Friday, March 10, 2006

Solat tahajud dapat kurangkan tekanan kerana kenaikan harga minyak

Bicara Kalbu: Solat tahajud dapat kurangkan kenaikan harga minyak

SEJAK kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen, hampir semua barang di pasaran termasuk tempat meletak kereta yang tidak membabitkan petrol turut naik hingga memberi kesan kepada bajet keluarga. Suasana kehidupan sekeluarga semakin muram dan tertekan. Minta pandangan bagaimana hendak menghadapi dugaan ini agar suasana kembali ceria dan ekonomi keluarga tidak mengalami defisit?

Ibu tertekan,
Kuala Lumpur

Harga barang semua naik adalah keluhan sebahagian besar rakyat yang kita dengar apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol.

Oleh itu lebih baik kita cuba menyelesaikan secara praktikal untuk menghadapi kemelut harga barang yang meningkat dan menguatkan mental serta spiritual agar lebih tenang berhadapan masalah bajet.

Dengan kadar pendapatan masih di aras lama, pilihan yang ada hanyalah mengubah ‘gaya’ hidup dan mengurangkan perbelanjaan.

Di sini ada beberapa langkah praktikal yang boleh dibincangkan bersama ahli keluarga agar impak dapat ditangani sebijak mungkin.

Pertama ialah memperkayakan rohani dan menguatkan spiritual dengan melakukan solat tahajud untuk menenangkan hati.

Allah SWT berfirman bermaksud, “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah Al-Israa', ayat 79)

Solat tahajud dilakukan di tengah malam di kala kebanyakan manusia terlena dalam tidur yang nyenyak akan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Solat tahajud dikerjakan dengan ikhlas mampu mengurangi beban kejiwaan yang sedang menyelimuti seseorang.

Allah SWT berfirman bermaksud, “Wahai orang yang berselimut. Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat).” (Surah Al-Muzzammil, ayat 1-2)

Kata ‘berselimut’ dalam ayat di atas secara kontekstual dapat diertikan dengan orang yang sedang dirundung masalah, kegelisahan, kecemasan, kekhuatiran, atau ketakutan kerana menghadapi berbagai permasalahan yang menimpanya.

Ayat dari surah Muzammail diturunkan setelah Rasulullah SAW mendapat ejekan dan ancaman dari kaum Quraisy menyebabkan baginda tertekan dengan suasana itu.

Ketenangan dan ketenteraman yang diperoleh setelah melakukan solat Tahajud memiliki nilai spiritual yang sangat tinggi kerana dalam solat itu terdapat dimensi zikrullah (mengingat Allah).

Ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud, “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Ar-Ra'd, ayat 28)

Kedua, banyakkan bersedekah kepada anak yatim, golongan miskin dan kalangan yang memerlukan kerana semakin banyak kita bersedekah semakin membersihkan harta, hati dan nafsu kita semakin jinak kepada takwa.

Apabila kita bersedekah kepada yang memerlukan, kita membina hubungan ukhuwah sekali gus mereka yang miskin ini mendoakan untuk kita agar lebih makmur, sekurang kurangnya makmur jiwa berhati besar.

Ketiga, banyakkan berpuasa seperti orang soleh setiap Isnin dan Khamis atau tiga kali sebulan. Ataupun mungkin masa ini sebaik-baik kita mula puasa ala Nabi Daud, satu hari berpuasa dan satu hari berbuka.

Umar bin Khattab mengatakan, “Hendaklah kalian waspada pada perut yang penuh makanan kerana sesungguhnya perut adalah hal yang memberatkan di dalam kehidupan ini dan adalah kebusukan setengah mati.”

Abdullah Al Qusyairi, seorang sufi mengatakan, “Hikmah dan ilmu telah diletakkan dalam rasa lapar, sementara maksiat dan kebodohan telah diletakkan dalam kekenyangan.”

Di antara manfaat lapar, menjernihkan hati, menyalakan kebijaksanaan dan menajamkan penglihatan hati. Abu Yazid Al Busthomi, seorang sufi berkata, “Lapar adalah awan maka apabila seorang hamba lapar, keluarlah hujan hikmah dari hatinya.”

Antara manfaat lapar yang paling utama ialah mematahkan keinginan nafsu terhadap semua bentuk bermewah-mewah dan maksiat serta menguasai nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan.

Aisyah mengatakan, “Bid'ah yang pertama kali terjadi sepeninggalan Rasulullah SAW adalah kenyang, sesungguhnya manusia ketika kenyang perutnya menjadi liarlah nafsunya dalam menghadapi dunia ini.”

Jika nafsu sudah terkekang dan keinginan nafsu untuk hidup bermewah berlebihan telah dikawal, manusia tidak lagi berusaha mengumpul harta secara haram dan berbuat kemaksiatan.

Hal ini akan melahirkan kesederhanaan dalam hidup, memungkinkan seseorang untuk mengutamakan orang lain dan bersedekah dengan makanan yang lebih kepada anak yatim serta orang miskin.

Seterusnya, kenal pasti dan klasifikasi semula keperluan serta keinginan. Umpamanya mengucapkan selamat tinggal kepada rancangan TV yang berbayar seperti Astro atau kurangkan makan di luar.

Amalkan masak dan makan di rumah bagi mengeratkan lagi hubungan seisi keluarga, bawa bekal ke pejabat atau ke sekolah, kaji penggunaan telefon di rumah dan telefon bimbit sekeluarga.

Beli hanya bila perlu, bukan bila mahu. Nafsu tanpa sempadan semua nampak berkilau tetapi jika kita tahu barang yang perlu dibeli maka kita akan mengurangkan pembaziran.

Jika sebelum ini kita kerap menonton wayang, berhibur, maka mulai sekarang duduklah saja berhibur di rumah, menonton televisyen atau bermain dengan anak-anak.

Sekiranya anda merokok, fikirkan secara serius, inilah masanya untuk berhenti, begitu juga jika kerap membeli pakaian baru hampir setiap bulan, maka mulai sekarang belilah pakaian baru setahun sekali semasa hari raya saja.

Langkah di atas mungkin nampak kecil, tetapi beberapa langkah kecil yang diamalkan berterusan akan memberi impak besar.

Jawapan oleh Endok Sempo dan Amir Razelan dari JIM dan boleh dihubungi di wanitajim@jim.org.my

INTI PATI

# Memperkayakan rohani dan menguatkan spiritual dengan melakukan solat tahajud untuk menenangkan hati.

# Banyakkan bersedekah kepada anak yatim, golongan miskin dan kalangan yang memerlukan.

# Banyakkan berpuasa seperti orang soleh setiap Isnin dan Khamis atau tiga kali sebulan.

# Kenal pasti dan klasifikasi semula keperluan serta keinginan.

# Minta maklum balas daripada orang yang mendengar dan jadi pendengar yang baik.

# Dalam menegur, berikan kata-kata perangsang dan naikkan semangat serta gantikan perkataan ‘tetapi’ dengan perkataan ‘dan’.

No comments: