Soalan;
KAMI mendirikan rumah tangga atas dasar cinta. Pada mulanya perkahwinan kami bahagia. Saya memahami kelemahannya dan menerima hakikat beberapa kekurangan suami antaranya tidak suka membantu di rumah, tidak suka ke pasar, lebih mementingkan kawan daripada saya. Suami saya bersikap lembut dan baik pada kawan-kawannya tetapi bersikap kasar kepada saya. Saya reda dengan sifatnya itu kerana saya juga ada kelemahan. Namun setelah mendapat anak yang kedua, dia mula berubah dan tidak menghiraukan saya malah mula mengabaikan tanggungjawab dalam memberikan nafkah batin. Beberapa tahun kemudian anak ketiga lahir dan saya didapati mempunyai masalah perut dan ditahan di wad selama 10 hari. Sewaktu dalam pantang dia langsung tidak mempedulikan saya. (Adik ipar yang membela saya kerana saya menumpang di rumahnya). Apabila terbaca sistem pesanan ringkas (SMS) romantik dalam telefon bimbitnya, saya dapat rasakan suami ada hubungan dengan wanita lain. Saya bertanya secara jujur dengannya dan suami mengaku berniat untuk berpoligami atas alasan tidak berselera dengan saya, saya tidak pandai bergaya, badan saya gemuk kerana tidak pandai menjaga badan, saya perempuan kampung cemburu buta tidak tentu pasal dan tergamak dia mengatakan dia tidak perlukan isteri seperti saya. Suami sentiasa menyatakan dia lebih sayangkan wanita itu dan tidak kisah mengenai anak. Sudah hampir 11 bulan dia tidak memberi nafkah batin kepada saya dan membuat rumah kami ibarat hotel, pulang tidak tentu masa, jika suka saja. Saya bencikan sikapnya dan menangisi nasib sepanjang masa. Saya buntu untuk mencari jalan keluar.
Isteri merana
Kajang Selangor.
Jawapan;
MALANG suami yang bersifat sedemikian. Tingkah laku suami puan tidak melayakkan dia memikul tanggungjawab sebagai suami, apatah lagi untuk menambah isteri.
Isu beliau hendak berpoligami adalah isu kedua. Isu yang lebih utama ialah bagaimana dia melayan isterinya yang sedia ada. Jelas daripada bicara puan, suami gagal melaksanakan tanggungjawab iaitu menyempurnakan nafkah zahir dan batin isteri.
Selain itu, suami puan juga tidak bertimbang rasa kerana tidak mahu bersama memikul tanggungjawab mengurus rumah tangga. Dia harus sedar tanggungjawab isteri hanyalah melayan kehendak suami. Berhias dan melayan suami di tempat tidur. Selain itu seperti memasak dan menguruskan rumah adalah ehsan atau bakti isteri kepada suami yang diberi pahala sedekah yang besar oleh Allah.
Suami sewajar menyedari dia juga perlu membantu di rumah sebagai tanda muafakat suami isteri. Jika dia tidak biasa maka dia harus menyediakan pembantu kepada isterinya. Rumah tangga Rasulullah SAW boleh dijadikan sandaran. Rasulullah SAW menjahit sendiri pakaiannya.
Puteri Rasulullah SAW, Saidatina Fatimah az Zahra dan suaminya juga adalah pasangan contoh bagi keluarga Muslim. Mereka tidak mampu menggaji pembantu, urusan rumah tangga mereka laksanakan bersama.
Ketiga, suami puan sudah menghina puan dengan kata-kata yang tidak selayaknya. Dulu isteri itulah tempat dia berkasih sayang. Kini setelah isterinya mengurniakan beberapa orang anak, dia menghina isterinya. Lebih menyedihkan lagi dia langsung tidak menghargai anak-anaknya.
Apa lagi yang boleh diharapkan kepada lelaki seperti ini. Tolong nasihatkan perempuan yang dihubungi suami puan, bahawa nasib yang bakal diterima nanti sama seperti puan.
Saya nasihatkan puan supaya adukan masalah ini ke pejabat kadi dan minta pandangan apa yang harus puan lakukan. Kegagalan suami untuk memenuhi nafkah batin adalah asas yang cukup kuat bagi pejabat kadi mengeluarkan arahan kepada suami puan untuk tampil menjelaskan kedudukan.
Sebagai lelaki, saya berasa malu masih ada dikalangan mereka yang bergelar Muslim dengan sewenang-wenangnya berasa selesa menghina belahan jiwa sendiri. Mudah-mudahan Allah memberi keampunan dan rahmat untuk menyembuhkan penyakit ini, jika beliau bertaubat dan berusaha dengan penuh tulus dan ikhlas menebus keterlanjurannya.
Kepada puan sebagai isteri pula, saya ingin menyatakan bahawa sesungguhnya ini adalah satu tanda bahawa Allah amat sayang kepada puan. Allah hanya menguji hambanya untuk meningkatkan keimanan mereka. Ujian yang paling berat dikhususkan kepada para Anbiyaa'.
Puan hendaklah bersabar dan terus istiqamah bersabar. Semoga puan diberikan kekuatan untuk bertahan dengan ujian-Nya ini. Semoga puan tidak diuji dengan sesuatu yang di luar kemampuan. Namun begitu hakikat sebarang penyelesaian sebenarnya terletak di tangan puan.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya sesuatu keadaan/ kesulitan yang membelenggu sesuatu kaum itu tidak akan dapat diselesaikan sehingga kaum itu sendiri berusaha dari dalam dirinya sendiri untuk menyelesaikannya." (Surah Ar-Ra'ad, ayat 11)
Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor dan Dr Abdul Ghani Ujang dengan kerjasama wanita JIM. Persoalan dan jawapan isu terdahulu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com.
Friday, October 26, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment