Bicara Kalbu: Solat Tarawih terputus boleh disambung
SAYA seorang ibu yang bekerja dan mempunyai anak berusia dua tahun.
Masa saya dengannya amat terhad. Justeru, setiap kali berbuka puasa dan waktu malam saya mengambil masa panjang untuk melayannya. Akibatnya, saya hanya menunaikan solat Tarawih di rumah dan tidak berjemaah di masjid.
Dalam pada itu, pernah suatu ketika melaksanakan solat Tarawih pada rakaat yang keenam, si kecil terbangun dan menangis. Saya memerlukan masa yang lama untuk menidurkannya kembali. Setelah si kecil tertidur, wuduk saya batal.
Adakah saya perlu solat Tarawih sendirian tanpa ke masjid untuk berjemaah kerana keadaan yang tidak memungkinkan?
Saya melaksanakan Tarawih sendirian, apakah boleh melakukan solat malam dulu (Tahajud, Hajat dan Sunat lainnya) selepas itu baru ditutup dengan solat Witir atau sebaliknya?
Adakah saya harus mengulangi Tarawih yang terputus dari rakaat awal atau melanjutkan rakaat tertinggal hingga selesai?
MAMA LUQMAN,
Muar, Johor.
SOLAT Tarawih boleh ditunaikan secara berjemaah dan sendirian sama ada di rumah atau masjid. Tata caranya sama. Boleh dilaksanakan lapan rakaat berdasarkan hadis daripada Aisyah yang berkata: “Rasulullah SAW tidak pernah mendirikan solat malam melebihi 11 rakaat, baik pada Ramadan mahupun bulan lainnya, beliau mendirikan empat rakaat yang sangat panjang, kemudian empat rakaat lagi yang panjang, selepas itu solat tiga rakaat." (Riwayat Bukhari).
Boleh juga melaksanakannya sebanyak 20 rakaat seperti yang dilakukan sahabat sejak zaman Saidina Umar dan dihidupkan oleh sahabat selepasnya sampai sekarang. Solat 20 rakaat ini juga dilaksanakan di masjid besar seperti di Masjid al Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah.
Solat Tarawih juga boleh dilaksanakan dengan empat rakaat, satu salam; empat rakaat satu salam dan dilanjutkan dengan witir tiga rakaat seperti hadis di atas. Demikian juga boleh dilaksanakan setiap dua rakaat satu salam, ini berlandaskan kepada hadis bermaksud: “Solat malam adalah dua rakaat, dua rakaat.” (Riwayat Jamaah)
Dalam melaksanakan solat Tarawih juga disunnahkan duduk sebentar selepas salam, pada setiap rakaat keempat. Inilah sebabnya mengapa disebut Tarawih yang bererti ‘istirahat’ kerana kita perlu duduk sekejap untuk beristirahat setiap empat rakaat. Tidak ada bacaan khusus selama duduk itu, namun disunnahkan memperbanyak zikir.
Istilah Tarawih sendiri belum ada pada zaman Nabi. Pada saat itu salat Tarawih hanya disebut dengan solat malam atau solat ‘qiyam al lail’.
Solat Tahajud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur. Apabila solat Tarawih dilaksanakan selepas tidur, maka ini dinamakan solat Tahajud.
Alangkah baiknya jika Mama Luqman melaksanakan solat Tarawih sendirian dan menggunakannya untuk menghafalkan kembali surah al-Quran.
Saudari juga tidak perlu mengulang kembali solat Tarawih yang terputus itu. Cukup hanya dengan menyambungkannya menjadi lapan rakaat sesuai dengan kemampuan.
Solat Tarawih adalah ibadah untuk menghidupkan malam Ramadan dan mendekatkan diri kepada Allah. Jangan lupa, selepas solat Tarawih doakan buah hati saudari agar menjadi anak yang salih dan berbakti kepada orang tua.
JAWAPAN disediakan Prof Madya Maznah Daud, pensyarah syariah di Universiti Teknologi Mara,
Shah Alam, Selangor.
Friday, October 14, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment