Friday, March 31, 2006

Poligami bukan sekadar ghairah tambah isteri

Poligami bukan sekadar ghairah tambah isteri

SAYA berusia 31 tahun, isteri kedua dan mempunyai seorang anak lelaki berumur 10 bulan. Kami berkahwin selama dua tahun.

Masalah saya ialah suami selalu membandingkan saya dan isteri pertama.

Saya beranggapan suami lebih menyayangi isteri pertama. Saya bingung mengapa dia berkahwin dengan saya jika isteri pertamanya ‘sempurna’ seperti yang dikatakannya.

Saya tidak tahu di mana kekurangan diri ini kerana melayannya dengan baik ibarat menatang minyak yang penuh. Tolong beri saya nasihat dan pandangan untuk menguatkan semangat dalam menghadapi cabaran dan dugaan dalam rumahtangga kami.

Saya juga ingin tahu hak sebagai isteri kedua. Adakah anak saya mendapat hak yang sama seperti anak dengan isteri pertama. Bagaimana dengan suami yang adil dalam berpoligami?



ISTERI KECEWA,

Kuala Terengganu, Terengganu.



Dalam Islam apabila seseorang lelaki berpoligami dia perlu bersikap adil. Keadilan yang dimaksudkan di sini ialah dari segi penyediaan nafkah zahir dan batin. Ini termasuk giliran bermalam serta aspek fizikal dan keperluan kehidupan dalam bentuk kebendaan yang lain.

Dari segi perasaan, seorang suami mungkin mempunyai kecenderungan yang lebih ke atas salah seorang isterinya. Ini adalah tabii (fitrah semula jadi) yang tidak mungkin dimungkiri oleh jiwa manusia.

Namun, suami itu dilarang menunjuk-nunjuk kecenderungan terhadap mana-mana isteri, apatah lagi menyebutnya di depan isteri yang lain. Dalam erti kata lain, meskipun suami itu cenderung pada salah seorang isterinya, dia tidak boleh mempamerkannya pada isteri yang lain. Perbuatannya ini akan melukakan hati isteri lain dan Islam melarangnya.

Mengenai persoalan anak pula, seperti dituntut Islam, seorang suami hendaklah bersikap adil kepada isteri-isterinya. Begitu juga seorang ayah wajib berlaku adil kepada anak-anaknya sama ada anak daripada isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat.

Meskipun sebagai ayah atau ibu kadang-kadang kita cenderung kepada mana-mana anak atas sebab tertentu seperti paras rupa atau kepandaiannya. Namun, perlu disedari haram hukumnya melebihkan seorang anak ke atas anak yang lain atas sebab ini.

Setiap anak wajar mendapat perhatian dan layanan yang sama. Tidak wajar seorang anak merasakan ibu bapanya menyayangi adik-beradiknya yang lain lebih daripada dirinya. Mungkin anak itu kekurangan dari segi rupa paras atau kurang pandai, namun sepatutnya faktor inilah yang mendorong ibu bapa untuk menunjukkan keprihatinan yang lebih bagi meningkatkan keyakinan anak itu.

Dalam melayari kehidupan rumah tangga, lebih-lebih lagi berpoligami banyak cabaran yang perlu dihadapi.

Suami dan isteri wajib memahami tujuan berumahtangga. Mendirikan rumahtangga untuk memenuhi tuntutan fitrah semula jadi iaitu memperoleh kasih-sayang (mawaddah) dan rahmah (belas ihsan). (Rujuk surah ar-Rum, ayat 30). Untuk memenuhi tuntutan ini, setiap suami dan isteri mesti melaksanakan hak dan tanggungjawab masing-masing.

Jika suami terus-terusan membandingkan puan dengan isteri pertama, ini bermakna beliau tidak memahami hak isteri untuk dihormati perasaan dan maruahnya. Membuat perbandingan di antara isteri di hadapan mana-mana isteri bererti menjatuhkan maruah dan mengguriskan perasaan isteri. Perbuatan ini jelas menggugat kebahagiaan dan kesejahteraan rumahtangga.

Pandangan saya ialah puan berterus terang dengan suami. Nasihati beliau supaya tidak lagi menyebut-nyebut kelebihan isteri pertamanya di hadapan puan. Seperti puan menghormati isteri pertamanya, begitu jugalah puan mengharapkan suami menghormati perasaan puan sebagai isteri keduanya.

Namun, puan boleh juga menggunakan pendekatan reverse psychology. Maksud saya jika suami menyebut kelebihan isteri pertamanya, jika ia benar, puan hendaklah mengiyakan dan berusaha untuk mencontohinya. Jika kelebihan isteri pertama adalah perkara yang wajar dicontohi seperti suka berbuat kebajikan kepada orang lain, rajin menuntut ilmu dan pandai bergaul dengan masyarakat, maka tidak ada sebab yang menghalang puan untuk menyaingi isteri pertama.

Kita juga diperingatkan sifat Rasulullah SAW di dalam pergaulan berumahtangga. Baginda sering menyebut kebaikan isteri pertamanya Saidina Khadijah kepada isterinya yang lain selepas wafatnya Khadijah.

Saidatina Aishah terasa hati sehingga memarahi Rasulullah SAW yang sering menyebut-nyebut kebaikan Khadijah. Lalu Baginda berkata: “Dialah orang yang beriman kepadaku ketika orang lain kufur, dialah orang yang menyokongku ketika orang lain menolak dan memerangiku.”

Jelasnya di sini, Rasulullah SAW menyebut perkara yang baik mengenai Khadijah yang wajar dicemburui oleh isterinya yang lain. Namun, tidak ada kewajaran bagi suami menyebut kelebihan mana-mana isteri jika kelebihan itu adalah berkaitan paras rupa atau aspek fizikal yang lain.

Akhirnya, berusahalah untuk melakukan kebaikan dan amal salih, bukan sekadar untuk merebut hati suami, tetapi untuk memperoleh kasih-sayang Allah. Jika Allah mengasihi kita, maka kasih sayang manusia juga akan tumpah kepada kita. Mudah-mudahan puan memperoleh kebahagiaan yang dicari.



l Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor, pensyarah Universiti Putra Malaysia dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

No comments: