Friday, November 02, 2007

Dosa cinta sejenis diluput dengan taubat nasuha

SAYA seorang remaja perempuan berusia awal 20-an dan sedang belajar di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA). Saya bukan anti atau membenci lelaki, tetapi pernah menjalin hubungan intim dengan kaum sejenis. Pada mulanya kami hanya berkawan dan apabila hubungan menjadi terlalu rapat, berlaku peristiwa tidak diduga. Saya pernah cuba mengelak, tetapi teman saya bijak memujuk hingga kami terlanjur melakukan hubungan yang dilarang Allah. Bukan saya tidak boleh menjauhkan diri, tetapi perasaan sayang kepada persahabatan terjalin membuatkan saya sukar untuk mengelak daripada berjumpanya. Tetapi sejak enam bulan kebelakangan ini, dia tidak lagi menghubungi saya dan hingga kini saya tidak tahu puncanya. Saya juga tidak lagi melakukan hubungan terlarang itu. Bagaimana cara untuk saya meminta ampun kepada Allah atas dosa yang dilakukan dan apakah tanda dosa saya diampuni. Apakah doa yang dapat saya baca untuk melupakan perbuatan itu dan dia?

Ingin bertaubat nasuha,

Lembah Klang.


KAMI bersimpati dengan nasib saudari dan pada masa sama marilah kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah yang menanamkan rasa insaf dalam diri kita semua. Itu adalah satu tanda besar Allah masih menyayangi kita.

Memang jelas sekali apa yang sudah berlaku adalah sesuatu yang terkutuk dan dilaknati Allah. Kita lihat bagaimana Allah membinasakan kaum Nabi Lut. Oleh itu, saudari sepatutnya bersyukur kerana diberi hidayah dan segera insaf untuk bertaubat.

Itu adalah satu daripada ciri orang yang bertakwa seperti dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: �Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)." (Surah Ali-Imran, ayat 135)

Dalam pada itu, saudari perlu faham persahabatan atau persaudaraan hakiki ialah persaudaraan yang dijalin atas dasar kasih sayang kerana Allah, untuk mencari keredaan Allah, ingat memperingati supaya bertakwa kepada Allah.

Persahabatan yang dijalin bukan atas landasan itu adalah persahabatan yang tidak mendatangkan kebaikan, malah akan membawa penyesalan di akhirat kelak.

Allah berfirman yang bermaksud: "Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)." (Surah Al-Zukhruf, ayat 67)

Berdasarkan apa yang saudari nukilkan, kelihatan kawan saudari belum bersedia menjalin persahabatan kerana Allah. Justeru, jika saudari tidak mampu memimpinnya, jauhkan diri daripada hubungan intim dengannya.

Dia sedang dilanda penyakit jiwa yang memerlukan rawatan khusus. Perasaan cinta sejenis (lesbian atau homoseksual) adalah satu jenis penyakit jiwa yang perlu mendapat rawatan pakar. Pakar psikiatri mempunyai cara tersendiri dan ubat khusus untuk merawat penyakit ini.

Bagaimana cara meminta ampun pada Allah, langkah pertama ialah dengan memperbanyakkan beristighfar dan bertaubat. Apakah beza taubat dan istighfar? Ulama menggariskan, istighfar adalah untuk dosa yang kita tidak sedari atau untuk perbuatan yang kita tidak tahu dosanya, manakala taubat adalah khusus untuk perbuatan yang kita tahu berdosa dan kita sedar ia adalah dosa.

Langkah kedua, kita menyesali perbuatan kita yang lalu dan membencinya semata-mata kerana takut akan azab Allah dan pada masa sama mengharapkan belas ehsan, rahmat serta kasih sayang-Nya. Sebutan dan lafaz istighfar bukan setakat di mulut, tetapi hati kita turut menangis menginsafi dosa dan azab Allah.

Akhir sekali kita mesti bertekad untuk tidak mengulanginya. Carilah jalan supaya segala lorong yang membawa kita ke arah perbuatan itu juga kita tutup rapat. Liciknya syaitan dalam memperdaya anak Adam, seperti disebut oleh Rasulullah SAW, adalah seperti darah yang mengalir dalam badan kita. Dan mohonlah supaya Allah berikan kita kekuatan untuk menghindarinya.

Seperti Allah nyatakan berkali kali dalam al-Quran, Allah Maha Pengampun. Sebesar manapun dosa hamba-Nya, keampunan Allah itu lebih besar. Sekalipun dosa itu kita ulangi dan ulangi, selagi mana kita ikhlas dan bersungguh, yakinlah Allah sudah ampunkan dan menerima taubat kita kerana itulah janji Allah.

Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dan Amir A Razelan dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan yang lalu boleh di layari di www.bicarakalbu blog spot.com

4 comments:

haiyun_toheer said...

assalamualaikum...

firstly, sy nak mintak maaf sebab bukan nak komen pasal isu ni, tp sy nak bertanyakan soalan kat sini.
( harap sangat agar dapat dijawab...)

sy nak tanya, boleh tak orang pompuan yang ' dtg bulan ' baca quran? hafizah bleh tak mengulang hafalan diorang time ma'zurah ngan niat nk jg hafalan dioram... sy da tny bnyk pendapat ust n ustzh, n yang paling sy yakin ialah tak boleh. tp ramai je kwn2 sy yang bc quran time ma'zurah coz ust dioram cakap bleh bc sebab jg hafalan tu lagi awla bg hafizah...

so, bleh x panel blog ni bg stu resolusi bg prob ni, n sy betul2 nak tau dalil tentng hal ni.sy x arif tentang dalil n xtau nk cari camne. ustzh kata dalil ada, tp x tunjuk...
wassalam...

Al-Imam said...
This comment has been removed by the author.
Al-Imam said...

wassalam ya ukht. memang ada banyak pendapat, ada yang mengatakan boleh, ada yang mengatakan tidak boleh. ambillah jalan mudah sekiranya enti ragu-ragu, iaitu dengan mendengar audio al-Quran. dengan cara sedemikian, enti boleh mengulang hafalan secara tidak langsung daripada meninggalkan terus ketika enti dalam keadaan "tidak diizinkan". itu sahaja saranan ana.
wAllahu 'alam.

Unknown said...

Assalamualaikum..

Saya mempunyai seorang adik perempuan yang telah menjalinkan hubungan sejenis.Sudah puas saya berusaha dan berikhtiar utk memisahkan mereka tetapi gagal.Malah saya agak terkejut apabila kedua ibu bapa saya seolah2 macam merestui hubungan tersebut dengan langsung tidak ambil kisah tentang adik saya.Saya dapat rasa yang kedua ibu bapa saya seolah2 terkena sesuatu kerana mereka seolah2 macam dalam keadaan separa sedar apabila adik saya keluar dengan kawan sejenisnya didepan mereka dan mereka langsung tidak tegur / memarahi adik saya.Saya memang tidak boleh menegur adik saya kerana dia seorang yang panas baran.Saya mohon agar ustaz dapat berikan saya jalan penyelesaian dan mungkin ada doa yang tertentu yang boleh saya amalkan untuk memisahkan hubungan mereka.
Wassalam.