersabda bermaksud: “Apabila Ramadan tiba, maka pintu syurga akan dibukakan dan pintu neraka akan ditutup serta syaitan akan dibelenggu." (Riwayat Bukhari No. 1898 dan Muslim 1079)

“Dibukanya pintu syurga dan ditutupnya pintu neraka pada Ramadan...” Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari menyebutkan ada beberapa kemungkinan:

l Pertama, memang benar pintu syurga dibuka selebar-lebarnya pada Ramadan dan pintu neraka ditutup. Sehinggakan tidak ada orang yang dimasukkan ke neraka selama sebulan itu. Inilah yang memberikan semangat kepada hamba Allah untuk memperbanyakkan amal sepanjang Ramadan itu.

l Kemungkinan kedua, bahawa Allah membuka kesempatan kepada hamba-Nya untuk taat beribadah, yang mana taat itu menjadi penyebab masuknya mereka ke dalam syurga.

Demikian juga dengan ungkapan ditutupnya pintu neraka. Ia adalah gambaran daripada dipalingkannya hamba Allah daripada keinginan untuk melakukan maksiat, yang mana maksiatlah yang akan membawa mereka ke neraka.

Dengan dipalingkan daripada maksiat, maka seolah-olah pintu neraka tertutup pada Ramadan.

Mengenai dibelenggunya syaitan, ada beberapa penjelasan daripada ulama mengenai maksud perkataan Rasulullah bahawa syaitan ‘dibelenggu’ pada Ramadan:

1 Al-Hulaimi berpendapat yang dimaksudkan dengan syaitan di sini adalah syaitan yang suka mencuri berita dari langit yang terjadi pada waktu malam Ramadan. Pada ketika turunnya al-Quran, mereka dihalang melakukan hal itu kerana dengan ‘belenggu’ itu, maka syaitan tidak mampu melakukannya.

2 Syaitan tidak berleluasa atau sewenang-wenang mengganggu dan merosakkan manusia seperti seperti biasa kerana umat Islam sibuk dengan ibadah berpuasa, bersedekah, membaca al-Quran dan berzikir.

3 Yang dibelenggu hanya sebahagiannya iaitu syaitan yang membangkang seperti yang dijelaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda: "Pada malam pertama Ramadan, syaitan dibelenggu. Iaitu syaitan yang membangkang.” (Riwayat Ibnu Huzaimah, Nasa’i, at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim)

4 Maksud ‘dibelenggu’ adalah ungkapan ketidakmampuan syaitan untuk menggoda dan menyesatkan manusia.

Jadi mengapa masih ada kemaksiatan pada Ramadan? Bukankah syaitan yang biasa menggoda manusia telah dibelenggu? Berdasarkan pengertian di atas, ulama memberi empat jawapan:

5 Syaitan dibelenggu bagi mukmin yang melakukan ibadah ’puasa’ dengan penuh keikhlasan.

6 Hanya sebahagian syaitan yang dibelenggu, iaitu syaitan yang membangkang seperti dijelaskan di atas.

7 la juga boleh dimaksudkan berkurangnya perbuatan kejahatan atau perilaku maksiat pada Ramadan. Memang masih terjadi, tetapi tidak sebanyak berbanding bulan lain.

8 Syaitan dibelenggu, namun ada beberapa perangai manusia yang menyamai syaitan yang menyebabkan masih berlaku perkara maksiat. Kemaksiatan itu timbul kerana runtuhnya sifat mulia manusianya, adat istiadat yang rosak dan lingkungan masyarakat yang sudah ’bobrok’ yang dilakukan oleh syaitan daripada golongan manusia.



DIJAWAB Prof Madya Maznah Daud, pensyarah syariah di UITM, Shah Alam, Selangor

No comments: