Friday, January 20, 2006

Ada hikmah lewat dapat jodoh sesuai

Bicar kalbu: Ada hikmah lewat dapat jodoh sesuai

SAYA pernah berkawan dengan seorang jiran lelaki di belakang rumah. Beliau seorang yang alim. Umurnya tiga tahun lebih tua daripada saya. Kami mula berkenalan dan menjadi akrab ketika saya berusia 16 tahun.

Saya tidak nafikan ada hati dan menyimpan perasaan terhadapnya, tetapi ia dipendamkan kerana malu. Saya juga dapat merasakan bahawa beliau juga mempunyai perasaan yang sama terhadap saya.

Kini usia saya 21 tahun dan berita paling mengejutkan, beliau telah berkahwin dengan wanita lain. Sebenarnya kami tidak pernah berjumpa tetapi perhubungan hanya melalui surat dan e-mel. E-mel terakhir yang saya terima daripada pada 2004. Ketika itu saya masih berada di tahun dua dalam bidang pergigian.

Saya menyesal sebab tidak meluahkan perasaan ini. Saya tahu dia sukakan saya, tetapi pada ketika itu saya hanya memikirkan pelajaran. Peritnya hati ini apabila mengetahui beliau akan berkahwin. Saya baru hendak memikirkan mengenai dia dengan lebih serius. Saya sungguh kecewa. Saya sesal dan salahkan diri sendiri kerana tidak meluahkan perasaan sejak dari mula kepadanya.

Saya amat menyayanginya, tetapi beliau kini suami orang, apakah yang perlu saya lakukan?

ADIK F,
Kuantan, Pahang.

SYABAS kerana masih ada sifat ‘malu’. ‘malu’ adalah salah satu lambang maruah wanita yang mulia dan salihah.

Malu adalah separuh daripada iman. Iman bukan hanya boleh dituturkan, tetapi perlu dibuktikan dengan perbuatan. Perbuatan ‘malu’ kerana menjaga maruah adalah satu perjuangan dan jihad wanita Islam, terutama dalam dunia moden yang serba mencabar kini.

Mengenal pasti apa yang kita inginkan dan membuat keputusan mencapai keinginan adalah antara inti pati kejayaan dalam kehidupan.

Mengetahui bila kita harus meneruskan kehidupan sama ada berjaya atau tidak mencapai keinginan itu adalah rahsia kebahagiaan.

Saudari telah membuat keputusan bertahun lalu untuk tidak menyatakan hasrat hati. Saudari juga membuat keputusan terbaik untuk menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran. Itu adalah keputusan terbaik.

Bayangkan apa yang mungkin boleh terjadi sekiranya saudari mengambil keputusan selainnya. Bergembiralah dengan keupayaan saudari membuat keputusan itu, seberat mana sekalipun.

Jangan risaukan apa yang telah berlalu, kita tidak boleh merubahnya. Kita tidak boleh meramal masa depan, tetapi boleh menciptanya.

Saudari mempunyai masa depan yang penuh potensi, yakinlah Allah Maha Mengetahui dan Dia akan berikan hamba-Nya yang terbaik.

Sepayah mana sekalipun, inilah ringkasan pilihan yang saudari ada:

# Terus menerus menyesali apa yang berlalu. Ia mungkin tidak akan berakhir, tetapi tidak akan membawa apa-apa faedah. Ini pilihan paling mudah.

Maka, kita akan ulitkan perasaan kecewa dengan dendangan lagu cinta tidak kesampaian. Kita akan layan rasa sesal dengan bait madah dan sajak insan yang kecewa. Memang seronok melayan perasaan, maka akan lebih múdahlah iblis membisikkan hasutannya.

Luahkan rasa cinta yang terpendam kepadanya itu sekarang. Akibatnya, saudari tidak saja akan membuat kehidupan tunggang langgang, malah kehidupan si lelaki, isterinya dan ramai insan lain di sekelilingnya. Tinggalkan yang berlalu dan teruskan kehidupan.

Saudari mempunyai masa depan yang gemilang, jangan biarkan ia tersasar. Yakinkan diri bahawa saudari belum mengenali dia sepenuhnya. Apa yang ada antara saudari berdua hanya perasaan. Jangan biarkan perasaan mengawal fikiran dan hidup anda.

Jangan biarkan kenangan silam menghantui masa depan. Jika ini keputusan yang saudari pilih, berbang galah.

Akhir sekali, dalam saudari melangkah ke hadapan, jangan sekali-kali biarkan kenangan silam terungkit. Jangan sekali-kali bandingkan apa yang ada dalam genggaman dengan yang terlepas daripada pandangan. Yang terlepas akan sentiasa kelihatan lebih baik daripada yang digenggaman.

Masalah jodoh di tangan Allah. Jika saudari istiqamah menjaga maruah, sifat malu dan akhlak Islam, insya-Allah akan mendapat jodoh yang baik. Ingatlah lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik.

Artikel ini dengan kerjasama Wanita JIM.

# Dijawab oleh Amir A Razelan, seorang pengurus kualiti kejuruteraan. Segala persoalan dan jawapan layari www.wanitajimceria.blogspot.com

2 comments:

Hamka said...

tapi dimanakah kemulian seorang wanita hari ini?

Rieka Pranawati said...

Saya minta cerai karena suami ternyata pernah berzinah sebelum menikah dengan tunangannya sampai hamil dan digugurkan.

Karena saya tau, Perempuan yang baik untuk Laki-laki yang baik begitu juga sebaliknya.