Friday, April 21, 2006

Ikatan keluarga saudara baru tak boleh diputuskan

Ikatan keluarga saudara baru tak boleh diputuskan

SAYA ada seorang kawan yang baru saja memeluk Islam beberapa minggu lalu. Dia seorang perempuan berbangsa Cina. Dia sering menjadikan saya tempat rujukannya dalam perkara berkaitan Islam.

Tetapi saya sendiri masih kurang arif dan tidak mengetahui secara mendalam mengenai Islam. Baru-baru dia bertanyakan saya mengenai hubungannya (yang memeluk Islam) dengan keluarganya.

Keluarganya belum lagi mengetahui statusnya yang memeluk Islam. Dia takut keluarganya tidak dapat menerimanya.

Saya sendiri tidak pasti bagaimana untuk menjawab persoalan itu supaya dia tidak berasa keliru dengan agama Islam dan perhubungannya dengan keluarga yang bukan Islam.

Persoalan saya ialah:

(a) Bagaimana perhubungan dia yang memeluk Islam dengan keluarganya yang masih bukan Islam?

(b) Bagaimana jika keluarganya sukar untuk menerimanya?

(c) Apakah cara untuk dia terus berbakti kepada keluarganya dalam keadaan sekarang?

(d) Bagaimana adat atau pantang larang ketika mereka tiggal bersama?

Saya berharap dapat membantu teman saya dan tidak mahu dia keliru dengan agama yang baru dianuti.



Siti Zam,



Siswi UPSI, Tanjung Malim, Perak.





Bersyukurlah kerana saudari berada di dalam situasi yang unik untuk menimba pahala ganjaran Allah mendampingi dan membimbing saudari yang baru memeluk Islam. Tidak dinafikan, dalam saat seperti itu beliau amat memerlukan teman yang boleh memberi sokongan dan teman berbicara.

Berdasarkan sedikit pengalaman bergaul dengan saudara baru di perantauan, saya harap dapat berkongsi pandangan terhadap masalah yang dihadapi rakan saudari.

Islam tidak sekali-kali menyuruh penganutnya memutuskan perhubungan keluarga walaupun berbeza agama. Malah, Islam menganjurkan setiap umatnya agar sentiasa mengasihi, menghormati keluarga, terutama sekali ibu bapa.

Ini jelas sekali dalam firman Allah yang bermaksu: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, kepada Ku juga tempat kamu kembali. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu mengenainya maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia ini dengan baik...” (Surah Luqman, ayat 14-15)

Apatah lagi selepas beliau memeluk Islam, alangkah cantiknya sekiranya beliau lebih menghormati, menyayangi dan mengasihi ibu bapanya.

Sekiranya sebelum ini hanya sekadar bersalaman saja dengan ibu bapa setiap kali bertemu. Kali ini cubalah lakukan keajaiban dan kelainan dengan mencium tangan keduanya.

Peluk mereka setiap kali sebelum berpisah, moga-moga dengan itu, akan terdorong atau terbuka pintu hati ibu bapanya. Tidak ada salahnya meneruskan perhubungan antara ibu bapa dan anak walaupun mereka belum Islam.

Mengenai penerimaan keluarga, ini banyak bergantung kepada sejauh mana rapatnya perhubungan beliau dan keluarga sekarang. Ada kes yang mudah kerana perhubungan keluarga yang rapat, keluarga faham kebebasan dan menghormati pendirian ahli keluarga yang lain. Ada juga kes yang rumit.

Sekiranya beliau rapat dengan ahli keluarga dan merasakan mereka boleh diajak berbincang, boleh menghormati pendirian ahli lain, maka berterus terang mungkin pilihan terbaik.

Jelaskan mengapa dan mungkin bagaimana beliau boleh memilih Islam kepada keluarga. Insya-Allah, sekiranya mereka memahami bagaimana proses beliau memilih Islam, tentangan dan perselisihan tidak rasional akan dapat dielakkan.

Tetapi sekiranya beliau merasakan keluarga adalah sebaliknya, mungkin pilihan terbaik ialah dengan cara perlahan-lahan. Cabaran paling besar, pada pengamatan saya dalam perhubungan keluarga ialah hal makanan dan sambutan perayaan atau upacara keagamaan.

Sekiranya keluarga sukar menerima, fahami kenapa keluarga bersikap demikian. Adakah kerana mereka tidak faham Islam, takut kehilangan seorang anak tersayang atau ada sebab lain. Memahami sebab-sebab itu akan memudahkan proses berikutnya.

Dalam pada itu, jangan lalai berdoa. Allah adalah pemilik hati-hati kita semua. Berdoalah agar Allah membuka hati ibu bapa, adik-adik, abang atau kakak agar mereka menerima kebenaran.

Tidak ada bezanya bagaimana beliau harus berbakti kepada keluarga sama ada dulu dan sekarang, selagi tidak melanggar syariah. Kunjungi dan hubungi mereka seperti selalu. Berikan yang terbaik semoga dengan itu hati mereka akan lembut.

Saya berpendapat buat permulaan, terutama sekali pada peringkat awal mereka mengetahui keIslaman beliau, mungkin inilah antara cabaran yang paling besar dan paling berpotensi menyebabkan pergeseran.

Perlu diingat, Islam tidak bertapak di mana-mana pelusuk bumi dan memusnahkan adat resam setempat selagi adat resam itu tidak bercanggah dengan aqidah dan syariah.

Kerana itu Islam boleh bertapak dan makmur dari timur Jepun ke barat benua Amerika, dari utara Iceland ke selatan Afrika.

Secara amnya, sekiranya amalan itu adalah amalan keagamaan seperti membakar colok dan menyembah berhala, ini jelas mesti dielakkan.

Begitu juga dengan makanan, perlu bertegas tetapi dengan cara hikmah dalam hal ini kerana memang sukar untuk tidak menjamah masakan ibu yang bertahun-tahun membesarkan kita.

Terangkan dengan baik, dan mungkin juga boleh tawarkan diri untuk memasak supaya dapat memilih makanan yang boleh dimakan saja.

Selain itu, dalam hal amalan harian, tidak ada halangan untuk saudara baru memeluk Islam bersama meraikan dengan keluarga.

Kami mendoakan kesejahteraan saudari dan semoga Allah membantu meringankan segala urusan.

Sebagai panduan, boleh merujuk kepada buku Kisah Saya Saudara Baru terbitan syarikat PTS Millennia Sdn Bhd, yang ditulis oleh saudara baru, Nuraishah Chua Abdullah.



l Jawapan disediakan Amir Razelan, Perunding Kejuruteraan di Lembah Silikon Amerika Syarikat dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

No comments: