Friday, December 28, 2007

Kalendar Islam jadi rujukan peristiwa penting

SAYA lihat kebanyakan daripada remaja dan generasi muda tertunggu-tunggu untuk meraikan kedatangan tahun baru 2008 dengan pelbagai acara serta temasya. Tetapi mengapa tidak ramai yang peka kehadiran tahun baru hijrah. Apabila saya bertanyakan sahabat mengenainya, mereka berasakan tahun baru hijrah tidak relevan lagi. Bagaimana pandangan anda.

Siswi IPTA,
Terengganu

Jawapan:

Tahun baru hijrah semakin hampir tetapi, sebelum munculnya 1 Muharam 1429 Hijrah, kita akan meraikan sambutan tahun baru pada 1 Januari 2008. Mengimbas penggunaan kalendar, tahun masihi yang digunakan secara global adalah berlandaskan kepada kalendar Gregorian yang menggunakan putaran matahari sebagai penentuan hari bagi setiap tahun.

Manakala, kalendar Islam berasaskan pusingan bulan dan anak bulan menjadi penanda kepada permulaan bulan seterusnya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dialah (Allah) yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menetapkan tempat orbitnya, supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya)." (Surah Yunus, ayat 5)

Setiap tahun mempunyai 12 bulan sebagaimana ditetapkan Allah ketika kejadian bumi dan langit seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya jumlah bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa." (Surah at-Taubah, ayat 36)

Pertambahan bilangan bulan sehingga menjadi 13 bulan dalam setahun tidak dibenarkan dalam Islam sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya mengundurkan atau menambah bulan adalah tambahan dalam kekufuran." (Surah At-Taubah, ayat 37)

Rasulullah SAW sudah menentukan bahawa umat Islam harus mengikut peredaran bulan bagi menentukan bulan dan tahun mereka seperti sabda Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa setiap bulan adalah sama ada 29 atau 30 hari (secara purata 29.5 hari sebulan).

Manakala, kalendar Gregorian yang mempunyai 30 atau 31 hari pada setiap bulan kecuali bulan Februari (sama ada 28 atau 29 hari) mempunyai bilangan hari yang tetap. Dengan itu, bilangan hari kalendar Gregorian ialah 365 hari berbanding kalendar Islam sebanyak 354 hari dalam setahun.

Tarikh 1 Januari tahun 1 Masihi dalam kalendar Gregorian adalah seminggu selepas kelahiran Nabi Isa (25 Disember), walaupun ramai berselisih pendapat mengenai tahun kelahiran Nabi Isa dan ada yang mempercayai kelahiran itu berlaku sebelum tahun 1 Masihi (kemungkinan pada 4 Sebelum Masihi (Before Christ).

Kalendar Gregorian yang diubahsuai daripada kalendar Julian (kalendar Rom) telah dicadangkan oleh Aloysius Lilius dan diterima Pope Gregory XIII (asal nama kalendar Gregorian) pada 24 Februari 1582 Masihi (AD).

Istilah AD yang digunakan dalam kalendar Gregorian adalah perkataan Latin iaitu 'anno Domini' yang bermaksud 'Dalam Tahun Tuhan Kami'. Ada kalanya label CE (Common Era atau Christian Era) digunakan pada akhiran sesuatu tahun seperti 1960 AD atau CE.

Sebelum penggunaan kalendar Islam, kaum Arab mengguna kalendar berasaskan putaran bulan dan matahari serta pertambahan hari dilakukan untuk menyesuaikan dengan musim. Sistem penomboran bagi tahun dalam kalendar sebelum era Islam belum dilaksanakan.

Mereka mengaitkan sesuatu peristiwa penting untuk sesuatu tahun seperti Tahun Gajah iaitu tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW kerana pada waktu itu, Kaabah di Makkah dicerobohi oleh tentera bergajah pimpinan Abrahah, Gabenor Yaman (kini termasuk dalam negeri Ethiopia).

Sebelum kewafatan Rasulullah SAW pada 632 Masihi, Baginda memerintahkan supaya kalendar berasaskan pergerakan bulan mesti digunakan. Tetapi penggunaan itu hanya berkuat kuasa ketika pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab pada 642 Masihi.

Penentuan tarikh 1 Muharam 1 Hijrah mendapat beberapa cadangan daripada sahabat seperti hari kelahiran dan kewafatan Nabi Muhammad SAW, tetapi Khalifah Umar menetapkan tarikh itu ialah bersempena penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah. Tarikh 1 Muharam 1 Hijrah adalah bersamaan dengan 16 Julai 622 Masihi.

Tujuan utama penetapan tarikh hari pertama dalam tahun 1 Hijrah ialah untuk memastikan manusia menghargai perjuangan dakwah Rasulullah SAW yang sanggup berpindah dari tanah air Baginda bukan kerana takut dengan ancaman kaum kafir Quraisy di Makkah tetapi hendak menegakkan syariat Islam di muka bumi ini.

Sejarah membuktikan kecemerlangan Islam terhasil selepas terbentuknya negara Islam pimpinan Rasulullah SAW di Madinah. Penghijrahan itu berlaku selepas 13 tahun Islam diperkenalkan di Makkah tetapi kaum Quraisy tidak dapat menerima kehadiran Rasulullah SAW kerana khuatir kedudukan pemerintah di Makkah terancam.

Banyak cabaran dan ujian yang diterima umat Islam. Islam susah hendak dipraktikkan secara keseluruhan di Makkah berbanding di Madinah kerana kaum Aus dan Khazraj sentiasa menanti-nanti kedatangan Nabi Muhammad SAW untuk memimpin mereka.

Oleh itu, Madinah menjadi sebuah negara Islam yang dipimpin Rasulullah SAW dengan struktur organisasi yang lengkap dengan sistem sosial, ekonomi dan pentadbiran negara.

Sebagai umat Islam, eloklah kita melihat juga kalendar Islam sebagai rujukan tarikh supaya kita sentiasa peka dengan beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam.

Pengetahuan beberapa tarikh penting dalam kalendar Islam seperti 1 Muharam, 12 Rabiul Awal, 27 Rajab, bulan Ramadan, 27 Ramadan, 10 hari terakhir pada bulan Ramadan, 1 Syawal, 9 Zulhijjah dan 10 Zulhijjah perlu disegarkan semula dalam kehidupan kita.

Jawapan disediakan oleh Prof. Madya Dr. Salwani Mohd. Daud yang merupakan seorang Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia dan ahli Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia.www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, December 21, 2007

Cinta perlu berlandaskan syariat

Bicara Kalbu: Cinta perlu berlandaskan syariat
Jawapan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor
www.bicarakalbu.blogspot.com
SAYA selalu membaca jawapan terhadap beberapa persoalan cinta di kalangan remaja dalam ruangan ini. Saya membuat kesimpulan bahawa bercinta itu adalah haram. Benarkah kesimpulan saya ini.

Baru jatuh cinta,
Bandar Baru Bangi.


ISLAM adalah agama fitrah. Kasih sayang adalah sifat tabii yang dibekalkan Allah kepada manusia. Adalah fitrah semula jadi apabila lelaki dan wanita berkasih sayang antara satu sama lain atau istilah cinta yang digunakan pada hari ini.

Apabila Adam diciptakan dan diciptakan pula Hawa di sisinya, maka ketika Adam bertanya kepada Hawa, "Siapa kamu? Jawab wanita itu, Aku Hawa dan aku dijadikan untukmu, supaya engkau rasa tenang terhadapku." Adam dicipta dalam syurga yang serba lengkap dan sempurna, tetapi tetap memerlukan seorang wanita sebagai pelengkap kehidupannya.

Kesimpulannya, cinta adalah fitrah atau perasaan semula jadi. Cinta perlu dimeterai dengan perkahwinan seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan dijadikan untukmu pasanganmu dan dijadikan antara kamu mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan). Cinta ini hanya boleh dinyatakan melalui gerbang perkahwinan dan manfaat yang paling besar akan terbit daripada cinta sebegini." (Surah Rum, ayat 30)

Persoalan yang dilontarkan ialah bolehkah bercinta sebelum berumah tangga. Sebelum persoalan ini dijawab, ada baiknya jika istilah cinta itu dikupas. Menurut kamus kehidupan muda mudi hari ini, cinta itu membawa maksud menyatakan perasaan secara terbuka antara lelaki dan perempuan yang tidak punya sebarang hubungan kekeluargaan (halal nikah) dan kemudian memupuk cinta dengan keluar bersama, menghubungi satu sama lain sama ada melalui perbualan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel dan sebagainya.

Apakah batas syarak yang diletakkan pada cinta? Batas syarak itu ialah batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Lelaki dan perempuan tidak boleh berada secara berdua-duaan tanpa ditemani muhrim kerana apabila berduaan lelaki dan perempuan yang ketiganya ialah syaitan.

Lelaki dan wanita juga wajib menjaga aurat, akhlak dan adab pergaulan. Jika semua itu dijaga rapi, pakaian menutup aurat dengan sempurna, tidak berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah, menjaga adab tutur bicara, tidak melunak atau memanjakan suara hingga boleh menimbulkan keinginan pada sang lelaki, maka boleh saja lelaki dan perempuan bercinta sebelum berumah tangga.

Bagaimana caranya? Kita sedia maklum kehidupan hari ini kompleks dan menuntut persediaan diri yang mantap bukan saja dari sudut emosi tetapi juga kepemimpinan keluarga, keupayaan ekonomi, penguasaan ilmu, sebelum seseorang itu melangkah masuk ke gerbang rumah tangga.

Sudah tentu persediaan itu memerlukan masa. Contohnya, menyediakan keupayaan ekonomi. Seseorang itu mungkin terpaksa melanjutkan pelajaran di universiti selama empat tahun, selepas tamat pengajian, perlu mengumpul wang bagi melengkapkan keperluan untuk berumah tangga.

Dalam tempoh berkenaanlah cinta yang berputik antara dua insan perlu dipupuk dan perlu melalui syariat.

Jika keperluan untuk berjumpa, bertandang ke rumah keluarga perempuan ketika ibu bapanya ada di rumah, atau jika perlu untuk bersemuka di luar, pastikan pertemuan itu berlaku dengan kehadiran seorang teman yang dipercayai, sebaiknya muhrim.

Jawapan disediakan pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor, dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang komentar boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, December 14, 2007

Bicara Kalbu: Dilema bekerja bersama majikan amal rasuah

Jawapan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor
wanitajim0@yahoo.com

SAYA dimaklumkan seorang rakan sekerja bahawa majikan mengamalkan rasuah dan beberapa penyelewengan dalam urus niaganya. Daripada hasil wang itu digunakan untuk membayar gaji dan elaun pekerja. Saya rasa tidak sedap hati dan kurang selesa. Saya sudah melakukan sedikit pembacaan, merujuk beberapa buku agama, berbincang dengan kawan dan melakukan solat istikharah memohon petunjuk dan bantuan Allah. Namun hati saya sentiasa berdolak-balik dan rasa serba salah. Namun jauh di sudut hati, keputusannya lebih menjurus kepada berhenti kerja. Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira tiga perkara penting iaitu tidak mahu sumber rezeki yang haram atau syubahat, tidak mahu segala hajat tergantung atau ditolak Allah semata-mata kerana sumber rezeki yang haram atau syubahat serta tidak mahu segala apa yang ditimbulkan hasil pendapatan daripada yang haram dan syubahat. Saya yakin, tiada keberkatan di situ walaupun sejauh dan sebaik mana pun rancangan serta usaha saya. Dilema saya ialah sukar mendapat pekerjaan sekarang, perlu membayar hutang dan menyara ibu sedang sakit. Soalan saya, apakah hukum saya bekerja sementara mendapat pekerjaan lain atau berhenti kerana tahu sumber pendapatan daripada sumber meragukan?

Siswazah serba salah,
Cheras, Kuala Lumpur


PERTAMA, saya mengucap syukur ke hadrat Allah atas sikap dimiliki saudari yang bertanya. Inilah ciri yang perlu ada pada seseorang muslim yang berusaha untuk mencari kehidupan halal dan diberkati Allah.

Dalam dunia yang mementingkan kebendaan, orang seperti saudari adalah berita gembira yang melapangkan dada dan melegakan jiwa umat Islam yang resah dengan segala pelbagai sifat tidak amanah berleluasa serta menjadi amalan sebahagian ahli masyarakat.

Berbalik kepada soalan dan kemusykilan saudari mengenai tindakan sebaiknya diambil supaya hasil pendapatan diterima jelas sumbernya dan tidak diragui, di samping tidak mengabaikan kebajikan diri sendiri dan tanggungan (termasuk ibu yang sedang menderita sakit).

Syeikh Dr Yusuf Qardhawi apabila beliau diajukan soalan hampir sama iaitu apa hukumnya berkerja dengan sebuah institusi kewangan yang berasaskan riba dan apakah pandangan Islam jika seseorang itu berhenti sedangkan untuk mencari pekerjaan ganti tidak mudah.

