Friday, August 03, 2007

Tiga unsur didik insan berubah kepada kebenaran

Bicara Kalbu:

SAYA baru bertaubat nasuha sejak tiga bulan lalu. Dulunya saya seorang pemuda yang suka berpeleseran, membuat segala jenis maksiat dan jenayah hingga ditahan polis dan dipenjarakan. Syukur Allah memberi hidayah kepada saya. Apabila membaca beberapa artikel mengenai peranan ibu bapa dalam mempengaruhi dan membentuk karakter anak, ia membuat saya sedih dan kecewa. Saya kesal mengenai nasib saya dan adik.

Selama ini ibu bapa saya tidak ambil pusing atau prihatin dalam memberikan didikan agama kepada kami. Walaupun mereka bersembahyang, mereka tidak pernah mengajar, menyuruh atau memaksa kami bersembahyang, apalagi mengajar ilmu fardu ain.



Kini, saya mula bercerita mengenai sembahyang, ibadat dan ilmu agama setakat yang saya tahu kepada adik. Saya ajar mereka sembahyang, ajak dan kadang kadang paksa mereka supaya solat bersama.

Untuk memberikan semangat mereka untuk rajin beribadat, saya ajarkan fadilat amal, menceritakan kisah nabi dan sahabat. Namun, tidak ada riak positif daripada ibu bapa saya. Saya risau andainya umur tidak panjang, bagaimana dengan adik yang saya tinggalkan. Siapa akan mengajar dan mengajak mereka sembahyang dan teruskan pendidikan agama? Apa harus saya buat.



Abang Joe
Ampang Indah, Selangor

Tahniah kepada saudara kerana sudah menemui jalan pulang. Syukur ke hadrat Allah yang memberi petunjuk kepada kita semua untuk menjalani kehidupan menurut jalan diredai-Nya.

Berdasarkan hadis qudsi, Rasulullah SAW ada mengatakan: “Wahai anak Adam, kamu semua berdosa, maka mohon ampunlah kepada-Ku, nescaya-Ku ampunkan.”

Mengenai persoalan adik saudara, bersyukurlah kerana saudara turut mengambil berat mengenai penghayatan agama mereka. Apa yang saudara lakukan iaitu membimbing dan menunjuk ajar mereka adalah sesuatu yang terpuji dan wajar diteruskan. Perubahan pada diri saudara sendiri sudah cukup untuk menjadi contoh dan ikutan adik-adik.

Hari ini umat Islam memerlukan contoh yang hidup, boleh mereka saksikan dalam kehidupan seharian mereka. Dalam erti kata lain, mereka mahu melihat Islam dalam bentuk nyata, bukan dalam bentuk ceramah atau nasihat.

Bagi anak ini, segala nasihat dianggap sebagai leteran dan bebelan saja, tetapi jika mereka melihat cara hidup Islam itu dipraktikkan dengan istiqamah tanpa di pengaruhi suasana atau keadaan sekeliling, mereka akan terkesan dan mula berfikir.

Contohnya, mereka melihat saudara dengan istiqamah (berterusan) mendirikan solat walau dalam keadaan apa sekalipun, pasti mereka tidak akan mengambil sikap sambil lewa terhadap nasihat saudara. Lama kelamaan akan timbul rasa senang di dalam jiwa mereka sehingga terdorong mengikut jejak langkah saudara.

Saudara berasa bimbang dengan masa depan mereka jika sesuatu berlaku dan saudara tidak dapat bersama membimbing mereka. Dalam hal ini, saudara usah bimbang. Ada tiga unsur yang perlu ada untuk membina seorang insan.

Tiga unsur itu ialah guru yang membimbing, sistem pembelajaran dan suasana yang salih. Untuk memastikan adik terus dibimbing, saudara mesti menyediakan ketiga-tiga unsur ini. Bagaimana untuk melakukannya. Di sinilah usaha ini perlu digarap secara kolektif. Saudara perlu meletakkan diri dan adik dalam satu sistem yang menyediakan unsur ini.

Adik saudara perlu dibesarkan dalam suasana yang salih. Di samping mewujudkan suasana yang salih di rumah, kita perlu wujudkan suasana salih dalam konteks lebih luas. Ia membawa maksud mereka perlu bercampur dengan anak dan kumpulan yang mendukung kesedaran sama.

Apabila berada dalam kelompok rakan sebaya lebih luas, mereka akan berasa unsur kepunyaan dan ia mengukuhkan lagi asas yang diletakkan saudara dalam membimbing mereka.

Faktor kedua ialah guru pembimbing. Saudara sudah melaksanakan peranan ini dengan baik, tetapi adalah lebih berkesan jika mereka diletakkan dalam satu sistem pembelajaran sistematik seperti sistem halaqah yang dipimpin seorang ketua. Sistem pembelajaran sistematik ini akan menjadikan adik saudara mempunyai asas ilmu kukuh kenapa cara hidup Islam perlu dihayati.

Faktor ketiga iaitu sistem pembelajaran turut terlaksana apabila adik saudara berada di dalam sistem halaqah ini. Dengan izin Allah, melalui pendekatan ini tidak seorangpun yang akan bersendirian dalam usahanya untuk menegakkan Islam dalam kehidupannya.

Saudara juga perlu banyak bersabar. Tidak ada pekerjaan yang lebih memerlukan kesabaran daripada merubah manusia. Saidina Umar pernah mengatakan: “Aku lebih rela memindahkan gunung daripada merubah (perangai) manusia.”

Ia menggambarkan tidak mudah untuk mendidik manusia supaya mereka berubah kepada keadaan yang lebih baik. Apa yang boleh kita pesan pada saudara dan pada semua termasuk ialah banyakkan bersabar dan memohon pertolongan Allah.

Hidayah di tangan Allah dan Dia akan mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sedang tugas kita di dunia ini hanya berusaha dengan bersungguh. Surah Al-Asr juga mengingatkan kita bahawa tugas mengajak manusia kepada kebenaran Islam memerlukan kesabaran dan orang berjaya ialah mereka yang saling berpesan untuk bersabar dalam menyampaikan yang hak.

Jawapan disediakan pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di laman www. Bicarakalbu.blogspot.com

No comments: