Bicara Kalbu: Baca doa pada ubun-ubun anak nyatakan harapan
SAYA mempunyai anak perempuan berusia lima tahun yang baru saja memasuki tadika. Saya seorang suri rumah dan anak tidak pernah diasuh oleh orang lain. Sejak tadika bermula Selasa lalu, dia masih belum boleh menyesuaikan diri dan menangis untuk ke sekolah.
Saya terpaksa menunggu sepanjang masa kerana dia akan menangis setiap kali saya ingin pulang. Anak saya juga enggan bergaul dengan kanak-kanak lain. Hal ini amat merisaukan saya memandangkan kebanyakan kanak-kanak lain sudah boleh menyesuaikan diri. Saya berharap puan dapat membantu menyelesaikan masalah ini.
IBU MUDA,
Temerloh, Pahang.
APA yang puan hadapi adalah sesuatu yang normal dan dialami ramai ibu bapa ketika awal musim persekolahan.
Seelok-eloknya sebelum tadika bermula, anak sudah didedahkan dengan cerita mengenai sekolah baru supaya emosinya lebih bersedia.
Puan perlu cekal apabila menghantar dan meninggalkan anak buat pertama kali kerana emosi kita banyak mempengaruhi emosi anak.
Cuba berfikiran positif dan elakkan daripada menunggu anak dalam kelas terlalu lama. Perkara ini akan menyukarkan proses penyesuaian.
Tinggalkan saja anak sebaik menghantarnya ke tadika walaupun dia menangis. Usah bimbang kerana biasanya anak akan diam selepas ibu atau bapa pulang.
Untuk menangani masalah kanak-kanak begini. Apabila ditinggalkan, insya-Allah dia akan mula bergaul dengan kawan lain.
Pastikan juga puan tidak lewat mengambil anak pulang dari tadika pada minggu pertama. Biasanya kanak-kanak akan berasa takut apabila melihat kawan sudah pulang.
Sekiranya anak terus meragam, sentiasalah bersabar dan memujuk mereka dengan banyak berbual, bermain dan bercerita. Ia boleh meredakan banyak masalah emosi anak.
Elakkan daripada mengumpan anak dengan jajan dan mainan yang mahal. Teruslah menghantar anak ke tadika secara konsisten. Tidak konsisten akan melambatkan proses penyesuaian.
Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan mengambil masa yang berbeza untuk menyesuaikan diri. Jangan khuatir kerana fitrah anak-anak memang suka kepada alam persekolahan.
Sebagai ibu, banyak berdoa untuk kesejahteraan anak. Selalu membaca surah as-Syura ayat 19 dan Ali Imran, ayat 200 untuk melembutkan hati anak dan supaya mereka senang belajar. Puan juga boleh amalkan zikir ‘Ya Hayyu, Ya Quyyum dan Ya Latif’.
Ada juga petua yang mengatakan supaya membacakan doa dan harapan kita pada ubun-ubun anak ketika anak baru lelap. Sebagai contoh puan boleh nyatakan harapan supaya anak suka ke sekolah, berkeyakinan diri, mudah bergaul dan tidak menangis lagi. Ia dikatakan membantu membentuk peribadi anak seperti diharapkan.
JAWAPAN disediakan oleh Rosnah Ahmad, seorang pengurus tadika dan taska. Permasalahan dan jawapan dilayari www.wanitajimceria.blogspot.com
Friday, January 06, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment