Thursday, August 20, 2009

Perjanjian Perkongsian Syarikat

Assalamualaikum.
Ustazah,

Saya Abdul Razak, adalah seorang usahawan yang terlibat dalam bidang pembuatan. Saya terlibat dalam bidang ini secara kebetulan. Dahulu saya seorang pekerja di syarikat ini.

Pada permulaannya, syarikat ini ditubuhkan oleh dua rakan kongsi, dan saya dipelawa oleh rakan kongsi 1 untuk bersama melabur dalam syarikat tanpa ada pegangan saham. Di atas dasar kepercayaan maka saya pun turut bersama melabur.

Apabila syarikat mula beroperasi dalam masa sebulan, timbul masalah antara rakan kongsi 1 dan 2. Rakan kongsi 2 telah mengambil pertanggungjawaban untuk membeli syer rakan kongsi 1 dan saya dipelawa untuk mengambil 10% dari syer itu. Rakan kongsi 2 tidak menunjukkan komitmen untuk membayar dan syarikat terumbang-ambing dalam 5 tahun ini.

Di atas kepercayaan untuk melihat syarikat berkembang, pinjaman telah dibuat dengan menggunakan nama saya sebagai pemegang syer majoriti. Rakan kongsi pula tidak menunjukkan sebarang komitmen menyebabkan saya dikejar pihak bank. Saya telah mengambil keputusan dengan tidak membenarkan rakan kongsi menandatangani cek lagi. Alhamdulillah, dalam 2 tahun, saya telah melunaskan hutang pembekal dan bank walaupun tidak penuh seperti yang di harapkan.

Baru-baru ini, pihak rakan kongsi 1 telah membuat tuntutan mahkamah agar rakan kongsi 2 membayar wangnya kembali. Tetapi pihak 2 tidak mampu membuat pembayaran penuh seperti yang diharapkan oleh pihak 1 dan dia berhasrat ingin mengambil kembali syarikat ini.

Saya memang tidak mampu untuk membuat pembayaran disebabkan saya memang tiada modal. Saya menjalankan syarikat ini supaya ia mampu bergerak dan boleh membayar gaji pekerja serta hutang tertunggak.

Apabila syarikat ini ingin diambilalih, hak saya terpaksa dilepaskan tetapi hutang syarikat tidak mahu ditanggung oleh pihak 1. Maka saya akan menanggung hutang pembekal dan KWSP .Pihak 1 akan menanggung mesin disebabkan dia menjadi gerantor mesin kilang.

Jika dia mengambil mesin itu maka saya tidak dapat bergerak dan syarikat akan ditutup.
Harap pihak puan memberi pandangan untuk melepaskan keresahan jiwa saya.

Cadangan dan Penyelesaian

Merujuk kepada situasi yang dihadapi oleh Encik Abdul Razak dan berpandukan kepada Undang-Undang Perkongsian di bawah Akta Perkongsian 1961, kesemua pihak iaitu rakan kongsi 1, 2 dan Encik Razak adalah bertanggungjawab terhadap semua liabiliti termasuklah hutang dalam bentuk pinjaman, gadaian dan sebagainya serta apa-apa bentuk tuntutan dari pihak luar pada masa yang material.

Ini bermakna segala masalah yang sedang berlaku dan akan berlaku pada masa hadapan tidak seharusnya ditangggung oleh Encik Razak seorang sahaja kerana undang-undang perkongsian menetapkan setiap rakan kongsi adalah terikat dan bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan atau perlakuan yang dilakukan oleh rakan kongsi lain termasuklah rakan kongsi bersifat sleeping partner atau dormant partner.

Malahan sekiranya terdapat sebarang bentuk tuntutan yang dibuat oleh pihak luar sama ada bank, individu, pembekal, pekerja, KWSP dan sebagainya terhadap sesuatu kontrak, perjanjian dan lain-lain maka semua rakan kongsi iaitu rakan kongsi 1, 2 dan Encik Razak sendiri adalah bertanggungjawab walaupun beliau hanyalah melabur dalam syarikat tanpa apa pegangan saham.

Namun di dalam kes ini tidak dapat dipastikan sama ada rakan kongsi 1 telah keluar daripada perjanjian perkongsian atau tidak, ataupun beliau masih lagi sebagai sleeping partner atau dormant partner. Sekiranya beliau telah keluar daripada perjanjian perkongsian sepenuhnya, beliau masih bertanggungjawab terhadap sebarang masalah dan tuntutan yang dibuat ketika mana beliau masih menjadi rakan kongsi.

Status rakan kongsi 2 dengan kes Encik Razak juga masih tidak jelas iaitu dalam hubungan perjanjian perkongsian ini, mereka berdua sama ada beliau adalah rakan kongsi aktif atau sleeping partner atau dormant partner. Di samping itu, sama ada wujud perjanjian bertulis di antara pihak-pihak terbabit atau sekadar perjanjian lisan sahaja yang mana perjanjian lisan juga merupakan ikatan kontrak yang sah.

Oleh yang demikian, isi kandungan perjanjian perkongsian yang dibuat antara rakan kongsi 1 dan 2 amat material dan penting untuk diteliti bagi menjawab serta menghurai persoalan yang berlaku. Di samping itu, perjanjian perkongsian di antara Encik Razak dan rakan kongsi 2 juga penting untuk diteliti bagi memastikan isi kandungan dan terma syarat yang dipersetujui oleh mereka.

Ini adalah juga memastikan jalan keluar serta penyelesaian menurut lunas undang-undang apabila berlakunya pengambilalihan syarikat, isu hak Encik Razak sebagai rakan kongsi, masalah hutang syarikat yang tidak mahu ditanggung oleh pihak rakan kongsi lain, liabiliti Encik Razak dan rakan kongsi lain untuk menanggung hutang supplier dan KWSP dan sebagainya yang boleh membawa kepada penutupan operasi syarikat dan kilang.
Jawapan telah disediakan oleh Wanita JIM Pulau Pinang.

Monday, June 15, 2009

Hukum membuang bulu di muka

Assalamualaikum
Saya ingin bertanya akan hukum membuang bulu di muka.

Masalah:
Andainya seorang gadis mempunyai bulu yang agak lebat di kawasan muka juga keningnya. Kewujudan bulu ini di sekitar bawah hidung, atas bibir, di dagu dan tempat lain di muka. Bulu di muka yang agak lebat dan panjang sehingga orang ramai dapat mengesan akan kewujudan bulu di mukanya itu. Kadangkala, ia dapat mewujudkan perasaan malu dan kurang berkeyakinan apabila orang lain merenung akan rupa parasnya. Ada juga di kalangan rakan yang menegur akan bulu di mukanya. Namun gadis itu tidak berani untuk membuang bulu di mukanya kerana sebagaimana yang diketahui bahawa ianya adalah Haram di sisi Allah swt. Apakah yang perlu dilakukan oleh gadis itu?
Terima kasih.
Wassalam

Gadis


Waalaikumsalam,

Gadis yang bertanya.

Tidak mengapa membuang bulu di muka andainya ianya mengaibkan seseorang

Yang ada larangan di sudut syarak hanyalah mencukur/menipiskan bulu kening di mana ia dilaknat oleh Allah sebagaimana ditegaskan oleh Nabi s.a.w. dalam hadisnya;
“Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang mencukur alis (bulu kening) atau minta dicukur alisnya dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.).

Secara amnya, hukum mencabut bulu di badan adalah seperti berikut;
  1. Mencabut bulu ketiak dan ari-ari; hukumya sunat. Bagi bulu ari-ari yang paling baik ialah mencukurnya. Adapun bulu ketiak yang paling baik ialah mencabutnya. Namun, jika dibuang dengan cara lain dari itu tidak mengapa.
  2. Mencabut bulu kaki dan bulu lengan/betis bagi wanita; harus kerana tidak ada dalil syarak melarangnya.
  3. Menghilangkan bulu kening; haram sekalipun dengan permintaan suami kerana larangan keras oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis di atas.

Mengenai bahan/ubat/sabun yang digunakan itu menghilangkan bulu, harus jika tidak mendatangkan mudarat kepada badan. Selain itu, hendaklah dipastikan ia suci (tidak mengandungi bahan najis). Jika ada bahan najis, hendaklah dibasuh sebelum mengerjakan solat.Wallahu a‘lam.

Rujukan;
1. Fatawa Ulama ‘ Baladil-Haram, hlm. 727 dan 739.
2. Dr Abd Karim Zaidan, AlMufassol fi ahkam almar’ah juz 3 hal 401


Jawapan disediakan oleh Ustazah Salihah Bt Abdullah, Pensyarah Kolej Jaiputra Kota Bharu dan Dr Hafidzah Mustakim Ketua Wanita JIM Kelantan

Friday, May 08, 2009

Dilema Isteri Ditinggal Suami

Saya Nani dari Putrajaya. Saya seorang penjawat awam di sebuah Kementerian di sini. Masalah saya bermula bila suami saya curang dengan seorang GRO. Di sebabkan saya telah tahu rahsianya, dia telah menceraikan saya melalui sms. Dia meninggalkan saya dan 3 orang anak saya yang masih kecil tanpa sebarang berita dan nafkah. Puas sudah saya memujuknya untuk bertemu dan berbincang tapi sia-sia. Saya telah membuat aduan ke mahkamah syariah mengenai status penceraian saya malangnya dia langsung tak bekerjasama dan tidak datang ke mahkamah walaupun surat saman telah dikeluarkan. Saya tak kisah kalau dia nak gantung saya tak bertali masalahnya saya tak mampu hendak menanggung 3 orang anak saya yang berumur 7 tahun, 5 tahun dan 8 bulan. Gaji kasar saya RM2000 tapi dipotong RM1000 oleh koperasi disebabkan suami saya ada membuat pinjaman untuk perniagaannya. Bakinya yang tinggal RM1000 itu membuatkan saya tidak mampu untuk membayar sewa rumah, ansuran kereta, bayaran pengasuh, yuran sekolah anak mahupun susu, lampin dan makan seharian. Saya tidak pasti sama ada saya layak atau tidak mendapat bantuan fakir, tapi amat memerlukan pekerjaan secara part time iaitu waktu malam dan hujung minggu. Saya amat buntu sekarang sebab duit simpanan saya sudah hampir habis untuk menanggung perbelanjaan kami seharian.
Nani
Putrajaya
JAWAPAN:

Puan Nani yang dirahmati Allah swt,

Syukur Alhamdulillah kerana Puan masih lagi berdaya dan berfikiran waras untuk berbuat sesuatu untuk mengubah nasib Puan dan anak-anak.

Saya bersimpati dengan kisah hidup puan yang amat rumit. Berada dalam keadaan ”di gantung tidak bertali” serta masalah kewangan yang meruncing semestinya satu dugaan yang amat berat bagi puan. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Walau bagaimanapun kita harus terus yakin bahawa setiap dugaan itu ada hikmahnya dan Allah tidak akan menduga kita di luar kemampuan kita sebagaimana dalam surah Al Baqarah :284 yang bermaksud

”Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya......”.

Dari cerita puan, jelas suami puan telah mencuaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah kepada anak-anak puan. Dari cerita puan juga, dapat disimpulkan bahawa Puan mempunyai 2 persoalan utama:

1. Status puan sebagai isteri yang bergantung tak bertali
2. Masalah kewangan yang menghimpit

Perceraian Puan melalui SMS harus dibuktikan kesahihannya, contoh; adakah sms suami berbunyi `saya cerai awak talak satu’. Jika ayat yang digunakan adalah secara kiasan, mahkamah perlu melihat kepada niat suami. Puan juga perlu pasti siapakah sebenarnya mengirim sms tersebut kepada puan.

Saya ingin mencadangkan agar puan memfailkan permohonan/tuntutan pengesahan perceraian di mahkamah, jika puan belum membuatnya. Jika puan telah memfailkan tuntutan, maka puan boleh melanjutkan tindakan seterusnya. Puan juga menyatakan bahawa surat saman telah dikeluarkan tetapi perlu dipastikan adakah saman dan pernyataan tuntutan tersebut berjaya diserahkan kepada suami? Jika gagal diserahkan, maka suatu tindakan perlu diambil untuk memastikan saman tersebut berjaya disempurnakan, sama ada secara serahan melalui bailiff mahkamah, iklan, penampalan etc. Terdapat juga peruntukan waran tangkap agar suami dibawa ke mahkamah. Ini adalah kerana kehadiran suami di mahkamah untuk menyelesaikan perkara ini.

Berkenaan penjamin/ansuran, puan boleh memilih beberapa cara untuk menyelesaikan sama ada diluar mahkamah atau di dalam mahkamah. Puan boleh berbincang dengan pihak bank sama ada dibenarkan untuk menukar nama penjamin atau suatu persetujuan direkodkan bersama. Untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak dan mendapatkan nasihat dari aspek perundangan, puan boleh mendapatkan bantuan daripada Bantuan Sokongan Keluarga di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di talian 03-8886 4800.

Diharapkan jawapan yang disediakan ini dapat membantu puan mencari jalan keluar dari kemelut ini. Saya mendoakan agar Puan sentiasa tabah menghadapi dugaan ini dan berbanyak-banyaklah mengingati dan memohon pertolongan daripada Allah kerana Dia adalah sebaik-baik Penolong dan Pemberi jalan penyelesaian.
Jawapan disediakan oleh Wanita JIM Kuala Lumpur.