Friday, March 28, 2008
Politik beradab cermin masyarakat bermaruah
www. bicarakalbu.blogspot.com
Soalan
SEJAK akhir-akhir ini saya menerima dan mendengar pelbagai cerita mencemaskan yang boleh mencetuskan huru-hara dan pertelingkahan antara kaum. Keputusan pilihan raya yang mengejutkan menimbulkan satu persepsi serba baru kepada semua rakyat Malaysia yang menimbulkan perasaan bercampur-baur. Kononnya orang Melayu takut ketuanan Melayu hilang dan bangsa bukan Melayu pula takut tragedi rusuhan kaum berulang. Apakah sikap yang perlu kita ambil untuk menangani isu ini?
Fatimah Liew
Puchong Perdana
Jawapan:
Keputusan pilihan raya yang mengejutkan banyak pihak adalah manifestasi rakyat menggunakan kuasa undi dalam amalan demokrasi. Jangan terlalu emosional.
Keresahan timbul akan dapat diselesaikan jika kita semua memegang falsafah berjiwa besar apabila menang dan berlapang dada dalam kekalahan. Jangan risau dengan ketuanan Melayu akan hilang atau rusuhan kaum akan tercetus kerana Hak Melayu dijamin Perlembagaan. Perkara yang mengikat dan menjadi peraturan kita ialah Perlembagaan, dan ia mengikat semua orang, tidak mengira Melayu atau bukan Melayu.
Kita baru saja membuat pilihan. Kita akan ada lagi peluang untuk memilih kerana pilihan raya diadakan setiap empat tahun. Jangan terbawa-bawa dengan cerita yang tidak berlandaskan kebenaran dan tanpa bukti. Apa yang penting dalam suasana sekarang ialah rakyat harus bertenang, tidak menyebarkan khabar angin dan tidak memanjangkan khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima tanpa menyelidik dari mana punca cerita itu. Jangan mudah termakan sebarang bentuk elemen provokasi yang boleh mengundang perbalahan. Biar menggelegak di dada tetapi sejuk di kepala. Masyarakat juga perlu lebih berwaspada supaya tidak mudah terpengaruh dengan cerita palsu yang mengelirukan. Setiap cerita sensasi yang meragukan haruslah diselidiki supaya kita tidak melaksanakan perkara yang berbentuk provoksi dan menghasut.
Hayati firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah dilakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6) Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membawa berita dusta itu ialah segolongan daripada kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang) mereka sendiri dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata." (Surah an-Nuur. ayat 11-12) ..
Al-Quran turut memberi peringatan jelas kepada orang yang mendengar, menyebar fitna
dan tuduhan palsu, tanpa sikap berbaik sangka atau memastikannya terlebih dulu. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam adalah organisasi akar umbi yang boleh digerakkan potensinya secara maksimum. Inilah masanya mereka tampil ke depan, memperkasakan suara ummah daripada kaca mata dakwah. Selama ini suara ummah didominasi oleh parti politik. Langkah pantas 21 NGO Islam Pulau Pinang bertemu Ketua Menteri baru, harus dipuji dan dituruti negeri lain dengan segera. Wawasan politik orang dakwah adalah kesatuan ummah Islam tanpa
mengira bangsa dan kebajikan untuk semua.
Islam untuk semua bukan hanya monopoli untuk Melayu dan bukan musuh bangsa lain.
Diharapkan perubahan besar pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 semakin mengeratkan lagi ikatan persahabatan dan ukhuwah antara kita semua. Dalam agenda Islam untuk semua, semua rakyat Malaysia tanpa sebarang pengecualian haruslah mampu bergerak bersama. Di sinilah perlunya kebijaksanaan dan kematangan dalam berpolitik. Politik yang matang sentiasa ada semangat idealisme luhur bersandarkan lunas dan prinsip Islam sejati. Budaya politik beradab juga mencerminkan masyarakat bermaruah yang menolak taksub, mengutamakan perpaduan dan mengetepikan perbezaan ideologi, perkauman dan kerakusan terhadap kuasa demi kepentingan bangsa dan negara yang lebih murni. Semoga Allah memelihara kita semua dan menganugerahkan kekuatan untuk memakmurkan lagi bumi bertuah yang dikasihi ini.
Jawapan disediakan Ahli Jawatankuasa Wanita Jim Pusat, Endok Sempo M Tahir. Semua persoalan dan jawapan boleh dilayari di www. bicarakalbu.blogspot.com
Friday, March 07, 2008
Persahabatan renggang gara-gara pilihan raya
Persahabatan renggang gara-gara pilihan raya
SAYA mempunyai dua kategori kawan, seorang yang tidak mahu mengundi, kerana berpendapat mengundi pada pilihan raya umum ini membuang masa dan membawa permusuhan, sementara seorang lagi ialah seorang kaki kempen yang sangat bersemangat, tetapi tidak sensitif perasaan kawan. Saya melihat sejak demam pilihan raya ini hubungan dua orang kawan tadi menjadi renggang. Saya tidak suka bergaduh dan tersepit di tengah-tengah. Saya mengharapkan pilihan raya cepat selesai untuk melihat persahabatan antara kami bertiga kembali jernih.
Kawan simpati
Kajang, Selangor
PENDAPAT seorang kawan itu ada kebenarannya namun, tanggungjawab warga negara mesti ditunaikan dengan menjaga etika memilih pemimpin dalam pilihan raya. Negara berdemokrasi hanya dapat dilaksanakan jika semua rakyat faham hak mereka sebagai rakyat dan pengundi.
Jangan risau kerana hanya tinggal esok bagi rakyat Malaysia memilih wakil Dewan Undangan Negeri DUN dan Parlimen. Proses pemilihan dalam pilihan raya ini memberikan ruang kepada setiap individu yang layak memilih menurut rasional dan rasa hati nurani.
Dalam pada itu, kita perlu memahami etika Islam supaya proses demokrasi ini tidak dinodai dengan politik wang, pujukan dan ugutan atau cercaan yang menimbulkan tekanan serta paksaan kepada setiap pemilih.
Sejarah Islam yang panjang memaparkan kontroversi mengenai penentuan kriteria pemimpin. Dilema dalam menentukan pemilihan pemimpin bukan sesuatu perkara yang baru. Selepas kewafatan Rasulullah SAW pada 11 Hijrah/632 Masihi, umat Islam pernah digegarkan dengan isu serupa.
Selepas Rasulullah menghembuskan nafas terakhir, terjadi ketegangan antara golongan Muhajirin dan Ansar. Dua kekuatan besar itu bmerasakan masing-masing layak menduduki kerusi khalifah untuk menggantikan kepemimpinan Rasulullah SAW.
Perdebatan dan ketegangan berlaku ketika proses perlantikan secara sederhana berlangsung di Saqifah bani Saidah yang akhirnya melantik Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama. Yang paling menarik, pemilihan masyarakat Muslim ini serentak dengan ikrar taat setia kepada Abu Bakar.
Peristiwa ini secara tidak langsung mengiktiraf kedaulatan rakyat. Nilai yang diterapkan mencerminkan suatu sistem demokrasi sekali gus menepis pemerintahan alamonarki.
Walaupun pada masa itu tidak ada apa yang kita namakan pada hari ini sebagai pilihan raya, persetujuan golongan Muhajirin dan Ansar menyelesaikan masalah pemimpin memiliki hakikat yang tidak jauh bezanya dengan pilihan raya kita masa ini.
Melihat realiti sejarah, pemilihan seorang pemimpin itu dapat dijadikan bukti bahawa untuk memilih pemimpin dalam perspektif Islam adalah sebuah kemestian. Kepemimpinan dalam Islam dipandang sebagai satu instrumen penting bagi melindungi agama dan kemajuan mengurus kehidupan di dunia.
Kekosongan pemimpin akan mendatangkan kekacauan. Lebih daripada itu, menurut Islam, pemimpin adalah ‘bayangan khalifah’ Allah di muka bumi. Ulama bersepakat perlantikan pemimpin bagi kaum Muslim adalah wajib syarie.
Majoriti ulama menyatakan Islam adalah agama dan negara. Al-Ghazali melukiskan hubungan antara agama dan kekuasaan politik sebagai berikut: “Sultan (kekuasaan politik) adalah wajib untuk ketertiban dunia; ketertiban dunia wajib bagi ketertiban agama; ketertiban agama wajib bagi keberhasilan di akhirat.”
Inilah sebenarnya tujuan Rasul. Jadi wajib adanya imam adalah kewajipan agama yang tidak ada jalan untuk meninggalkannya.
Pemikir politik seperti Abu al-Hasan al-Mawardi dalam al-Ahkam al- Sulthaniyah, Ibn Taimiyah dalam al- Siyasah al-Syar’iyah, Yusuf Qardhawi dalam Fiqh al-Daulah dan Sayyid Muhammad Rasyid Ridha dalam al-Khilafah au al-Imamah al- ‘Udhma juga berpendapat serupa.
Siapakah sebenarnya orang yang berhak menjadi pemimpin (DUN dan Parlimen) yang bakal kita panggil Yang Berhormat (mesti pula yang berkhidmat untuk rakyat) dalam pandangan Islam.
Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menunjukkan secara jelas kriteria seorang pemimpin. Firman Allah bermaksud: “Pemimpin adalah seorang yang mampu memberi manfaat bagi orang yang dipimpinnya.” (Surah al-Maidah, ayat 42)
Apabila seseorang mahu menjadi pemimpin, ia harus berani tampil ke depan, memberi contoh yang hebat sama ada dalam ucapan dan perbuatan, memberi dan meniupkan semangat mengarah aspirasi, serta meningkatkan keazaman untuk berubah dan maju di tengah-tengah masyarakat.
Firman Allah lagi bermaksud: “Sesungguhnya Kami mengutus engkau (Muhammad) dengan kebenaran sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan dan engkau tidak akan diminta pertanggungjawaban mengenai penghuni-penghuni neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 119)
Al-Mawardi memberi tujuh syarat dalam penentuan kriteria pemilihan pemimpin iaitu:
l Bersifat adil yang mampu melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya dan tindak-tanduknya tidak bersikap diskriminasi. Keadilan bererti tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya.
l Memiliki pengetahuan yang luas dan bersifat universal supaya dia mampu mengupas berbagai persoalan termasuk mengistinbat hukum-hakam.
l Sihat pancaindera iaitu baik pendengaran, jelas penglihatan, dan petah lisannya apabila berbicara serta mantiqnya tinggi untuk menjawab persoalan rakyat.
l Sihat anggota badannya daripada pelbagai penyakit dan kekurangan. Dengan itu dia mampu memberikan maklum balas yang cepat untuk bertindak.
l Kreatif dalam mengatur dan menguruskan hal ehwal serta bijak menjaga kebajikan dan kebaikan rakyatnya.
l Memiliki keberanian dan berdiri teguh memelihara rakyatnya menghadapi kesusahan hidup termasuk serangan musuh;
l Nasab Quraisy. Syarat terakhir ditafsirkan secara kontekstual oleh Ibn Khaldun, lebih menekankan pada kualiti, kemampuan dan keterampilan.
Kriteria itu boleh dijadikan panduan kerana tugas pemimpin sangat berat. Oleh itu, Rasulullah SAW pernah memberi wasiat supaya umat Islam tidak meminta jawatan. Sabda Baginda bermaksud: “Janganlah kamu meminta jawatan, jika kamu diberi jawatan kerana meminta, ia akan menjadi (beban) berat, tetapi jika kamu diberi jawatan bukan kerana memintanya, maka Allah akan membantu kamu.”
Namun, pemahaman hadis itu pada masa sekarang, mungkin kurang popular, tetapi kita berhak memilih pemimpin menurut acuan di atas sebagai standard moral untuk memilih pemimpin yang bermoral, berpengetahuan dan komited terhadap kebajikan serta kebaikan rakyat.
Pilihlah pemimpin mengikut saranan al-Quran dan hadis. Pilih pemimpin yang mesra rakyat, tidak rasuah dan tidak gila kuasa, yang memancarkan wibawa kerana memiliki komitmen serta integriti. Pemimpin perlu amanah, bijak dan kreatif, jujur serta santun kepada rakyat.
Jawapan disediakan Ahli Jawatankuasa Wanita JIM, Endok Sempo M Tahir. Semua persoalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Friday, February 29, 2008
Denda hingga menjatuhkan maruah ganggu sahsiah anak
Jawapan oleh Dr Rohayah Husain dan Dr Habsah Hassan
Soalan:
SEORANG pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di pedalaman didenda guru sekolah disebabkan kenakalannya. Beliau dimalukan di hadapan perhimpunan sekolah dengan berdiri sepanjang waktu persekolahan dan kertas yang melabelkan perkataan menjatuhkan harga dirinya digantungkan di bangunan sekolah. Akibatnya, pelajar itu mengalami kemurungan. Seminggu selepas kejadian, pelajar itu dimasukkan ke hospital kerana mengalami gangguan mental. Persoalannya, wajarkah pelajar dihukum hingga menjatuhkan air muka dan mendatangkan tekanan kepada mereka? Apakah tindakan sewajarnya bagi menghukum pelajar?
Ingin tahu,
Kelantan
MUNGKIN kita tertanya-tanya apakah kesalahan yang dilakukan anak ini sehingga beliau dihukum sebegitu rupa. Namun apapun kesalahan beliau, hukuman yang menjatuhkan maruah seseorang lebih-lebih lagi kanak-kanak perlu dihentikan.
Denda seperti ini akan menyebabkan kanak-kanak berasa rendah diri dan mudah memberontak. Keadaan ini akan mengganggu pembentukan sahsiah mereka. Persoalannya, apakah tujuan sesuatu denda dijalankan? Jika untuk mendidik dan merubah sikap, pastinya denda itu tidak membantu.
Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-anak dalam Islam mengulas kaedah pendidikan berkesan kepada kanak-kanak yang bercirikan lemah lembut, penuh belas kasihan dan berperingkat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ajarkan mereka dan jangan mengkasari mereka, sesungguhnya guru itu lebih baik daripada seorang pengeras." (Riwayat al-Haris, at-Thayalisi dan al-Baihaqi)
Kaedah berperingkat dalam memulihkan disiplin anak adalah disarankan. Ia harus dimulakan dengan menunjukkan kesalahan melalui bimbingan, lemah lembut, memberi amaran sehingga peringkat merotan yang berpatutan.
Dalam kisah pelajar tadi, hukuman yang dikenakan memberi tekanan emosi yang serius kepadanya sehingga beliau terpaksa dimasukkan ke hospital. Beliau mengalami tekanan hingga memberi kesan kepada mentalnya.
Kemungkinan kenakalan beliau ketika di sekolah adalah manifestasi penyakit yang mula beliau alami beberapa bulan kebelakangan itu. Ibnu Khaldun menerangkan kesan akibat penggunaan kekerasan dalam mendidik. Katanya, kekerasan akan menjadikan anak seorang yang lemah semangat, pengecut dan rosaklah erti kemanusiaan dalam dirinya.
Menurut teori pembelajaran, pakar psikologi terkenal, B F Skinner menjelaskan bahawa sesuatu sikap yang baik akan dikekalkan atau bertambah jika diberi rangsangan positif yang berulang seperti pujian, kata-kata semangat dan hadiah.
Umumnya pakar psikologi menyarankan adalah lebih baik memperbanyakkan ganjaran terhadap perbuatan baik berbanding sering menghukum atau mencari kesalahan seseorang. Pengalaman kita sendiri membuktikan kita berasa yakin, lebih bertenaga dan mudah berubah jika diberi layanan seperti itu.
Apa yang berlaku kepada pelajar itu bukan kes terpencil kerana kita juga dikejutkan dengan kisah guru memukul murid menggunakan kasut hingga cedera dan diajar menipu tidak berapa lama dulu.
Didikan yang hanya mengikut perasaan wajar dihentikan, tetapi bukan guru saja harus dipersalahkan tetapi sistem pendidikan yang hanya berorientasikan kecemerlangan akademik, di samping bebanan kerja guru dan kurangnya penekanan kepada pembentukan akhlak.
Khabarnya kurikulum pendidikan sekolah rendah dan menengah akan dirombak dalam jangka masa terdekat, moga lebih banyak ciri pendidikan Rasulullah SAW diterapkan memandangkan Malaysia kini adalah negara Islam yang disegani.
Jawapan disediakan pensyarah dan pakar psikiatri, Dr Rohayah Husain bersama pensyarah dan pakar mikrobiologi, Dr Habsah Hassan dari Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kelantan dengan kerjasama Wanita Jim.
Friday, February 22, 2008
Percaya ramalan dukun tidak ditunjangi akidah
SALAH seorang ahli keluarga saya adalah seorang dukun. Ramai yang datang menemuinya kerana pelbagai tujuan antaranya untuk mendapat jampi serapah bagi menyembuh penyakit, meminta tangkal supaya digeruni, menilik barang hilang dan ingin mencari jodoh. Terkini, sejak demam pilihan raya, ramai datang untuk meramal nasib sama ada dipilih untuk dicalonkan atau tidak, menang atau kalah. Persoalan saya, apakah garis pemisah dalam mempercayai perkara ghaib ini supaya tidak tergelincir akidah kerana apa yang saya difahamkan kita diwajibkan mempercayai perkara yang ghaib?
Siswi desa, Kuala Lumpur.
JAWAPAN:
Persoalan saudari meliputi profesion bomoh, dukun, peramal nasib dan ahli nujum. Kini istilah dukun dilihat daripada perspektif positif. Dukun tidak lagi dikaitkan dengan dunia perbomohan kerana dukun sekarang tidak membabitkan mekanisme pelik seperti dilakukan bomoh.
Bukan sedikit orang terjebak dengan kata-kata bohong dan permainan kotor bomoh. Malangnya, ada yang terpengaruh dengan dunia bomoh ini adalah daripada kalangan intelektual dan berkelulusan tinggi. Fenomena ini berlaku kerana kepandaian mereka tidak ditunjangi akidah Islam yang murni dan telus. Kadang kala fenomena itu melanda orang yang cintakan dunia dan gila kuasa.
Bomoh dalam bahasa Arab disebut Kahin dan tukang ramal disebut 'Arraf. Pengertian 'Arraf (tukang ramal atau tenung nasib) adalah orang yang mengaku mengetahui kejadian sudah lalu, kononnya boleh menunjukkan/menjumpai barang dicuri atau tempat hilangnya suatu barang.
Pengertian Kahin adalah orang memberitakan hal ghaib yang akan terjadi atau sesuatu terkandung di hati. Menurut Syeikh Islam Ibnu Taimiyah, "'Arraf , Kahin , Munajjim (ahli nujum-meramal nasib berpandukan bintang) adalah nama yang sama untuk dua makna di atas." Pengetahuan terhadap perkara ghaib adalah perkara yang menjadi rahsia Allah. Termasuk sifat Allah SWT paling khusus, yang tidak ada seorang makhluk pun dapat menyamainya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "(Dia adalah Rabb) yang mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun mengenai yang ghaib itu, kecuali kepada rasul yang diredaiNya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangNya" (Surah Al-Jin, ayat 26-27)
Bomoh membawa lebih mudarat daripada kebaikan. Masyarakat tertipu sudah membazirkan harta demi mendapatkan ilmu ghaib dan mendapatkan khidmat ghaib menurut sangkaan mereka. Bomoh memberitahu mereka beberapa perkara secara kebetulan benar dan sebahagian besarnya tidak benar. Bohong semata.
Padahal Nabi pun tidak tahu perkara ghaib dan apa yang akan berlaku seperti mana Allah SWT berfirman kepada nabi-Nya yang bermaksud: "Katakanlah. Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudaratan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman?" (Surah Al-A'raf, ayat 188) .
Jika Nabi pun tidak mengetahui perkara ghaib, maka orang lain pasti tidak tahu. Secara logiknya Baginda lebih tahu dan berhak daripada mereka.
Panduan berikut boleh mengelakkan kita tergelincir akidah apabila berdepan dengan fenomena perbomohan: l Kita perlu mengenal pasti dan memahami ilmu ghaib yang bersumberkan daripada ayat al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
l Kita perlu berwaspada kerana kebanyakan orang yang mengaku mengetahui perkara ghaib bukanlah orang baik dan bertakwa. Orang yang bertakwa tidak mudah mengaku atau mencanang kelebihannya.
l Kita perlu sedari, jika mengetahui hal yang ghaib adalah daripada keimanan yang benar, tentunya orang paling berhak ialah Rasulullah SAW. Aisyah isteri Nabi berkata, "Ada sekelompok orang yang bertanya kepada Rasulullah SAW masalah bomoh dan tukang tenung. Baginda menjawab: Mereka tidak ada apa-apanya. Kemudian mereka bertanya lagi: Wahai Rasulullah, kadangkala mereka membicarakan sesuatu yang benar. Maka Rasulullah menjawab: Itulah sebuah kalimat kebenaran yang dicuri oleh jin, lalu disampaikan kepada telinga pembelanya, kemudian pembela jin ini mencampurkanya/menambah dengan seratus pembohongan."
Jawapan disediakan Ahli Jawatankuasa Wanita JIM, Endok Sempo Mohd Tahir. Semua persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Friday, February 15, 2008
Harus sertai perayaan kaum tidak bersifat agama
SAYA sangat seronok setiap kali menjelang hari perayaan sepanjang tahun contohnya cuti Tahun Baru Cina kerana dapat berehat dan berekreasi. Namun, kadangkala terlintas di fikiran apakah sikap yang sepatutnya saya pegang dan pendirian patut ditegakkan terhadap isu merayakan hari raya, keramaian dan upacara dalam masyarakat berbilang kaum serta agama yang unik di Malaysia ini? Mohon penjelasan.
Ahmad Millenium Bangsar, Kuala Lumpur
JAWAPAN
Soalan saudara relevan dengan permasalahan kontemporari yang perlu kita kaji bersama terutama mengenai konsep kongsi raya. Permasalahan itu perlu dihurai dengan pemahaman yang betul untuk mengelakkan salah faham generasi baru. Berterusan menghadiri perayaan seperti ini (tanpa mengetahui hujah di sebalik hukum boleh dan tidak boleh) berkemungkinan besar membina satu tanggapan salah di kalangan generasi Islam yang mendatang.
Masalah atau isu yang timbul sekarang ialah apakah perayaan di Malaysia perayaan bersifat keagamaan atau hanya perayaan bersifat tradisi dan adat resam. Ada perbezaan jelas antara kedua jenis perayaan itu dan cara kita menanganinya juga berbeza. Apabila datuk nenek dan ibu bapa mereka hadir dalam perayaan keagamaan, anak cucu dan kawan akan beranggapan perayaan agama lain itu sama saja dengan perayaan Islam. Lebih parah, mereka mungkin beranggapan agama yang dirayakan perayaan itu juga adalah agama yang boleh dianuti, sama dengan agama Islam.
Sedangkan hakikatnya ia adalah berbeza. Perayaan Islam berpaksikan akidah, syariat yang sah dan agama yang benar, sedangkan perayaan agama lain berpaksikan kepada kepercayaan batil. Oleh itu, turut hadir dalam perayaan jenis itu adalah ditegah berdasarkan kaedah sad al-zari’ah, menutup ruang yang boleh mendatangkan keburukan. Atau dengan kata lain, sebagai langkah berjaga-jaga. Hubungan dan sikap orang Islam terhadap semua agama dan perayaan bukan Islam dalam masyarakat ialah seperti berikut:
l Hubungan yang memberikan kepada penganut agama lain kebebasan melaksanakan ajaran agama mereka selagi ia tidak membawa fitnah dan menggugat akidah penganut agama Islam
l Hubungan yang didasarkan kepada usaha dakwah mengajak mereka menganut agama Islam atau paling kurang mereka faham bahawa Islam tidak akan merugi, menindas atau menzalimi mereka. Dakwah ini mestilah dilakukan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, bukan dengan paksaan.
l Hubungan lain ialah melaksanakan perintah syarak supaya menghapuskan kemungkaran. Kemungkaran paling besar di bumi ialah kufur kepada Allah. Penganut agama, selain Islam di dunia adalah kufur kepada Allah atau paling kurang tidak menerima kerasulan Muhammad SAW. Justeru, sikap dan pendirian orang Islam terhadap perayaan agama lain di Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan perkongsian kuasa antara warga Islam mestilah sama dengan sikap Islam terhadap semua agama yang bukan agama Islam.
Bersabit isu orang bukan Islam merayakan perayaan orang Islam, sama ada sambutan Aidilfitri, Aidiladha atau lainnya, ia adalah diharuskan dalam erti kata mereka bukan melakukan solat hari raya itu. Jika mereka melakukan solat, ia tidak sah. Namun jika mereka turut serta mendengar khutbah kedua-dua hari raya itu maka ia adalah harus. Tiada tegahan syarak orang bukan Islam mendengar ajaran Islam, termasuk khutbah yang sarat dengan ajaran Islam, digalakkan mendengarnya.
Bersabit dengan orang Islam merayakan perayaan orang bukan Islam, dua keadaan berikut mesti diambil perhatian berat.
Pertama, jika perayaan itu hanya bersifat adat tradisi sesuatu kaum, tidak bersifat dan bercirikan agama, dalam majlis atau perayaan itu tidak ada upacara keagamaan, perayaan itu boleh disertai orang Islam. Perayaan seperti itu tidak ada kaitan dengan unsur akidah dan doktrin agama yang berkemungkinan membawa fitnah atau subahat kepada akidah dan pegangan agama penganut Islam. Baik mereka yang menghadirinya atau orang lain yang melihat mereka menghadirinya.
Kedua, jika perayaan itu berpunca daripada ajaran atau pegangan agama, mengandungi unsur keagamaan, ada upacara keagamaan maka penganut agama Islam tidak dibolehkan serta dilarang turut serta meraikannya. Tegahan berdasarkan kepada keadaan di mana perayaan mengandungi upacara keagamaan yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam seperti pemujaan terhadap tuhan atau dewa. Kehadiran orang bukan Islam boleh mendatangkan fitnah. Dalam Islam sesuatu yang memudaratkan mestilah dihapuskan, syubhat juga mesti dijauhi seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak boleh (berlaku) sebarang mudarat dan tidak boleh (berlaku) yang memudaratkan.”
Jawapan disediakan bekas pensyarah Universiti Malaya, Alias Othman. Persoalan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Friday, February 01, 2008
Tinggal berasingan elak krisis mentua, menantu
Jawapan oleh Endok Sempo M Tahir
http://www.bicarakalbu.blogspot.com/
SAYA sudah berumah tangga selama tiga tahun dan ada seorang anak. Sejak berkahwin hingga sekarang kami masih tinggal bersama mentua. Suami saya bekerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang kecil di bandar. Suami pulang ke kampung seminggu sekali. Pada awal perkahwinan mentua sangat positif dan menerima dengan baik dan berasa cukup selesa tinggal sebumbung. Namun sejak akhir-akhir ini hubungan saya dengan ibu mentua mulai dingin dan kurang baik. Beliau sering menunjukkan sikap sinis terhadap saya dan menunjukkan perilaku yang tidak menyenangkan seolah-olah ia tidak suka dengan kehadiran saya. Beliau selalu menunjuk-nunjuk kelebihan anak lain dan membanggakan anak dan menantunya yang yang semuanya tinggal di bandar. Bukan sekali dua mentua saya itu membandingkan gaji suami saya dengan gaji anak-anaknya yang lain yang jauh lebih tinggi. Di samping itu, ibu mentua saya juga selalu menceritakan kebaikan menantu lain. Beliau mesti memuji melambung dan memberi penghargaan melangit dan perhatian yang sengaja menunjuk-nunjuk di depan saya. Ini membuat saya berasa pengabdian saya terhadap mentua selama ini tidak pernah dihargai. Kekecewaan ini saya adukan kepada suami. Tetapi aduan saya seolah olah tidak dapat diterima oleh suami dan kami bertengkar. Berilah sedikit nasihat apakah langkah terbaik buat kami untuk menghindari perkara itu atau adakah lebih baik jika kami pindah ke tempat lain?
Suhana, Muar Johor
PUAN berasa kecewa dengan perilaku mentua kerana beliau selalu membanding-bandingkan dan membanggakan anak serta menantu yang lain. Di samping itu berasa jerih payah puan selama ini kurang dihargai. Ibu mentua lebih menghargai pengorbanan menantu yang pulang sekali sekala. Berbincanglah dengan cara yang paling baik dan berdiplomasi kepada suami dan luahkan rasa isi hati puan. Mungkin puan tidak membenci mentua. Mungkin juga mentua puan tidak bermaksud untuk menyakiti puan.. Apa yang berlaku ialah adanya pelbagai perbezaan sudut pandang dan nilai dipegang. Mungkin ini menyebabkan salah faham antara menantu dan mentua. Jika tidak diurus dengan baik dan dicari penyelesaian segera, kita bimbang perkara yang kecil sebegini boleh berkembang dan menjadi masalah yang sangat kompleks.
Mungkin beberapa langkah boleh mengelakkan pertengkaran lebih besar:
Mengajak suami menilai semula keputusan tinggal berasingan.
Keputusan untuk tidak tinggal bersama diambil, puan sebagai isteri tinggal di kampung dan suami tinggal di bandar. Keputusan ini sudah tentu berdasarkan pertimbangan ekonomi dan hubungan baik menantu-mentua pada peringkat awal. Selepas beberapa lama hidup bersama mentua, ada pula keluhan dan perasaan tidak puas hati. Ini adalah perkara yang wajar dan dijangka berlaku dalam hubungan mentua yang hidup sebumbung.
Oleh itu puan dan suami perlu melihat, menimbang dan menilai kembali keputusan lalu. Mungkin masanya tiba untuk keluarga puan berpindah ke rumah sendiri, mengikut suami tinggal di bandar. Fitrah wanita sentiasa mengharap menjadi permaisuri di rumahnya sendiri. Jika masih menumpang di rumah mentua, mentua sebenarnya yang menjadi permaisuri rumah itu. Cari masa sesuai dan waktu yang tepat untuk memulakan perbincangan. Fokuskan perbincangan kepada keputusan untuk tinggal bersama. Jelaskan kepada suami fitrah kehidupan adalah perubahan. Dunia berubah dan kita juga berubah, demikian juga hubungan suami isteri juga perlukan perubahan kepada yang lebih baik. Puan perlu keintiman hubungan yang lebih. Perubahan adalah satu kemestian. Berbincang berasa semakin sukar dan tertekan dengan hidup yang berjauhan suami yang memisahkan keintiman kasih keluarga, antara suami dan isteri serta ayah dengan anak. Katakan kepada suami tiga tahun adalah satu masa yang lama untuk hidup berjauhan dan berpisah. Masalah ekonomi mungkin tidak timbul lagi kerana suami telah bekerja beberapa lama dan gaji juga meningkat. Sampaikan kepada suami dan mentua ada perbezaan sudut pandang dan nilai dipegang dan ini menimbulkan salah faham antara puan dan mentua. Kalau tidak ditangani dengan bijak pemasalahan itu mungkin boleh merebak dan menjadi masalah sangat kompleks. Tekankan kepadanya kadangkala seorang isteri tidak bertujuan menyakiti perasaan mentuanya, tetapi kerana adanya perbezaan sudut pandang suatu perbuatan atau perkataan yang tidak bertujuan menghina boleh diertikan sebagai perilaku menghina. Begitu juga sebaliknya, mentua mungkin tidak bermaksud mencemuh atau merendah menantunya, tetapi kerana cara beliau mengekspresikannya kurang tepat atau kadang-kadang terlebih kata, ini menyebabkan menantu tersinggung. Contohnya ada mentua yang sangat baik kepada menantunya tetapi cepat marah bila sesuatu yang bersifat peribadi ditanyakan kepadanya. Puan masih dalam proses belajar mengenali mentua. Tunjukkan kepada suami berusaha untuk tidak mudah tersinggung dengan sikap mentua itu, apalagi yang didasarkan pada prasangka. Puan perlukan masa bertenang untuk melakukan ini.
Jangan mengkritik ibu mentua.
Menantu yang peka terhadap perasaan suami tidak sekali kali mengkritik ibunya (mentua) di depan suami. Walau bagaimana buruknya perangai ibu ia tetap ibu kandungnya. Perlu diingat pertalian darah tidak akan hilang sampai bila-bila dan kasih ibu anak tidak boleh dipisahkan. Kata-kata negatif mengenai ibu kandungnya hanya akan membuat suami puan defensif dan semakin menjauhi. Jika ada tingkah laku mentua tidak menyenangkan hati, puan boleh saja minta suami untuk 'menegur' ibu kandungnya. Teguran itu mestilah dengan kata-kata yang sesuai dan sopan. Kalau anaknya sendiri yang menegurnya, sudah tentu si ibu mentua akan cepat memaafkan dan melupakannya. Lain halnya jika puan yang mengatakannya sendiri kepada ibu mentua. Kemungkinan hubungan puan dengan dia akan bertambah rumit dan setiap kata-kata puan itu mungkin akan dibawa sampai mati.
Kenali mentua .
Walaupun ibu mentua bukan sahabat, tetapi puan cuba selami dirinya dan fahami cara fikirannya. Apabila anda anda masuk ke dalam kehidupan suami ini bermakna 'memisahkan' ia dengan anak yang dicintainya. Cuba bayangkan puan menjadi dia, tiba-tiba anak lelaki meninggalkan puan, apakah perasaan puan? Sabar adalah kata kunci mengambil hati mentua. Jika puan dapat lebih bersabar, selalu memberi perhatian dan sikap positif terhadap ibu mentua, lama-lama akan lembut hatinya. Apabila perbuatan negatif dibalas tindakan negatif maka selalunya hasil tidak menggembirakan.
Muhasabah diri.
Suasana hati menjadi lebih tenang dan dapat berfikir dengan lebih jernih, puan cuba periksa diri mengapa agaknya mentua bersikap demikian. Tanyakan pada diri sendiri apakah selama ini puan selalu merasa betul dan tidak boleh ditegur? Adakah puan melihat sesuatu permasalahan secara secara objektif? Tidak adakah perkara positif atau masa indah yang dilalui bersama-sama? Apakah untung ruginya jika puan berterusan bermasalah dengan mentua? Lakukan muhasabah diri secara mendalam. Ingatlah setiap perselisihan pasti membabitkan lebih dari satu orang dan dalam hal ini tidak ada yang tidak bersalah. Jika sebelum ini puan cenderung memikirkan perkara berkaitan mentua secara negatif dan selalu menyalahkan orang lain. Puan perlu mengubah minda dan pola berfikir puan. Belajar melihat permasalahan secara objektif dan positif. Ingatlah ungkapan yang mengatakan: change your thoughts and you change your world. Selain itu cuba belajar untuk tidak menghakimi atau menilai mentua dengan nilai yang ada dalam diri sendiri. Sebab jika cara seperti itu yang puan gunakan maka sukar bagi puan memulakan inisiatif penyelesaian masalah dengan mentua. Mother Teresa pernah mengatakan "If you judge people, you have no time to love them".
Beri dorongan kepada suami.
Selepas dapat mengendalikan diri sendiri dalam menghadapi kekecewaan, suami pula menampakkan sifat keterbukaan dan melihat permasalahan dalam rumah tangga beberapa penilaian, maka puan perlu berikan dorongan kepada suami untuk berani mengambil tindakan. Perlu kuatkan tekad suami, pilihan sama ada pindah atau tidak masing-masing ada kesan positif dan negatifnya. Pertimbangkan dengan fikiran jernih pilihan mana yang lebih banyak kesan positifnya, Setelah dapat memutuskan dengan pertimbangan akal sihat, berilah dorongan semangat kepada suami untuk menguatkan diri melangkah ke depan mengikuti keputusan terbaik yang dibuat. Mungkin mulai hari ini galakkan suami membelikan atau hadiah yang menyukakan hati ibunya, misalnya suami belikan kain batik yang kualitinya sama dengan kain batik yang dibelikan untuk puan. Perlu juga sekali sekala suami membalas budi orang tuanya.
Selalu bersabar dan berdoa
Bersabar dan berdoa adalah gandingan amal yang al-Quran sebut dalam surah al- Baqarah was taiinu bissabri wassalah, mintalah perlindungan dengan solat sabar dan solat. Bersabarlah melayani kerenah mentua dan dalam masa yang sama jangan putus asa berdoa. Kita semua diuji Allah dengan cara berbeza. Ada yang diuji dengan banjir, kematian, kesakitan, kecurian, manakala puan diuji dengan permasalahan keluarga. Puan boleh mengamalkan doa orang yang diuji ketika menghadapi urusan yang sukar Moga ia boleh meringankan beban puan. Allahumma laa sahla illa maa ja'altahu sahlaa, wa anta taj 'alul hazna idza shi'ta sahlaa Ya Allah, maksudnya: Tiada yang mudah melainkan apa yang Engkau jadikannya mudah. Engkau yang menjadikan kesedihan itu (lenyap) apabila Engkau hendak jadikannya mudah. - (Riwayat Ibn Hibban). As alullah hal 'adhim Rabbal 'Arshil 'adhim ayyash fik (7 kali) - Bermaksud: "Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan yang Menguasai Arasy yang Agung supaya Dia menyembuhkanmu." - (Riwayat Tarmidhi & Abu Dawud) .
Jawapan disediakan oleh Endok Sempo M Tahir , AJK Wanita JIM. Semua permasalahan yang lalu serta jawapannya boleh di layari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Friday, January 25, 2008
Isteri kedua terabai tak dapat hak giliran
www.bicarakalbu.blogspot.com
SAYA mohon pandangan bagaimana untuk meningkatkan keyakinan dan jati diri sebagai wanita Islam yang sudah insaf. Sebenarnya saya adalah isteri kedua dan berkahwin secara rahsia tanpa pengetahuan isteri pertama. Pada mulanya sukar untuk menerima realiti berkahwin dengan suami orang. Pelbagai cabaran dihadapi, namun saya menerimanya dengan ikhlas dan berharap suami berlaku adil kepada saya dan madu.
Isteri pertama tidak dapat menerima saya hingga hari ini. Oleh itu, sejak peringkat awal perkahwinan, saya tidak ada giliran. Suami meminta supaya seluruh giliran saya diberikan kepada isteri tua. Untuk tidak mengeruhkan keadaan, saya menerimanya dengan bersyarat. Kami membuat perjanjian yang dipersetujui bersama, apabila saya mempunyai zuriat nanti giliran isteri akan diberi sama rata. Sejak itu, suami hanya berjumpa saya pada waktu kerja. Kini sudah lima tahun usia pernikahan dan kami dikurniakan cahaya mata. Namun suami tidak melaksanakan janjinya.
Bukan saya tidak bertimbang rasa kerana dalam banyak perkara saya mengalah. Apakah lagi yang perlu saya lakukan? Bagaimanakah langkah seterusnya yang harus dilakukan? Bersabar yang bagaimanakah harus ditabahkan? Saya sentiasa berdoa supaya Allah memberi kekuatan dalam menempuh segala ujian datang.
Adakah sama status isteri kedua, ketiga dan keempat? Apakah makna sebenarnya adil dalam konteks poligami? Bantulah saya menangani masalah ini kerana saya fikirkan mengenai pendidikan anak kerana saya sudah berkorban dengan merelakan giliran saya diambil. Saya bingung, apabila balik ke kampung hanya bersama anak dan bersendirian menghadapi segala permasalahan rumah tangga ini.
Isteri kedua yang terabai
Shah Alam
PUAN yang dirahmati Allah. Izinkan saya memberi pandangan dan berkongsi pengalaman kerana saya juga adalah isteri kedua. Semoga perkongsian ini akan dapat memberikan manfaat dan nilai tambah dalam usaha puan memperbaiki keadaan.
Pertama, dalam kehidupan suami isteri sama ada seorang isteri atau berbilang isteri, yang ingin kita capai adalah sakinah, mawaddah dan rahmah seperti diajarkan Allah kepada kita dalam al-Quran.
Allah berfirman bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati (ketenangan) dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir." (Surah ar-Ruum, ayat 21)
Apatah lagi dalam rumah tangga poligami yang terkadang kita terjerumus kepada hanya mementingkan hak kita saja sama ada isteri pertama atau isteri kedua hingga kita mengabaikan elemen sakinah (bersenang hati dalam ketenangan dan kemesraan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan).
Tujuan poligami dalam Islam ialah untuk membela wanita. Ia bermakna mana-mana wanita berada dalam institusi perkahwinan poligami akan mendapat jaminan pembelaan baik dari sudut emosional dan fizikal.
Ia bermakna semua isteri mempunyai hak mendapat layanan seimbang daripada suami baik daripada sudut menyempurnakan nafkah lahir dan batin. Walaupun dari sudut kasih sayang tidak ada manusia yang boleh bersikap adil, namun suami tidak boleh melebihkan salah seorang isterinya semata-mata kerana dia cenderung atau lebih mencintainya.
Dia wajib bersikap adil sama ada dari sudut giliran antara isterinya, juga dalam menyara mereka. Merujuk kepada penulisan puan, perkahwinan sudah berlaku. Antara risiko ditanggung isteri kedua yang berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama ialah yang berlaku kepada puan.
Jika suami kurang bertanggungjawab dan tidak menjalankan amanah perkahwinan, maka ia akan mudah melakukan penyelewengan dalam soal pembahagian hak giliran dan keadilan memberi nafkah.
Persoalan sama ada isteri pertama menerima puan atau tidak bukanlah asas yang membolehkan suami tidak menjalankan tanggungjawab dan menyeleweng daripada keadilan terhadap isterinya.
Apabila akad dilakukan itu sah, maka suami wajib bertanggungjawab sepenuhnya atas lafaz berkenaan seperti beliau harus bertanggungjawab kepada isteri pertamanya.
Namun, disebabkan perkahwinan ini dilakukan rahsia, maka di sinilah isteri kedua banyak terperangkap dalam 'mengalah' supaya suami tidak menghadapi kesukaran dan isteri kedua pula berpada demi 'mengharmonikan' suami dan 'mendamaikan' keadaan rumah tangga sendiri.
Namun, keadaan mengalah ini tidak dapat bertahan lama kerana suami tidak mengambil langkah positif selepas beliau mempunyai dua isteri. Oleh kerana asas pertama perkahwinan tidak dilakukan dengan baik, akhirnya puan yang akan menderita sedang suami seolah-olah lepas tangan.
Jika puan berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama dan suami tidak mempunyai surat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Negeri serta tidak mempunyai surat perintah mahkamah yang membenarkan poligami dilaksanakan, maka benteng pertahanan puan untuk meminta suami menjalankan tanggungjawabnya semakin tipis kerana beliau tidak terikat dengan mana-mana institusi yang boleh mengawal beliau daripada melakukan ketidakadilan.
Perkara inilah yang selalu dipandang ringan isteri kedua, ketiga dan keempat sebelum mereka mendirikan rumah tangga. Walaupun ada perjanjian antara puan dan suami, oleh kerana perkahwinan ini tidak mengikut prosedur undang-undang yang betul, maka sukar mendapatkan apa dijanjikan suami.
Jika puan masih mengharap sesuatu yang baik daripada perkahwinan ini, maka puan dan suami perlu berbincang memperbaiki keadaan. Sila hubungi pejabat agama untuk mendaftarkan semula perkahwinan walaupun puan akan didenda nanti.
Jika isteri pertama masih tidak menerima puan, itu tidaklah menjadi penyebab kepada suami mengabaikan puan. Walaupun di sisi undang-undang suami boleh terlepas, namun mungkin puan perlu memperingatkan mengenai tanggungjawabnya dengan Allah yang akan dipersoalkan kelak.
Isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat, statusnya sama saja. Giliran perlu dilakukan dengan adil seperti ditunjukkan Rasulullah SAW. Jika berlaku kelebihan kepada isteri pertama atau kedua, ia mestilah memperoleh kebenaran dan keredaan daripada isteri lain.
Jadual penggiliran pula tidak ditentukan oleh bilangan anak. Penggiliran adalah hak isteri, tiada kaitan dengan anak. Oleh itu, jika beristeri dua, bilangan hari suami bersama kedua isterinya mesti sama, melainkan terlebih kurang, itupun atas budi bicara masing-masing.
Bagaimanapun, dari sudut keadilan nafkah lahir, ini sudah semestinya berdasarkan bilangan tanggungan. Jika isteri yang pertama mempunyai lapan anak dan kedua lima anak, sudah tentu pemberian nafkah berdasarkan berapa mulut yang perlu disuap.
Oleh kerana isteri pertama punya anak yang lebih ramai semestinya jumlah elaun saraan hidup untuk keluarga pertama lebih besar, sejajar dengan bilangan isi rumahnya. Cuma dalam aspek pengendalian kehidupan seperti jumlah anak berbeza sudah pasti keadilan itu tidak diukur dengan sama rata.
Isteri mempunyai anak ramai tentulah pengurusannya tidak sama dengan isteri yang mempunyai anak sedikit. Namun secara keseluruhan, aspek kehidupan baik isteri pertama mahupun isteri kedua, perlulah saling bekerjasama dan berlapang dada.
Namun, dalam aspek ini tidaklah sampai hak dan kebajikan isteri pertama atau kedua terabai. Pun begitu tidaklah kerana mementingkan hak keharmonian rumah tangga tergugat kerana tiada kebahagiaan dapat dicapai jika salah satu pihak selalu melakukan masalah dan menggugat keharmonian rumah tangga. Tangan mesti bertepuk kedua belah untuk berbunyi.
Oleh itu, bagi memperbaiki keadaan, saya mencadangkan supaya puan berbincang dengan suami akan hal ini. Jika perbincangan tidak berhasil, suami masih tidak mengambil tindakan, maka puan perlu mendapatkan pihak ketiga yang dipercayai dan dihormati suami.
Jika masih tidak berjaya, puan bolehlah menggunakan institusi pengaduan (institusi sulh dengan tujuan memperbaiki keadaan puan sekeluarga).
Bersabar ialah menahan diri daripada segala sifat keji dan mengelakkan melakukan perkara kurang bijak. Sabar mesti dipasangkan dengan solat, bukan sabar berdiam diri dan memendam perasaan, tetapi perlu berusaha dan berdoa kepada Allah.
Allah berfirman bermaksud: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat (sembahyang) dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk." (Surah al-Baqarah, ayat 45)
Semoga puan terus tabah mengharungi kehidupan berpoligami. Sentiasalah mendekatkan diri dan mengadu kepada Allah kerana terkadang kita tidak tahu Allah menurunkan sakinah kedamaian-Nya kepada kita tanpa disangka.
Berbincanglah dengan baik bersama suami. Jika ada ruang dan peluang, bersemuka dengan isteri pertama, berbincang dari hati ke hati. Jangan bertangguh hingga sesuatu perkara buruk berlaku, barulah kita ingin berkongsi kasih secara harmoni.
Jawapan disediakan Siti Hamisah Manan dan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor. Semua persoalan yang lalu boleh layari www.bicarakalbu.blogspot.com
Friday, January 18, 2008
Syariah kerangka hidup berasaskan Islam dinamik
Gadis ingin tahu
Jelebu, Negeri Sembilan.
SAYA dapat bayangkan apa yang tergambar di benak pemikiran adik, sebaik saja kita sebut perkataan syariah. Tidak menghairankan sekiranya ramai antara kita yang akan terus membayangkan premis bangunan mahkamah syariah, tempat di mana umat Melayu Islam pergi untuk urusan nikah cerai perkahwinan mereka. Ramai juga yang akan membayangkan hukuman sebat dan rejam ala filem Melayu, Semerah Padi.
Atau tergambar deretan graduan kelulusan Kuliyyah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa menerima skrol ijazah mereka, yang bakal digelar peguam syarie. Inilah gambaran biasa apabila kita sebut perkataan syariah. Gambaran itu tidak salah, tetapi kurang tepat dan belum lengkap.
Perkataan syariah secara bahasanya diambil daripada perkataan syaari, membawa makna jalan atau alur menuju sumber air. Dari sudut bahasa sendiri, gambaran yang diberikan oleh perkataan akar syariah itu sudah dapat menjelaskan maksudnya sebagai jalan atau cara untuk menuju kepada satu matlamat.
Secara khususnya, syariah adalah perundangan dan ketetapan berasaskan Islam yang bersifat dinamik. Ia adalah satu kerangka peraturan perundangan di mana aspek kehidupan umum dan peribadi disusun atur berasaskan prinsip Islam.
Syariah mempunyai hubungan terus dengan semua aspek hidup seharian seperti politik, ekonomi, perniagaan, kekeluargaan, seksual dan isu sosial. Secara umumnya, syariah bukanlah satu susunan kod undang-undang yang statik dan tidak boleh berubah.
Lebih tepat untuk mengatakan bahawa syariah adalah satu sistem membentuk dan menjalani kehidupan seharian yang berperaturan dan menggubal undang-undang, berasaskan rujukan asas iaitu al-Quran, hadis, ijma dan qiyas.
Kita cuba hayati maksud ayat ke-13, Surah Asy-Syuraa yang diperturunkan di bawah ini:
Allah mensyariatkan kepada kamu di antara perkara agama yang diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh dan yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintah kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkan pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisih pada dasarnya.
Syariah adalah satu cara atau kaedah hidup ditentukan Ilahi untuk manusia. Untuk merealisasikan ketentuan-Nya ini manusia mesti mengikuti jalur syariah. Untuk hidup sebagai orang Islam, bermakna hidup berpandukan syariah.