Jawapan beliau ialah supaya si penanya terus bekerja di bank berkenaan dan hanya berhenti selepas dia memperoleh pekerjaan lain.

Jawapan diberikan Dr Yusuf Qardhawi adalah berasaskan kepada fiqh awlawiyat atau keutamaan dalam beramal. Dalam keadaan dihadapi saudari, mencari sara hidup adalah kewajipan sedangkan melepaskan jawatan sedia ada dalam keadaan tiada sumber pendapatan lain boleh menimbulkan fitnah yang sukar ditangani.

Tidak sedikit kesulitan yang timbul akibat kehilangan sumber pendapatan, apatah lagi jika sumber pendapatan itu juga digunakan untuk menampung ahli keluarga lain termasuk ibu sedang sakit seperti dalam kes saudari.

Saudari perlu kekal bekerja dengan majikan tersebut sehingga mendapat tawaran pekerjaan lain. Meninggalkan pekerjaan tanpa sumber rezeki lain, boleh menimbulkan pelbagai kesulitan pada masa depan.

Lagipun saudari bukan secara sedar menerima untuk bekerja dengan majikan sedia ada dan tahu berlakunya amalan rasuah serta pecah amanah.

Saudari hanya menyedari amalan tidak beretika dan melanggar hukum serta akhlak Islam selepas diambil bertugas untuk beberapa waktu.

Oleh itu, apa yang perlu dilakukan ialah berusaha untuk mencari pekerjaan lain.

Jika pasti saudari akan mendapat pekerjaan atau sumber pendapatan lain, boleh melepaskan jawatan yang ada. Dengan demikian tidak akan terputus perbelanjaan dan menjejaskan kesejahteraan ekonomi keluarga.

Saudari berada di landasan yang betul. Percayalah, sikap ambil berat sumber pendapatan pasti akan diberi ganjaran oleh Allah dengan pekerjaan dan sumber rezeki lebih baik.

Allah tidak pernah memberatkan hambanya.

Ia juga adalah aspek penting dalam Islam. Islam agama rahmat yang tidak pernah meletakkan beban tidak tertanggung oleh penganutnya.

Semoga saudari tenang dengan jawapan ini. Hanya Allah yang lebih mengetahui dan kita memohon petunjuk daripada-Nya.

Jawapan diberikan Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama wanita JIM di emel wanitajim0@yahoo.com

Friday, December 07, 2007

Bicara Kalbu: Pemberian sedekah kepada fakir lebih utama

http://korban-aqiqah.jim.org.my/1428/
Soalan

KETIKA kecil, saya serta adik suka melihat bapa dan datuk menyembelih lembu pada Aidiladha. Kini saya dewasa dan sudah bekerja. Saya sedar mengenai kepentingan ibadat korban tetapi saya ada beberapa kemusykilan. Apakah status korban saya jika orang bukan Islam menerima daging korban itu?

Siswazah IPTA
Pulau Mutiara



SAMBUTAN Aidiladha di negara kita sinonim dengan ibadat korban yang diadakan di masjid dan jumlah binatang yang dikorbankan makin bertambah terutama di kawasan bandar hingga berlaku lebihan agihan.

Masih ada yang keliru dengan isu korban dan pengagihan daging korban kerana ada pendapat mengatakan korban tidak diterima jika tidak dibuat di mukim sendiri, Namun, ada pendapat mengatakan ibadat korban sebegini dibolehkan, malah digalakkan.

Persoalan ini berlaku kerana adanya perbezaan pendapat ulama (khilaf) disebabkan tiada nas yang jelas. Oleh itu, ulama berijtihad bagi menyelesaikan masalah ini. Hujah qias menjadi asas penghujahan. Ia diqias kepada hukum memindahkan harta zakat ke tempat lain. Maka mereka berpendapat boleh dan menambah lagi hujah dengan menggunakan hujah maqasid syarak.

Dr Yusof Qardhawi berpendapat, jika sesebuah negeri itu susah dan rakyat memerlukan daging, sembelihan itu lebih baik di tempat itu. Jika negeri itu kaya dan ramai rakyatnya melakukan korban, maka bersedekah wang yang dinilaikan dengan nilai binatang korban itu lebih baik, kerana sedekah mesti diutamakan di tempat lebih memerlukannya.

Oleh itu, mengagihkan sembelihan korban di tempat yang memerlukan lebih afdal dalam keadaan ini. Menurut buku fiqh, keutamaan berdasarkan al-Quran dan sunnah mengatakan dalam memberi pertimbangan kepada sesuatu kemaslahatan, umat Islam harus mendahulukan kepentingan yang besar.

Maka berpegang kepada pendapat inilah, banyak badan bukan kerajaan dan persatuan Islam mempromosikan ibadat korban secara talian bertujuan mengumpul wang untuk melaksanakan korban di tempat umat Islam memerlukan seperti Kemboja, Afghanistan, Sudan, Indonesia (daerah yang tertimpa musibah tsunami dan gempa bumi), Filipina (Mindanao), Palestin, Thailand (wilayah selatan) dan Sri Lanka.

Kita juga melihat bagaimana daging korban dari Arab Saudi dihantar ke Afrika sejak sekian lama untuk orang fakir yang jarang menjamah daging. Fatwa bekas muftinya, Almarhum Ben Baz mengatakan daging sembelihan ‘dam’ juga boleh dihantar ke Afrika yang sangat memerlukan.

Mengenai memberi daging korban kepada bukan Islam, ada perbezaan pendapat antara ulama kerana ada yang membenarkan dan sebaliknya. Mazhab Maliki menyatakan binatang korban makruh dijamu kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali berpendapat orang bukan Islam harus dihadiahkan daging korban (yang bertaraf sunat) tetapi daging korban wajib tidak harus dihadiahkan kepada mereka walau sedikit. Pendapat membolehkan orang bukan Islam dihadiahkan juga mestilah untuk berdakwah di mana diharap terbuka pintu hati kepada agama Allah ini.

Namun melihat kepada dalil mengenai pengagihan daging korban, ia menjurus maksud yang umum. Firman Allah yang bermaksud: “Makanlah sebahagiannya, dan beri makanlah orang yang tidak meminta-minta dan orang yang meminta.” (Surah al-Hajj, ayat 36)

Jawapan disediakan Pengarah Program Rayuan Korban dan Akikah, Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia, Mohd Rashid Hasnon, yang boleh dilayari di http://korban-aqiqah.jim.org.my/1428/.

Friday, November 30, 2007

Isteri boleh ambil harta suami secara makruf

Isteri boleh ambil harta suami secara makruf

?SAYA sudah mendirikan rumah tangga hampir dua tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata berumur 11 bulan. Sejak berkahwin suami tidak pernah memberi duit atau wang tunai untuk perbelanjaan saya. Mungkin kerana saya juga bekerja dan pendapatan saya hampir sama dengan suami. Saya ada mendengar pandangan beberapa pihak menyatakan suami wajib memberikan duit kepada isterinya walaupun isteri bekerja dan ada pendapatannya sendiri. Suami tidak pernah membebankan saya dengan perbelanjaan rumah dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keperluan anak. Untuk pengetahuan, anak kami dijaga oleh ibu saya di kampung kerana suami saya tidak yakin anak boleh dijaga dengan sempurna oleh orang lain atau di pusat asuhan. Saya ingin meminta pandangan puan mengenai keperluan nafkah zahir. Perlu atau tidak suami memberi duit kepada isterinya tiap-tiap bulan sebagai perbelanjaan untuk isteri.


ISTERI PROFESIONAL
Kluang, Johor

SUAMI wajib memberi nafkah kepada isteri berdasarkan perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan orang yang disempitkan rezekinya maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

Ayat itu menjelaskan suami wajib menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal untuk isteri secukupnya, berdasarkan kemampuan tanpa lokek atau berlebih-lebihan. Jika suami tidak menjalankan tanggungjawabnya atau nafkah yang diberi tidak mencukupi sedangkan dia mampu maka isteri boleh mengambil daripada harta suami dengan cara yang makruf walaupun dia tidak mengetahuinya.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan mengadu kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah kepadaku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya tanpa pengetahuannya. Baginda menjawab: Ambillah apa yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang makruf.”

Pemberian nafkah boleh dilakukan dengan cara suami menyediakan segala yang diperlukan isteri dan anaknya atau suami memberikan wang kepada isteri untuk membeli keperluannya. Jika suami sudah sediakan nafkah wajib ke atasnya, wang tidak perlu diberikan lagi.

Dalam kes puan, nampaknya suami sudah melakukan tanggungjawabnya. Namun puan sebagai ibu kepada anaknya, adakah puan sudah melakukan tanggungjawab sepenuhnya untuk membelai, memberikan kasih sayang kepada anak. Anak adalah tanggungjawab puan.

Status kemuliaan ibu yang diletakkan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada ibu adalah amat tinggi. Ia kerana institusi keluarga bahagia bermula daripada kasih sayang seorang ibu yang memberi penekanan terhadap aspek kasih sayang, moral dan sosial serta menjadi contoh kepada anak sebagai insan berakhlak mulia.

Kajian menunjukkan hubungan ibu anak penting dalam usia awal sehingga 10 tahun. Masa inilah anak memerlukan belaian kasih sayang ibunya secara berterusan. Anak yang tidak mendapat kasih sayang menyebabkan hubungan ibu anak longgar dan punca berlakunya gejala sosial.



Jika seorang ibu itu berjaya melengkapkan anak mereka dengan persiapan kental daripada segi sokongan emosi dan pendidikan berterusan, pastinya gejala sosial akan dapat ditangani.

Dengan memberikan sepenuh tugas menjaga anak kepada ibu di kampung, puan secara tidak langsung sudah mengabaikan tanggungjawab keibuan puan. Saya mengharapkan ini adalah urusan sementara.

Apabila anak berumur tiga atau empat tahun, puan perlu mengambilnya semula dan membelanya sendiri. Puan masukkan dia ke Tadika atau Taska. Dengan demikian hubungan rapat puan dengan anak akan dapat dibina semula.

Janganlah terus membebankan ibu puan yang sedari dulu sudah melahirkan, membesarkan dan mendidik puan sejak kecil. Apabila puan sudah berkeluarga, anak adalah tanggungjawab puan bukan tanggungjawab nenek.

Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, November 16, 2007

Gusar tunang, bakal mentua tak penting agama

SAYA wanita berusia 23 tahun, sudah bertunang dan merancang mendirikan rumah tangga Mac 2008. Masalah saya ialah tidak suka kepada bakal mentua kerana mereka kurang mementingkan agama. Dalam tempoh perkenalan dan pertunangan saya banyak mengenali serta mengetahui mengenai keluarga tunang saya. Bapa tunang saya mempunyai kebolehan menghalau makhluk halus, tetapi peliknya, saya tidak pernah melihat beliau sembahyang. Malah, pernah kami keluar bersama dari pagi hingga petang, beliau tidak meminta untuk berhenti di masjid mendirikan solat. Lagi satu, penampilan bapa mentua tidak sekemas bapa saya yang bertubuh sasa serta mementingkan nilai agama kepada isteri serta anak. Perkara itu membuatkan saya memandang rendah keluarga tunang saya. Persoalannya bagaimana saya dapat menerima keluarga bakal suami. Antara tujuan saya mengahwini tunang adalah untuk mengubah beliau menjadi lebih baik dengan bantuan ibu bapa saya.

Siswi positif
Serdang, Selangor

Saya ada beberapa pandangan mengenai masalah saudari. Pertama, kembali kepada asas perkahwinan dalam Islam, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang wanita itu dikahwini kerana keturunannya, hartanya, rupa parasnya dan agamanya. Maka, pilihlah yang beragama nescaya beruntung kedua tanganmu."

Apa yang boleh disimpulkan ialah Nabi SAW mengatakan lumrah bagi seseorang itu berkahwin kerana empat sebab terbabit. Tetapi, sebab yang keempat akan membawa kebahagiaan berpanjangan dan berkekalan (dunia hingga akhirat).

Inilah kiasan di sebalik 'beruntung kedua tanganmu'. Sebab lain sifatnya duniawi dan sementara. Harta bukan sesuatu yang kekal dan boleh pindah milik pada bila-bila masa. Rupa paras ada tempoh luputnya. Wajah cantik tidak kekal lama dan ketika itu pandangan beralih kepada lebih menawan.

Lelaki yang bijak akan memilih isteri yang beragama. Bukan mudah untuk seorang berubah melalui perkahwinan. Ramai bertekad untuk mengubah pasangannya selepas berkahwin. Kenyataannya ramai yang gagal kerana yang ingin mengubah itu juga tidak kuat pegangan agamanya.

Penghayatan agama adalah sesuatu yang dihayati dan bukan didorong faktor luaran. Penghayatan agama bermula dengan pendidikan sejak kecil hingga amalan seperti solat dan kewajipan lain menjadi darah daging dalam diri seseorang.

Jika seseorang itu mahu berubah dan menghayati agama kerana jatuh cinta pada seseorang, ia sangat diragui. Keinginannya untuk berubah adalah didorong rasa cintanya. Kerana cinta ia sanggup melakukan apa saja.

Tetapi, apabila sudah berumahtangga dan cinta mulai pudar kembalilah ia kepada cara lamanya. Saya tidak mengatakan tidak ada orang yang berubah selepas berkahwin, tetapi peratus amat kecil sehingga tidak boleh dijadikan sandaran.

Jika lelaki berhadapan dengan cabaran besar untuk mendidik isteri yang kurang beragama, bagaimana pula halnya isteri hendak mendidik suami? Suami punya egonya tersendiri apatah lagi suami yang kurang agamanya.

Dia sekali-kali tidak akan tunduk kepada isteri yang dianggap cuba untuk mengajarnya. Sedangkan perintah Allah pun tidak diendahkan, inikan pula untuk menerima nasihat seorang isteri? Jauh panggang daripada api.

Pembawaan bakal bapa mentua dan anaknya yang tidak mendirikan solat juga sudah cukup untuk menggambarkan latar belakang pendidikan agama bakal suami anda. Barang siapa yang meninggalkan solat bererti meruntuhkan agamanya.

Nabi SAW bersabda bermaksud: "Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama, sesiapa yang meninggalkannya bererti meruntuhkan agama."

Mungkin tidak adil jika saya kaitkan bapa dengan anak kerana anak boleh berubah walaupun tidak dididik dengan soal keagamaan oleh keluarganya. Namun, apabila saudari mendedahkan tunang anda pun jarang solat dan mencuaikan solat Jumaat, nampaknya dia tidak jauh berbeza daripada ayahnya dalam soal ini.

Cubalah saudari bincangkan perkara ini dengan ayah dan keluarga. Saya yakin keluarga saudari yang berpegang teguh dengan agama pasti membimbing saudari untuk membuat keputusan terbaik dalam hal ini.

Ingatlah, membina rumah tangga adalah membina takwa. Sabda Nabi SAW bermaksud: "Apabila berkahwin seseorang dia melengkapkan separuh agamanya. Maka, hendaklah dia bertakwa pada selebihnya."

Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, November 02, 2007

Dosa cinta sejenis diluput dengan taubat nasuha

SAYA seorang remaja perempuan berusia awal 20-an dan sedang belajar di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA). Saya bukan anti atau membenci lelaki, tetapi pernah menjalin hubungan intim dengan kaum sejenis. Pada mulanya kami hanya berkawan dan apabila hubungan menjadi terlalu rapat, berlaku peristiwa tidak diduga. Saya pernah cuba mengelak, tetapi teman saya bijak memujuk hingga kami terlanjur melakukan hubungan yang dilarang Allah. Bukan saya tidak boleh menjauhkan diri, tetapi perasaan sayang kepada persahabatan terjalin membuatkan saya sukar untuk mengelak daripada berjumpanya. Tetapi sejak enam bulan kebelakangan ini, dia tidak lagi menghubungi saya dan hingga kini saya tidak tahu puncanya. Saya juga tidak lagi melakukan hubungan terlarang itu. Bagaimana cara untuk saya meminta ampun kepada Allah atas dosa yang dilakukan dan apakah tanda dosa saya diampuni. Apakah doa yang dapat saya baca untuk melupakan perbuatan itu dan dia?

Ingin bertaubat nasuha,

Lembah Klang.


KAMI bersimpati dengan nasib saudari dan pada masa sama marilah kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah yang menanamkan rasa insaf dalam diri kita semua. Itu adalah satu tanda besar Allah masih menyayangi kita.

Memang jelas sekali apa yang sudah berlaku adalah sesuatu yang terkutuk dan dilaknati Allah. Kita lihat bagaimana Allah membinasakan kaum Nabi Lut. Oleh itu, saudari sepatutnya bersyukur kerana diberi hidayah dan segera insaf untuk bertaubat.

Itu adalah satu daripada ciri orang yang bertakwa seperti dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: �Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)." (Surah Ali-Imran, ayat 135)

Dalam pada itu, saudari perlu faham persahabatan atau persaudaraan hakiki ialah persaudaraan yang dijalin atas dasar kasih sayang kerana Allah, untuk mencari keredaan Allah, ingat memperingati supaya bertakwa kepada Allah.

Persahabatan yang dijalin bukan atas landasan itu adalah persahabatan yang tidak mendatangkan kebaikan, malah akan membawa penyesalan di akhirat kelak.

Allah berfirman yang bermaksud: "Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)." (Surah Al-Zukhruf, ayat 67)

Berdasarkan apa yang saudari nukilkan, kelihatan kawan saudari belum bersedia menjalin persahabatan kerana Allah. Justeru, jika saudari tidak mampu memimpinnya, jauhkan diri daripada hubungan intim dengannya.

Dia sedang dilanda penyakit jiwa yang memerlukan rawatan khusus. Perasaan cinta sejenis (lesbian atau homoseksual) adalah satu jenis penyakit jiwa yang perlu mendapat rawatan pakar. Pakar psikiatri mempunyai cara tersendiri dan ubat khusus untuk merawat penyakit ini.

Bagaimana cara meminta ampun pada Allah, langkah pertama ialah dengan memperbanyakkan beristighfar dan bertaubat. Apakah beza taubat dan istighfar? Ulama menggariskan, istighfar adalah untuk dosa yang kita tidak sedari atau untuk perbuatan yang kita tidak tahu dosanya, manakala taubat adalah khusus untuk perbuatan yang kita tahu berdosa dan kita sedar ia adalah dosa.

Langkah kedua, kita menyesali perbuatan kita yang lalu dan membencinya semata-mata kerana takut akan azab Allah dan pada masa sama mengharapkan belas ehsan, rahmat serta kasih sayang-Nya. Sebutan dan lafaz istighfar bukan setakat di mulut, tetapi hati kita turut menangis menginsafi dosa dan azab Allah.

Akhir sekali kita mesti bertekad untuk tidak mengulanginya. Carilah jalan supaya segala lorong yang membawa kita ke arah perbuatan itu juga kita tutup rapat. Liciknya syaitan dalam memperdaya anak Adam, seperti disebut oleh Rasulullah SAW, adalah seperti darah yang mengalir dalam badan kita. Dan mohonlah supaya Allah berikan kita kekuatan untuk menghindarinya.

Seperti Allah nyatakan berkali kali dalam al-Quran, Allah Maha Pengampun. Sebesar manapun dosa hamba-Nya, keampunan Allah itu lebih besar. Sekalipun dosa itu kita ulangi dan ulangi, selagi mana kita ikhlas dan bersungguh, yakinlah Allah sudah ampunkan dan menerima taubat kita kerana itulah janji Allah.

Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dan Amir A Razelan dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan yang lalu boleh di layari di www.bicarakalbu blog spot.com

Friday, October 26, 2007

Isteri diabai patut rujuk pejabat kadi

Soalan;

KAMI mendirikan rumah tangga atas dasar cinta. Pada mulanya perkahwinan kami bahagia. Saya memahami kelemahannya dan menerima hakikat beberapa kekurangan suami antaranya tidak suka membantu di rumah, tidak suka ke pasar, lebih mementingkan kawan daripada saya. Suami saya bersikap lembut dan baik pada kawan-kawannya tetapi bersikap kasar kepada saya. Saya reda dengan sifatnya itu kerana saya juga ada kelemahan. Namun setelah mendapat anak yang kedua, dia mula berubah dan tidak menghiraukan saya malah mula mengabaikan tanggungjawab dalam memberikan nafkah batin. Beberapa tahun kemudian anak ketiga lahir dan saya didapati mempunyai masalah perut dan ditahan di wad selama 10 hari. Sewaktu dalam pantang dia langsung tidak mempedulikan saya. (Adik ipar yang membela saya kerana saya menumpang di rumahnya). Apabila terbaca sistem pesanan ringkas (SMS) romantik dalam telefon bimbitnya, saya dapat rasakan suami ada hubungan dengan wanita lain. Saya bertanya secara jujur dengannya dan suami mengaku berniat untuk berpoligami atas alasan tidak berselera dengan saya, saya tidak pandai bergaya, badan saya gemuk kerana tidak pandai menjaga badan, saya perempuan kampung cemburu buta tidak tentu pasal dan tergamak dia mengatakan dia tidak perlukan isteri seperti saya. Suami sentiasa menyatakan dia lebih sayangkan wanita itu dan tidak kisah mengenai anak. Sudah hampir 11 bulan dia tidak memberi nafkah batin kepada saya dan membuat rumah kami ibarat hotel, pulang tidak tentu masa, jika suka saja. Saya bencikan sikapnya dan menangisi nasib sepanjang masa. Saya buntu untuk mencari jalan keluar.

Isteri merana
Kajang Selangor.

Jawapan;


MALANG suami yang bersifat sedemikian. Tingkah laku suami puan tidak melayakkan dia memikul tanggungjawab sebagai suami, apatah lagi untuk menambah isteri.

Isu beliau hendak berpoligami adalah isu kedua. Isu yang lebih utama ialah bagaimana dia melayan isterinya yang sedia ada. Jelas daripada bicara puan, suami gagal melaksanakan tanggungjawab iaitu menyempurnakan nafkah zahir dan batin isteri.

Selain itu, suami puan juga tidak bertimbang rasa kerana tidak mahu bersama memikul tanggungjawab mengurus rumah tangga. Dia harus sedar tanggungjawab isteri hanyalah melayan kehendak suami. Berhias dan melayan suami di tempat tidur. Selain itu seperti memasak dan menguruskan rumah adalah ehsan atau bakti isteri kepada suami yang diberi pahala sedekah yang besar oleh Allah.

Suami sewajar menyedari dia juga perlu membantu di rumah sebagai tanda muafakat suami isteri. Jika dia tidak biasa maka dia harus menyediakan pembantu kepada isterinya. Rumah tangga Rasulullah SAW boleh dijadikan sandaran. Rasulullah SAW menjahit sendiri pakaiannya.

Puteri Rasulullah SAW, Saidatina Fatimah az Zahra dan suaminya juga adalah pasangan contoh bagi keluarga Muslim. Mereka tidak mampu menggaji pembantu, urusan rumah tangga mereka laksanakan bersama.

Ketiga, suami puan sudah menghina puan dengan kata-kata yang tidak selayaknya. Dulu isteri itulah tempat dia berkasih sayang. Kini setelah isterinya mengurniakan beberapa orang anak, dia menghina isterinya. Lebih menyedihkan lagi dia langsung tidak menghargai anak-anaknya.

Apa lagi yang boleh diharapkan kepada lelaki seperti ini. Tolong nasihatkan perempuan yang dihubungi suami puan, bahawa nasib yang bakal diterima nanti sama seperti puan.

Saya nasihatkan puan supaya adukan masalah ini ke pejabat kadi dan minta pandangan apa yang harus puan lakukan. Kegagalan suami untuk memenuhi nafkah batin adalah asas yang cukup kuat bagi pejabat kadi mengeluarkan arahan kepada suami puan untuk tampil menjelaskan kedudukan.

Sebagai lelaki, saya berasa malu masih ada dikalangan mereka yang bergelar Muslim dengan sewenang-wenangnya berasa selesa menghina belahan jiwa sendiri. Mudah-mudahan Allah memberi keampunan dan rahmat untuk menyembuhkan penyakit ini, jika beliau bertaubat dan berusaha dengan penuh tulus dan ikhlas menebus keterlanjurannya.

Kepada puan sebagai isteri pula, saya ingin menyatakan bahawa sesungguhnya ini adalah satu tanda bahawa Allah amat sayang kepada puan. Allah hanya menguji hambanya untuk meningkatkan keimanan mereka. Ujian yang paling berat dikhususkan kepada para Anbiyaa'.

Puan hendaklah bersabar dan terus istiqamah bersabar. Semoga puan diberikan kekuatan untuk bertahan dengan ujian-Nya ini. Semoga puan tidak diuji dengan sesuatu yang di luar kemampuan. Namun begitu hakikat sebarang penyelesaian sebenarnya terletak di tangan puan.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya sesuatu keadaan/ kesulitan yang membelenggu sesuatu kaum itu tidak akan dapat diselesaikan sehingga kaum itu sendiri berusaha dari dalam dirinya sendiri untuk menyelesaikannya." (Surah Ar-Ra'ad, ayat 11)

Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor dan Dr Abdul Ghani Ujang dengan kerjasama wanita JIM. Persoalan dan jawapan isu terdahulu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com.

Friday, September 28, 2007

Amalan jihad melindung agama Allah

SAYA pelajar institut pengajian tinggi awam dan mempunyai kenalan sekuliah beragama Hindu. Dia bertanyakan soalan mengenai penghayatan umat Islam yang lebih menonjol pada Ramadan. Pemerhatiannya seolah-olah menyatakan Ramadan adalah bulan jihad Islam. Dia pernah bertanya adakah jihad termasuk dalam pengajaran agama Islam, jika jihad termasuk dalam ajaran Islam bagaimanakah untuk membuktikannya?

Siswa ingin tahu,
Bangi.


RAMADAN sebagai bulan ibadat, penuh rahmat dan barakah menciptakan suasana keagamaan dan spiritual di kalangan umat Islam. Di dalamnya ada pelbagai modul, sesi, kaedah latihan dan mujahadah seperti menahan diri supaya tidak makan dan minum serta menahan marah.

Kita juga digalakkan memperbanyakkan ibadat serta meninggalkan perkara mungkar. Boleh dikatakan Ramadan adalah bulan latihan dan jihad membina jiwa suka berkorban, membangkitkan spiritual dan jati diri Muslim.

Jihad adalah salah satu bahagian utama Islam. Dari sudut bahasa, jihad bermaksud kesungguhan dan keinginan. Keinginan teman saudara mempelajari atau mengambil tahu mengenai Islam boleh ditakrifkan sebagai jihad. Mungkin ini boleh memberi gambaran lebih jelas kepada beliau konsep umum jihad.

Tetapi sebelum itu harus kita amati dan fahami apakah pengertian jihad itu terlebih dulu kerana secara langsung menjawab persoalan mengapa ia penting dalam Islam. Media Barat khususnya sudah menyempitkan pengertian jihad dan menyamakannya dengan keganasan.

Jihad secara umumnya bermaksud berusaha bersungguh-sungguh ke arah sesuatu yang ideal atau ke arah mencari reda Allah. Contohnya, kita wajib solat kerana ia tunggak agama dan kita juga maklum solat berjemaah di masjid ganjarannya adalah berganda.

Kita juga sedia maklum, bukan semua orang boleh bangun awal pagi semata-mata untuk bersolat Subuh berjemaah. Tetapi bagi yang insaf dan sanggup, dia akan berusaha bersungguh-sungguh mengatasi sama ada sifat malas, tarikan nafsunya untuk terus tidur dan sebagainya.

Usaha ini adalah jihad. Rasulullah SAW bersabda, jihad yang paling besar ialah jihad menentang hawa nafsu kita sendiri. Ini dalam konteks peribadi. Begitu juga dalam konteks keluarga dan masyarakat. Segala usaha gigih kita untuk menyampaikan mesej Islam adalah jihad.

Perkara yang sering menjadi tumpuan media atau pihak tertentu apabila berbicara mengenai istilah jihad ini ialah jihad mempertahankan Islam atau jihad menentang mereka yang mencabul kedaulatan Islam.

Antara dalil mengenai jihad ialah firman Allah yang bermaksud: "Tetapi Rasul dan orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang yang beroleh kebaikan, dan mereka orang yang beruntung." (Surah At-Taubah, ayat 88)

Allah berfirman yang bermaksud: "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang yang sabar." (Surah Al-Imran, ayat 142)

Jihad dalam ayat itu merujuk kepada pengertian berperang menegakkan Islam dan melindungi orang Islam, memerangi hawa nafsu, mendermakan harta untuk Islam dan membanteras yang batil dan menegakkan yang benar.

Bagaimana menjadikan setiap amalan kita itu yang terbaik melainkan kita bersungguh-sungguh. Bagaimana mungkin boleh kita katakan kita sudah berikan yang terbaik melainkan selepas kita korbankan sedikit kesenangan seperti bersolat Subuh berjemaah.

Adalah mudah untuk masuk syurga, tapi harganya tidak murah. Mudah kerana Allah menggariskan apa yang perlu kita lakukan, Rasulullah SAW pula menunjukkan jalannya. Tetapi ia tidak murah kerana yang harus kita korbankan ialah apa kita amat sayang, suka atau amat hargai. Dan pengorbanan yang paling tinggi ialah dengan nyawa kita bila keadaan memerlukan.

Jawapan disediakan Amir Razelan dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan yang lalu sila lawati www.bicarakalbu.blogspot.com.

Friday, September 21, 2007

Puasa boleh kekang nafsu seks

SAYA mempunyai seorang kawan baik. Dulu dia selalu melakukan zina dan maksiat. Apabila menjelang Ramadan dia ingin berhenti daripada melakukan dosa dan maksiat itu. Namun keinginan seksnya adalah tinggi. Adakah saya harus mengatakan dia harus melakukan onani kerana dia masih belum bersedia untuk berkahwin atas dasar kewangan. Bukankah onani itu berdosa? Adakah berdosa jika saya memberitahunya dia harus onani untuk menangani masalah keinginan seksnya yang kuat itu? Apakah hukum puasanya jika dia beronani.

Pemuda Al Kahfi
Lembah Klang

Kita bersyukur kepada Allah kerana dengan limpah kurnia dan sifat-Nya yang Maha Pengasih merahmatinya dengan taubat menjelang Ramadan. Dia meninggalkan satu dosa daripada 10 dosa besar. Sama-samalah kita berdoa supaya Allah memberikannya kekuatan dalam melawan nafsu dan ketahanannya memupuk kesedaran yang baru ditemuinya.

Onani dianggap penyakit ketagihan seks. Dalam Islam, seks adalah sesuatu yang tabii dan syariat membuka ruang untuk memenuhi keperluan seks melalui perkahwinan. Jika yang terbabit tidak mampu berkahwin, beliau disarankan supaya banyakkan berpuasa kerana puasa boleh melemahkan libido atau selera seks seseorang. Insya-Allah dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, boleh melatih seseorang untuk mengekang kehendak seks meluap-luap.

Pada umumnya majoriti ulama berpendapat perbuatan onani haram dan berdosa berdasarkan ayat al-Quran:

"Dan, orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi, barang siapa yang mencari selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang yang melewati batas" - Al Muminun (5-7).

Maka orang yang melakukan onani adalah orang yang melepaskan syahwat bukan pada tempatnya.

Kenyataan itu disokong oleh riwayat hadis Qudsi seperti berikut:

Di hari akhirat Allah tidak akan melihat golongan ini lantas terus berfirman: Masuklah kalian ke dalam api neraka bersama-sama mereka yang (berhak) memasukinya.

Golongan itu ialah orang homoseksual, bersetubuh dengan haiwan, orang yang mengahwini isteri dan juga anak perempuannya pada waktu sama, orang yang kerap melakukan onani, kecuali jikalau mereka semua bertaubat dan memperbetulkan diri sendiri (maka tidak lagi akan dihukum).

Dr Yusuf Qardhawi menggariskan dalam bukunya 'Halal dan Haram dalam Islam' merumuskan perbuatan itu dibenarkan jika dikhuatiri terjatuh kepada melakukan zina. Hukum Onani bagi mereka yang tidak mampu bernikah dan takut terjatuh ke dalam maksiat ialah harus dan tidak berdosa.

Namun apabila melakukan onani itu hanya kerana mencari keseronokan dan berhibur dengannya maka hukumnya ialah haram dan ditegah. Ini kerana ia termasuk perbuatan yang keji dan kotor serta memudaratkan akal dan jiwa sehingga menjadikan diri dikuasai syahwat dan dibimbangi terjebak kepada zina.

Hukum onani akan menjadi haram apabila seorang lelaki itu menggunakan gambar lucah, atau bayangan di otaknya akan perkara kotor atau berkhayal wanita kerana ini bukan lagi beronani demi mencegah zina, sebaliknya ia sudah bertujuan mencari kepuasan dan berseronok dan ini diharamkan. Tidak boleh berseronok dengan jalan yang haram.

Apa yang perlu dilakukan kawan saudara ialah beliau kena banyak bermujahadah. Tindakannya meninggalkan perbuatan zina yang pernah dilakukan dulu adalah satu jihad pada dirinya dan Allah.

Jawapan disediakan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor dan Endok Sempo M Tahir dengan kerjasama Wanita JIM.

Friday, September 14, 2007

Cara terbaik khatam al-Quran pada Ramadan

SOALAN:

SAYA selalu mendengar ceramah mengenai Ramadan adalah bulan al-Quran dan kita digalakkan khatam al-Quran sebanyak mungkin sepanjang Ramadan ini. Boleh berikan panduan bagaimana cara supaya saya mampu khatam al-Quran pada Ramadan dan cara terbaik berinteraksi dengan al-Quran.
Gadis profesional,
Lembah Klang

JAWAPAN:

RAMADAN adalah satu-satunya bulan disebut namanya dalam al-Quran dan pada bulan itu diturunkan al-Quran.

Cara paling mudah khatam al-Quran ialah dengan membaca al-Quran secara konsisten sebanyak empat setengah muka setiap kali selepas solat lima waktu. Dengan izin Allah akan khatam dalam masa sebulan. Membaca empat setengah muka hanya mengambil masa lima minit saja.

Memang benar amalan utama pada Ramadan selain berpuasa ialah berinteraksi dengan al-Quran. Berinteraksi dengan al-Quran boleh dilakukan pelbagai cara:

l Belajar dan mengajar. Mereka yang tidak tahu membaca al-Quran atau tidak memahami maknanya wajib berusaha mengatasinya. Sebaik-baik waktu memulakan usaha itu adalah pada Ramadan kerana pahalanya akan berlipat kali ganda berbanding bulan lain.

Mereka yang dianugerah ilmu mengenai al-Quran hendaklah mengajarnya kepada mereka yang memerlukan. Kedua-dua golongan ini adalah orang yang terbaik di sisi Allah seperti sabda Nabi SAW bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Belajar dan mengajar al-Quran bukan setakat belajar dan mengajar membacanya saja. Ia meliputi belajar dan mengajar maksud serta tafsiran ayatnya.

l Membacanya sama ada pada siang atau malam. Allah memuji mereka yang rajin membaca al-Quran dan menyediakan untuk mereka ganjaran besar.

Allah berfirman bermaksud: “Ahli-ahli kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (sudah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Quran) pada waktu malam, ketika mereka sujud (mengerjakan sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah daripada orang yang salih.” (Surah ali-Imran, ayat 113-114)

l Menghayati titah perintahnya. Al-Quran diturunkan untuk membawa petunjuk, membimbing kepada kebaikan, menjelaskan jalan benar serta jalan yang menyesatkan. Justeru, tidak cukup bagi kita sekadar membaca tanpa cuba memahami dan menghayati isi kandungannya. Allah mencela orang yang tidak mengambil pengajaran daripada kitab suci diturunkan-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka). Janganlah pula mereka menjadi seperti orang yang sudah diberikan kitab sebelum mereka, selepas orang itu melalui masa yang lanjut, maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang fasik.” (Surah al-Hadid, ayat 16)

l Jadikan al-Quran sebagai penawar. Allah berfirman bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian juga.” (Surah al-Isra’, ayat 82)

Abu Saed al-Khudri meriwayatkan bahawa seorang sahabat menjampi dengan surah al-Fatihah untuk merawat seorang Arab Badwi yang pengsan kerana disengat binatang berbisa. menerusi jampi itu Badwi berkenan sembuh lalu menghadiahkannya 30 ekor kambing dan memberinya serta ahli rombongannya minum susu segar.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

l Hafal sebahagian surah atau ayat-ayatnya. Cara terbaik adalah menghafal keseluruhan al-Quran daripada awal hingga akhir. Bagi yang tidak berkesempatan atau tidak berkemampuan, hafal sebahagian daripadanya, khususnya ayat atau surah digalakkan membacanya setiap hari.

Ibn Abbas berkata Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam dadanya sedikitpun daripada al-Quran seperti rumah usang yang tidak berpenghuni.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Antara surah yang sangat besar kelebihan menghafalnya ialah surah al-Mulk. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Di dalam al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, memberi syafaat kepada seseorang (yang membacanya) sehingga diampunkan dosanya, iaitu surah al-Mulk.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, September 07, 2007

Suami larang terus hubungan dengan rakan

Bicara Kalbu: Suami larang terus hubungan dengan rakan

SEMASA bujang saya mempunyai ramai kenalan tetapi selepas mendirikan rumah tangga saya tidak lagi menghubungi mereka kerana larangan keras daripada suami. Saya ingin penjelasan daripada sudut agama mengenai memutuskan silaturahim antara sesama Islam atas arahan suami. Adakah tindakan itu berdosa? Saya tidak mahu menimbulkan perasaan tidak sedap hati suami terhadap saya. Atau adakah kerana taatkan suami maka saya berdosa memutuskan silaturahim. Saya ingin bertanya apakah hukumnya memutuskan silaturahim dengan kawan lama disebabkan kecurigaan suami terhadap kawan berkenaan.

Isteri serba salah


Kg Nakhoda,
Kuala Lumpur

Jika kawan yang dimaksudkan puan itu ‘kenalan lelaki’ sememangnya suami puan mempunyai hak untuk menghalang puan menghubungi mereka selepas berumahtangga. Dalam Islam, istilah kawan tidak selayaknya pada jantina yang berlawanan jenis.

Jika kawan yang dimaksudkan itu tempat kita bergurau senda atau bermesra, maka Islam membataskan hanya kepada jantina yang sama. Sebolehnya kenalan dengan berlawanan jantina dibataskan mengikut adab dan peraturan pergaulan ditetapkan dalam Islam.

Apabila seseorang itu sudah berumahtangga, maka dia harus memelihara pergaulannya dengan jantina berlainan jenis dengan membataskan kepada urusan rasmi seperti kerja, persatuan dan seumpamanya.


Imam Jalaluddin as-Suyuthi meriwayatkan dalam kitab Lubabun Nuqul fi Asbabin Nuzul satu hadis daripada Ibnu Abbas bahawa Umayyah bin Khalaf, Abu Jahal bin Hisyam dan beberapa tokoh Quraisy lainnya pernah bertanya Rasulullah SAW: “Hai Muhammad! Mari, mintalah berkat daripada tuhan-tuhan kami, nanti kami akan masuk agamamu.”

Rasulullah SAW ingin sangat mereka memeluk agama Islam dengan menjelaskan mengenai Islam kepada mereka. Maka Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu daripada apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, supaya kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami; dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia. Dan kalau Kami tidak memperkuat (hatimu), nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka. Jika terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (seksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula seksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.” (Surah al-Isra’, ayat 73-75)

Imam Muhammad bin Ibrahim al-Wazir (775-840 Hijrah) berkata: “Perhatikan ancaman (dari Allah SWT) yang keras ini kepada yang paling Dia cintai (Nabi Muhammad SAW), orang yang diampuni dosa-dosanya baik yang sudah lalu mahupun yang akan datang. Sesungguhnya penyebab daripada ancaman itu tidak lain adalah kerana pergaulan.”

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "(Agama) Seseorang itu adalah sama seperti (mengikuti) agama sahabat karibnya, maka perhatikan dengan siapa kalian bersahabat.” (Hadits riwayat Abu Dawud)

Berdasarkan dalil di atas tindakan puan atas arahan suami tidaklah dikategorikan sebagai memutus silaturahim. Apabila kita tidak menjauhkan diri daripada orang yang membawa kemungkaran, lambat laun nanti kitapun akan terbawa-bawa atau terikut olehnya.

Jika kawan puan itu perempuan, maka tiada yang menghalang puan untuk meneruskan hubungan seperti biasa. Bahkan hubungan itu perlu dipupuk ke arah kebaikan dan suami puan tidak seharusnya menghalang puan.

Memutuskan silaturahim adalah satu istilah yang berat kerana ia satu perbuatan dosa. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Tidak akan masuk syurga sesiapa yang memutuskan silaturahim.” Ertinya perbuatan ini termasuk dalam dosa besar.

Malah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Silaturahim bermaksud menyambungkan tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan serta menjaga keutuhan persaudaraan yang terbina terhadap saudara, kerabat dan teman.

Membina dan mengeratkan silaturahim adalah tuntutan yang wajib di sisi Islam di mana Rasulullah SAW membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang Muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari.”

Mewujudkan silaturahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang sudah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan, malah ia membawa erti lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa saja menerusi sifat saling membantu dan bertolak ansur.

Biasanya punca permasalahan dan gejala keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan saling menjauhkan diri. Seorang Muslim berkewajipan mengajak saudaranya yang bertelagah itu ke jalan perdamaian sama ada dengan cara menemui, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.

Seseorang yang berada dalam suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain.

Jangan bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan. Sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan kemudian barulah boleh diampunkan Allah.

Jika suami puan melarang puan menghubungi kenalan perempuan, mungkin ada sebab dia bertindak demikian. Contohnya, sikapnya tidak elok atau akhlaknya yang kurang manis, maka suami puan punya asas untuk menasihati puan supaya menjauhinya. Carilah sebab musababnya dan berbincanglah secara hati ke hati dengan suami. Tetapi ini tidaklah bermakna puan harus memutuskan silaturahim dengan kenalan.

Memutuskan silaturahim bererti tidak bertegur sapa dan tidak memenuhi hak seseorang Muslim. Cukup sekadar puan mengurangkan interaksi dengannya. Adapun haknya sebagai Muslim perlu dipenuhi seperti menjawab salam, memenuhi jemputan, menziarahi apabila dia sakit, berkongsi kedukaan dan mengucapkan tahniah di atas kejayaannya, memberi nasihat apabila diminta dan menghantar jenazahnya ke tempat persemadian apabila dia meninggal dunia.

Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor dan Endok Sempo Mohd Tahir. Soalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, August 31, 2007

Bicara Kalbu: Suami mengaku curang, ambil dadah untuk hilang sunyi

SAYA berumur 28 tahun dan baru saja berkahwin. Selepas 11 hari berkahwin, saya meninggalkan suami (dengan izinnya) untuk menyambung pelajaran di luar negara selama setahun. Suami bekerja pegawai pelancongan di pulau peranginan di Malaysia.

Ketika di luar negara, saya menghubunginya dan kadangkala dia menghubungi saya dua atau tiga kali setiap hari. Saya dijangka pulang ke Malaysia tidak lama lagi. Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang memberitahu mengenai kecurangan suami saya.


Saya terkejut tetapi cuba bersikap rasional. Saya menghubungi suami dan meminta beliau berterus terang.

Suami mengaku berlaku curang, meminum minuman keras dan mengambil dadah. Semua perbuatan itu disebabkan rasa sunyi kerana rasa ditinggalkan. Beliau menangis dan menyesali tindakannya.

Saya masih menghubungi suami setiap hari dan cuba menasihatinya. Bagaimanapun, saya dalam dilema dan berharap bimbingan menghadapi keadaan tidak diduga ini. Terima kasih.

Sakura
Nagoya, Jepun


Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Suami puan dilanda sindrom kesunyian akibat hidup berjauhan dengan isterinya. Meskipun puan dan suami saling berhubung melalui telefon, namun ini tidak dapat memenuhi naluri ingin mendampingi dan didampingi.

Apatah lagi, baru 11 hari mendirikan rumahtangga, puan dan suami terpaksa berjauhan kerana tugas dan mengejar cita-cita. Kesunyian dialaminya ditambah pula dengan perasaan bimbang akan kehilangan puan. Walaupun puan setia terhadap suami, namun rasa cemburu tetap menjengah di hatinya, kerana berjauhan begitu di negeri orang.

Sebenarnya semua yang dialami suami puan sesuatu yang lumrah. Adat muda menanggung rindu adalah ungkapan biasa kita dengar. Rindu yang menggamit inilah kadang-kadang menyebabkan hati tidak keruan. Jika tiada kawalan dan panduan boleh menyebabkan seseorang itu cuba melupakannya dengan cara yang tidak wajar.

Jelas suami puan terjebak dalam perbuatan tidak wajar kerana dia tiada panduan dalam menangani kekosongan hatinya menyebabkan terdorong mendampingi wanita lain, minum arak dan akhir sekali mengambil dadah bagi mengurangkan tekanan perasaan yang dialaminya. Di sinilah kesilapan suami puan.

Sebagai orang beriman kita sepatutnya mempunyai pedoman. Rasa kekosongan dan kesunyian tidak seharusnya menyebabkan kita mengikut kata hati dan gelora nafsu. Jika kita tidak mempunyai pertahanan jiwa yang ampuh pasti kita akan terseret melakukan perbuatan negatif seperti dialami suami puan.

Di sinilah letaknya kepentingan mendirikan solat dan menjaga hubungan dengan Allah supaya terpelihara segala perbuatan mungkar dan maksiat.

Justeru, puan perlu mengembalikan keyakinan kepada suami supaya pulang ke pangkal jalan. Berilah dia peluang memperbaiki diri dan tidak mengulangi perbuatan yang lalu.

Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan boleh di layari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, August 24, 2007

Taat setia kepada suami lambang kebebasan sejati

Bicara Kalbu: Oleh Marihah Suhaimi (www.bicarakalbu.blogspot.com)


KETIKA bujang, saya rasa lebih bebas dan merdeka. Apabila berumahtangga, saya rasa terbelenggu kerana suami yang berkuasa atas segala-galanya. Apakah erti kemerdekaan seorang wanita Islam yang bersuami?


Serdang.

SUDAH menjadi fitrah setiap manusia dilahirkan di dunia ini memerlukan kebebasan. Rasa bebas dan merdeka ini penting demi memelihara maruah dan memupuk keyakinan diri. Sebaliknya, keadaan mengongkong, dijajah dan dikawal berlebihan pula boleh menyebabkan rasa tertindas, terbelenggu dan terhina.

Rakyat ditindas sering bangun menuntut hak kemerdekaan dan kebebasan. Tetapi adakah semua jelas bentuk kemerdekaan dan kebebasan yang dilaungkan itu? Apakah jaminan kebebasan mereka peroleh kelak membawa kebaikan atau mungkinkah ia tiket kepada kemusnahan diri dan bangsa mereka?

Menurut Carl Rogers, seseorang itu perlu memaklumkan dirinya erti kebebasan yang sebenar dan pada masa sama, bertanggungjawab terhadap pilihannya itu.

Sebagai umat Islam berpegang teguh kepada ajaran Allah, kita melihat kemerdekaan dan kebebasan memerlukan takrif lebih tepat dalam konteks manusia sebagai hamba Allah.






Firman Allah SWT yang bermaksud, “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (ketika engkau Muhammad berjaya menguasai Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya sangat menerima taubat" (Surah an-Nasr: 1-4).

Ayat di atas memberikan kita makna kemerdekaan dan kebebasan dalam erti kata yang luas. Kemerdekaan bukan sekadar pembebasan diri daripada belenggu penjajahan (atau suami) secara fizikal tetapi mengangkat diri sebagai manusia atau umat bermaruah dan mempunyai harga diri yang tinggi.

Hubungan manusia dengan Allah adalah sumber kemerdekaan sebenar kerana keimanan dan keyakinan kepada Allah membebaskan jiwa daripada rasa perhambaan dan takut kepada sesama manusia.

Sebelum datangnya Islam, wanita dinafikan hak yang lazimnya diterima oleh lelaki. Wanita dianggap hak milik suami boleh diwarisi oleh anak lelaki suami. Suami pula boleh mengambil beberapa isteri tanpa had dan isteri ini hidup di bawah bayang suami tanpa mempunyai hak mewarisi harta pusaka atau menentukan jodoh dan masa depan mereka apabila suami meninggal dunia.

Rasulullah pada kurun ketujuh Masihi membawa perubahan dianggap sungguh radikal pada zaman itu. Buat kali pertama dalam sejarah tamadun dunia, wanita diangkat setaraf dengan lelaki dan diberikan hak asasi. Mereka dibenarkan bercakap untuk mempertahankan hak mereka, diberi hak waris, mereka tidak lagi diwarisi oleh anak lelaki suami apabila suami meninggal dunia, mereka boleh memohon fasakh daripada suami dan lelaki cuma dibenarkan mengambil empat orang isteri maksimum saja pada suatu masa.

Tohmahan yang dilempar Barat terhadap wanita Islam sebagai golongan yang ditindas dan dianiaya semata-mata kerana memakai hijab, menjaga batasan pergaulan dengan lelaki bukan muhrim dan taat setia kepada suami adalah tidak tepat sama sekali.

Malahan sekarang pun, wanita Barat yang digembar gemburkan sebagai liberated, sebenarnya adalah hamba media massa yang menentukan saiz dan bentuk badan mereka, fesyen pakaian mereka dan sering diambil kesempatan oleh syarikat pengiklanan.

Bandingkan dengan wanita Islam yang cuma perlu berhias untuk suami, wanita Barat terdesak dengan keadaan perlu sentiasa berhias di dalam dan di luar rumah dan menjadi hamba fesyen.

Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu neraka dan terbuka pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab. Itulah keistimewaan wanita Islam.

Islam mengubah segala kezaliman dan kekejaman terhadap wanita Islam memberi wanita hak mewarisi harta pusaka. Islam memberi mereka pilihan untuk memilih pasangan suami mereka. Islam memberi wanita hak untuk mengundi. Kebebasan wanita Islam yang bergantung kepada keterikatan dan taat kepada Allah dan suami bukan bererti tiada kebebasan malah inilah kebebasan yang sebenar.

Jawapan disediakan Aktivis Wanita, Marihah Suhaimi, dengan kerjasama Wanita JIM. Soalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, August 17, 2007

Beriman dalam pergaulan mampu elak perbuatan zina

SAYA mempunyai seorang adik ipar perempuan yang bekerja dan duduk berasingan daripada keluarga. Beliau berumur sekitar awal 20-an. Beliau bercinta secara senyap-senyap kerana hubungan tidak direstui keluarga kedua-dua pihak. Teman lelakinya muda dua tahun daripadanya dan masih belajar. Baru-baru ini saya jumpa gambar mereka berdua berlatarbelakangkan bilik tidur yang jelas mereka berzina. Kami amat malu untuk menceritakan pada sesiapa dan tidak tergamak melaporkan kepada orang tuanya. Kami terfikir untuk bersemuka dengan adik ipar. Kami ingin menasihatkan supaya bertaubat. Kami masih bingung bagaimana caranya untuk menghadapi adik kami ini.

Kakak ipar prihatin





SAYA simpati dengan apa yang dilalui puan. Puan perlu membuat persiapan mental dan kekuatan jiwa untuk menghadapi musibah ini.



Cara bersemuka juga perlu secara rasional dan matang. Puan berdua perlu memahami sebenar-benarnya dan memantapkan konsep laa taqrabuz zina untuk meyakinkan adik nanti. Kebingungan akan hilang apabila keyakinan mengambil tempat dalam diri. Dalam pada itu sentiasalah mendoakan secara khusus dan serulah namanya apabila berdoa setiap kali habis sembahyang.

Sebelum iman seseorang itu mampu menjadi benteng untuk menolak godaan syaitan, dia mesti memahami dulu apa itu iman. Secara ringkasnya iman itu ialah menetapkan keyakinan di hati, membenarkan dengan lisan dan membuktikan dengan amal.

Dalam konteks zina, seseorang itu mesti beriman dengan perintah atau larangan Allah tentang zina dan perbuatan yang menjurus kepadanya. Semua garis panduan, arahan dan tegahan dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah. Di dalam al- Quran, Allah berfirman yang bermaksud “Jangan kamu hampiri zina, sesungguhnya ia amat keji dan jalan yang sangat buruk”.

Seseorang yang beriman dengan tuntutan ayat ini akan meletakkan keyakinan di dalam dirinya, membenarkannya dan beramal secara praktikal terhadap tuntutan ayat ini.

Masalah yang berlaku pada hari ini, umat Islam yang tidak memahami tuntutan 'jangan kamu hampiri zina' membuka pintu ke arah maksiat zina seluas-luasnya. Apabila pintu sudah terbuka dan syahwat sudah teransang amat payah malah mustahil untuk mengelak terjebak dalam kancah perzinaan.

Oleh itu sering kali kita mendengar pasangan mengaku terlanjur sehingga melakukan perbuatan terkutuk. Sebenarnya mereka tidak terlanjur kerana mereka menempah untuk melakukan perbuatan itu sejak awal lagi iaitu pada saat mula pertemuan.

Prof Hamka pernah didatangi oleh seorang ibu yang menangis teresak-esak mengadukan hal anaknya yang mengandung di luar nikah, sedangkan anaknya seorang yang taat mendirikan solat. Prof Hamka menjelaskan, solat hanya mampu menyelamatkan seseorang daripada kejahatan dan kemaksiatan jika jalan menuju kemaksiatan itu tidak ditempuh.

Ubat kepada menjauhi zina kata beliau 'jangan didekat'! seperti yang disarankan oleh al-Quran. Apa yang boleh kita rumuskan di sini ialah puan perlu memujuk adik ipar puan untuk memahami hakikat ini. Selagi dia tidak memahami tuntutan iman dalam kehidupan dan tuntutan iman dalam perkara yang berkaitan dengan hubungan silang jantina yang boleh membawa kepada maksiat zina, selagi itulah dia akan terus hanyut.

Saranan saya pujuk adik ipar puan untuk kembali kepada jalan orang yang beriman. Tetapi bukan dengan jalan memarahi atau menyalahkannya.

Ia memerlukan suasana pembelajaran yang memberi tumpuan kepada aspek membina kefahaman. Sebaiknya adik puan perlu disusun di dalam sistem halaqah atau usrah di mana aspek asas di dalam Islam seperti iman boleh dipelajari secara sistematik dan berterusan.

Wanita JIM adalah satu contoh di mana usaha seperti ini dilakukan secara berterusan. Puan boleh dapatkan maklumat untuk menghubungi mana-mana cawangan atau daerah JIM di mana puan berada.

Di samping itu jika keadaan sudah tidak terkawal maka saya sarankan supaya puan menghubungi Raudathus Sakinah, sebuah institusi perlindungan remaja puteri yang diusahakan oleh Wanita JIM dalam membimbing anak remaja yang terjebak dalam masalah seumpama ini. Puan boleh dapatkan maklumat Wanita JIM dan Raudathus Sakinah dengan menghubungi ibu pejabat JIM di talian 03-41073379.



Jawapan disediakan Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor, dengan kerjasama Wanita JIM. Segala persoalan dan jawapan boleh layari www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, August 10, 2007

4 tahun suami abai nafkah batin, tak solat

Bicara Kalbu: 4 tahun suami abai nafkah batin, tak solat

SETIAP wanita ingin kebahagiaan dunia dan akhirat. Saya sudah berkahwin hampir empat tahun, namun masih belum mempunyai cahaya mata. Di samping itu, suami saya tidak memberikan nafkah batin.

Saya tidak pernah mengungkit walaupun naluri seorang wanita memerlukan nafkah batin daripada suami. Mungkin kerana tiga tahun lalu beliau menjalani pembedahan dan sebelah kakinya terpaksa dipotong.



Apa yang tambah memilukan hati, sejak berkahwin suami saya tidak pernah sembahyang. Walaupun suami sentiasa bercakap dengan kawannya bahawa dia bahagia dengan kehidupan rumah tangganya, tidak bagi saya.

Suami tidak dapat membahagiakan saya seperti apa yang saya harapkan. Namun, saya cuba bersabar untuk menjadi seorang isteri yang baik. Setiap kali sembahyang, saya memohon kepada Allah supaya memberi kesabaran kepada saya dan hidayah kepada suami.



Apa yang perlu saya lakukan supaya suami saya sembahyang. Saya berharap mendapat panduan dan nasihat.

Isteri derita
Seberang Prai, Pulau Pinang


Saya melihat puan berhadapan dengan dua masalah iaitu suami tidak berkemampuan memenuhi tanggungjawab asas sebagai suami dan tidak menunaikan sembahyang. Seorang suami wajib menunaikan hak isteri iaitu memberikan nafkah zahir dan batin.

Jika seorang suami tidak mampu menyediakan salah satu darinya atau kedua-duanya sekali, beliau tidak diharuskan berkahwin. Ini mengelak daripada timbul penganiayaan kepada isteri seperti dialami puan.

Apa yang boleh saya nasihatkan ialah suami puan perlu mendapatkan pandangan pakar atau nasihat doktor. Apakah yang menghalang beliau memenuhi nafkah batin kepada isterinya. Kadang kala ia disebabkan faktor lemah tenaga batin atau komplikasi yang menyebabkan penyakit seperti disfungsi erektik.

Semua masalah ini perlu dirujuk kepada doktor berkelayakan. Puan ada menyebut suami menjalani amputasi kaki. Mungkin keadaan suami puan ada kaitan dengan penyakit dihadapi. Jadi, berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan bagi mengatasi masalah ini.

Keengganan suami mendirikan sembahyang, puan perlu mendapatkan penjelasan kenapa suami enggan bersembahyang. Mungkin suami tidak menyedari kewajipan mengerjakan solat. Jika ini puncanya, maka suami puan harus belajar.

Berikan galakan kepada suami supaya menyedari kewajipan mengerjakan solat seperti menyediakan buku atau VCD yang memudahkan suami puan untuk belajar. Kemudahan ini menyediakan keselesaan baginya yang mungkin kurang daripada sudut fizikal untuk mengikuti kuliah di masjid.

Kemungkinan juga beliau tahu kewajipan solat, tetapi tidak menguasai dengan baik amalan solat secara praktikal. Di sini suami puan perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan fardu ain. Pelbagai bahan mengenai amalan solat ada di pasaran sama ada dalam bentuk buku, poster, VCD dan sebagainya.

Kesedaran wajibnya mengerjakan solat akan mendorong suami puan untuk bersungguh-sungguh menguasai ilmu berkaitan dengan solat hingga dapat mengerjakannya dengan sempurna (termasuk kaedah solat bagi orang yang cacat fizikal seperti suami puan).

Solat adalah tiang agama (tiang kehidupan). Barang siapa mendirikan solat maka dia sudah mendirikan agama, barang siapa meninggalkannya, maka dia meruntuhkan agamanya (maksud sebuah hadis).

Jawapan disediakan Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor, dengan kerjasama Wanita JIM. Segala persoalan dan jawapan boleh layari www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, August 03, 2007

Tiga unsur didik insan berubah kepada kebenaran

Bicara Kalbu:

SAYA baru bertaubat nasuha sejak tiga bulan lalu. Dulunya saya seorang pemuda yang suka berpeleseran, membuat segala jenis maksiat dan jenayah hingga ditahan polis dan dipenjarakan. Syukur Allah memberi hidayah kepada saya. Apabila membaca beberapa artikel mengenai peranan ibu bapa dalam mempengaruhi dan membentuk karakter anak, ia membuat saya sedih dan kecewa. Saya kesal mengenai nasib saya dan adik.

Selama ini ibu bapa saya tidak ambil pusing atau prihatin dalam memberikan didikan agama kepada kami. Walaupun mereka bersembahyang, mereka tidak pernah mengajar, menyuruh atau memaksa kami bersembahyang, apalagi mengajar ilmu fardu ain.



Kini, saya mula bercerita mengenai sembahyang, ibadat dan ilmu agama setakat yang saya tahu kepada adik. Saya ajar mereka sembahyang, ajak dan kadang kadang paksa mereka supaya solat bersama.

Untuk memberikan semangat mereka untuk rajin beribadat, saya ajarkan fadilat amal, menceritakan kisah nabi dan sahabat. Namun, tidak ada riak positif daripada ibu bapa saya. Saya risau andainya umur tidak panjang, bagaimana dengan adik yang saya tinggalkan. Siapa akan mengajar dan mengajak mereka sembahyang dan teruskan pendidikan agama? Apa harus saya buat.



Abang Joe
Ampang Indah, Selangor

Tahniah kepada saudara kerana sudah menemui jalan pulang. Syukur ke hadrat Allah yang memberi petunjuk kepada kita semua untuk menjalani kehidupan menurut jalan diredai-Nya.

Berdasarkan hadis qudsi, Rasulullah SAW ada mengatakan: “Wahai anak Adam, kamu semua berdosa, maka mohon ampunlah kepada-Ku, nescaya-Ku ampunkan.”

Mengenai persoalan adik saudara, bersyukurlah kerana saudara turut mengambil berat mengenai penghayatan agama mereka. Apa yang saudara lakukan iaitu membimbing dan menunjuk ajar mereka adalah sesuatu yang terpuji dan wajar diteruskan. Perubahan pada diri saudara sendiri sudah cukup untuk menjadi contoh dan ikutan adik-adik.

Hari ini umat Islam memerlukan contoh yang hidup, boleh mereka saksikan dalam kehidupan seharian mereka. Dalam erti kata lain, mereka mahu melihat Islam dalam bentuk nyata, bukan dalam bentuk ceramah atau nasihat.

Bagi anak ini, segala nasihat dianggap sebagai leteran dan bebelan saja, tetapi jika mereka melihat cara hidup Islam itu dipraktikkan dengan istiqamah tanpa di pengaruhi suasana atau keadaan sekeliling, mereka akan terkesan dan mula berfikir.

Contohnya, mereka melihat saudara dengan istiqamah (berterusan) mendirikan solat walau dalam keadaan apa sekalipun, pasti mereka tidak akan mengambil sikap sambil lewa terhadap nasihat saudara. Lama kelamaan akan timbul rasa senang di dalam jiwa mereka sehingga terdorong mengikut jejak langkah saudara.

Saudara berasa bimbang dengan masa depan mereka jika sesuatu berlaku dan saudara tidak dapat bersama membimbing mereka. Dalam hal ini, saudara usah bimbang. Ada tiga unsur yang perlu ada untuk membina seorang insan.

Tiga unsur itu ialah guru yang membimbing, sistem pembelajaran dan suasana yang salih. Untuk memastikan adik terus dibimbing, saudara mesti menyediakan ketiga-tiga unsur ini. Bagaimana untuk melakukannya. Di sinilah usaha ini perlu digarap secara kolektif. Saudara perlu meletakkan diri dan adik dalam satu sistem yang menyediakan unsur ini.

Adik saudara perlu dibesarkan dalam suasana yang salih. Di samping mewujudkan suasana yang salih di rumah, kita perlu wujudkan suasana salih dalam konteks lebih luas. Ia membawa maksud mereka perlu bercampur dengan anak dan kumpulan yang mendukung kesedaran sama.

Apabila berada dalam kelompok rakan sebaya lebih luas, mereka akan berasa unsur kepunyaan dan ia mengukuhkan lagi asas yang diletakkan saudara dalam membimbing mereka.

Faktor kedua ialah guru pembimbing. Saudara sudah melaksanakan peranan ini dengan baik, tetapi adalah lebih berkesan jika mereka diletakkan dalam satu sistem pembelajaran sistematik seperti sistem halaqah yang dipimpin seorang ketua. Sistem pembelajaran sistematik ini akan menjadikan adik saudara mempunyai asas ilmu kukuh kenapa cara hidup Islam perlu dihayati.

Faktor ketiga iaitu sistem pembelajaran turut terlaksana apabila adik saudara berada di dalam sistem halaqah ini. Dengan izin Allah, melalui pendekatan ini tidak seorangpun yang akan bersendirian dalam usahanya untuk menegakkan Islam dalam kehidupannya.

Saudara juga perlu banyak bersabar. Tidak ada pekerjaan yang lebih memerlukan kesabaran daripada merubah manusia. Saidina Umar pernah mengatakan: “Aku lebih rela memindahkan gunung daripada merubah (perangai) manusia.”

Ia menggambarkan tidak mudah untuk mendidik manusia supaya mereka berubah kepada keadaan yang lebih baik. Apa yang boleh kita pesan pada saudara dan pada semua termasuk ialah banyakkan bersabar dan memohon pertolongan Allah.

Hidayah di tangan Allah dan Dia akan mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sedang tugas kita di dunia ini hanya berusaha dengan bersungguh. Surah Al-Asr juga mengingatkan kita bahawa tugas mengajak manusia kepada kebenaran Islam memerlukan kesabaran dan orang berjaya ialah mereka yang saling berpesan untuk bersabar dalam menyampaikan yang hak.

Jawapan disediakan pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di laman www. Bicarakalbu.blogspot.com

Friday, July 27, 2007

Bicara Kalbu: Penjelasan suami perlu elak buruk sangka

Soalan

SAYA seorang isteri bekerja dan mempunyai dua anak berumur tujuh dan lima tahun. Sekarang saya sedang mengandung anak ketiga. Masalah saya ialah suami bersikap tidak jujur. Katanya dia ada tugasan luar daerah pada hujung minggu dan bermalam di hotel. Tetapi apabila saya bertanya kepada ketuanya, beliau menafikan tugasan itu. Selepas itu dia memberitahu hendak membaiki kereta rosak di rumah kawannya, tetapi apabila saya bertanyakan kawannya, katanya suami saya tidak datang ke rumahnya. Kini suami meminta saya jangan banyak tanya jika dia hendak ke mana. Apa patut saya buat?



Noreen,
Subang Jaya, Selangor.

Jawapan

KEJUJURAN adalah satu rukun penting dalam menjamin kerukunan rumah tangga. Suami dan isteri perlu jujur dalam perkataan serta perbuatan.

Apabila suami tidak bercakap benar, kemungkinan dia menyembunyikan sesuatu. Langkah pertama ialah mendapatkan penjelasan daripada suami. Mengapa tidak mengatakan yang sebenarnya? Katakan kepadanya bahawa puan bukan hendak mengekori atau memantau setiap pergerakannya. Namun sebagai suami, beliau perlu memberitahu di mana beliau berada.

Sepatutnya suami puan boleh menelefon atau meninggalkan pesanan ringkas. Ini penting supaya boleh dihubungi jika berlaku sesuatu keperluan atau kecemasan, apatah lagi dalam keadaan puan yang sedang sarat mengandung.

Sukar untuk bersangka baik terhadap suami dalam situasi sebegini. Hati kecil seorang isteri pasti tertanya apa yang hendak disembunyikan daripada pengetahuan isteri. Sebenarnya puan berhak untuk merasa curiga kerana suami dan isteri wajar bersikap cemburu antara satu sama lain. Cemburu yang dimaksudkan ialah khuatir jika pasangan terjebak dalam perilaku bersalahan ajaran agama.

Untuk menghapuskan perasaan buruk sangka dan keresahan jiwa, saya sarankan puan cepat memohon penjelasan daripada suami. Katakan padanya puan tahu dia berbohong dan puan berhak untuk mendapat penjelasan darinya.

Jangan takut jika suami puan menunjukkan reaksi negatif seperti bersikap marah-marah pada puan. Reaksi sebegitu adalah natijah daripada egonya yang sudah terusik. Jika keadaan tidak terkawal, puan ambil sikap berdiam diri buat sementara waktu.

Sekurang-kurangnya suami puan sedar bahawa tembelangnya kini sudah pecah dan dia perlu lebih berhati-hati untuk berbohong selepas ini. Begitu juga suami puan tidak akan semudah itu untuk meminta wang selepas ini melainkan di atas sebab yang wajar.

Mudah-mudahan tindakan ini akan menyedarkan suami dan mendorong dia meninggalkan tabiat berbohong. Jika ia berterusan, maka langkah seterusnya ialah mengadu kepada keluarga suami yang boleh dipercayai dan dihormati untuk menasihati suami. Mudah-mudahan puan tidak perlu melakukan ini.

Akhir sekali mohonlah kepada Allah dalam solat hajat dan munajat setiap lepas solat supaya suami bersikap jujur dan tidak lagi membelakangi puan dengan pembohongannya.

Jawapan disediakan pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com.

Friday, July 20, 2007

Rumah biar bernuansa iman, berisi zikrullah

SAYA dan suami membeli sekeping tanah untuk membina rumah sendiri selepas menabung lebih 10 tahun. Beberapa kawan dan ahli keluarga menasihatkan untuk membuat perancangan berkaitan kedudukan angin masuk dan keluar, cahaya cukup atau sebaliknya, arah matahari terbit atau tenggelam yang dikaitkan dengan feng shui. Adakah Islam mengajarkan panduan, adab atau tata cara membina rumah, perlukah membaca surah tertentu daripada al-Quran sebelum menduduki rumah, adakah amalan feng shui yang popular di kalangan bangsa Cina selari dengan Islam?

Ali dan Basmah,

Bandar Baru Bangi.



Tuntutan Islam mengenai adab atau tata cara membangun rumah secara putus dan jelas belum dijumpai. Namun, ada nas yang menyentuh mengenai rumah atau tempat tinggal, dalam firma Allah yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal.” (Surah an-Nahl, ayat 80)

Ibnu Kathir mengulas ayat berkenaan dengan menyatakan: “Rumah adalah sebahagian daripada kesempurnaan nikmat yang Allah berikan pada manusia, sebagai tempat tinggal, tempat istirahat, dan dapat mengambil manfaat dari apa juga kebaikan dan manfaatnya.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan At-Thabrani: “Sungguh beruntung bagi siapa yang mengekang (menjaga) lidahnya, luas rumahnya dan menangis (bertaubat) atas kesalahannya.”

Oleh itu, apabila Allah memberikan kurnia-Nya daripada keluasan rezeki-Nya kepada kita kerana dapat memiliki rumah, maka kita perlu mengambil berat mengenainya. Kita perlu memperhatikan perkara yang berkaitan dengan susun atur atau reka bentuk yang memudahkan kita untuk beribadah dan berinteraksi.

Dari segi lokasi dan letak kedudukan, kita pastikan ia berdekatan dengan surau atau masjid. Tujuannya bukan sekadar mengingatkan masuknya waktu solat, tetapi memudahkan untuk menunaikan solat berjemaah, dapat membudayakan anak dengan suasana ibadah dan aktiviti surau atau masjid. Lokasi juga penting supaya kita boleh memilih jiran tetangga yang baik sebelum memilih rumah. Jiran tetangga ibarat adik beradik kita nanti.

Selain mengambil kira faktor kesihatan, ruang udara yang memadai, kita perlu merancang ruang letak dan susun atur bilik supaya terjaga aurat dan maruah. Contohnya, bilik tidur anak lelaki dan perempuan dipisah, ruang tamu sedikit tertutup supaya aktiviti keluarga tidak terdedah dan mudah dilihat.

Pembinaan tandas dipastikan tidak menghadap atau membelakangkan kiblat. Saiz bilik mandi dibina agak besar supaya mudah untuk memandikan mayat di dalam bilik berkenaan. Jika kita lihat banyak keadaan sekarang di mana mayat dimandikan di tengah ruang rumah yang hanya di tutup dengan rentangan kain sedangkan semasa hayatnya, simati mandi dalam bilik yang tertutup cantik dan batas auratnya terjaga, aibnya tertutup. Perkara itu akan terus terjaga jika daripada awal pembinaan bilik mandi direkabentuk untuk mandi semasa hayat dan disesuaikan untuk dimandikan mayat ketika matinya.

Bila berasa sukar untuk memenuhi semua itu, paling tidak kita menghayati semangat bagaimana mencipta sebuah rumah yang bernuansa iman dan berisi zikrullah bagi penghuninya. Dengan mengharapkan rumah itu dapat memenuhi wawasan rumahku syurgaku.



Jawapan disediakan Lembaga Penasihat Pusat Sokongan Wanita dan keluarga JIM. Emel wanitajim0@yahoo.com.

Friday, July 13, 2007

Amalan tengah malam peluang nikmati rahmat

SAYA selalu berasakan nasib, tidak menyebelahi saya kerana apa yang saya mimpikan tidak pernah menjadi kenyataan. Apa yang saya inginkan tidak dapat saya nikmati. Saya tertekan dengan kejayaan dan kebahagiaan yang dikecapi kawan. Apakah perlu saya lakukan untuk mengubati rasa resah dan kecewa.

Gadis malang,
Salak Selatan.

ADA banyak persoalan melingkari kehidupan kita, baik masalah peribadi, keluarga, kerja atau lebih besar daripada itu. Seiring dengan masalah yang di hadapi, banyak pula cara boleh kita lakukan untuk menyelesaikannya.

Kita boleh mengatasinya menerusi kecerdasan akal, kemampuan fizikal, harta kekayaan, perhubungan atau apa saja. Namun, tidak ada yang paling ampuh, selain meminta pertolongan Allah sambil berusaha.

Allah tidak pernah berjanji, bahawa langit selamanya akan berwarna biru, bunga selamanya akan mekar kepada satu arah tertentu, matahari akan selalu bersinar tanpa hujan, kesenangan akan datang tanpa kesedihan dan kedamaian akan datang tanpa penderitaan.

Tetapi, Allah berjanji bahawa ada kekuatan yang datang setiap hari, istirahat bagi yang bekerja, cahaya bagi yang berjalan di jalan-Nya. Kebahagiaan akan tiba sesudah banyaknya dugaan dan rintangan, bantuan-Nya akan datang secara berterusan, Dia akan terus mengasihi kita tanpa henti, cinta-Nya akan kekal abadi.

Kita hanya mampu memohon kepada Allah supaya Dia mengizinkan kita ketawa, jangan biarkan kita lupa bahawa kita pernah menangis sebelum mendapatkannya.

Mengapa pertolongan Allah? Tidak ada satu masalah pun terjadi, kecuali atas izin Allah. Semuanya ada dalam genggaman Allah. Dalam keadaan demikian, alangkah mudahnya jika Allah membuka jalan kemudahan bagi sesiapa yang ditimpa masalah. Disebabkan itu, masalah terbesar dalam hidup adalah ketika kita tidak mendapat pertolongan Allah.

Seberat mana persoalan akan menjadi ringan bila dibantu Allah. Bagaimana caranya kita ditolong oleh Allah? Jawapannya ada dalam al-Quran iaitu firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya dia akan menyediakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak diduga. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah menentukan setiap sesuatu.” (Surah at-Thalaq, ayat 1-2)

Oleh itu, kunci pembuka bantuan Allah ada dalam ketakwaan kita. Semakin takwa kita, semakin terbuka lebar pintu pertolongan Allah. Sebaliknya, semakin ingkar kita, semakin tertutup rapat pintu pertolongan Allah.

Masjid adalah rumah Allah dan pertolongan Allah akan datang kepada sesiapapun yang cinta dan gemar memakmurkan masjid.

Sepertiga malam terakhir adalah waktu yang sangat dicintai Allah. Sangat rugi yang mensia-siakan waktu sepertiga malam terakhir, sebab ia mensia-siakan datangnya pertolongan Allah.

Bersedekah adalah amalan luar biasa kerana dengan bersedekah, rezeki, urusan menjadi mudah, kita pun terhindar daripada musibah. Jaminan daripada Allah demikian pasti kepada ahli sedekah kerana sesungguhnya Allah menolong orang yang gemar membantu saudara.

Jawapan disediakan panel penasihat Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga (Paksi) JIM. Sebarang persoalan ajukan kepada wanitajim0@yahoo.-com atau layari www.bicarakalbu.-blogspot.com

Friday, July 06, 2007

Wanita pakai seluar tak dianggap menyerupai lelaki

ARTIKEL Jendela Hikmah yang lalu membicarakan mengenai batas aurat wanita Islam. Saya keliru mengenai pemakaian seluar kerana menyerupai lelaki. Saya sering terbabit dengan aktiviti lasak dan memakai seluar memudahkan pergerakan selain tujuan untuk mempertahankan diri.

Humaira,
Negeri Sembilan.

Jawapan

Larangan menyerupai lelaki adalah peraturan syarak dan ia menjadi sebahagian daripada syarat berpakaian dalam Islam. Bukan saja perempuan tidak boleh menyerupai lelaki, begitu juga sebaliknya lelaki tidak boleh menyerupai perempuan.

Pakaian seluar tidak eksklusif untuk lelaki. Justeru, orang perempuan yang memakai seluar tidak dianggap menyerupai lelaki. Jika kita lihat kepada tradisi berpakaian orang perempuan Melayu sejak zaman dulu (termasuklah pakaian rasmi beberapa negeri Melayu), orang perempuannya memakai seluar di samping memakai selendang/kelubung menutup kepala. Bahkan jika kita tengok pakaian tradisional perempuan Aceh, mereka juga memakai seluar. Seluar juga menjadi pakaian beberapa suku bangsa Asia Selatan dan Asia Tengah.

Yang menjadi masalah ialah seluar yang dipakai wanita hari ini mendedahkan aurat iaitu memakai seluar yang ketat dan menampakkan bentuk pinggul, paha dan betis. Bahkan semacam sudah menjadi aliran gadis hari ini memakai jeans ketat dan apabila mereka membongkok atau mencangkung, nampak bahagian belakang yang terdedah termasuk seluar dalam.

Jadi isunya di sini bukan menyerupai lelaki tetapi mendedahkan aurat. Orang perempuan boleh memakai seluar asal saja ia longgar, labuh dan tidak menunjukkan bentuk tubuh.

Sila lihat kepada potongan seluar yang dipakai wanita Melayu zaman dulu (Kedah, Melaka, Terengganu, Pahang dan Aceh), maka jelas seluar yang mereka pakai menepati syarat penutupan aurat dalam Islam.

Begitu juga anda boleh melihat seluar yang dipakai wanita yang menutup aurat dengan sempurna termasuk ketika mereka bersukan. Pakaian seperti itu sama sekali tidak dianggap menyerupai lelaki bahkan dibenarkan Islam untuk memudahkan pergerakan dan aktiviti luar yang lasak.

Hari ini timbul isu wanita membotakkan kepala yang kini hangat diperkatakan ekoran seorang pelakon membotakkan kepalanya. Izinkan saya mengulas dalam konteks menjawab persoalan ini.

Rambut adalah anugerah Allah kepada wanita dan menjadi sebahagian hiasan kecantikan yang wajib ditutup daripada tontonan umum. Namun, ada perempuan yang membotakkan kepalanya atas tujuan yang tidak jelas (berlakon filem).

Maka tindakan seperti itu boleh dianggap menyerupai lelaki kerana tindakan bercukur sehingga botak hanya berlaku kepada lelaki. Bahkan jika kita tengok jemaah haji ketika mereka menjalankan ibadat bercukur setelah menanggalkan pakaian ihram, hanya lelaki yang dituntut sama ada menggunting atau membotakkan kepala. Sedang wanita hanya cukup menggunting beberapa helai rambut.

Memang ada keperluan pada wanita untuk membotakkan kepalanya seperti yang berlaku pada zaman Jepun dulu untuk menyorokkan identiti.

Tetapi hari ini, membotakkan kepala dengan sebab mengikut aliran atau sebab yang tiada alasan kukuh boleh dianggap menyerupai lelaki.

Jawapan disediakan Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Hafidzi Mohd Noor

Friday, June 29, 2007

Tabarruj dan tengok wayang

Soalan:
Apabila membaca penulisan prof mengenai aurat dan batas pergaulan dalam Islam, beberapa persoalan timbul dalam fikiran saya, minta penjelasan terhadap kemusykilan saya:
Bolehkah terangkan dengan lebih lanjut definisi ‘tabarruj’ dengan spesifik. contohnya, bersolek. adakah terus tidak boleh, atau ada kelonggaran. saya pernah mendengar ceramah Dr Syeikh Darsh (bekas imam Central Mosque, London) yang membolehkan bersolek sederhana, asalkan tidak melampau, e.g. lipstick yang tidak berlebihan kerana itu saya memakai lipstick yang nipis ('natural' colour) dan asas mekap (foundation) untuk menutup lubang bekas kecacatan muka.

Seperti yang kita ketahui, jika kaum hawa dan kaum adam duduk berdua-duaan di tempat gelap hukumya berdosa. Hukum itu adakah sama dengan kita masuk ke panggung wayang.

Sakinah,
Bekas siswi London
Jawapan

Assalamu’alaikum wr.wb.

Jawapan bagi soalan 1:

Manusia pada umumnya suka kepada kecantikan dan perhiasan. betapa tidak? mereka diciptakan dengan cukup indah dan sempurna oleh Allah Yang Maha Cantik dan suka kepada kecantikan. Diriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “sesungguhnya Allah itu cantik. dia suka kepada kecantikan".

Justeru, Islam yang merupakan agama fitrah tidak menghalang sesuatu yang baik dan digemari manusia termasuk berhias. Allah s.w.t. sendiri memerintahkan hambanya agar menggunakan perhiasan yang cantik, khussunya ketika ke masjid. firman Allah s.w.t. bermaksud:

“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.

Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-nya untuk hamba-hamba-nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?".

katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat. Demikian lah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.

Al-A’raf:31,32

Dalam hal ini, wanita juga tidak dilarang menghiaskan diri agar kelihatan cantik dan menarik. tetapi mereka dilarang mempamerkan atau menonjolkan perhiasannya di hadapan manusia yang tidak sepatutnya melihat keindahan tubuh badannya. perhatikan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau sahya yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” An-Nur:31

Di dalam ayat yang lain, Allah s.w.t. berfirman maksudnya:
“…..dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan rasul-nya. sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” al-ahzab:33

Ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri rasulullah s.a.w. melarang mereka bertabarruj seperti wanita-wanita jahiliah dahulu.

Perkataan ’tabarruj’ ditafsirkan oleh ulamak dengan beberapa tafsiran.

Menurut mujahid, Qatadah dan lain-lain, perkataan ’tabarruj’ bermaksud berjalan dengan lagak sombong, mengada-ngada, lembut dan lemah gemalai.

Muqatil bekata tabarruj maksudnya meletakkan selendang di atas kepala tanpa mengikatnya lalu menyerlahkan anting-anting, rantai dan leher.

Mibrad pula berkata tabarruj ialah menzahirkan atau mendedahkan kecantikan yang wajib ditutup.

Menurut Abu ‘Ubaidah, seseorang wanita dikatakan bertarruj apabila dia mendedahkan kecantikan yang boleh meransang syahwah lelaki.

Ada ulamak berkata, maksud ayat itu ialah “jangan kamu berhias seperti perhiasan orang kafir, iaitu dengan memakai pakaian nipis dan berwarna warni”
.
Kesimpulan yang dapat dibuat dari tafsiran-tafsiran di atas, Allah memerintahkan isteri-isteri nabi s.a.w. berpakaian sopan dan tidak mendedahkan kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka ketika keluar dan berjalan di luar rumah kerana perbuatan mendedahkan perhiasan itu sama seperti tingkah laku perempuan jahiliah yang tidak segan silu menarik perhatian dan menggoda kaum lelaki.

Perlu disebutkan bahawa sungguhpun zahir ayat ini dikhitab atau ditujukan kepada isteri-isteri nabi s.a.w., tidak bermakna hanya mereka sahaja dilarang berkelakuan sedemikian. larangan itu tentunya meliputi seluruh wanita yang beriman kerana isteri-isteri nabi s.a.w. adalah ummahat almukminin atau ibu-ibu kepada seluruh orang yang beriman.

Timbul persoalan di sini, apakah perhiasan yang wajib ditutup dan yang tidak wajib ditutup?

Merujuk firman Allah s.w.t. di dalam surah an-nur ayat 31 yang bermaksud: “….dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya…”
Ahli tafsir berkata perhiasan yang dipakai oleh wanita terbahagi kepada dua, yang tersembunyi dan yang zahir. perhiasan yang tersembunyi ialah yang dipakai atau dikenakan pada anggota yang wajib ditutup seperti gelang kaki, gelang tangan, subang dan rantai leher. manakalan perhiasan yang zahir, kebanyakan mereka berpendapat maksud perhiasan yang zahir ialah pakaian atau perhiasan pada pakaian luar. Sebahagian ulamak berpendapat perhiasan yang harus dizahirkan ialah celak, cincin, gelang tangan dan muka. kata ibn ‘abbas r.a. perhiasan yang zahir ialah celak dan cincin. menurut satu riwayat dari ibn ‘abbas r.a. beliau berkata perhiasan yang zahir ialah muka, celak di mata, inai di tapak tangan dan cincin. inilah perkara yang boleh dilihat pada seorang wanita apabila kita memasuki rumahnya. qatadah berkata perhiasan yang boleh dilihat ialah gelang dan cincin berdasarkan sabda rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat menampakkan tangannya kecuali setakat ini.” dan baginda menggengam di tengah-tengah lengannya.

Saidatina ‘aisyah r.a. menceritakan:” Pada suatu hari anak saudaranya datang ke rumahnya dengan memakai perhiasan. apabila Rasulullah s.a.w. terpandangkannya baginda memalingkan muka ke arah lain. ‘Aisyah berkata: “Ya Rasulullah! dia anak saudaraku dan masih kecil”. baginda bersabda: “Ya ‘Aisyah! apabila seorang wanita telah datang haid, tidak halal baginya mendedahkan tubuhnya kecuali muka dan tangan”. Baginda menggenggam lengannya sendiri, antara genggaman itu dengan tapak tangan adalah satu genggaman. (Tafsir al-Tobari)

Berdasarkan beberapa pandangan yang dikemukakan di atas dapat disimpulkan bahawa bahagian yang tidak wajib ditutup ialah tangan serta perhiasan yang ada padanya seperti gelang, cincin dan inai, muka dan perhiasannya. perhiasan pada muka yang dinyatakan hanya celak.

Alat-alat perhiasan lain atau make up seperti gincu, eye shadow, bedak, pemerah pipi dan sebagainya hukumnya adalah seperti berikut:

Menurut al-syafi’iyyah (ulamak mazhab syafi’iy) sebagaimana dinaqalkan oleh al-Nawawi, haram bagi wanita yang tidak mempunyai suami atau yang melakukannya tanpa izin suami dan harus bagi wanita yang bersuami dengan izin suaminya. (Sahih Muslim dengan Syarah al-Nawawi, j14, m.s 104). Demikian juga pendapat sebahagian hanabilah (ulamak mazhab hanbali) bahwa keluar rumah dengan memakai perhiasan yang mengandungi bauan yang wangi juga haram. nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Wangian lelaki adalah yang terserlah baunya dan tersembunyi warnya, wangian wanita adalah yang terserlah warnanya dan tersembungi baunya”. riwayat Al-Tirmizi.

Walau apapun muslimah yang ingin memakai make up seharusnya menjauhi alat atau bahan yang mengandungi kimia atau campuran yang membahayakan kerana Islam memerintahkan umatnya agar menjauhi semua perkara yang mendatangkan kemudaratan sama ada cepat atau lambat. Begitu juga dalam berhias tidak boleh berlebihan-lebihan kerana berlebihan-lebihan juga adalah sikap yang tidak disukai oleh Allah dan rasul. Fudhalah bin ‘Ubaid berkata: “sesungguhnya Rasulullah s.a.w. melarang kami daripada banyak bermewah dan berhias” riwayat Abu Dawud.



Jawapan bagi soalan kedua:

Sebelum menjawab ya atau tidak soalan yang ditanyakan di atas, beberapa perkara asas perlu dijelaskan terlebih dahulu.
Pertama: Allah s.w.t. tidak mengharamkan perkara yang baik dan bermanfaat kepada manusia. Perkara yang diharamkan adalah perkara yang tidak berfaedah, keji, buruk serta mendatangkan mudarat kepada hambanya sama ada dalam jangka masa yang cepat atau lambat.

Kedua: perkara yang haram terbahagi kepada dua jenis: haram li dzatihi dan haram li ghayrihi.

Haram li dzatihi ialah sesuatu yang diharamkan Allah lantaran keburukan dan kemudaratannya seperti mencuri, berzina, minum arak dan seterusnya.

Haram li ghayrihi diharamkan bukan kerana keburukan atau kemudaratannya tetapi kerana kaitannya dengan perkara yang haram atau ia boleh menjadi punca berlakunya perkara yang haram. Contohnya makan buah rambutan yang dicuri; makan buah rambutan bukanlah sesuatu yang memudaratkan tetapi haram dimakan kerana diperolehi dengan cara mencuri.

Lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan di tempat sunyi tidak berbahaya kalau hanya sekadar duduk tetapi, boleh menjadi punca kepada berlakunya zina. Maka duduk berdua-duaan di tempat sunyi adalah haram.

Berdasarkan dua prinsip di atas, cuba fikirkan; tidakkah masuk ke dalam panggung wayang juga boleh mendorong kepada zina? Secara fizikalnya pasangan tidak duduk berduaan tetapi dalam keadaan suasana yang gelap, setiap orang yang masuk membawa hal sendiri-sendiri, masing-masing tidak ambil pusing antara satu sama lain. Dalam keadaan demikian kesempatan untuk meraba, berpegang tangan, malah berpelukan tidak ada siapa yang akan mencegahnya. Ditambah pula dengan adegan-adegan menggairahkan yang terpampang di layar membangkitkan lagi keinginan yang berkemungkinan besar mengheret pasangan mencari tempat lebih exclusive bagi memenuhi keinginan yang telah memuncak dan sukar dibendung.

Jadi masuk ke dalam panggung wayang dengan pasangan yang belum dikahwini boleh dikatakan termasuk dalam kategori mendekati zina yang secara jelas dilarang keras oleh Allah s.w.t. di dalam firmannya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” al-isra’ :32

Jawapan disediakan oleh Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM(wanitajim0@yahoo.com). Persoalan dan jawapan yang lepas boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com