Friday, June 22, 2007

Lelaki tidak muslih punca wanita ‘rosak’

Bicara Kalbu: Lelaki tidak muslih punca wanita ‘rosak’

PERMASALAHAN lelaki dewasa ini, saya berpendapat antara sebabnya ialah keruntuhan moral di kalangan wanita Islam terutama dari segi berpakaian. Al-Quran menganjurkan supaya wanita menutup aurat mereka antaranya bertujuan mengelakkan keruntuhan akhlak di kalangan sesama manusia, bukan saja untuk kaum adam, malah untuk kaum hawa. Malangnya, kini wanita Melayu berani mendedahkan aurat. Ada model iklan wanita Melayu sudah berani berpakaian melampaui kesopanan. Memang wanita dijadikan cantik, tetapi tidaklah perlu kepada mereka menunjukkan secara berlebihan kepada semua orang. Oleh itu, mengapa apabila berlaku perkara negatif, lelaki sering dipersalahkan?

Saiful,Melaka

Sebenarnya apabila bercakap mengenai penjagaan akhlak, lelaki dan wanita memikul tanggungjawab sama berat. Kedua-dua golongan perlu menjaga batas pergaulan, menutup aurat dengan rapi dan menjaga pandangan.

Pada hari ini, wanita tidak menjaga aurat, tidak menjaga batas pergaulan dan lelaki juga sama menyumbang kepada fenomena ini. Bahkan, tidak salah jika saya katakan wanita hari ini rosak disebabkan kegagalan lelaki melaksanakan amanah yang dipikul ke atas mereka.

“Lelaki itu adalah pelindung/pemimpin bagi wanita.” Itu yang ditegaskan al-Quran. Jika kita buat tinjauan kenapa wanita sama ada anak gadis atau isteri mendedahkan aurat di khalayak ramai. Sebabnya ialah ayah dan suami di rumah tidak menjalankan tanggungjawab mendidik dan membimbing wanita yang berada dalam tanggungannya.

Jika mereka menjalankan peranan sebagai ayah dan suami yang melaksanakan amar ma'ruf dan nahi mungkar di kalangan isi rumah, maka kita tidak akan melihat perbuatan membuka aurat secara berleluasa di kalangan masyarakat Islam hari ini.

Fenomena ini jelas menunjukkan kebanyakan rumah tangga Islam rosak kerana suami dan ayah yang tidak salih dan tidak muslih (tidak melakukan amal salih dan tidak mengajak ahli keluarga beramal salih).

Kemudian kita lihat pula pada skop yang lebih besar. Wanita hari ini dieksploitasi semahunya oleh industri perniagaan. Wanita menjadi bahan komersial yang diperdagangkan. Memang benar mereka menjadi hiasan muka majalah, akhbar, papan iklan dan wanita litar dengan pakaian menggiurkan. Siapakah di belakang mereka? Di belakang mereka ialah syarikat multinasional yang menjadikan wanita bahan pelaris. Di belakang mereka juga industri fesyen yang kebanyakannya dipelopori pereka fesyen lelaki.

Saya berpandangan, setiap kali melihat wanita mendedahkan aurat, saya terfikir siapakah yang bertanggungjawab ke atas wanita ini. Jika dia masih gadis maka, ayahnya yang akan dipersoal oleh Allah nanti. Jika dia sudah bergelar isteri, maka suaminya yang akan dipertanggungjawabkan. Jika mereka gagal memberikan jawapan yang benar, maka mereka akan menanggung akibat di akhirat nanti kerana bersifat dayus (tidak mampu memimpin isteri dan anak perempuan).

Mengenai 50 wanita nisbah seorang lelaki menunjukkan bahawa tanggungjawab seorang lelaki yang salih pada akhir zaman amat berat. Jika ada seorang lelaki salih di kalangan kita maka dia harus mengambil tanggungjawab bukan saja ke atas isteri dan anaknya, tetapi anak saudaranya, sepupunya, adik beradiknya dan sesiapa juga yang berada dalam lingkungan keluarganya. Oleh kerana sebahagian besar lelaki tidak memenuhi peranan itu maka peranan itu beralih kepada lelaki salih yang berada dalam keluarga berkenaan.



Jawapan disediakan Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di laman web www.bicarakalbu.blogspot.com

7 comments:

Norshuhada said...