Meninggalkan syariah sama ada sebahagian atau semuanya, secara sedar atau sengaja bermakna meninggalkan Islam. Seorang Islam mestilah berusaha sedaya upaya mengamalkannya secara berterusan, keazaman yang tegar, sepenuh komitmen dan keghairahan yang tidak berbelah bahagi.
Bertitik tolak daripada pemahaman, nyatalah syariah perlu dianggap sebagai alat dianugerahkan Allah untuk digunakan oleh manusia demi kesejahteraan dan kebahagiaan hidup mereka sendiri.
Sekiranya manusia enggan menggunakan alat bantuan ini dan mewujudkan sistem peraturan hidupnya sendiri berdasarkan semata-mata akal dan nafsunya saja, kehancuran dan azab sengsara yang akan menjadi akibatnya. Begitu jelas peringatan diberikan Allah dalam Surah al-Ahzaab, ayat 36 yang mafhumnya:
"Dan tidaklah harus bagi orang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
Jawapan disediakan oleh Prof Madya Dr Harlina Harlizah Siraj. Persoalan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Friday, January 11, 2008
Dibenci jiran, rakan sekerja kerana kesilapan lalu
Jawapan disediakan usahawan Taska dan Tadika Islam, Rosnah Ahmad dengan kerjasama Wanita Jim.
www.bicarakalbu.blogspot.com
SAYA pernah melakukan kesilapan di tempat kerja sehingga kebanyakan rakan sekerja mula memandang benci, walaupun saya sudah mengakui kesilapan itu dan memohon maaf terhadap individu berkenaan. Saya juga sudah bertaubat.
Namun, rakan di tempat kerja dan jiran tetap menunjukkan sikap membenci, malah setiap mereka yang mendekati saya seolah-olah dihasut supaya jangan berbaik dengan saya. Akhirnya saya kehilangan kawan.
Peristiwa itu berlaku tujuh tahun lalu dan selama tempoh itu saya dipulau dan dipandang sepi, tetapi saya menguatkan semangat untuk tabah menghadapinya. Namun, apa yang membimbangkan, masalah itu memberi kesan kepada masa depan kerjaya saya kerana saya seolah-olah dihalang memajukan diri dan memegang jawatan tinggi.
Kadangkala saya terfikir untuk bertukar kerja, tetapi masih terikat dengan kontrak. Saya bercadang mengumpulkan wang untuk memulakan perniagaan satu hari nanti. Saya harap puan dapat memberikan pandangan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini.
Ruzi,
Selangor.
Saya terharu dan bersimpati dengan apa yang dilalui saudari. Tindakan saudari bertaubat dan meminta maaf adalah satu usaha yang murni. Apa yang berlaku selama tujuh tahun menunjukkan saudari seorang yang tabah dan berhati mulia.
Apa yang boleh saya cadangkan adalah supaya saudari sentiasa bersangka baik sesama manusia, berfikiran positif dan berusaha menukar masalah kepada peluang dengan menangani masalah secara bijaksana.
Gunakan pendekatan beramal dengan amal soleh dan mencegah kejahatan dengan kebaikan seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Siapakah yang lebih baik perkataannya dibanding orang-orang yang berseru kepada Allah dan mengerjakan amal soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri. Tidak sama amal kebajikan dengan keburukan. Tolaklah (keburukan itu) dengan perbuatan yang lebih baik (bijaksana). (Jika kamu lakukan demikian), maka orang yang bermusuhan dengan kamu akan menjadi akrab.” (Surah Al-Fussilat, ayat 33-34)
Kehilangan kawan adalah sesuatu yang pahit. Cuba cari ramai kenalan baru yang dapat menerima saudari dengan lebih baik dan bersikap terbuka. Saudari boleh menyertai persatuan kebajikan atau menghadiri majlis ilmu di masa lapang. Menyertai aktiviti yang sihat begini bukan saja membuka ruang untuk mendapat kenalan malah akan meningkatkan keyakinan diri.
Mengenai cadangan untuk berpindah tempat kerja atau berniaga, pada pendapat saya adalah satu cita-cita yang boleh menjadi alternatif yang baik. Apa pun seeloknya saudari menunggu sehingga tamat kontrak kerana bimbang implikasi undang-undang yang mungkin akan merumitkan masalah.
Jika saudari minat berniaga, saya mencadangkan saudari supaya menyertai persatuan yang memfokuskan kepada aktiviti perniagaan. Ini membolehkan saudari meneroka potensi diri dan peluang perniagaan yang ada serta melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan.
Sebagai seorang usahawan, secara peribadi saya berpendapat berniaga adalah satu kerjaya yang mencabar tetapi menyeronokkan, memberi kepuasan dan membuka banyak ruang untuk kita berbakti kepada diri, keluarga dan masyarakat.
Apa pun, saudari perlu membuat perancangan dan persediaan rapi terutama daripada segi masa, kewangan dan kekuatan diri. Membuat perubahan memerlukan kekuatan dalaman yang tinggi. Berhijrah dengan niat yang suci akan membawa keberkatan dan kerahmatan Allah.
Saya yakin saudari akan dapat menangani masalah ini dengan penuh kesabaran. Moga saudari Ruzi berjaya dalam kerjaya, keluarga dan sentiasa tenang menghadapi hari mendatang.
Jawapan disediakan usahawan Taska dan Tadika Islam, Rosnah Ahmad dengan kerjasama Wanita Jim. Persoalan lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Friday, January 04, 2008
Isteri orang mahu kahwin bekas kekasih
SAYA berumur 36 tahun, berpendidikan tinggi dan bekerja di syarikat swasta yang agak terkenal. Saya sudah berkahwin dan mempunyai empat anak. Suami saya seorang yang panas baran dan tidak pernah memberi nafkah sejak mula berkahwin hingga kini. Saya sudah tidak tahan dengan sikap suami dan kami kini dalam proses perceraian. Suami bersetuju menceraikan saya dan kini peguam kami sedang membincangkan isu nafkah anak. Ketika proses perceraian ini, secara kebetulan saya terjumpa kekasih lama selepas hampir 20 tahun terpisah. Awalnya saya cuba mengelak daripada berhubungan dengan bekas kekasih saya itu, tetapi akhirnya hubungan kami menjadi rapat. Kebetulan, bekas suami saya juga memberitahu bahawa rumah tangganya turut berhadapan masalah. Walaupun tinggal berjauhan kami berhubungan menerusi telefon dan khidmat pesanan ringkas. Akhirnya kami mengakui masih saling menyayangi. Malah, saya terfikir apabila proses perceraian selesai, saya sanggup menjadi isteri kedua kepada bekas kekasih saya itu kerana tidak mahu merosakkan rumah tangganya. Masalahnya sekarang perasaan saya jadi keliru kerana saya tidak yakin dapat berkongsi kasih dengan isteri bekas kekasih saya dan pada masa sama, saya tidak mahu kehilangan bekas kekasih saya itu. Apa yang perlu saya lakukan?
Nur Zamzam,
Melaka.
Kasih sayang, cinta dan rindu adalah emosi manusia yang sukar untuk diubahkan. Sama juga benci dan dendam. Seolah macam tidak dapat hendak dikawal. Namun, kita semua tahu bahawa mengawal perasaan dan tidak bertindak ikutkan perasaan adalah wajib untuk menjadi manusia yang waras dan adil serta lurus di jalan Allah.
Justeru, dalam berusaha menahan diri daripada melakukan perkara tidak sepatutnya, saya nasihatkan puan supaya memastikan pergaulan dengan bekas kekasih itu tidak melampaui batasan pergaulan dalam Islam.
Berdasarkan status, puan masih isteri orang sehingga kes perceraian selesai. Jika ingin berhubungan, jangan bercakap perkara yang melanggar syariah atau menjurus kepada perbincangan yang tidak sepatutnya.
Mengadakan perhubungan dengan lelaki yang sudah berkahwin adalah berdosa jika membawa kepada perbuatan sumbang dan dilarang. Sebaiknya tunaikan solat istikharah supaya diberi petunjuk oleh Allah mengenai jodoh yang sesuai. Sukacita diingatkan bahawa jodoh seseorang itu adalah ketentuan Tuhan dan kita hendaklah berikhtiar.
Usah pula rasa bersalah atas niat untuk berkahwin dengan suami orang, tetapi biarlah jalannya mengikut peraturan yang ditetapkan syarak dan pihak berkuasa. Cerita daripada kekasih hanya cerita sebelah pihak saja.
Berjumpa dengan isteri kekasih untuk mendengar penjelasan beliau pula. Takut-takut keluar mulut harimau masuk mulut buaya kerana kekasih bukan lagi orang yang puan kenal dulu dan peristiwa dilalui sejak zaman persekolahan boleh mengubah tingkah laku beliau.
Poligami adalah sesuatu yang dibenarkan. Ia juga mempunyai hikmat dan manfaat besar kepada umat Islam khususnya dan manusia umumnya. Sama ada cintakan suami orang itu boleh membawa kebahagiaan atau tidak, bergantung kepada sistem pengurusan keluarga.
Beberapa tip untuk persediaan mental ke arah mengamalkan poligami, langkah pertama ialah menghapuskan mitos bahawa mencintai suami orang itu satu tindakan merampas, poligami akan membawa kepada ketidakadilan atau sukar untuk membahagikan kasih sayang.
Sebenarnya kasih sayang ibarat hujan. Ia tidak dibahagikan tetapi semua orang akan basah jika ditimpa hujan walaupun berada di tempat berlainan. Bukan bererti dua orang yang berada di suatu padang akan basah separuh saja apabila ditimpa hujan.
Langkah kedua ialah mendapat persetujuan semua pihak. Isteri pertama jangan menganggap bahawa dia lemah, tidak pandai menjaga suami apabila suaminya berkahwin lagi. Dan paling penting, suami yang mempunyai lebih daripada satu keluarga mestilah berlaku adil.
Walaupun tidak mudah untuk berlaku adil tetapi tidak mustahil, jika dimulakan dengan niat atas dasar iman. Adil bukan maksudnya semuanya sama tetapi setiap pihak mendapat haknya mengikut keperluan dan kedudukan.
Semua pihak perlu ada kesepakatan untuk menangani masalah di masa depan. Banyak konflik besar bermula daripada konflik kecil yang tidak dikendalikan dengan baik. Apatah lagi jika emosi menjadi perkasa ketika konflik.
Jawapan disediakan noleh Dr Suriya Osman
Friday, December 28, 2007
Kalendar Islam jadi rujukan peristiwa penting
Siswi IPTA,
Terengganu
Jawapan:
Tahun baru hijrah semakin hampir tetapi, sebelum munculnya 1 Muharam 1429 Hijrah, kita akan meraikan sambutan tahun baru pada 1 Januari 2008. Mengimbas penggunaan kalendar, tahun masihi yang digunakan secara global adalah berlandaskan kepada kalendar Gregorian yang menggunakan putaran matahari sebagai penentuan hari bagi setiap tahun.
Manakala, kalendar Islam berasaskan pusingan bulan dan anak bulan menjadi penanda kepada permulaan bulan seterusnya.
Firman Allah yang bermaksud: "Dialah (Allah) yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menetapkan tempat orbitnya, supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya)." (Surah Yunus, ayat 5)
Setiap tahun mempunyai 12 bulan sebagaimana ditetapkan Allah ketika kejadian bumi dan langit seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya jumlah bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa." (Surah at-Taubah, ayat 36)
Pertambahan bilangan bulan sehingga menjadi 13 bulan dalam setahun tidak dibenarkan dalam Islam sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya mengundurkan atau menambah bulan adalah tambahan dalam kekufuran." (Surah At-Taubah, ayat 37)
Rasulullah SAW sudah menentukan bahawa umat Islam harus mengikut peredaran bulan bagi menentukan bulan dan tahun mereka seperti sabda Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa setiap bulan adalah sama ada 29 atau 30 hari (secara purata 29.5 hari sebulan).
Manakala, kalendar Gregorian yang mempunyai 30 atau 31 hari pada setiap bulan kecuali bulan Februari (sama ada 28 atau 29 hari) mempunyai bilangan hari yang tetap. Dengan itu, bilangan hari kalendar Gregorian ialah 365 hari berbanding kalendar Islam sebanyak 354 hari dalam setahun.
Tarikh 1 Januari tahun 1 Masihi dalam kalendar Gregorian adalah seminggu selepas kelahiran Nabi Isa (25 Disember), walaupun ramai berselisih pendapat mengenai tahun kelahiran Nabi Isa dan ada yang mempercayai kelahiran itu berlaku sebelum tahun 1 Masihi (kemungkinan pada 4 Sebelum Masihi (Before Christ).
Kalendar Gregorian yang diubahsuai daripada kalendar Julian (kalendar Rom) telah dicadangkan oleh Aloysius Lilius dan diterima Pope Gregory XIII (asal nama kalendar Gregorian) pada 24 Februari 1582 Masihi (AD).
Istilah AD yang digunakan dalam kalendar Gregorian adalah perkataan Latin iaitu 'anno Domini' yang bermaksud 'Dalam Tahun Tuhan Kami'. Ada kalanya label CE (Common Era atau Christian Era) digunakan pada akhiran sesuatu tahun seperti 1960 AD atau CE.
Sebelum penggunaan kalendar Islam, kaum Arab mengguna kalendar berasaskan putaran bulan dan matahari serta pertambahan hari dilakukan untuk menyesuaikan dengan musim. Sistem penomboran bagi tahun dalam kalendar sebelum era Islam belum dilaksanakan.
Mereka mengaitkan sesuatu peristiwa penting untuk sesuatu tahun seperti Tahun Gajah iaitu tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW kerana pada waktu itu, Kaabah di Makkah dicerobohi oleh tentera bergajah pimpinan Abrahah, Gabenor Yaman (kini termasuk dalam negeri Ethiopia).
Sebelum kewafatan Rasulullah SAW pada 632 Masihi, Baginda memerintahkan supaya kalendar berasaskan pergerakan bulan mesti digunakan. Tetapi penggunaan itu hanya berkuat kuasa ketika pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab pada 642 Masihi.
Penentuan tarikh 1 Muharam 1 Hijrah mendapat beberapa cadangan daripada sahabat seperti hari kelahiran dan kewafatan Nabi Muhammad SAW, tetapi Khalifah Umar menetapkan tarikh itu ialah bersempena penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah. Tarikh 1 Muharam 1 Hijrah adalah bersamaan dengan 16 Julai 622 Masihi.
Tujuan utama penetapan tarikh hari pertama dalam tahun 1 Hijrah ialah untuk memastikan manusia menghargai perjuangan dakwah Rasulullah SAW yang sanggup berpindah dari tanah air Baginda bukan kerana takut dengan ancaman kaum kafir Quraisy di Makkah tetapi hendak menegakkan syariat Islam di muka bumi ini.
Sejarah membuktikan kecemerlangan Islam terhasil selepas terbentuknya negara Islam pimpinan Rasulullah SAW di Madinah. Penghijrahan itu berlaku selepas 13 tahun Islam diperkenalkan di Makkah tetapi kaum Quraisy tidak dapat menerima kehadiran Rasulullah SAW kerana khuatir kedudukan pemerintah di Makkah terancam.
Banyak cabaran dan ujian yang diterima umat Islam. Islam susah hendak dipraktikkan secara keseluruhan di Makkah berbanding di Madinah kerana kaum Aus dan Khazraj sentiasa menanti-nanti kedatangan Nabi Muhammad SAW untuk memimpin mereka.
Oleh itu, Madinah menjadi sebuah negara Islam yang dipimpin Rasulullah SAW dengan struktur organisasi yang lengkap dengan sistem sosial, ekonomi dan pentadbiran negara.
Sebagai umat Islam, eloklah kita melihat juga kalendar Islam sebagai rujukan tarikh supaya kita sentiasa peka dengan beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam.
Pengetahuan beberapa tarikh penting dalam kalendar Islam seperti 1 Muharam, 12 Rabiul Awal, 27 Rajab, bulan Ramadan, 27 Ramadan, 10 hari terakhir pada bulan Ramadan, 1 Syawal, 9 Zulhijjah dan 10 Zulhijjah perlu disegarkan semula dalam kehidupan kita.
Jawapan disediakan oleh Prof. Madya Dr. Salwani Mohd. Daud yang merupakan seorang Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia dan ahli Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia.www.bicarakalbu.blogspot.com
Friday, December 21, 2007
Cinta perlu berlandaskan syariat
Jawapan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor
www.bicarakalbu.blogspot.com
SAYA selalu membaca jawapan terhadap beberapa persoalan cinta di kalangan remaja dalam ruangan ini. Saya membuat kesimpulan bahawa bercinta itu adalah haram. Benarkah kesimpulan saya ini.
Baru jatuh cinta,
Bandar Baru Bangi.
ISLAM adalah agama fitrah. Kasih sayang adalah sifat tabii yang dibekalkan Allah kepada manusia. Adalah fitrah semula jadi apabila lelaki dan wanita berkasih sayang antara satu sama lain atau istilah cinta yang digunakan pada hari ini.
Apabila Adam diciptakan dan diciptakan pula Hawa di sisinya, maka ketika Adam bertanya kepada Hawa, "Siapa kamu? Jawab wanita itu, Aku Hawa dan aku dijadikan untukmu, supaya engkau rasa tenang terhadapku." Adam dicipta dalam syurga yang serba lengkap dan sempurna, tetapi tetap memerlukan seorang wanita sebagai pelengkap kehidupannya.
Kesimpulannya, cinta adalah fitrah atau perasaan semula jadi. Cinta perlu dimeterai dengan perkahwinan seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan dijadikan untukmu pasanganmu dan dijadikan antara kamu mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan). Cinta ini hanya boleh dinyatakan melalui gerbang perkahwinan dan manfaat yang paling besar akan terbit daripada cinta sebegini." (Surah Rum, ayat 30)
Persoalan yang dilontarkan ialah bolehkah bercinta sebelum berumah tangga. Sebelum persoalan ini dijawab, ada baiknya jika istilah cinta itu dikupas. Menurut kamus kehidupan muda mudi hari ini, cinta itu membawa maksud menyatakan perasaan secara terbuka antara lelaki dan perempuan yang tidak punya sebarang hubungan kekeluargaan (halal nikah) dan kemudian memupuk cinta dengan keluar bersama, menghubungi satu sama lain sama ada melalui perbualan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel dan sebagainya.
Apakah batas syarak yang diletakkan pada cinta? Batas syarak itu ialah batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Lelaki dan perempuan tidak boleh berada secara berdua-duaan tanpa ditemani muhrim kerana apabila berduaan lelaki dan perempuan yang ketiganya ialah syaitan.
Lelaki dan wanita juga wajib menjaga aurat, akhlak dan adab pergaulan. Jika semua itu dijaga rapi, pakaian menutup aurat dengan sempurna, tidak berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah, menjaga adab tutur bicara, tidak melunak atau memanjakan suara hingga boleh menimbulkan keinginan pada sang lelaki, maka boleh saja lelaki dan perempuan bercinta sebelum berumah tangga.
Bagaimana caranya? Kita sedia maklum kehidupan hari ini kompleks dan menuntut persediaan diri yang mantap bukan saja dari sudut emosi tetapi juga kepemimpinan keluarga, keupayaan ekonomi, penguasaan ilmu, sebelum seseorang itu melangkah masuk ke gerbang rumah tangga.
Sudah tentu persediaan itu memerlukan masa. Contohnya, menyediakan keupayaan ekonomi. Seseorang itu mungkin terpaksa melanjutkan pelajaran di universiti selama empat tahun, selepas tamat pengajian, perlu mengumpul wang bagi melengkapkan keperluan untuk berumah tangga.
Dalam tempoh berkenaanlah cinta yang berputik antara dua insan perlu dipupuk dan perlu melalui syariat.
Jika keperluan untuk berjumpa, bertandang ke rumah keluarga perempuan ketika ibu bapanya ada di rumah, atau jika perlu untuk bersemuka di luar, pastikan pertemuan itu berlaku dengan kehadiran seorang teman yang dipercayai, sebaiknya muhrim.
Jawapan disediakan pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor, dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang komentar boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Friday, December 14, 2007
Bicara Kalbu: Dilema bekerja bersama majikan amal rasuah
wanitajim0@yahoo.com
SAYA dimaklumkan seorang rakan sekerja bahawa majikan mengamalkan rasuah dan beberapa penyelewengan dalam urus niaganya. Daripada hasil wang itu digunakan untuk membayar gaji dan elaun pekerja. Saya rasa tidak sedap hati dan kurang selesa. Saya sudah melakukan sedikit pembacaan, merujuk beberapa buku agama, berbincang dengan kawan dan melakukan solat istikharah memohon petunjuk dan bantuan Allah. Namun hati saya sentiasa berdolak-balik dan rasa serba salah. Namun jauh di sudut hati, keputusannya lebih menjurus kepada berhenti kerja. Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira tiga perkara penting iaitu tidak mahu sumber rezeki yang haram atau syubahat, tidak mahu segala hajat tergantung atau ditolak Allah semata-mata kerana sumber rezeki yang haram atau syubahat serta tidak mahu segala apa yang ditimbulkan hasil pendapatan daripada yang haram dan syubahat. Saya yakin, tiada keberkatan di situ walaupun sejauh dan sebaik mana pun rancangan serta usaha saya. Dilema saya ialah sukar mendapat pekerjaan sekarang, perlu membayar hutang dan menyara ibu sedang sakit. Soalan saya, apakah hukum saya bekerja sementara mendapat pekerjaan lain atau berhenti kerana tahu sumber pendapatan daripada sumber meragukan?
Siswazah serba salah,
Cheras, Kuala Lumpur
PERTAMA, saya mengucap syukur ke hadrat Allah atas sikap dimiliki saudari yang bertanya. Inilah ciri yang perlu ada pada seseorang muslim yang berusaha untuk mencari kehidupan halal dan diberkati Allah.
Dalam dunia yang mementingkan kebendaan, orang seperti saudari adalah berita gembira yang melapangkan dada dan melegakan jiwa umat Islam yang resah dengan segala pelbagai sifat tidak amanah berleluasa serta menjadi amalan sebahagian ahli masyarakat.
Berbalik kepada soalan dan kemusykilan saudari mengenai tindakan sebaiknya diambil supaya hasil pendapatan diterima jelas sumbernya dan tidak diragui, di samping tidak mengabaikan kebajikan diri sendiri dan tanggungan (termasuk ibu yang sedang menderita sakit).
Syeikh Dr Yusuf Qardhawi apabila beliau diajukan soalan hampir sama iaitu apa hukumnya berkerja dengan sebuah institusi kewangan yang berasaskan riba dan apakah pandangan Islam jika seseorang itu berhenti sedangkan untuk mencari pekerjaan ganti tidak mudah.
Jawapan beliau ialah supaya si penanya terus bekerja di bank berkenaan dan hanya berhenti selepas dia memperoleh pekerjaan lain.
Jawapan diberikan Dr Yusuf Qardhawi adalah berasaskan kepada fiqh awlawiyat atau keutamaan dalam beramal. Dalam keadaan dihadapi saudari, mencari sara hidup adalah kewajipan sedangkan melepaskan jawatan sedia ada dalam keadaan tiada sumber pendapatan lain boleh menimbulkan fitnah yang sukar ditangani.
Tidak sedikit kesulitan yang timbul akibat kehilangan sumber pendapatan, apatah lagi jika sumber pendapatan itu juga digunakan untuk menampung ahli keluarga lain termasuk ibu sedang sakit seperti dalam kes saudari.
Saudari perlu kekal bekerja dengan majikan tersebut sehingga mendapat tawaran pekerjaan lain. Meninggalkan pekerjaan tanpa sumber rezeki lain, boleh menimbulkan pelbagai kesulitan pada masa depan.
Lagipun saudari bukan secara sedar menerima untuk bekerja dengan majikan sedia ada dan tahu berlakunya amalan rasuah serta pecah amanah.
Saudari hanya menyedari amalan tidak beretika dan melanggar hukum serta akhlak Islam selepas diambil bertugas untuk beberapa waktu.
Oleh itu, apa yang perlu dilakukan ialah berusaha untuk mencari pekerjaan lain.
Jika pasti saudari akan mendapat pekerjaan atau sumber pendapatan lain, boleh melepaskan jawatan yang ada. Dengan demikian tidak akan terputus perbelanjaan dan menjejaskan kesejahteraan ekonomi keluarga.
Saudari berada di landasan yang betul. Percayalah, sikap ambil berat sumber pendapatan pasti akan diberi ganjaran oleh Allah dengan pekerjaan dan sumber rezeki lebih baik.
Allah tidak pernah memberatkan hambanya.
Ia juga adalah aspek penting dalam Islam. Islam agama rahmat yang tidak pernah meletakkan beban tidak tertanggung oleh penganutnya.
Semoga saudari tenang dengan jawapan ini. Hanya Allah yang lebih mengetahui dan kita memohon petunjuk daripada-Nya.
Jawapan diberikan Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama wanita JIM di emel wanitajim0@yahoo.com
Friday, December 07, 2007
Bicara Kalbu: Pemberian sedekah kepada fakir lebih utama
Soalan
KETIKA kecil, saya serta adik suka melihat bapa dan datuk menyembelih lembu pada Aidiladha. Kini saya dewasa dan sudah bekerja. Saya sedar mengenai kepentingan ibadat korban tetapi saya ada beberapa kemusykilan. Apakah status korban saya jika orang bukan Islam menerima daging korban itu?
Siswazah IPTA
Pulau Mutiara
SAMBUTAN Aidiladha di negara kita sinonim dengan ibadat korban yang diadakan di masjid dan jumlah binatang yang dikorbankan makin bertambah terutama di kawasan bandar hingga berlaku lebihan agihan.
Masih ada yang keliru dengan isu korban dan pengagihan daging korban kerana ada pendapat mengatakan korban tidak diterima jika tidak dibuat di mukim sendiri, Namun, ada pendapat mengatakan ibadat korban sebegini dibolehkan, malah digalakkan.
Persoalan ini berlaku kerana adanya perbezaan pendapat ulama (khilaf) disebabkan tiada nas yang jelas. Oleh itu, ulama berijtihad bagi menyelesaikan masalah ini. Hujah qias menjadi asas penghujahan. Ia diqias kepada hukum memindahkan harta zakat ke tempat lain. Maka mereka berpendapat boleh dan menambah lagi hujah dengan menggunakan hujah maqasid syarak.
Dr Yusof Qardhawi berpendapat, jika sesebuah negeri itu susah dan rakyat memerlukan daging, sembelihan itu lebih baik di tempat itu. Jika negeri itu kaya dan ramai rakyatnya melakukan korban, maka bersedekah wang yang dinilaikan dengan nilai binatang korban itu lebih baik, kerana sedekah mesti diutamakan di tempat lebih memerlukannya.
Oleh itu, mengagihkan sembelihan korban di tempat yang memerlukan lebih afdal dalam keadaan ini. Menurut buku fiqh, keutamaan berdasarkan al-Quran dan sunnah mengatakan dalam memberi pertimbangan kepada sesuatu kemaslahatan, umat Islam harus mendahulukan kepentingan yang besar.
Maka berpegang kepada pendapat inilah, banyak badan bukan kerajaan dan persatuan Islam mempromosikan ibadat korban secara talian bertujuan mengumpul wang untuk melaksanakan korban di tempat umat Islam memerlukan seperti Kemboja, Afghanistan, Sudan, Indonesia (daerah yang tertimpa musibah tsunami dan gempa bumi), Filipina (Mindanao), Palestin, Thailand (wilayah selatan) dan Sri Lanka.
Kita juga melihat bagaimana daging korban dari Arab Saudi dihantar ke Afrika sejak sekian lama untuk orang fakir yang jarang menjamah daging. Fatwa bekas muftinya, Almarhum Ben Baz mengatakan daging sembelihan ‘dam’ juga boleh dihantar ke Afrika yang sangat memerlukan.
Mengenai memberi daging korban kepada bukan Islam, ada perbezaan pendapat antara ulama kerana ada yang membenarkan dan sebaliknya. Mazhab Maliki menyatakan binatang korban makruh dijamu kepada orang Yahudi dan Nasrani.
Mazhab Hambali berpendapat orang bukan Islam harus dihadiahkan daging korban (yang bertaraf sunat) tetapi daging korban wajib tidak harus dihadiahkan kepada mereka walau sedikit. Pendapat membolehkan orang bukan Islam dihadiahkan juga mestilah untuk berdakwah di mana diharap terbuka pintu hati kepada agama Allah ini.
Namun melihat kepada dalil mengenai pengagihan daging korban, ia menjurus maksud yang umum. Firman Allah yang bermaksud: “Makanlah sebahagiannya, dan beri makanlah orang yang tidak meminta-minta dan orang yang meminta.” (Surah al-Hajj, ayat 36)
Jawapan disediakan Pengarah Program Rayuan Korban dan Akikah, Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia, Mohd Rashid Hasnon, yang boleh dilayari di http://korban-aqiqah.jim.org.my/1428/.
Friday, November 30, 2007
Isteri boleh ambil harta suami secara makruf
?SAYA sudah mendirikan rumah tangga hampir dua tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata berumur 11 bulan. Sejak berkahwin suami tidak pernah memberi duit atau wang tunai untuk perbelanjaan saya. Mungkin kerana saya juga bekerja dan pendapatan saya hampir sama dengan suami. Saya ada mendengar pandangan beberapa pihak menyatakan suami wajib memberikan duit kepada isterinya walaupun isteri bekerja dan ada pendapatannya sendiri. Suami tidak pernah membebankan saya dengan perbelanjaan rumah dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keperluan anak. Untuk pengetahuan, anak kami dijaga oleh ibu saya di kampung kerana suami saya tidak yakin anak boleh dijaga dengan sempurna oleh orang lain atau di pusat asuhan. Saya ingin meminta pandangan puan mengenai keperluan nafkah zahir. Perlu atau tidak suami memberi duit kepada isterinya tiap-tiap bulan sebagai perbelanjaan untuk isteri.
ISTERI PROFESIONAL
Kluang, Johor
SUAMI wajib memberi nafkah kepada isteri berdasarkan perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)
Firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan orang yang disempitkan rezekinya maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”
Ayat itu menjelaskan suami wajib menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal untuk isteri secukupnya, berdasarkan kemampuan tanpa lokek atau berlebih-lebihan. Jika suami tidak menjalankan tanggungjawabnya atau nafkah yang diberi tidak mencukupi sedangkan dia mampu maka isteri boleh mengambil daripada harta suami dengan cara yang makruf walaupun dia tidak mengetahuinya.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan mengadu kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah kepadaku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya tanpa pengetahuannya. Baginda menjawab: Ambillah apa yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang makruf.”
Pemberian nafkah boleh dilakukan dengan cara suami menyediakan segala yang diperlukan isteri dan anaknya atau suami memberikan wang kepada isteri untuk membeli keperluannya. Jika suami sudah sediakan nafkah wajib ke atasnya, wang tidak perlu diberikan lagi.
Dalam kes puan, nampaknya suami sudah melakukan tanggungjawabnya. Namun puan sebagai ibu kepada anaknya, adakah puan sudah melakukan tanggungjawab sepenuhnya untuk membelai, memberikan kasih sayang kepada anak. Anak adalah tanggungjawab puan.
Status kemuliaan ibu yang diletakkan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada ibu adalah amat tinggi. Ia kerana institusi keluarga bahagia bermula daripada kasih sayang seorang ibu yang memberi penekanan terhadap aspek kasih sayang, moral dan sosial serta menjadi contoh kepada anak sebagai insan berakhlak mulia.
Kajian menunjukkan hubungan ibu anak penting dalam usia awal sehingga 10 tahun. Masa inilah anak memerlukan belaian kasih sayang ibunya secara berterusan. Anak yang tidak mendapat kasih sayang menyebabkan hubungan ibu anak longgar dan punca berlakunya gejala sosial.
Jika seorang ibu itu berjaya melengkapkan anak mereka dengan persiapan kental daripada segi sokongan emosi dan pendidikan berterusan, pastinya gejala sosial akan dapat ditangani.
Dengan memberikan sepenuh tugas menjaga anak kepada ibu di kampung, puan secara tidak langsung sudah mengabaikan tanggungjawab keibuan puan. Saya mengharapkan ini adalah urusan sementara.
Apabila anak berumur tiga atau empat tahun, puan perlu mengambilnya semula dan membelanya sendiri. Puan masukkan dia ke Tadika atau Taska. Dengan demikian hubungan rapat puan dengan anak akan dapat dibina semula.
Janganlah terus membebankan ibu puan yang sedari dulu sudah melahirkan, membesarkan dan mendidik puan sejak kecil. Apabila puan sudah berkeluarga, anak adalah tanggungjawab puan bukan tanggungjawab nenek.
Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Friday, November 16, 2007
Gusar tunang, bakal mentua tak penting agama
Siswi positif
Serdang, Selangor
Saya ada beberapa pandangan mengenai masalah saudari. Pertama, kembali kepada asas perkahwinan dalam Islam, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang wanita itu dikahwini kerana keturunannya, hartanya, rupa parasnya dan agamanya. Maka, pilihlah yang beragama nescaya beruntung kedua tanganmu."
Apa yang boleh disimpulkan ialah Nabi SAW mengatakan lumrah bagi seseorang itu berkahwin kerana empat sebab terbabit. Tetapi, sebab yang keempat akan membawa kebahagiaan berpanjangan dan berkekalan (dunia hingga akhirat).
Inilah kiasan di sebalik 'beruntung kedua tanganmu'. Sebab lain sifatnya duniawi dan sementara. Harta bukan sesuatu yang kekal dan boleh pindah milik pada bila-bila masa. Rupa paras ada tempoh luputnya. Wajah cantik tidak kekal lama dan ketika itu pandangan beralih kepada lebih menawan.
Lelaki yang bijak akan memilih isteri yang beragama. Bukan mudah untuk seorang berubah melalui perkahwinan. Ramai bertekad untuk mengubah pasangannya selepas berkahwin. Kenyataannya ramai yang gagal kerana yang ingin mengubah itu juga tidak kuat pegangan agamanya.
Penghayatan agama adalah sesuatu yang dihayati dan bukan didorong faktor luaran. Penghayatan agama bermula dengan pendidikan sejak kecil hingga amalan seperti solat dan kewajipan lain menjadi darah daging dalam diri seseorang.
Jika seseorang itu mahu berubah dan menghayati agama kerana jatuh cinta pada seseorang, ia sangat diragui. Keinginannya untuk berubah adalah didorong rasa cintanya. Kerana cinta ia sanggup melakukan apa saja.
Tetapi, apabila sudah berumahtangga dan cinta mulai pudar kembalilah ia kepada cara lamanya. Saya tidak mengatakan tidak ada orang yang berubah selepas berkahwin, tetapi peratus amat kecil sehingga tidak boleh dijadikan sandaran.
Jika lelaki berhadapan dengan cabaran besar untuk mendidik isteri yang kurang beragama, bagaimana pula halnya isteri hendak mendidik suami? Suami punya egonya tersendiri apatah lagi suami yang kurang agamanya.
Dia sekali-kali tidak akan tunduk kepada isteri yang dianggap cuba untuk mengajarnya. Sedangkan perintah Allah pun tidak diendahkan, inikan pula untuk menerima nasihat seorang isteri? Jauh panggang daripada api.
Pembawaan bakal bapa mentua dan anaknya yang tidak mendirikan solat juga sudah cukup untuk menggambarkan latar belakang pendidikan agama bakal suami anda. Barang siapa yang meninggalkan solat bererti meruntuhkan agamanya.
Nabi SAW bersabda bermaksud: "Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama, sesiapa yang meninggalkannya bererti meruntuhkan agama."
Mungkin tidak adil jika saya kaitkan bapa dengan anak kerana anak boleh berubah walaupun tidak dididik dengan soal keagamaan oleh keluarganya. Namun, apabila saudari mendedahkan tunang anda pun jarang solat dan mencuaikan solat Jumaat, nampaknya dia tidak jauh berbeza daripada ayahnya dalam soal ini.
Cubalah saudari bincangkan perkara ini dengan ayah dan keluarga. Saya yakin keluarga saudari yang berpegang teguh dengan agama pasti membimbing saudari untuk membuat keputusan terbaik dalam hal ini.
Ingatlah, membina rumah tangga adalah membina takwa. Sabda Nabi SAW bermaksud: "Apabila berkahwin seseorang dia melengkapkan separuh agamanya. Maka, hendaklah dia bertakwa pada selebihnya."
Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Friday, November 02, 2007
Dosa cinta sejenis diluput dengan taubat nasuha
Ingin bertaubat nasuha,
Lembah Klang.
KAMI bersimpati dengan nasib saudari dan pada masa sama marilah kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah yang menanamkan rasa insaf dalam diri kita semua. Itu adalah satu tanda besar Allah masih menyayangi kita.
Memang jelas sekali apa yang sudah berlaku adalah sesuatu yang terkutuk dan dilaknati Allah. Kita lihat bagaimana Allah membinasakan kaum Nabi Lut. Oleh itu, saudari sepatutnya bersyukur kerana diberi hidayah dan segera insaf untuk bertaubat.
Itu adalah satu daripada ciri orang yang bertakwa seperti dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: �Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)." (Surah Ali-Imran, ayat 135)
Dalam pada itu, saudari perlu faham persahabatan atau persaudaraan hakiki ialah persaudaraan yang dijalin atas dasar kasih sayang kerana Allah, untuk mencari keredaan Allah, ingat memperingati supaya bertakwa kepada Allah.
Persahabatan yang dijalin bukan atas landasan itu adalah persahabatan yang tidak mendatangkan kebaikan, malah akan membawa penyesalan di akhirat kelak.
Allah berfirman yang bermaksud: "Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)." (Surah Al-Zukhruf, ayat 67)
Berdasarkan apa yang saudari nukilkan, kelihatan kawan saudari belum bersedia menjalin persahabatan kerana Allah. Justeru, jika saudari tidak mampu memimpinnya, jauhkan diri daripada hubungan intim dengannya.
Dia sedang dilanda penyakit jiwa yang memerlukan rawatan khusus. Perasaan cinta sejenis (lesbian atau homoseksual) adalah satu jenis penyakit jiwa yang perlu mendapat rawatan pakar. Pakar psikiatri mempunyai cara tersendiri dan ubat khusus untuk merawat penyakit ini.
Bagaimana cara meminta ampun pada Allah, langkah pertama ialah dengan memperbanyakkan beristighfar dan bertaubat. Apakah beza taubat dan istighfar? Ulama menggariskan, istighfar adalah untuk dosa yang kita tidak sedari atau untuk perbuatan yang kita tidak tahu dosanya, manakala taubat adalah khusus untuk perbuatan yang kita tahu berdosa dan kita sedar ia adalah dosa.
Langkah kedua, kita menyesali perbuatan kita yang lalu dan membencinya semata-mata kerana takut akan azab Allah dan pada masa sama mengharapkan belas ehsan, rahmat serta kasih sayang-Nya. Sebutan dan lafaz istighfar bukan setakat di mulut, tetapi hati kita turut menangis menginsafi dosa dan azab Allah.
Akhir sekali kita mesti bertekad untuk tidak mengulanginya. Carilah jalan supaya segala lorong yang membawa kita ke arah perbuatan itu juga kita tutup rapat. Liciknya syaitan dalam memperdaya anak Adam, seperti disebut oleh Rasulullah SAW, adalah seperti darah yang mengalir dalam badan kita. Dan mohonlah supaya Allah berikan kita kekuatan untuk menghindarinya.
Seperti Allah nyatakan berkali kali dalam al-Quran, Allah Maha Pengampun. Sebesar manapun dosa hamba-Nya, keampunan Allah itu lebih besar. Sekalipun dosa itu kita ulangi dan ulangi, selagi mana kita ikhlas dan bersungguh, yakinlah Allah sudah ampunkan dan menerima taubat kita kerana itulah janji Allah.
Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dan Amir A Razelan dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan yang lalu boleh di layari di www.bicarakalbu blog spot.com
Friday, October 26, 2007
Isteri diabai patut rujuk pejabat kadi
KAMI mendirikan rumah tangga atas dasar cinta. Pada mulanya perkahwinan kami bahagia. Saya memahami kelemahannya dan menerima hakikat beberapa kekurangan suami antaranya tidak suka membantu di rumah, tidak suka ke pasar, lebih mementingkan kawan daripada saya. Suami saya bersikap lembut dan baik pada kawan-kawannya tetapi bersikap kasar kepada saya. Saya reda dengan sifatnya itu kerana saya juga ada kelemahan. Namun setelah mendapat anak yang kedua, dia mula berubah dan tidak menghiraukan saya malah mula mengabaikan tanggungjawab dalam memberikan nafkah batin. Beberapa tahun kemudian anak ketiga lahir dan saya didapati mempunyai masalah perut dan ditahan di wad selama 10 hari. Sewaktu dalam pantang dia langsung tidak mempedulikan saya. (Adik ipar yang membela saya kerana saya menumpang di rumahnya). Apabila terbaca sistem pesanan ringkas (SMS) romantik dalam telefon bimbitnya, saya dapat rasakan suami ada hubungan dengan wanita lain. Saya bertanya secara jujur dengannya dan suami mengaku berniat untuk berpoligami atas alasan tidak berselera dengan saya, saya tidak pandai bergaya, badan saya gemuk kerana tidak pandai menjaga badan, saya perempuan kampung cemburu buta tidak tentu pasal dan tergamak dia mengatakan dia tidak perlukan isteri seperti saya. Suami sentiasa menyatakan dia lebih sayangkan wanita itu dan tidak kisah mengenai anak. Sudah hampir 11 bulan dia tidak memberi nafkah batin kepada saya dan membuat rumah kami ibarat hotel, pulang tidak tentu masa, jika suka saja. Saya bencikan sikapnya dan menangisi nasib sepanjang masa. Saya buntu untuk mencari jalan keluar.
Isteri merana
Kajang Selangor.
Jawapan;
MALANG suami yang bersifat sedemikian. Tingkah laku suami puan tidak melayakkan dia memikul tanggungjawab sebagai suami, apatah lagi untuk menambah isteri.
Isu beliau hendak berpoligami adalah isu kedua. Isu yang lebih utama ialah bagaimana dia melayan isterinya yang sedia ada. Jelas daripada bicara puan, suami gagal melaksanakan tanggungjawab iaitu menyempurnakan nafkah zahir dan batin isteri.
Selain itu, suami puan juga tidak bertimbang rasa kerana tidak mahu bersama memikul tanggungjawab mengurus rumah tangga. Dia harus sedar tanggungjawab isteri hanyalah melayan kehendak suami. Berhias dan melayan suami di tempat tidur. Selain itu seperti memasak dan menguruskan rumah adalah ehsan atau bakti isteri kepada suami yang diberi pahala sedekah yang besar oleh Allah.
Suami sewajar menyedari dia juga perlu membantu di rumah sebagai tanda muafakat suami isteri. Jika dia tidak biasa maka dia harus menyediakan pembantu kepada isterinya. Rumah tangga Rasulullah SAW boleh dijadikan sandaran. Rasulullah SAW menjahit sendiri pakaiannya.
Puteri Rasulullah SAW, Saidatina Fatimah az Zahra dan suaminya juga adalah pasangan contoh bagi keluarga Muslim. Mereka tidak mampu menggaji pembantu, urusan rumah tangga mereka laksanakan bersama.
Ketiga, suami puan sudah menghina puan dengan kata-kata yang tidak selayaknya. Dulu isteri itulah tempat dia berkasih sayang. Kini setelah isterinya mengurniakan beberapa orang anak, dia menghina isterinya. Lebih menyedihkan lagi dia langsung tidak menghargai anak-anaknya.
Apa lagi yang boleh diharapkan kepada lelaki seperti ini. Tolong nasihatkan perempuan yang dihubungi suami puan, bahawa nasib yang bakal diterima nanti sama seperti puan.
Saya nasihatkan puan supaya adukan masalah ini ke pejabat kadi dan minta pandangan apa yang harus puan lakukan. Kegagalan suami untuk memenuhi nafkah batin adalah asas yang cukup kuat bagi pejabat kadi mengeluarkan arahan kepada suami puan untuk tampil menjelaskan kedudukan.
Sebagai lelaki, saya berasa malu masih ada dikalangan mereka yang bergelar Muslim dengan sewenang-wenangnya berasa selesa menghina belahan jiwa sendiri. Mudah-mudahan Allah memberi keampunan dan rahmat untuk menyembuhkan penyakit ini, jika beliau bertaubat dan berusaha dengan penuh tulus dan ikhlas menebus keterlanjurannya.
Kepada puan sebagai isteri pula, saya ingin menyatakan bahawa sesungguhnya ini adalah satu tanda bahawa Allah amat sayang kepada puan. Allah hanya menguji hambanya untuk meningkatkan keimanan mereka. Ujian yang paling berat dikhususkan kepada para Anbiyaa'.
Puan hendaklah bersabar dan terus istiqamah bersabar. Semoga puan diberikan kekuatan untuk bertahan dengan ujian-Nya ini. Semoga puan tidak diuji dengan sesuatu yang di luar kemampuan. Namun begitu hakikat sebarang penyelesaian sebenarnya terletak di tangan puan.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya sesuatu keadaan/ kesulitan yang membelenggu sesuatu kaum itu tidak akan dapat diselesaikan sehingga kaum itu sendiri berusaha dari dalam dirinya sendiri untuk menyelesaikannya." (Surah Ar-Ra'ad, ayat 11)
Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor dan Dr Abdul Ghani Ujang dengan kerjasama wanita JIM. Persoalan dan jawapan isu terdahulu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com.
Friday, September 28, 2007
Amalan jihad melindung agama Allah
Siswa ingin tahu,
Bangi.
RAMADAN sebagai bulan ibadat, penuh rahmat dan barakah menciptakan suasana keagamaan dan spiritual di kalangan umat Islam. Di dalamnya ada pelbagai modul, sesi, kaedah latihan dan mujahadah seperti menahan diri supaya tidak makan dan minum serta menahan marah.
Kita juga digalakkan memperbanyakkan ibadat serta meninggalkan perkara mungkar. Boleh dikatakan Ramadan adalah bulan latihan dan jihad membina jiwa suka berkorban, membangkitkan spiritual dan jati diri Muslim.
Jihad adalah salah satu bahagian utama Islam. Dari sudut bahasa, jihad bermaksud kesungguhan dan keinginan. Keinginan teman saudara mempelajari atau mengambil tahu mengenai Islam boleh ditakrifkan sebagai jihad. Mungkin ini boleh memberi gambaran lebih jelas kepada beliau konsep umum jihad.
Tetapi sebelum itu harus kita amati dan fahami apakah pengertian jihad itu terlebih dulu kerana secara langsung menjawab persoalan mengapa ia penting dalam Islam. Media Barat khususnya sudah menyempitkan pengertian jihad dan menyamakannya dengan keganasan.
Jihad secara umumnya bermaksud berusaha bersungguh-sungguh ke arah sesuatu yang ideal atau ke arah mencari reda Allah. Contohnya, kita wajib solat kerana ia tunggak agama dan kita juga maklum solat berjemaah di masjid ganjarannya adalah berganda.
Kita juga sedia maklum, bukan semua orang boleh bangun awal pagi semata-mata untuk bersolat Subuh berjemaah. Tetapi bagi yang insaf dan sanggup, dia akan berusaha bersungguh-sungguh mengatasi sama ada sifat malas, tarikan nafsunya untuk terus tidur dan sebagainya.
Usaha ini adalah jihad. Rasulullah SAW bersabda, jihad yang paling besar ialah jihad menentang hawa nafsu kita sendiri. Ini dalam konteks peribadi. Begitu juga dalam konteks keluarga dan masyarakat. Segala usaha gigih kita untuk menyampaikan mesej Islam adalah jihad.
Perkara yang sering menjadi tumpuan media atau pihak tertentu apabila berbicara mengenai istilah jihad ini ialah jihad mempertahankan Islam atau jihad menentang mereka yang mencabul kedaulatan Islam.
Antara dalil mengenai jihad ialah firman Allah yang bermaksud: "Tetapi Rasul dan orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang yang beroleh kebaikan, dan mereka orang yang beruntung." (Surah At-Taubah, ayat 88)
Allah berfirman yang bermaksud: "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang yang sabar." (Surah Al-Imran, ayat 142)
Jihad dalam ayat itu merujuk kepada pengertian berperang menegakkan Islam dan melindungi orang Islam, memerangi hawa nafsu, mendermakan harta untuk Islam dan membanteras yang batil dan menegakkan yang benar.
Bagaimana menjadikan setiap amalan kita itu yang terbaik melainkan kita bersungguh-sungguh. Bagaimana mungkin boleh kita katakan kita sudah berikan yang terbaik melainkan selepas kita korbankan sedikit kesenangan seperti bersolat Subuh berjemaah.
Adalah mudah untuk masuk syurga, tapi harganya tidak murah. Mudah kerana Allah menggariskan apa yang perlu kita lakukan, Rasulullah SAW pula menunjukkan jalannya. Tetapi ia tidak murah kerana yang harus kita korbankan ialah apa kita amat sayang, suka atau amat hargai. Dan pengorbanan yang paling tinggi ialah dengan nyawa kita bila keadaan memerlukan.
Jawapan disediakan Amir Razelan dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan yang lalu sila lawati www.bicarakalbu.blogspot.com.
