Friday, December 30, 2005

6 panduan laksana azam tahun baru

Bicara Kalbu: 6 panduan laksana azam tahun baru

?Perlukan nasihat mengenai resolusi setiap awal tahun? Walaupun setiap tahun kita sering membuat resolusi demi resolusi, namun banyak yang kita mungkiri. Apakah guna berjanji dengan diri sendiri jika tidak ditepati?

Gadis Perlu Bimbingan,
Sungai Besi Selangor

ISLAM menggalakkan umatnya muhasabah atau menghisab diri bagi merenung kelemahan atau kesalahan dalam usaha memperbaiki akhlak serta prestasi untuk kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Manusia mempunyai sifat selalu lupa, sebab itulah kita di berikan peringatan dan harus memperingati.

Jika orang lain tidak mengingatkan diri kita, kita wajib mengingatkan diri untuk kemajuan, ketenangan hati dan kebahagiaan hidup kita sendiri.

Muhasabah mempunyai banyak peringkat iaitu muhasabah harian, mingguan, bulanan dan tahunan.

Membuat resolusi ibarat kita berjanji kepada diri sendiri dan jika itu tidak ditepati, kita perlu semak mengapa janji itu tidak dapat ditepati melalui bedah siasat minda yang ditulis di atas kertas.

Kita jadikan resolusi ini sebagai tempat kita menilai prestasi diri termasuk akhlak, amalan, ibadat, sumbangan kepada insan lain dan kerjaya selama setahun, adakah lebih baik atau sebaliknya.

Adakah kita membahagiakan insan lain atau menyebabkan mereka menderita? Kita boleh mengotakan janji kepada diri jika kita menyediakan mekanism dan tips untuk memenuhi janji itu.

Enam tips untuk menulis resolusi tahun baru:

# Senaraikan resolusi Tahun 2006

Sebagai permulaan, kita senaraikan semua resolusi yang kita buat, kemudian kita pilih mana-mana perkara yang lebih utama sebagai A1, A2, A3 dan kita tetapkan tarikh untuk memulakan resolusi itu dalam jangka masa katakan, 40 hari.

Kemudian tentukan ulangan yang akan kita lakukan, sekali atau dua kali dalam masa sebulan atau dua bulan. Buat sedikit demi sedikit mengikut kemampuan badan dan mental, kemudian tambahkan ikut kemampuan.

Apa yang penting, resolusi mestilah dilakukan secara ’istiqamah’ dan tekun.

Contohnya amalan yang boleh disenaraikan dalam amalan persendirian ialah memperbanyakkan amalan solat sunat, puasa sunat, membaca al-Quran, baca buku terbaru, meringankan beban ibu tunggal, anak yatim dan lain-lain.

# Cari resolusi yang memang ‘mampu’ kita lakukan.

Contohnya, datang ke pejabat jam 8.30 tepat kerana pada akhir tahun 2005 kita tidak dapat bonus berlipat ganda disebabkan selalu datang lewat.

Atau dalam masalah hati, kita tidak mahu bersifat prejudis kepada insan lain, hendak mencintai semua orang dan membahagiakan orang lain.

# Cari resolusi yang sudah kita lakukan atau yang memang kebiasaan kita

Contohnya, solat lima waktu kita memang lakukan tetapi adakah sempurna solat kita, adakah waktunya tepat? Azam kita ialah untuk mencantikkan amal yang dilakukan setiap hari.

# Pilih resolusi yang mudah.

Contohnya, bersedekah RM1 setiap Jumaat, atau paling mudah tersenyum dalam apa cara sekalipun kerana senyum adalah sedekah. Tahukah kita bahawa senyuman kita yang pertama di waktu pagi bagi seorang sedang murung boleh membahagiakannya sehari suntuk.

# Pilih resolusi yang tidak boleh diukur, tanpa unit dimensi dan abstrak

Contohnya, saya akan jadi orang yang lebih baik. Ini tidak boleh diukur kerana lebih baik boleh membawa pelbagai maksud iaitu, baik saja, lebih baik dan lebih baik lagi.

# Tuliskan resolusi di tempat mudah dilihat

Tampal resolusi di tempat mudah dilihat umpamanya dengan melekatkan di dinding, peti sejuk, cermin di bilik tidur, di telefon atau buku bacaan terkini. Jika kerja kita menggunakan komputer, buatkan ’pop up icon’ yang akan terpampang setiap kali kita menggunakan komputer.

Enam tips di atas untuk menulis resolusi tahun baru dan mudah-mudahan kita akan dapat menulis resolusi tahun baru yang canggih dan dapat dipenuhi di akhir tahun akan datang.

# Dijawab oleh Endok Sempo Mohd Tahir. Persoalan dan jawapan layari www.wanitajimceria.blogspot.com

Friday, December 23, 2005

Banyak zikir, baca al-Quran cara ubati sihir

Bicara Kalbu: Banyak zikir, baca al-Quran cara ubati sihir

? AKHIR-AKHIR ini, saya selalu mengalami perkara pelik dan ganjil dalam kehidupan. Kata orang berkaitan masalah gangguan makhluk halus. Restoran saya beroperasi lebih enam bulan, malangnya sejak beberapa minggu lalu tiada pelanggan yang datang. Ada pelanggan memulangkan nasi campur yang dibeli dari restoran saya kerana katanya ia penuh dengan serpihan kaca halus. Benarkah makhluk halus boleh memudaratkan kehidupan kita. Bagaimana menghadapi permasalahan ini?

Ingin Tahu,
Rawang, Selangor.

Jawapan

SIHIR ada disebut dalam al-Quran yang wujud sejak zaman Nabi Musa. Ia juga ada diriwayatkan pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Adakah Nabi pernah terkena sihir?

Persoalan ini menjadi pertikaian ulama Islam. Dalam hal ini, kita merujuk kepada hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud: “Daripada Aisyah: Nabi pernah disihirkan sehingga Baginda menyangka telah mendatangi mereka (isteri-isteri), sedangkan ia tidak mendatangi mereka." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ulama yang menafikan hal ini memberi alasan bahawa ia sesuatu yang mengaibkan martabat Rasulullah. Tetapi, menurut Qadhi Iyadh: “(Kejadian sihir) ini tidak mencacatkan kebenaran Baginda kerana telah dipersetujui bahawa Nabi dipelihara dari sudut itu. Cuma yang berlaku di bidang yang harus berlaku di atasnya, di bidang duniawi semata-mata. “Qadhi Iyadh menegaskan: “Dan sihir adalah satu daripada penyakit."

Dengan ini jelas bahawa tidak mustahil bagi seseorang itu ditimpa penyakit yang disebabkan oleh sihir, tetapi hendaklah diingat bahawa ia berlaku atas izin Allah.

Sihir adalah sejenis ilmu yang dikuasai oleh golongan yang bersekongkol dengan jin dan syaitan.

Tanda terkena sihir antaranya:

# Seseorang yang baru berkahwin tidak mempunyai nafsu terhadap isterinya;

# Seseorang itu berasa kadang kala terlalu panas dan sejuk sehingga sanggup minum air mendidih;

# Suami dan isteri yang tiba-tiba berasa tidak aman, benci-membenci antara satu dengan lain walaupun sebelumnya mereka sangat berkasih-sayang;

# Kebiasaannya gejala penyakit yang disebabkan sihir lebih menonjol sewaktu senja; dan

# Banyak daripada penyakit baik fizikal atau kejiwaan tidak dapat disahkan puncanya oleh doktor pakar.

Cara menghadapi sihir.

Orang yang beriman dengan Allah mempunyai banyak kelebihan di dalam menghadapi sihir.

Pertama, mereka mempunyai tempat pergantungan dan berlindung yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa iaitu Allah. Imam Ibnu Qaiyim berkata: “Ubat yang paling bermanfaat untuk penyakit sihir ialah Al Adhihiyah Al ilahiyah (penawar ketuhanan) iaitu dengan banyak berzikir, membaca al-Quran dan berdoa.”

Seseorang yang beriman menganggap bahawa sihir yang menimpanya sebagai satu ujian daripada Allah. Sekiranya, melalui ujian ini dengan cara yang betul seperti yang dikehendaki Allah, maka insya-Allah bertambahlah imannya. Kaifiat penghadang sihir ini seperti yang diamalkan oleh Rasulullah boleh didapati dari buku bertajuk Tibb Nabawi, perubatan cara Rasulullah.

Orang beriman hendaklah meyakini bahawa kuasa Allah mengatasi segala-galanya baik yang ada di langit mahupun di bumi dan bahawa interaksi dengan ayat Allah (al-Quran) itu sebesar-besar penawar.

Oleh itu, mereka tidak perlu berubat dengan cara yang memudaratkan akidah seseorang seperti berlindung dengan jin dan syaitan melalui perantaraan ‘bomoh’ atau ‘dukun’ dan jin.

Bagaimanapun, kita boleh berjumpa dan meminta nasihat daripada pakar atau intelektual Islam yang dipercayai dan tidak mencampurkan yang hak dengan yang batil dalam menangani masalah ini.

Dijawab oleh Endok Sempo Mohd Tahir. Persoalan dan jawapan layari www.wanitajimceria.blogspot.com

Friday, December 09, 2005

Lapan cara atasi sikap rendah diri, prestasi

Lapan cara atasi sikap rendah diri, prestasi

SOALAN:

SAYA seorang pelajar yang amat pendiam dan suka menyendiri. Walaupun, berjaya menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi, namun masih lagi dihantui perasaan kurang yakin dengan kemampuan diri. Kadang-kala saya berasa malas hendak ke kuliah secara tiba-tiba dan hilang tumpuan.

Saya juga kurang yakin untuk bergaul dengan pelajar lain. Terus terang saya katakan saya berasal daripada keluarga susah. Ibu bapa saya bekerja kampung dan tidak banyak berbual dengan saya, malah banyak menghabiskan masa mereka membanting tulang untuk menyekolahkan saya dan adik. Mungkin saya terlampau mementingkan diri, tetapi hakikatnya ada ketika dan masanya, ingin juga rasakan suasana keluarga seperti keluarga pelajar remaja lain.

PELAJAR HILANG TUMPUAN,
Alor Gajah, Melaka

JAWAPAN

Adik amat bertuah kerana mempunyai ibu bapa yang begitu komited dan sanggup berhabisan demi untuk masa depan anaknya. Oleh itu, hargailah pengorbanan mereka.

Kini adik berada di institusi pengajian tinggi. Hal ini bermakna, adik mempunyai cukup kelayakan untuk diterima masuk ke situ. Maka, pisau sudah berada pada tangan kanan manakala mentimun pada sebelah kiri. Terpulanglah pada diri adik untuk menghiris atau memotong mentimun itu. Atau adik memilih untuk tidak melakukan apa-apa.

Adik harus perlu sentiasa mengingati diri bahawa adik harapan keluarga. Adik juga perlu nekad dan tanamkan semangat untuk dapat mengubah masa depan keluarga.

Seperkara lagi, adik hendaklah membuktikan diri adik sebagai contoh teladan dan ikutan bagi adik yang lain untuk turut mengikuti jejak langkah dalam mencapai cita-cita mereka.

Mungkin perkara berikut boleh membantu untuk mengekalkan prestasi memuaskan dalam pengajian:

Carilah teman sekuliah atau kumpulan perbincangan supaya dapat memberi nasihat dan tunjuk ajar ketika terasa kurang bermotivasi.

Untuk ini, adik harus juga berhati-hati iaitu perlu bijak memilih kawan. Bukan kawan yang sokong membawa rebah, kawan yang mendorong adik membuang masa, melakukan perkara yang sia-sia dan tidak sepatutnya.

Berjumpa dengan kaunselor atau penasihat akademik di fakulti atan pusat pengajian (sekiranya tiada, cari pensyarah yang dapat memahami) untuk sentiasa mendapat khidmat nasihat dan kata-kata dorongan.

Ramai pelajar universiti agak keberatan untuk berjumpa dengan pensyarah subjek masing-masing. Apatah lagi dengan penasihat akademik yang sememangnya diperuntukkan kepada setiap pelajar.

Sesungguhnya, tiada yang lebih menggembirakan hati pensyarah, selain dapat meluangkan waktu bersama pelajar dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Sentiasa membuat jadual belajar yang terancang dan bijak mengurus masa. Perkara ini boleh ditimba daripada perbincangan dengan pelajar lain. Jika tidak pun, boleh menentukannya sendiri kerana adik boleh mengukur sejauh mana kemampuan diri dalam memberikan tumpuan kepada sesuatu perkara. Tiada orang yang lebih mengenali diri adik selain diri sendiri.

Budayakan teknik pembelajaran yang efektif. Pembelajaran efektif bukan bermaksud duduk menghadap buku berjam-jam lamanya. Dalam kebanyakan kes, perbuatan ini hanya sia-sia. Kadang-kala, dengan memberikan tumpuan dan perhatian dalam masa yang cukup dan padat akan lebih membuahkan hasil memuaskan.

Pastikan adik membabitkan diri dengan kegiatan lain selain belajar seperti bersukan, berpersatuan dan sebagainya. Ia supaya adik tidak cepat berasa dengan hanya menumpukan perhatian kepada pelajaran. Fizikal cergas akan melahirkan otak cerdas.Sentiasa berdoa kepada Allah agar diberikan petunjuk dan hidayah serta dijauhi daripada perasaan malas dan tidak bersemangat.

Selalu berhubung dengan ibu ayah adik. Sungguhpun kemungkinan adik tidak berupaya untuk memiliki alat komunikasi moden, canggih dan terkini seperti remaja lain, tidak ada alasan untuk tidak selalu berhubungan dengan mereka.

Cara lama seperti berutus surat mempunyai kesan yang mendalam kerana surat boleh disimpan dan dibaca berulang kali. Cubalah meluahkan perasaan dan menyatakan kasih sayang kepada mereka.

Ibu ayah mana yang tidak akan tersentuh hati dengan kiriman surat daripada anak. Carilah peluang untuk mendapatkan restu mereka, terutama ibu.

Sentiasalah berada dalam kalangan pelajar yang rajin mendekati masjid, melaksanakan solat jemaah dan merancang kegiatan kerohanian yang berfaedah di antara pelajar.

Akhir sekali, teliti maksud ayat 11, surah ar-Ra’d sebagai pedoman. Firman Allah bermaksud : “...Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri...”

Pepatah Melayu ada menyatakan ‘kalau tak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya’. Keluarlah daripada tempurung pemikiran sempit yang menyekat dan mengongkong diri dan melihat diri dari sudut yang lebih positif.

Jawapan oleh Profesor Madya Umi Kalthum Ngah, Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik Universiti Sains Malaysia. Penulis boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com