Assalamualaikum,
Ya, saya sangat setuju.

biarkusendiri said...

tidak setuju sama sekali. tanggungjawab sebenar terletak pada pemerintah! kerajaan sepatutnya menguatkuasakan undang2 anti-zina, anti-arak dan anti-maksiat. sebagai contoh, bolehkah kita menyalahkan bapa kepada seorang pemandu kereta yang melanggar mati orang lain kerana tidak mendidik anaknya supaya memandu berhati-hati ? tentu tidak! bukankah kita semua mengharapkan kerajaan/pihak pemerintah untuk menguatkuasakan undang2, denda dan hukuman supaya semua orang memandu dengan baik supaya dapat menjamin keselamatan, mengelakkan kehilangan nyawa dan kejahteraan masyarakat.

biarkusendiri said...

kalau setakat bagi jawapan "lelaki jadi punca masalah" tak payah ada Phd atau jadi pensyarah universiti... pelacur kat lorong haji taib pun boleh tolong jawab.

niknazlyne(insanfana) said...

ya saya berpendapat sama dengan 'biarkusendiri'

Dr Hj Hashim said...

Kebenarannya ada di jawapan Dr. Hafizi Mohd. Noor. Dalam hal ini, saya berpendapat YB. Dato Sri Rafidah Aziz, YB Dato Sri Azlina Dato Othman Said, Menteri Belia dan YB. Dato Sri Hishamuddin Tun Hussin Onn, Ketua Pemuda wajib bersuara dan menegur semua "Industri Perniagaan" yang mana wanita dieksploitasi. Mereka ini sudah keterlaluan kerana tiada suara bantahan untuk mereka. Pihak media elektronik dan cetak juga menyumbang untuk melebar-luaskn produk mereka. Rujuklah al-Quran, surah An-Nissa; ayat 9:

"Hendaklah takut kepada Allah, orang-orang yang seandainya meninggalkan dibelakang mereka anak-anak yang lemah dan dikhuatiri akan keselamatan mereka. Oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan mengucapkan (berkata) perkataan yang baik (bijak)."

Dalam merujuk perintah Allah di atas, mereka yang diamanahkan menerang dan melaksanakan prinsip "ISLAM HADHARI", mestilah benar-benar memahami prinsip tersebut kerana penjelasan anda yang benar-benar serius akan merealisasikan idea YAB Perdana Menteri Dato' Sri Abdullah Ahmad Badawi yang akan benar-benar difahami oleh masyarakat umum.

"Sayangkan benih, tanam,
Sayangkan padi, buanglah rumputnya."


Dr Hj Hashim bin Muhammad
(Pernah duduk bersama dalam AJK Yayasan Islam Hadhari dan Penceramah)

Inspirasi Kembara said...

artikel yang baik

membaca komen 'biarkusendiri', saya memandang komen tersebut dr sudut yang positif. kebebasan bersuara wujud di blog ini. bisa saja sesiapa untuk tidak bersetuju dengan sisi mana pun pandangan yang tertera asalkan disertai dengan justification yang adil serta tidak melanggari syara'

saya kira, artikel yang ditulis harus dilihat dalam konteks ia sebagai jawapan kepada persoalan yang diuatarakan, bukan as an independent article yang tidak ada kaitan langsung dengan mana2 isu sebelumnya.

artikel ini juga dimulakan dengan premis yang jelas dan nyata bhawa perempuan dan lelaki itu sama darjatnya di sisi Tuhan KITA. jadi saya melihat artikel ini bukan artikel untuk mencari salah siapa, tetapi mengkaji hingga ke akar apa yang perlu kita lakukan.

malah frasa 'lelaki tidak musleh' tidak merujuk kepada SEMUA lelaki, tetapi hanya merujuk kepada lelaki yang tidak menjalankan tanggungjawabnya untuk mengajak org melakukan kebaikan.

dengan premis pertama artikel ini, jelas bahawa ia turut melibatkan wanita2 yang tidak muslehah.

tetapi ditekankan kepada lelaki kerana lelaki adalah pemimpin bagi wanita dalam beberapa hal khusus yang digariskan dalam agama.

semua ini tentu ada hikmahnya yang bisa membasahi jiwa kita

mari kita melihat fenomena dunia kini bukan sekadar dengan pandangan akal, tetapi dengan mata hati dan telinga jiwa

ke arah kebaikan yang melata ke seluruh alam

Inspirasi Kembara said...

saya berpendapat bahawa lelaki tidak musleh yang dimaksudkan sudah tentu merangkumi semua lelaki tidak musleh, tidak kira dari golongan pemerintah hingga ke golongan bapa dalam setiap unit asas iaitu keluarga