Friday, June 15, 2007

Bicara Kalbu: Bimbang tak mampu sedia hantaran kahwin tinggi

APABILA terbaca beberapa siri penulisan dalam Jendela Hikmah mengenai perkahwinan adalah ubat kepada cinta songsang di kalangan orang muda yang membawa kepada zina, maka saya rasa terpanggil untuk menyahut cabaran itu. Saya berniat mengahwini kekasih hati tetapi saya bimbang tidak mampu memberikan hantaran tinggi kepada bakal isteri. Apakah sebenarnya nilai hantaran yang paling minimum yang diwajibkan oleh Islam?



Mat bermotosikal
Klang, Selangor

Kebimbangan saudara itu memang ada asasnya. Bacaan saudara mengenai episod perkahwinan membabitkan perbelanjaan besar, mas kahwin yang mahal dan hantaran mewah itu menghantui pemikiran saudara.

Berapa ramai daripada masyarakat kita yang mampu berbuat demikian? Apakah kayu ukur penentuan mahar dan mas kahwin dalam kehidupan masyarakat kita?

Adakah kita secara tidak sedar mula menggunakan kayu ukur penentuan nilai wanita dalam perkahwinan menggunakan laras penilaian artis barat yang menghabiskan berjuta-juta dolar untuk berkahwin, kemudian bercerai tidak lama selepas itu.

Adakah kadar mahar dan hantaran yang mewah dan mahal itu menjamin kebahagiaan dan kelangsungan perkahwinan?

Secara tidak langsung laporan berlebihan mengenai kemewahan mahar dan hantaran perkahwinan membentuk beberapa persepsi baru yang negatif dalam minda masyarakat ketika membuat persediaan mengadakan majlis perkahwinan dan niat pasangan yang bakal berkahwin.

Persepsi negatif itu antaranya:

# Untuk mendapat mahar dan hantaran tinggi mestilah menjadikan diri seorang yang popular dan glamor, sedangkan ilmu dan akhlak tidak diambil kira.

# Lelaki berasa lebih terancam dan takut untuk berkahwin jika belum ‘kaya.’ Mereka akan susah untuk berkahwin awal kerana takut dipaksa memberikan hantaran mahal yang di luar kemampuan. Sehingga ada yang mencari jalan haram untuk memuaskan nafsu seks mereka.

# Nilai wanita masa kini adalah berasaskan wang ringgit saja. Buktinya ialah saudara kini (dan juga segelintir masyarakat) yang masih keliru antara 'mas kahwin' dan 'hantaran'. Sebenarnya ada perbezaan ketara antara keduanya.

Mas kahwin disebut sebagai mahar adalah hak/harta isteri yang wajib suami serahkan kepada isteri untuk menghalalkan pernikahan antara keduanya, sama ada disebut ketika akad atau tidak disebut.

Firman Allah bermaksud: “Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian wajib.” (Surah an-Nisa’, ayat 4)

Allah berfirman lagi bermaksud: “Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina.” (Surah an-Nisa’, ayat 24)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi.” (Hadis riwayat Bukhari)

Mas kahwin boleh diberikan dalam bentuk apa saja asalkan berfaedah, sama ada wang ringgit, barang atau sesuatu yang bermanfaat.

Rasulullah SAW pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu apapun untuk dijadikannya mas kahwin lalu Rasulullah SAW bertanya kepada lelaki itu: “Adakah kamu menghafaz sedikit daripada ayat al-Qur'an? Lelaki itu menjawab dia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah SAW pun mengahwinkan lelaki itu dengan mas kahwin surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Mahar juga disebut sebagai ‘Sadoqathinna’ bagi menggambarkan kebenaran dan kesungguhan keinginan untuk berkahwin daripada pihak yang memberi atau dengan kata lain menunjukkan bahawa pihak suami benar-benar ingin berkahwin apabila dia bersedia memberikan mas kahwin kepada isteri.

Hantaran pula ialah hadiah daripada suami kepada isteri dan juga hadiah daripada isteri kepada suami, iaitu saling bertukar hadiah sebagai tanda setuju dengan perkahwinan itu. Hantaran tidak wajib tetapi hukum adat dan hukumnya harus.

Mengenai kadar mas kahwin, ulama berselisih pendapat dari segi kadar minimum. Ulama sepakat mengatakan tiada had maksimum berdasarkan ayat 20 surah An-nisa' yang menyebut perkataan ‘qintor’ bermaksud emas yang sangat banyak.

Menurut Ibn 'Abbas dan Mujahid, qintor bersamaan 70 mithqal, kata Abu Said emas sepenuh belulang lembu. Namun, disunatkan kita tidak berlebihan dalam memberikan hantaran menurut dalil di bawah:

Daripada 'Aisyah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya nikah yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah (rendah) maharnya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqiy)

Daripada 'Aisyah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Setengah daripada keberkatan wanita ialah mudah peminangannya dan mudah maharnya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqiy)

Abu Hurairah berkata, “Adalah sodaq kami ketika zaman Rasulullah ada bersama kami 10 waqyah.” (1 waqyah bersamaan 40 dirham)

Saidina Umar berkata: “Awas! Janganlah kamu melampau dalam memberi mas kahwin kepada wanita kerana sesungguhnya jika wanita itu seorang yang mulia di dunia atau seorang yang bertakwa di sisi Allah, nescaya Rasulullah SAW orang yang paling utama berbanding kamu dalam memberi mas kahwin yang banyak. Padahal aku tidak pernah mengetahui Rasulullah SAW berkahwin dengan mana-mana isterinya atau mengahwinkan mana-mana puterinya dengan mas kahwin lebih daripada 12 waqyah.” (Hadis riwayat Al-Tirmizi )

Mengenai kadar melampau batas, menurut Ibn Qudamah (Mazhab Hambali), tidak digalakkan lebih daripada 500 dirham, iaitu kadar mahar isteri Rasulullah SAW, begitu juga pendapat ulama Mazhab Syafie, Maliki, had melampau ialah kadar melebihi kebiasaan orang ramai.

Hikmat mengelakkan daripada berlebih dalam membayar mahar adalah untuk memudahkan pemuda berkahwin supaya tidak terpesong kepada perkara yang tidak diingini seperti zina dan perkara yang membawa kepada buruk akhlak.

Saidina Umar berkata dalam khutbahnya: “Sesungguhnya lelaki yang berlebih dalam memberi mahar perempuannya sehingga menjadikan perempuan itu permusuhan dalam diri lelaki itu.” (Hadis riwayat an-Nasaie)

Apa yang perlu kita utamakan ialah kesederhanaan, keberkatan dan kelangsungan perkahwinan bakal dilalui pasangan pengantin itu. Bukan glamor dan menunjuk-nunjuk yang membawa kepada riak serta unsur negatif dalam masyarakat yang sebilangan besar tidak mampu mengadakan hantaran yang mahal.

FAKTA
Faktor pengaruhi kadar mahar

# Kebiasaan masyarakat yang mudah berubah dan terlalu mengikut aliran semasa.
# Kenaikan harga barang.
# Taraf hidup masyarakat.
# Tahap kesedaran Islam – semakin tinggi kesedaran beragama, semakin sederhana maharnya, begitu sebaliknya.

Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

2 comments:

HAMID said...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

1. Merujuk kepada tulisan Professor Madya Maznah Daud di Berita Harian pada 15 Jun 2007, saya ingin memberikan beberapa pendapat serta bertanyakan perkara berkaitan hukum adat dan hukumnya harus.

2. Tulisan professor walaupun menarik dan diisi dengan hadis, firman Allah serta kenyataan-kenyataan yang baik menjurus kepada kesederhanaan dan kebaikan tetapi persoalan hantaran tinggi mungkin tidak dikupas dengan mendalam.

3. Saya perhatikan biasanya ahli agama dan pemikir menyatakan sesuatu perkara secara sederhana dan sebagai pengajaran. Mengapa tidak menyatakan atau mengakui bahawa adat/budaya hantaran ini boleh membawa kepada kerosakan kepada masyarakat. Bahawa perkara ini adalah satu kejahatan yang menular dalam masyarakat tanpa disedari(subtle). Jika tidak dibendung secara 'affirmative' kemudian hari anak cucu akan terperangkap dalam satu adat/budaya yang telah berakar umbi.

4. Pada pendapat saya pihak lelaki hanya perlu menyediakan mas kahwin dan melaksanakan akad, seterusnya kehidupannya penuh dengan tanggungjawab dan hak-hak yang telah ditetapkan. Perkara kenduri kendara, keraian dan kemeriahan semuanya atas kehendak dan perbelanjaan keluarga pihak perempuan. Memaksa pihak lelaki menyediakan kewangan bagi keperluan kemeriahan serta 'vanities' pihak perempuan adalah satu penganiayaan. Pada pendapat saya juga, perkara hantaran ini telah tersebar seperti satu gerakan bawah tanah antara orang-orang perempuan. Perkara ini adalah sama seperti 'dowry' yang diamalkan di negara India. Walaupun menyusahkan dan nampak kejam, perkara ini telah berakar umbi sehingga begitu susah untuk dibanteras oleh generasi yang kemudian. Ada semacam kejahatan hati di pihak para ibu dan perempuan yang mendesak untuk melaksanakan perkara ini. Antara mereka saling berasa takut atas kejahatan lidah(percakapan tidak baik) mereka.

5. Dalam tulisan professor disebut 'hantaran tidak wajib tetapi hukum adat dan hukumnya harus'. Saya ingin bertanya bila perkara hantaran ini menjadi adat. Mungkinkah ini hanya satu 'trend'. Mungkin hal ini perlu dikaji bagaimana ia bermula dan kenapa. Dan pada tahap bila perkara ini telah menjadi luar kawalan. Pada masa akan datang apakah kesan/akibat kepada masyarakat dan institusi perkahwinan. Bukan tujuan saya untuk berpolemik tetapi saya ingin mengetahui perkara ini secara menyeluruh.

6. Bagaimana kita boleh terima ia sebagai hukum adat. Jikapun begitu bagaimana jika ia adalah adat yang tercela, ada unsur keburukan atau kejahatan. Mungkin tidak semua hukum adat hukumnya harus. Jika hukum adat hantaran ini diiktiraf sebagai harus, saya khuatir tanpa disedari kita pun terlibat dalam penyelewengan fikiran masa kini.

7. Walaupun kita berharap kesedaran dan kefahaman Islam boleh membawa kepada kesederhanaan, hakikatnya tanpa satu gerakan 'affirmative' membanteras adat/budaya/'trend' hantaran oleh pihak ahli agama, bijak pandai, pemimpin serta media, perkara ini akan menjadi lebih tenat dari tahun ke tahun. Sebahagian manusia bersifat individualistik dan berkepentingan sendiri. Tidak lama lagi 'barrier' hantaran RM10,000 akan dilepasi walaupun pihak lelaki itu berpendapatan rendah.

8. Mungkin perkara hantaran perlu dilihat dan disebarkan sebagai satu kejahatan supaya masyarakat boleh sedar serta memulakan pula 'trend' tidak bermewahan, menunjuk-nunjuk serta riak/bangga diri dalam melaksanakan perkahwinan.

9. Untuk maklumat professor, saya sendiri sebenarnya kurang pengetahuan tentang perkara ini. Pendapat-pendapat saya mungkin kurang tepat. Minta maaf. Bagaimanapun, saya terpanggil untuk meluahkan pendapat saya disebabkan ahli keluarga saya sendiri telah menjadi mangsa adat ini. Mungkin melalui orang bijak pandai seperti professor bolehlah pendapat saya jika ada kebenarannya dibawa ke pengetahuan umum. Sekian.

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.