Friday, January 13, 2006

Bukti kemandulan bukan asas keharmonian rumah tangga digugat

Bicara Kalbu: Bukti kemandulan bukan asas keharmonian rumah tangga digugat

?SAYA sudah berumah tangga selama lima tahun, tetapi belum dikurniakan zuriat. Nampaknya, masih belum ada tanda yang saya akan hamil dalam tempoh terdekat ini.

Berikutan kekurangan diri ini, saya disisihkan oleh ibu mentua. Saya kerap dimarah, dileter dan disindir. Saya selalu dibandingkan dengan wanita lain yang subur. Saudara mara dan ipar duai sebelah suami juga selalu menyindir saya, sehinggakan kadang kala saya menjadi takut untuk bercampur dengan masyarakat.

Saya bukan tidak mahu berubat tradisional mahupun moden, tetapi suami enggan menyertai saya setiap kali hendak membuat rawatan. Seolah-olah suami yakin yang mengalami masalah kesuburan adalah saya, jadi hanya saya saja yang perlu mendapatkan rawatan.

Saya hampir putus asa dengan kehidupan ini. Saya tidak tahan hidup dicemuh hanya kerana tidak mampu melahirkan anak seperti wanita normal lain.

Untuk pengetahuan doktor, saya mengambil anak angkat dan berusaha menjaganya seperti anak sendiri. Suami pula sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta di luar, jadi saya bertambah khuatir beliau akan menggunakan kesempatan terhadap kekurangan diri saya ini. Apa yang perlu saya lakukan.

Puan M,
Besut, Terengganu.

DI sini, saya ingin mengetahui sama ada puan sudah menjalani pemeriksaan dan ujian dengan doktor pakar sakit puan.

Untuk pengetahuan umum, masalah mandul bukan hanya berpunca daripada sebelah wanita semata-mata. Hasil kajian menunjukkan hanya 30 peratus berpunca daripada masalah wanita, suami (30 peratus), suami dan isteri (30 peratus) dan 10 peratus lagi atas sebab yang tidak diketahui.

Wanita kerap dipersalahkan dalam hal kemandulan tanpa menjalani sebarang pemeriksaan dan ujian terlebih dulu. Suami perlu datang bersama untuk pemeriksaan bagi memastikan air maninya subur.

Suami puan perlu diberitahu mengenai fakta ini. Puan, cubalah cari maklumat daripada internet, buku dan majalah mengenai masalah kesuburan dan kemukakan buktinya.

Jika komunikasi dengan suami baik, puan boleh ceritakan kepadanya kisah benar suami berkahwin lagi sebab menyangka isterinya mandul. Namun, selepas bernikah lain, isteri kedua pun tidak mengandung dan akhirnya terbukti bahawa si suami yang mandul.

Mengenai tohmahan orang, ia memang masalah yang dihadapi oleh ramai pasangan yang tidak ada anak. Puan seharusnya kena latihkan diri supaya tidak mudah terluka hati dengan tohmahan ini.

Sediakan satu jawapan yang baik. Contohnya, puan boleh katakan puan dan suami belum bersedia untuk ada anak atau puan boleh ceritakan bahawa tidak semestinya ia masalah wanita, tetapi perkara sebenar adalah rahsia keluarga dan tidak mahu mendedahkan kedudukan sebenar. Ini memang benar sebab puan tidak boleh menyalahkan suami di depannya yang tidak mahu berjumpa pakar.

Dalam hal ini, puan berjumpa pakar sakit puan untuk menjalani pemeriksaan lengkap untuk memastikan kesihatan organ reproduksi puan.

Jika hasil pemeriksaan itu puan disahkan baik, puan boleh kemukakan keputusannya kepada suami. Mudah-mudahan dengan ini, puan sekurang-kurangnya faham kedudukan sebenar tahap kesuburan puan.

Jika terbukti benar, memang masalah itu berpunca daripada puan, ini pun boleh dijadikan sebagai titik tolak langkah selanjutnya. Sama ada puan mencari jalan untuk merawat masalah kesuburan atau mengambil anak angkat atau seterusnya.

Apa pun, kerjasama suami amat perlu untuk menangani masalah ini sehingga kesudahan. Kita walaupun inginkan yang terbaik, puan tidak boleh memaksa atau menjangka keputusan dan tindakan suami. Namun, sekurang-kurangnya puan perlu bersedia dengan keputusannya apabila kedudukan kesuburan puan diketahui kelak.

Anggaplah ini sebagai dugaan hidup untuk menguji puan agar menjadi lebih tabah dan pasrah.

Renungi firman Allah bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

“Dan demi sesungguhnya! Kami sudah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2 hingga 3).

Mungkin doa puan selama ini dalam hal ini belum dimakbulkan oleh Allah. Namun, ingatlah pesan Allah, menerusi firman-Nya bermaksud: “... Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 216).

Firman-Nya lagi bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya..." (Surah al-Baqarah, ayat 286).

ARTIKEL ini dengan kerjasama Wanita JIM.

JAWAPAN disediakan oleh Dr Suriyakhatun Osman.
Permasalahan dan jawapan layari www.wanitajimceria.blogspot.com

No comments: