Monday, September 18, 2006

10 panduan didik anak budayakan ibadat Ramadan

Bicara Kalbu: 10 panduan didik anak budayakan ibadat Ramadan

KITA akan menyambut Ramadan tidak lama lagi. Dalam hal ini, bagaimana hendak memberi galakan kepada kanak-kanak supaya berpuasa dengan betul dan pada masa sama menyeronokkan mereka.


Ibu Prihatin,
Pahang.

Tahun ini kami sekeluarga membuat sedikit kelainan dalam menyambut Ramadan yang bakal menjelang. Sambutan Ramadan disemarakkan dengan mengecat ruang tamu, mengemas rumah. Anak juga dibelikan telekung dan baju Melayu baru supaya lebih bersedia dan berasa seronok menjelang Ramadan.

Ramadan juga mula menjadi tema perbualan dan cerita keluarga kami sejak Syaaban. Budaya membaca al-Quran dipertingkatkan. Tidak lupa mengingatkan anak kepada orang miskin dan anak yatim. Mereka digalakkan berjimat cermat dalam berbelanja dan bersedekah dengan duit simpanan sendiri

Sebagai ibu bapa dan orang dewasa kita mestilah berperanan memastikan bahawa ibadat puasa seperti ibadat lain diterapkan dalam diri anak sejak kecil lagi.

Menurut ulama berpuasa tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh tetapi perlu dilatih secara beransur-ansur sebagai persediaan untuk menunaikannya secara sempurna dan berkualiti apabila baligh kelak.

Dalam sahih Bukhari, diriwayatkan daripada ar-Rabi’e binti Muawiz berkata: “Kami semua berpuasa dan kami juga melatih anak-anak kami berpuasa. Kami menyediakan permainan daripada bulu untuk mereka. Apabila salah seorang daripada mereka ingin makan, kami berikan mainan itu sehingga tiba waktu berbuka puasa.”

Berikut adalah 10 panduan untuk membudayakan ibadat Ramadan dalam diri anak:

# Membuat persiapan menyambut Ramadan dengan menghias rumah dan membeli atau membersihkan keperluan ibadat seperti sejadah, songkok dan telekung. Ia dilakukan supaya anak dapat merasakan kepentingan bulan yang mulia ini.

# Menceritakan sejarah wajib puasa, mengulang kaji semula rukun, syarat, sunnah, adab dan hikmah puasa supaya anak melakukan ibadah dengan penuh kefahaman dan penghayatan, tidak sebagai ikutan saja.

# Melatih anak berpuasa secara beransur-ansur selama beberapa jam dan kemudian beberapa hari. Ganjaran berupa pujian dan hadiah boleh diberikan untuk menggalakkan mereka berpuasa tetapi yang lebih penting selalulah menerapkan dalam diri anak untuk mendapatkan pahala dan keredaan Allah dalam apa juga dilakukan.

Bagi anak kecil yang tidak berpuasa raikanlah mereka ketika berbuka dan bersahur supaya mereka dapat bersama berdoa dan berkongsi kegembiraan dengan keluarga.

# Memperingatkan anak supaya menjalani ibadah puasa dengan penuh ihsan iaitu merasakan Allah sentiasa bersama dan melihat setiap perbuatan mereka. Latih jiwa anak untuk reda dengan perintah Allah, ikhlas beramal dan menjaga pantang larang berpuasa setiap masa.

# Menjaga solat fardu lima waktu dan menunaikan solat berjemaah. Bawalah anak untuk bersolat fardu dan Tarawih berjemaah di masjid. Bagi ibu yang tidak dapat ke masjid kerana anak kecil, mereka boleh solat fardu dan Tarawih berjemaah bersama anak perempuan di rumah.

# Al-Quran diturunkan pada Ramadan, jadi kita perlu mengingatkan anak supaya menghidupkan Ramadan dengan banyak membaca al-Quran.

Seeloknya bertadarus bersama sekeluarga supaya dapat memperbetulkan tajwid dan pemahaman anak terhadap al-Quran. Mereka juga boleh digalakkan menghafal surah pendek.

# Mengingatkan anak supaya memelihara kesempurnaan ibadah puasa dengan mengamalkan akhlak yang mulia dan menghindari kegiatan sia-sia. Galakkan mereka untuk mengisi masa lapang dengan banyak berzikir dan membaca buku berfaedah.

# Mengajar anak berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran dalam urusan berbelanja untuk berbuka, bersahur dan persiapan hari raya.

# Memupuk tolong menolong, berkasih sayang dan mengeratkan silaturahim dengan keluarga, jiran dan sahabat handai seperti mengadakan majlis berbuka puasa bersama serta meningkatkan amalan bersedekah.

# Mengingatkan anak supaya tidak mensia-siakan kelebihan 10 akhir Ramadan dan tidak meninggalkan takbir hari raya kerana terlalu sibuk dengan persiapan hari raya. Galakkan anak untuk menyambut hari raya dengan penuh keinsafan dan kesyukuran. Terangkan bahawa konsep Ramadan bagi menjaga tunas amalan yang tumbuh dan subur supaya tidak rosak atau cacat dan terus diamalkan pada bulan berikutnya.

Ibu bapa dan orang dewasa adalah contoh kepada anak. Jadi dalam usaha kita membudayakan ibadah berpuasa yang berkualiti dalam diri anak, kita mesti memperbaharui niat dan azam diri untuk terus memperbaiki akhlak dan amal. Sama-samalah kita panjatkan doa supaya ibadah puasa dan ibadat lain sepanjang Ramadan kali ini dapat dijalankan seisi keluarga dan diterima Allah.

# Jawapan disediakan Pengusaha Taska dan Tadika Islam, Rosnah Ahmad yang boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com

Monday, August 14, 2006

Isteri dituntut sentiasa setia pada suami

Isteri dituntut sentiasa setia pada suami

PERKAHWINAN kami lebih 10 tahun. Namun, kini saya sangat tertekan kerana sejak tiga tahun kebelakangan ini terpaksa bekerja semula. Saya menanggung keluarga dan menampung kebanyakan perbelanjaan rumah tangga dan persekolahan anak.


Saya ingin melepaskan diri daripada bebanan yang tidak seharusnya ditanggung oleh seorang isteri. Saya sejak dulu berpandangan bahawa lelaki adalah pelindung wanita dan wajib memberikan nafkah serta saraan kepada isteri dan anak. Justeru, saya berhenti kerja sebaik mempunyai anak walaupun mempunyai kelulusan tinggi.

Kemelut ini terjadi apabila perniagaan suami merudum dan rugi teruk. Dia kelihatan buntu dan tertekan apabila saya menimbulkan perkara ini dia hanya berkata: �Saya serahkan kepada awak untuk membuat keputusan, saya pasrah terhadap ketentuan Ilahi.� Apa yang perlu saya lakukan.

MASRAH,
Kuala Lumpur.

Kata kunci kepada permasalahan puan ialah �kesetiaan�. Erti kesetiaan bukan hanya boleh diperkatakan, tetapi perlu dibuktikan. Kesetiaan hanya diuji pada waktu kesengsaraan. Zaman kemewahan tidak menjanjikan kesetiaan, apalagi kita hidup dalam lilitan fahaman �kebendaan� yang amat menonjol kini.

Puan sudah berasa hidup senang selama 70 peratus kehidupan bersama suami. Puan hanya baru berasa susah selama tiga daripada 10 tahun itu. Bukankah ini masa terbaik untuk puan membalas budi baik suami dan membuktikan kesetiaan kepada suami?

Mungkin inilah waktu terbaik untuk menggilap potensi �wanita perkasa� dalam membuat keputusan dalam pengurusan keluarga, sekali gus memperkasakan diri menjadi seorang isteri yang produktif pada saat keluarga berada di ambang kemelesetan ekonomi.

Mungkin anak akan lebih menghormati puan kerana ibunya mampu �menolong ayahnya� dalam usaha menyelamatkan keluarga mereka daripada terjerumus ke dalam kemiskinan.

Puan berasa tertekan, suami puan mungkin lebih terseksa. Egonya tercabar kerana selama ini dialah yang menyara dan menjadi �hero� keluarga. Disangka panas hingga ke petang kiranya hujan di tengah hari. Berat mata puan memandang, berat lagi bahu suami memikul beban malu dan terguris egonya. Inilah takdir namanya. Satu rukun iman yang menguji akidah kita.

Adakah puan mendoakan untuk suami setiap kali selepas solat waktu? Adakah puan menghadiahkan surah al-Fatihah buat suami setiap kali teringatkan kesusahan yang ditanggungnya.

Kita perlu menyedari bahawa dunia perniagaan ini ada zaman turun naiknya. Namun, kesengsaraan puan bersifat sementara. Apabila perniagaan suami bertambah baik, puan boleh kembali kedudukan asal jika itulah yang puan kehendaki.

Kesetiaan memerlukan pengorbanan. Kesetiaan menuntut puan untuk bersama suami pada waktu senang dan susah sama ada puan suka atau tidak. Ini mengingatkan saya kepada satu kisah mogok isteri Rasulullah SAW yang menjadi asbabun nuzul (sebab turunnya ayat) kepada firman Allah bermaksud:

�Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya aku berikan kepada kamu mut'ah, dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya

�Dan sekiranya kamu mahukan keredaan Allah dan rasul-Nya serta kemewahan di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang yang berbuat baik antara kamu pahala yang besar.� (Surah al-Ahzab, ayat 28 dan 29)

Selepas Rasulullah SAW membacakan ayat ini kepada Saidatina Aisyah, Baginda bertanya: �Hai Aisyah, aku hendak mengajukan soalan ini kepadamu, tetapi janganlah tergesa-gesa menjawabnya sebelum berunding dengan kedua-dua ibu bapamu.� Lantas Aisyah menjawab: �Ya Rasulullah, kenapa aku harus berunding dengan kedua-dua ibu bapaku mengenai diri tuan? Tidak sekali kali, Aku memilih keredaan Allah dan rasul-Nya.�

Mungkin puan boleh mengambil semangat Saidatina Aisyah ini, jika pun tidak semua supaya dapat menghayati firman Allah dalam surah Ali Imran , ayat 103 bermaksud:

�Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah bercerai berai...�

Jawapan disediakan oleh Ir Hjh Endok Sempo bt Hj Mohd Tahir

Monday, July 24, 2006

Taubat diwajibkan ke atas insan mukallaf

Bicara Kalbu: Taubat diwajibkan ke atas insan mukallaf

SAYA keliru mengenai keperluan untuk bertaubat ketika melakukan dosa kecil. Saya ingin tahu adakah wajib kita bertaubat jika melakukan dosa kecil.

PELAJAR INGIN TAHU,
Kuala Lumpur.

PERTAMA kita perlu mengenal pasti perbezaan di antara dosa kecil dan besar. Dosa besar wajib bertaubat nasuha manakala bertaubat untuk dosa kecil masih ada perbezaan pendapat di kalangan ulama. Namun untuk melengkapkan akhlak yang mulia dan bersifat mahmudah, kita seharusnya sentiasa bertaubat dan beristighfar serta menghentikan perkara yang mendatangkan dosa kecil.

Ulama hadis, Ibnu Rajab al Hambali dalam kitabnya Jaami'ul 'uluum wal hikam melontarkan permasalahan mengenai dosa kecil. Beliau berpendapat dosa kecil terhapus secara automatik sebaik seseorang melakukan taubat atas dosa besar.

Pendapat ini sesuai dengan firman Allah bermaksud : “Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke dalam tempat yang mulia (syurga).” (Surah an-Nisa, ayat 31)

Namun, ada ulama berbeza pendapat, ada antara mereka yang mewajibkan taubat secara khusus terhadap sebarang dosa kecil. Pendapat ini berpandukan firman Allah yang memerintahkan untuk bertaubat selepas menyebut dosa kecil dan besar. Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak memiliki keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti mengenai aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya supaya diketahui perhiasan yagn mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang yang beriman supaya kamu beruntung." – (Surah an-Nur, ayat 30-31)

Allah memerintahkan untuk bertaubat daripada dosa kecil secara khusus dalam firman-Nya bermaksud: “Hai orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik daripada mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-mengolokkan) wanita-wanita yang lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak taubat, maka mereka itulah orang yang zalim." – (Surah al Hujurat, ayat: 11)

Namun, kaum Mu'tazilah pula tidak mewajibkan taubat daripada dosa kecil.

Ada juga ulama mutakhir yang berpendapat mengenai taubat dosa kecil bahwa – wajib mengerjakan salah satu daripada dua perkara: Pertama bertaubat daripadanya atau melakukan beberapa perbuatan dan amal kebajikan yang baik dan ia dapat menghapuskan dosa itu.

Ibnu 'Athiah menyebutkan dua pendapat ulama dalam penafsirannya terhadap penghapusan dosa kecil dengan melakukan ibadat yang wajib dan menjauhkan diri daripada dosa besar.

Pertama, dia meriwayatkan daripada beberapa fuqaha dan ahli hadis bahawa dengan melakukan kebajikan dan amal salih secara automatik dosa dan kesalahannya terhapus, sesuai pengertian ayat al-Quran dan hadis.

Kedua, dia meriwayatkannya daripada ulama usul fiqh bahawa dosa kecil tidak pasti terhapus, namun dengan ’husnu zan’ yang kuat terhadap rahmat Allah dan harapan yang tinggi , diharapkan dosa itu dihapuskan, dengan kehendak Allah.

Jika dosa kecil itu ‘pasti’ dihapuskan, nescaya perbuatan taubat akan menjadi ’harus’ dan ia mengundang akibat buruk yang akan merosakkan syariah.

Ulama kontemporari, Dr Yusof Qardhawi pula berpendapat bahawa dosa kecil itu tidak ’pasti’ dihapuskan. Ia kerana hadis yang mengatakan dosa kecil terhapus dengan melakukan amal salih terikat dengan ’syarat’ memperbaiki amal.

Contohnya, dalam bab wuduk dan solat, kedua-dua perbuatan itu menghapuskan dosa kecil. Jika kita berdiam diri tanpa menyesali perbuatan, tidak bertaubat dan tidak melakukan kebaikan, di sini tidak ada amal yang baik membolehkan terhapusnya dosa.

Atas dasar ’ikhtilaf’ (perbezaaan pendapat) yang disebutkan oleh Ibnu 'Athiah ini, terjadi ikhtilaf dalam masalah kewajipan taubat dari dosa kecil." (Jami' al Ulum wa al Hikam: 1/446, 447. Cetakan Muassasah Risalah, Beirut.)

Namun, sebenarnya taubat diperintahkan kepada seluruh orang mukallaf. Seluruh kaum mukmin diperintahkan untuk bertaubat. Seperti disebutkan dalam ayat al-Quran: "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang yang beriman supaya kamu beruntung."

Taubat itu mesti dibuat, ada orang yang bertaubat daripada dosa besar, perbuatan bidaah, dosa kecil dan perbuatan yang syubhat.

Ada pula orang yang taubat daripada kelalaian hatinya. Juga ada bertaubat daripada makam yang sedia ada untuk menaikkan tarafnya ke makam yang lebih tinggi. Ini yang kita namakan sebagai taubat Nabi Muhammad SAW seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud:

"Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah kerana sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah dalam sehari sebanyak seratus kali."

Jawapan disediakan Endok Sempo Mohd Tahir. Pandangan dan persoalan layari www.bicarakalbu.blogspot.com

Monday, July 03, 2006

Iltizam agama hadiah terbaik hari bapa

Bicara Kalbu: Iltizam agama hadiah terbaik hari bapa

? Apa pandangan doktor mengenai hari bapa? Saya terkilan apabila anak tidak menghiraukan saya dan tidak pernah memberikan kata penghargaan apatah lagi memberikan hadiah setiap kali sambutan hari bapa.


Bapa terkilan,
Serdang, Selangor.

BARU-BARU ini ada beberapa rakan bertanya persoalan yang hampir sama. Apakah hadiah yang anak saya berikan pada sambutan hari bapa. Saya agak terpinga-pinga ketika itu sebab yang saya tahu hingga hari ini anak saya tidak pernah menghadiahkan apa-apa pun kepada saya bersempena hari bapa.

Maka, rakan saya agak terkejut kerana mereka menerima pelbagai hadiah daripada anak sempena hari bapa.

Yang saya sedar, bila difikirkan perkara ini, memang saya tidak pernah mendidik anak untuk menghargai hari seperti ini.

Apa yang seorang bapa perlukan daripada anak? Jika anda seorang bapa, apa yang anda mahu daripada anak anda? Saya rasa jika kita sebagai seorang bapa mengharapkan pemberian, kita adalah bapa yang sempit minda. Sewajarnya, sebagai bapa, kita pasti mahukan anak yang bertakwa.

Saya teringat tahun lalu, salah seorang daripada anak saya bertanya, “Apa yang ayah nak daripada kami anak-anak?” Saya berkata: “Agama.”

Apabila anak saya bertanya maksud daripada jawapan saya itu, saya katakan: “Agama yang ayah maksudkan bukan sekadar usalli dan nawaitu. Kamu jangan jadi anak ayah yang beragama sebagai itu. Ayah tidak mahu apa-apa hadiah berbentuk barang. Yang ayah mahu ialah hadiah istimewa iaitu agama yang bukan sekadar usalli dan nawaitu. Itu agama orang biasa.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang beriltizam kepada Allah, sesungguhnya dia telah diberikan petunjuk ke jalan yang lurus.” Maksudnya, berpegang teguh dengan agama Allah, 24 jam sehari di mana saja kita berada.

Saya beritahu kepada anak, itu adalah hadiah bermakna buat ayah, iltizam agama Allah sehingga mati, jangan tertipu dengan arus moden yang menyesatkan.

Bagi anda yang menyambut hari bapa saya ucapkan selamat menyambut hari bapa dengan satu peringatan, hari bapa hanya satu hari, hari lain ialah hari perjuangan, hari pendidikan anak dan kita sebagai bapa adalah contoh bagi mereka 24 jam sehari.

Jika kita sebagai ayah termasuk saya tidak mampu menjadikan diri kita pendidik kepada anak, apalah gunanya hadiah sempena dengan hari bapa.

# Jawapan disediakan oleh Dr Danial Zainal Abidin, doktor perubatan dan perunding motivasi. Soalan dan jawapan boleh dilihat di www.bicarakalbu.blogspot.com

Monday, June 19, 2006

Beban keluarga diutama berbanding ibu

Bicara Kalbu: Beban keluarga diutama berbanding ibu

SAYA anak sulung daripada lima beradik dan tiga orang lagi masih bersekolah. Saya memberikan wang setiap bulan kepada emak dan ayah yang berpendapatan kecil. Saya memberi mereka RM500 sebulan. Kadang-kadang emak minta lebih jika ada hal kecemasan. Contohnya, saya berikan RM2,000 untuk emak. Sebenarnya duit itu daripada pinjaman insurans. Untuk pengetahuan, saya juga menanggung perbelanjaan keluarga sendiri kerana gaji lebih tinggi daripada suami.

Saya tertekan kerana terpaksa menanggung dua keluarga ini. Saya sebenarnya rasa bersalah sangat sebab cerita mengenai emak. Saya tersangat sayang emak dan tidak sanggup menghampakannya. Saya takut menjadi anak derhaka apabila terbit rasa 'mak asyik minta daripada saya'. Namun, saya cepat-cepat tepis perasaan itu. Mungkin syaitan hasut supaya hubungan saya dan emak keruh.

ANAK KERESAHAN,
Kuala Lumpur.

Masalah ini saya lihat sebagai keadaan yang berlaku kerana anda tidak gariskan batasan hak ibu terhadap anda sejak awal. Sebenarnya, sebagai anak perempuan bukan tanggungjawab anda memberikan wang kepada ibu, tetapi anda berikan juga. Ia adalah suatu kebaikan.

Dalam hal ini anda perlu gariskan batas bantuan yang boleh diberikan kepada ibu. Memang dia ibu kandung dan anda ada tanggungjawab terhadapnya. Tetapi, tanggungjawab yang dituntut daripada anda untuk menjaga keperluan diri dan anak terlebih dulu. Lagipun, yang diminta bukan untuk makan dan minum serta keperluan asas.

Lagi lama anda tangguh untuk menyuarakan batas yang mampu, lagi susah anda hendak gariskan. Maka, tindakannya kelak akan menjadi lebih hebat. Anda perlu kuatkan jiwa dan hadapi keadaan kalau reaksi ibu adalah marah dan merajuk. Anda perlu bertanya pada diri apa sebab sebenar tidak dapat memberitahu ibu bahawa tidak mampu menunaikan sebahagian permintaannya.

Mungkin anda takut menjadi anak derhaka. Tetapi, ia tidak mungkin kerana selama ini anda memberikan kepadanya jauh lebih banyak daripada tanggungjawab terhadapnya. Adalah lebih baik apa yang diberikan yang anda mampu dan rela memberikan kepadanya.

Anda perlu berusaha mendapat jiwa tenang dan penuh syukur serta reda. Ia kerana Allah hanya menjemput orang yang memiliki nafsu mutmainnah iaitu jiwa yang tenang untuk memasuki syurga-Nya.

# Jawapan disediakan Dr Suriya Osman, seorang doktor dan ‘life coach’ serta boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my. Persoalan dan jawapan layari www.bicarakalbu.blogspot.com

Monday, June 12, 2006

Bicara Kalbu: Doa pelembut hati mampu tangani anak nakal

SOALAN:

SAYA ibu muda yang bekerja sebagai jurutera serta mempunyai empat anak kecil yang rapat usia. Saya bekerja untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga, menabung serta melangsaikan pinjaman dan hutang.



Anak amat rapat dengan saya walaupun lasak. Tetapi kelasakan anak sulung, membuat saya berfikir, rungsing, sedih dan sentiasa menyalahkan diri sendiri sehingga ke pada satu tahap mahu berhenti kerja.

Sikapnya menyebabkan pembantu rumah tidak betah dan tidak tahan bekerja dengan keluarga kami.

Kebanyakannya mengadu mengenai perangainya yang garang, melawan dan suka marahkan mereka.

Dia sudah pandai ponteng sekolah. Kenakalannya mencapai tahap teruk selain memukul pembantu, sudah pandai mengambil wang tanpa izin. Anehnya, jika saya ada di rumah, perangainya berubah. Dia tidak marah-marah.

Dalam keadaan begini, saya terfikir untuk berhenti kerja supaya dapat memberi tumpuan yang lebih kepada anak. Malangnya, suami kurang bersetuju.

IBU DALAM DILEMA.

JAWAPAN:

DALAM menyelesai atau meringankan bebanan masalah puan, perkara paling utama ialah meminta pertolongan daripada Allah. Minta tunjukkan penyelesaian terbaik buat keluarga puan.

Tenangkan fikiran, lapangkan dada dan tarik nafas perlahan-lahan.

Kedua, puan dan suami perlu ada satu mindset untuk berubah. Tentu jika tiada apa yang berubah dalam tindakan puan dan suami dalam menanganinya, keadaan tidak akan berubah dan masalah akan bertambah lagi. Pasti perlu ada perubahan selepas berbincang dengan suami .

Ketiga, perlu ada perbincangan dua hala (puan dan suami) dalam suasana bertenang dan bersifat objektif serta mempunyai matlamat untuk mencapai satu keadaan ‘menang-menang’.

Perbincangan semata-mata untuk mencari penyelesaian tanpa membabitkan emosi dan kepentingan diri.

Keempat, jika puan memutuskan untuk berhenti kerja, perbincangan perlu berkisar di sekitar perbelanjaan yang diperlukan.

Begitu juga penelitian ke mana wang yang ada dibelanjakan dengan terperinci. Dengan ini mungkin akan lebih jelas apa akan berlaku jika puan berhenti kerja buat seketika sehingga masalah perangai anak sulung dapat ditangani dengan baik dan perubahan positif berhasil.

Kelima, jika memutuskan masih perlu bekerja, maka mungkin puan perlu dapatkan cara lain seperti balik kerja lebih awal untuk memberikan ‘masa kualiti’ yang lebih kepada anak.

Dalam pada itu pengurusan masa yang efektif ketika di pejabat perlu diperhalusi kerana kerja di pejabat tidak akan pernah habis!

Keenam, puan dan suami perlu berperanan dalam mengubahkan perangainya. Anak ini perlu didisiplinkan.

Untuk mendisiplinkannya puan perlu memberitahu kepadanya, perbuatan dan perangai bagaimana yang tidak boleh diterima dan apa denda jika dia lakukannya.

Berpakatlah dengan suami untuk bertindak sama, jangan puan buat lain, suami pula bertindak cara lain. Nanti anak puan akan keliru.

Cuba mendisiplinkan anak dengan tegas, konsisten dan lembut serta penuh dengan sifat rahmah. Perlu banyak bersabar.

Jangan lupa berdoa dan munajat untuk anak dalam solat. Doanya: “Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyatina qurrata a’ayun, wajaalna lill mutaqiina imama.” Maksudnya: “Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa.”

Sebenarnya untuk menangani masalah ini, puan dan suami perlu lakukan transformasi dalam mindset dan tindakan.

Jika semua usaha ini tidak berhasil, puan perlu membawa anak ini berjumpa pakar untuk merawatnya.

Pelbagai rawatan boleh dipilih sama ada dari pakar psikologi kanak-kanak, kaedah rawatan energy healing, homeopati, perubahan cara pemakanan dan mengamalkan banyak doa pelembut hati.

Jangan tawakal dengan usaha fizikal dan mental saja, usaha spiritual juga perlu. Tawakal semestinya kepada kekuasaan Allah dengan memohon pertolongan daripadanya sepanjang masa.

DOA DISIPLINKAN ANAK
‘’Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyatina qurrata a’ayun, wajaalna lill mutaqiina imama”

Maksudnya: “Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa”



JAWAPAN disediakan oleh Dr Suriya Osman, doktor perubatan dan perunding ‘life coach’. Soalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com


Artikel dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia.

Monday, May 29, 2006

Guna pendekatan tauhid tingkat penguasaan matematik

Bicara Kalbu: Guna pendekatan tauhid tingkat penguasaan matematik

? MERUJUK kepada artikel Jendela Hikmah dalam ruangan ini pada minggu lalu. Saya ingin mengutarakan masalah anak lelaki yang berada dalam Tingkatan Dua yang sangat lemah penguasaan Matematik, terutama kerana ia diajar dalam bahasa Inggeris. Apakah panduan, teknik atau taktik untuk mengatasi masalah ini.

MOHD RAPIEE,
Kuala Lumpur.

BERCAKAP mengenai Matematik, saya lebih suka mengaitkannya dengan kewujudan Allah. Contohnya, sesi perbincangan ‘Cara Mengingati Allah Sambil Bermatematik.’ Insya-Allah saya akan tulis mengenai tajuk ini dalam sesi penulisan yang lain.

Ramai anak Melayu Islam lemah dalam matematik. Sebenarnya sindrom ‘lemah matematik’ adalah hanya satu persepsi yang tidak ‘real’.

Persepsi ini hanya sesuatu yang wujud dalam fikiran kita dan anak anak kita. Anak (kadang-kadang ibu bapa juga) memutuskan dalam minda mereka bahawa Matematik adalah satu mata pelajaran yang susah. Maka, otak secara automatik memprosesnya, lantas persepsi ‘susah’ terjelma dalam minda. Sel saraf terlebih dulu menerima arahan supaya tidak 'berfikir'. Akhirnya permasalahan Matematik adalah perkara yang mustahil untuk diselesaikan oleh minda.

Kita boleh menggunakan pendekatan tauhid untuk mengukuhkan penguasaan matematik. Matematik tidak lebih daripada ‘sunatullah’ (hukum alam semula jadi – law of nature) yang pasti dan tidak berubah. Kerana itulah asas matematik diperkukuhkan oleh ahli matematik Muslim pada zaman silam. Contohnya Al-Khawarizmi memperkenalkan algebra dan konsep Al-Muqabbala (Persamaan Quadratik) kerana beliau memahami matematik adalah tertakluk kepada sunnatullah yang tetap.

Contohnya, operasi ‘campur’, 2 + 2 = jawapannya tetap 4 di mana pun dan pada zaman apa pun.

Jika pergi kepada konsep yang lebih tinggi, kita boleh melihat kepada sudut yang dibentuk oleh bucu segi empat dalam sebuah bulatan. Sudut yang bertentangan jumlahnya tetap 180 darjah bagaimana bentuk segi empat itu. Jumlah sudut segi tiga tetap 180 darjah bagaimana bentuk segi tiga itu.

Kalau anak dapat ditanamkan dengan keimanan kepada sunnatullah yang menjadi sebahagian daripada ajaran tauhid mereka bukan sahaja boleh menguasai Matematik, malah mampu mengguna-pakainya dalam sains.

Pada hemat saya ilmu apa pun boleh dikuasai dengan tiga langkah utama.

# Tanamkan azam ke dalam hati dan minda bahawa ‘sebagai pelajar ilmu yang diajar ini sangat penting untuk masa depan saya. Insya-Allah saya boleh boleh kuasai ilmu ini jika belajar bersungguh-sungguh.’

# Berikan sepenuh tumpuan terhadap pengajaran ketika guru mengajar. Buat soalan latihan dengan segera jika disuruh.

# Segera membuat latihan tambahan di rumah.

Namun, secara khusus untuk ilmu matematik, masalah utama yang menyebabkannya susah ialah kerana ia adalah sesuatu yang ‘abstrak’. Untuk memudahkannya, maka sifat abstrak ini perlu dijadikan ‘konkrit’ iaitu boleh digambarkan dengan pancaindera.

Kita perlu menghuraikan apa sebenarnya ‘angka’, ‘nombor’, ‘x’, ‘y’, ‘z’ dan banyak lagi simbol yang digunakan.

Pada peringkat lebih tinggi maksud istilah tertentu perlu diterangkan. Kebanyakan pelajar hanya diminta kira, kira dan kira tanpa ditafsirkan dan diterangkan apa sebenarnya yang dikira. Tidak juga dikaitkan ilmu matematik dengan kehidupan seharian.

Pendeknya kebanyakan pengajaran hanya mengikut buku teks yang ringkas. Tidak hairan kebanyakan orang menganggap matematik hanya ilmu kira mengira.

Jadi untuk membantu anak supaya lebih meminati matematik, ibu bapa perlu cuba memahami matematik lebih daripada sekadar merujuk buku teks. Ibu bapa perlu banyak merujuk kepada buku tambahan. Kaitkan matematik dengan ilmu lain dan alam sekeliling.

Sebenarnya, jika kita menguasai matematik dan juga Islam, kita boleh berbicara matematik sambil mengajar al-Quran.

# Jawapan disediakan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor, pensyarah Universiti Putra Malaysia dan Shamsudin Abdullah, pensyarah Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia. Segala permasalahan dan jawapan boleh layari www.bicarakalbu.blogspot.com

Artikel dengan kerjasama Wanita Jamaah Islah Malaysia.

Friday, May 19, 2006

Nikah Mis-yar kurangkan jumlah ‘anak dara tua’

Nikah Mis-yar kurangkan jumlah ‘anak dara tua’

Soalan;

BARU-BARU ini, ada dilaporkan dalam akhbar tempatan bahawa Perhimpunan Perundangan Islam yang berpusat di Makkah meluluskan ketetapan untuk membenarkan lelaki Islam sunnah mengamalkan perkahwinan ‘Mis-yar’. Mengikut laporan itu, "melalui perkahwinan Mis-yar, lelaki dibenarkan berkahwin dengan seseorang wanita tanpa tinggal bersama atau bertanggungjawab penuh menyara hidup isterinya". Ia satu bentuk perkahwinan sementara seperti mutaah, bezanya ialah mutaah ada tarikh perceraiannya manakala “Mis-yar’ tidak ada tarikhnya. Saya tidak begitu faham, apakah ia menurut syariat atau adat kerana dalam laporan akhbar itu perkahwinan cara ini telah diamalkan sejak tahun 1825. Saya bimbang ia akan digunakan oleh musuh Islam dan pejuang wanita berfahaman melampau yang sentiasa hendak menunjukkan betapa Islam terlalu longgar dalam memelihara hak wanita.

PEJUANG WANITA ISLAM,
Kuala Lumpur.

Jawapan,

Ulama terkenal, Dr Yusuf al-Qaradawi ada menjawab persoalan nikah ‘Mis-yar’ di dalam Fatwa Muasaraah beliau jilid ketiga (belum diterjemah lagi ke dalam bahasa Melayu).

Isu yang timbul di negara Asia Barat ialah wanita ramai yang berharta tetapi tidak berkahwin. Ada di antara mereka yang tidak mahu komitmen. Ada yang hanya inginkan anak, manakala ada yang hanya sekadar inginkan harta si suami dan suami hanya datang ketika musim panas (bagi wanita di Jordan, Syria dan Lubnan).

Dalam persoalan ini, wanita itu sendiri bersetuju dan meletakkan syaratnya sebagai keredaannya untuk bernikah.

Di sini wanita itu dengan rela tanpa paksaan, malah sedar pilihannya. Maksudnya, bukan suami yang bersikap zalim, tetapi keputusan ini adalah di atas pilihan wanita itu sendiri.

Dr Yusuf Qaradawi memberikan komentar, nikah dalam bentuk sedemikian adalah sah dan tiada cacat celanya. Cuma yang mungkin timbul ialah perihal komitmen.

Jika wanita itu sendiri sudah bersedia untuk melepaskan haknya, maka itu adalah hak beliau sendiri. Satu kelebihan bagi lelaki.

Beberapa golongan wanita di rantau ini pernah menyokong idea seperti ini atas ‘nama kebebasan wanita’. Jadi wanita tidak terikat kepada suami dan juga bebanan rumah tangga.

Mereka juga menyokong mutaah kerana ia juga akan menjamin hak wanita untuk membuat keputusan dan tidak mengongkong wanita.

Saya berpandangan fatwa Dr Yusof al-Qaradawi dan ulama lain adalah berdasarkan prinsip ‘mengelakkan mudarat yang lebih besar’.

Mungkin cara ini satu jalan keluar bagi wanita matang yang berpangkat dan berkelulusan tinggi dalam mendapatkan suami yang lebih rendah kedudukan kewangan dan kelulusan akademiknya, tetapi mempunyai peribadi terpuji, bertakwa dan budiman. Wallahu Alam.

Jika mereka tidak bernikah secara sah melalui “Mis-yar’ ini, mereka mungkin terbabit dalam gejala sosial yang lebih teruk seperti berzina dan bersekedudukan. Lagi sekali yang akan menjadi mangsa ialah pihak wanita dan juga anak yang akan menjadi tidak sah taraf. Manakala dalam Mis-yar, anak adalah sah taraf.

l Jawapan disediakan oleh Maszlee Malik, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pandangan dan soalan hubungi wanitajim@jim.org.my.

Friday, May 12, 2006

Bicara Kalbu: Buang sikap bosan, berasa diri lebih tinggi

Bicara Kalbu: Buang sikap bosan, berasa diri lebih tinggi

SAYA kini bekerja di sebuah organisasi kukuh. Namun, akhir-akhir ini, saya bosan bekerja. Sebenarnya, saya tidak suka bekerja di bawah arahan orang. Saya tertekan dan benci kerana sering dimarahi. Suasana bekerja begini tidak menjana minda saya. Saya sebenarnya ingin bekerja sendiri dan mendapat pendapatan yang lebih untuk membantu ahli keluarga yang ramai. Saya bercita-cita tinggi, tetapi masih tidak berkeyakinan dengan kemampuan diri. Patutkah saya meletak jawatan.

SUNFLOWER,
Puchong, Selangor.

Apabila kita bekerja dalam bidang yang tidak ada kecenderungan memanglah pada lazimnya akan berasa bosan, lebih-lebih lagi apabila jiwa dan naluri mahukan benda lain.

Jika perlukan wang, anda perlu merancang dengan baik sebelum berhenti kerja.

Pastikan anda cukup wang untuk bertahan sekurang-kurangnya satu tahun tanpa kerja.

Jika tidak dapat memastikan perkara ini, maka anda perlu merancang untuk dapatkan kerja lain sebelum melepaskan kerja sekarang.

Lazimnya, kebanyakan pekerjaan tentu ada bos. Kebiasaannya juga, bos akan lebih suka memberi arahan. Tidak ramai bos yang memberi pekerjanya peluang untuk menggunakan daya kreatif sendiri dalam pekerjaan.

Berikut adalah saranan saya kepada pekerja yang berasakan apa yang dilakukan sekarang membosankan.

Saya sendiri pernah menghadapi perasaan sama.

Nasihat ini adalah langkah yang saya sendiri lalui untuk menyelesaikan masalah.

# Ambil tanggungjawab atas keadaan sekarang dan terimanya seadanya. Ia kerana ramai lagi yang berada dalam keadaan yang lebih teruk.

Ia memerlukan perubahan sikap dan perubahannya adalah kita reda ketetapan Allah ke atas diri sekarang.

# Amalkan doa: “Allahuma inni a'uzubika minal hammi wal hazan.”

Maksudnya : “Ya Allah lindungilah aku daripada menyesalkan perkara yang lepas dan merisaukan perkara yang akan datang.”

# Kira semua nikmat Allah berikan kepada anda sekarang dan ucap syukur banyak-banyak. Mudah-mudahan dengan sikap syukur dan reda, Allah akan memberikan rezeki melimpah-limpah.

# Pertingkatkan diri supaya boleh mengubah keadaan dan mendapat kerjaya yang lebih sesuai dengan naluri dan kecenderungan sendiri.

Anda perlu mengubah sikap daripada tidak berpuas hati kepada mensyukuri nikmat.

Buang sikap berasakan diri terlalu tinggi untuk jawatan sekarang kepada meningkatkan diri untuk meningkatkan mutu kerja.

Sebagai peringatan, kelayakan di atas kertas tidak sama dengan kemampuan yang ada pada kita.

Anda perlu membuang sikap bosan dengan menggunakan masa untuk berbuat pelbagai perkara berfaedah.

Tidak guna menyalahkan keadaan dan majikan, ibu bapa dan sebagainya, sebaliknya lebih bersikap bertanggungjawab atas segala yang berlaku pada diri.

Allah memberi akal kepada manusia untuk memilih yang baik dan buruk.

Kita perlu insaf bahawa segala kebaikan datang daripada Allah dan segala keburukan adalah perbuatan sendiri sama ada kita sedar atau tidak.

Jika keputusan anda untuk tidak mencari kerja lain, maka itu keputusan yang perlu disenangi.

Kalau mahu kerja sendiri, banyakkan bergaul dengan orang yang bekerja sendiri dan berjaya sebagai suntikan motivasi.

Kita juga perlu bijak memilih rakan. Kawan baik dan nampak alim belum tentu mampu menjadi rakan kongsi yang baik dalam perniagaan.

Kawan baik adalah anugerah Tuhan yang sungguh hebat di dunia ini.

# Jawapan disediakan oleh Dr Suriya, seorang doktor perubatan dan life coach secara holistik yang boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Friday, May 05, 2006

Reda punca jiwa tenang

Reda punca jiwa tenang

?SAYA menghadapi tekanan perasaan kerana masalah kerja. Mungkin orang lain melihat saya sebagai insan normal ketika di pejabat. Tetapi, apabila di rumah, saya sering menangis hingga bengkak mata. Malah, kadang-kadang menjadi pendiam dan rasa malas hendak pergi kerja.


Saya sering kali menangisi nasib, menyalahkan Tuhan kerana tidak memakbulkan doa untuk mendapat pekerjaan lain.

Doa dan harapan saya inginkan pekerjaan di jabatan kerajaan yang mempunyai masa depan.

Saya tidak menyukai kerja sekarang kerana kerja sementara. Dari segi gaji, memang kecil sebab saya memiliki ijazah, sedangkan gaji yang diterima sama taraf dengan pemegang diploma. Dari segi skop kerjaya, memang jauh melencong daripada apa yang saya pelajari.

Suami kerap memujuk supaya saya berhenti kerja. Tetapi, kalau berhenti kerja, takkan dia hendak tanggung hutang kereta, rumah dan sebagainya.

Saya sudah dua tahun berkahwin, tetapi belum mempunyai anak.

Tipu saya katakan jika saya tidak berkeinginan untuk mempunyai zuriat sendiri. Tetapi, dek kerana kekangan kewangan dan pekerjaan yang tidak mempunyai masa depan yang stabil, saya terpaksa menangguhkan dulu hasrat untuk menimang cahaya mata.

Tidak tahu sampai bila hendak bertangguh sedangkan usia saya sekarang 28 tahun.





PERLUKAN MOTIVASI,

Kuala Lumpur.





ANDA bekerja dan sudah berumah tangga, tetapi merancang tidak melahirkan anak kerana tidak mampu berikutan masalah kewangan, sedangkan teringin menimang anak.

Anda tidak suka pekerjaan kini dan cuba mendapatkan kerja di jabatan kerajaan, tetapi setakat ini belum berjaya.

Anda selalu bersedih sebab merasakan keadaan terlalu malang kerana tidak dapat apa yang diharapkan.

Anda menyalahkan Allah kerana tidak makbulkan doa anda.

Soalan yang saya ingin ajukan.

Apa pula dengan tugas dan tanggungjawab di rumah. Adakah apabila menangis dan bersedih kerja ini terbengkalai?

Adakah kesedihan anda sudah sampai kategori murung yang memerlukan rawatan profesional?

Jalan keluar yang saya nampak.

l Ambil tanggungjawab atas keadaan sekarang dan terima seadanya sebab ramai lagi yang berada dalam keadaan yang lebih teruk. Ini perlukan perubahan sikap. Perubahannya adalah kita reda ketetapan Allah ke atas diri sekarang

l Jika hendak anak, insya-Allah rezeki anak, Allah yang tentukan dan kemungkinan besar apabila anak dilahirkan rezekinya pun akan datang. Ia sama ada suami atau anda mendapat pekerjaan yang lebih baik.

Yakinlah bahawa Allah yang menentukan dan jangan takut beranak sebab bimbang tidak cukup rezeki.

l Gunakan masa di rumah menjalankan tanggungjawab melayan suami dan bersantai dengan mengadakan hobi atau pembelajaran atau membaca. Jangan layan perasaan

l Amalkan doa “Allahuma inni a'uzubika minal hammi wal hazan.”

Maksudnya: “Ya Allah lindungi aku daripada menyesal perkara yang lepas dan merisaukan perkara yang akan datang.”

l Kira semua nikmat Allah berikan kepada anda sekarang dan ucap syukur banyak-banyak.

Mudah-mudahan dengan sikap bersyukur dan reda, Allah akan memberikan lagi rezeki yang melimpah-limpah.

Anda perlu bersyukur kerana masih mendapat pekerjaan, sedangkan ramai lagi graduan terpaksa menganggur.

Sebenarnya sikap tidak berpuas hati dengan apa yang ada adalah sejenis ‘penyakit’ hati. Ia perlu diubati. Jika tidak anda akan berterusan tidak puas hati dan menyalahkan orang lain.

Sedarlah bahawa Allah yang akan menolong orang yang menolong dirinya sendiri.


l Jawapan disediakan oleh Dr Suriya Osman, seorang doktor perubatan dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Friday, April 28, 2006

Suami poligami kena bijak jaga perasaan madu

Bicara Kalbu: Suami poligami kena bijak jaga perasaan madu

? BAGAIMANA mengubat hati apabila suami menceritakan kebaikan madu dan hubungan intim mereka. Saya berasa berkecil hati tapi saya pendamkan saja. Bolehkah berikan sedikit nasihat dan tips memujuk hati sendiri dan melancarkan kembali keintiman hubungan dengan suami?


Isteri terkilan
Lumut, Perak

SOALAN yang ditanya bukan untuk suami mengamalkan poligami tetapi bagaimana berhadapan dengan kerenah suami berpoligami yang menceritakan kebaikan madu dan hubungan intim mereka.

Saya jangkakan hati puan memang sudah terluka kali pertamanya apabila suami berkahwin lain. Hati yang luka tadi tambah dilukai apabila suami tergamak menceritakan mengenai madu puan.

Ada yang perlu puan lakukan dan ada pula yang suami perlu lakukan.

Pada pihak puan, bersabar dan meredai suami berkahwin lain adalah jalan yang terbaik.

Anggaplah ia telah ditakdirkan dan pasti ada hikmah yang besar jika tidak sekarang, dan di kemudian hari.

Mengubat hati yang dikecewakan dengan memperbanyakkan sabar dan mengerjakan solat adalah formula terbaik untuk mencari ketenangan hidup dan kesejahteraan hati.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Amat menghairankan seorang Muslim itu, apabila diberi nikmat dia syukur, apabila ditimpa musibah dia sabar. Maka kedua-dua keadaan berkenaan memberi kebaikan kepadanya.”

Di pihak suami puan pula, beliau harus mempelajari hukum, adab dan akhlak orang yang berpoligami.

Mengikut hukum, beliau wajib bersikap adil dari segi agihan masa, sara hidup dan keperluan (bergantung kepada saiz keluarga).

Dari segi kasih sayang dan kecenderungan, tidak ada hukum syarak yang mewajibkan seorang suami cenderung sama rata terhadap isteri dari segi perasaan.

Namun dari segi tindakan dia tidak wajar melebihkan seorang daripada yang lain, apatah lagi memberi perhatian yang berlebihan. Inilah yang dikatakan adil terhadap isteri-isteri bagi suami yang berpoligami.

Berkaitan adab pula, suami tidak harus menceritakan kelebihan isterinya di hadapan isteri yang lain kerana ini akan menyebabkan timbulnya perasaan kecil hati.

Ini terutama sekali jika kelebihan itu adalah anugerah Allah SWT seperti kecantikan paras rupa dan kelebihan fizikal yang tertentu.

Namun jika si suami menceritakan sesuatu yang positif seperti isterinya kuat beribadat, rajin menuntut ilmu dan ringan tulang membantu jiran, maka anggaplah ini sebagai dorongan untuk berlumba-lumba ke arah kebajikan.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “Tidak diharuskan iri hati sesama Muslim kecuali dalam dua perkara, seorang Muslim yang diberi harta lalu dia berbelanja pada jalan Allah dan kedua seorang Muslim yang diberi ilmu lalu dia memanfaatkan untuk ummah.”

Jika suami puan menceritakan perkara positif seperti ini, katakanlah puan amat setuju dan berdoa serta berusaha untuk mencontohi beliau.

Tetapi jika pujiannya adalah terhadap aspek fizikal seperti paras rupa, puan wajar menasihatinya supaya menghentikannya.

Sebagaimana puan menghormati dan menjaga perasaan isterinya yang satu lagi, puan juga harus menuntut suami supaya menjaga dan menghormati perasaan puan.

Suami perlu ingat tidak wajar menceritakan hubungan intim dengan isteri meskipun terhadap isterinya yang lain.

Terdapat amaran tegas dari Rasulullah SAW dalam hal ini melalui firman Baginda yang bermaksud: “Seburuk-buruk lelaki ialah dia menggauli isterinya kemudian menceritakan kepada orang lain.”

Ini bermakna urusan dalaman rumah tangga adalah rahsia yang tidak boleh didedahkan kepada orang lain termasuklah isteri jika dia beristeri lebih dari seorang.

Hukum adat telah sama-sama kita maklumi. Pepatah Melayu mengatakan 'sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi'.

Suami puan telah mendapat isteri yang baru. Maklumlah orang baru, lebih cantik dan lebih segar pada pandangan mata. Namun kecantikan bukanlah ukuran sebenar yang membahagiakan seorang suami.

Nasihat saya kepada diri dan kepada semua marilah kita memberi tumpuan kepada usaha mendandan hati kita supaya sentiasa cantik dan berseri. Hati yang bersih akan menyerlah pada wajah.

Tanyakan pada orang yang berpengalaman, di manakah letaknya kecantikan, percayalah mereka akan mengatakan kecantikan itu datangnya dari hati yang sejahtera.

Dalam pada itu, puan juga harus melihat apa sebenarnya yang tersirat di sebalik kata-kata suami puan itu?

Mungkinkah dia ingin puan lebih 'intim' dengannya? Mungkin selama ini saranan secara tidak langsung diutarakan kepada puan mengenai perlunya meningkatkan hubungan intim tidak diterima atau disedari puan.

Saya tidaklah menyalahkan puan, tetapi apa salahnya puan membaca buku yang memberi panduan bagaimana menyemarakkan hubungan suami isteri.

# Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor, pensyarah Universiti PutraMalaysia dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

INTI PATI:

# Mengubat hati yang dikecewakan dengan memperbanyakkan sabar dan mengerjakan solat adalah formula terbaik untuk mencari ketenangan hidup dan kesejahteraan hati.

# Seorang Muslim apabila diberi nikmat dia syukur, apabila ditimpa musibah dia sabar. Maka kedua-dua keadaan itu memberi kebaikan kepadanya.

# Dari segi kasih sayang dan kecenderungan, tidak ada hukum syarak yang mewajibkan seorang suami cenderung sama rata terhadap isteri dari segi perasaan.

# Suami perlu ingat tidak wajar menceritakan hubungan intim dengan isteri meskipun terhadap isterinya yang lain.

# Usaha mendandan hati perlu dilakukan supaya sentiasa cantik dan berseri. Hati yang bersih akan menyerlah pada wajah.

# Harus melihat apa sebenarnya yang tersirat di sebalik kata-kata suami.

# Perlu membaca buku yang memberi panduan bagaimana menyemarakkan hubungan suami isteri.

Friday, April 21, 2006

Ikatan keluarga saudara baru tak boleh diputuskan

Ikatan keluarga saudara baru tak boleh diputuskan

SAYA ada seorang kawan yang baru saja memeluk Islam beberapa minggu lalu. Dia seorang perempuan berbangsa Cina. Dia sering menjadikan saya tempat rujukannya dalam perkara berkaitan Islam.

Tetapi saya sendiri masih kurang arif dan tidak mengetahui secara mendalam mengenai Islam. Baru-baru dia bertanyakan saya mengenai hubungannya (yang memeluk Islam) dengan keluarganya.

Keluarganya belum lagi mengetahui statusnya yang memeluk Islam. Dia takut keluarganya tidak dapat menerimanya.

Saya sendiri tidak pasti bagaimana untuk menjawab persoalan itu supaya dia tidak berasa keliru dengan agama Islam dan perhubungannya dengan keluarga yang bukan Islam.

Persoalan saya ialah:

(a) Bagaimana perhubungan dia yang memeluk Islam dengan keluarganya yang masih bukan Islam?

(b) Bagaimana jika keluarganya sukar untuk menerimanya?

(c) Apakah cara untuk dia terus berbakti kepada keluarganya dalam keadaan sekarang?

(d) Bagaimana adat atau pantang larang ketika mereka tiggal bersama?

Saya berharap dapat membantu teman saya dan tidak mahu dia keliru dengan agama yang baru dianuti.



Siti Zam,



Siswi UPSI, Tanjung Malim, Perak.





Bersyukurlah kerana saudari berada di dalam situasi yang unik untuk menimba pahala ganjaran Allah mendampingi dan membimbing saudari yang baru memeluk Islam. Tidak dinafikan, dalam saat seperti itu beliau amat memerlukan teman yang boleh memberi sokongan dan teman berbicara.

Berdasarkan sedikit pengalaman bergaul dengan saudara baru di perantauan, saya harap dapat berkongsi pandangan terhadap masalah yang dihadapi rakan saudari.

Islam tidak sekali-kali menyuruh penganutnya memutuskan perhubungan keluarga walaupun berbeza agama. Malah, Islam menganjurkan setiap umatnya agar sentiasa mengasihi, menghormati keluarga, terutama sekali ibu bapa.

Ini jelas sekali dalam firman Allah yang bermaksu: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, kepada Ku juga tempat kamu kembali. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu mengenainya maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia ini dengan baik...” (Surah Luqman, ayat 14-15)

Apatah lagi selepas beliau memeluk Islam, alangkah cantiknya sekiranya beliau lebih menghormati, menyayangi dan mengasihi ibu bapanya.

Sekiranya sebelum ini hanya sekadar bersalaman saja dengan ibu bapa setiap kali bertemu. Kali ini cubalah lakukan keajaiban dan kelainan dengan mencium tangan keduanya.

Peluk mereka setiap kali sebelum berpisah, moga-moga dengan itu, akan terdorong atau terbuka pintu hati ibu bapanya. Tidak ada salahnya meneruskan perhubungan antara ibu bapa dan anak walaupun mereka belum Islam.

Mengenai penerimaan keluarga, ini banyak bergantung kepada sejauh mana rapatnya perhubungan beliau dan keluarga sekarang. Ada kes yang mudah kerana perhubungan keluarga yang rapat, keluarga faham kebebasan dan menghormati pendirian ahli keluarga yang lain. Ada juga kes yang rumit.

Sekiranya beliau rapat dengan ahli keluarga dan merasakan mereka boleh diajak berbincang, boleh menghormati pendirian ahli lain, maka berterus terang mungkin pilihan terbaik.

Jelaskan mengapa dan mungkin bagaimana beliau boleh memilih Islam kepada keluarga. Insya-Allah, sekiranya mereka memahami bagaimana proses beliau memilih Islam, tentangan dan perselisihan tidak rasional akan dapat dielakkan.

Tetapi sekiranya beliau merasakan keluarga adalah sebaliknya, mungkin pilihan terbaik ialah dengan cara perlahan-lahan. Cabaran paling besar, pada pengamatan saya dalam perhubungan keluarga ialah hal makanan dan sambutan perayaan atau upacara keagamaan.

Sekiranya keluarga sukar menerima, fahami kenapa keluarga bersikap demikian. Adakah kerana mereka tidak faham Islam, takut kehilangan seorang anak tersayang atau ada sebab lain. Memahami sebab-sebab itu akan memudahkan proses berikutnya.

Dalam pada itu, jangan lalai berdoa. Allah adalah pemilik hati-hati kita semua. Berdoalah agar Allah membuka hati ibu bapa, adik-adik, abang atau kakak agar mereka menerima kebenaran.

Tidak ada bezanya bagaimana beliau harus berbakti kepada keluarga sama ada dulu dan sekarang, selagi tidak melanggar syariah. Kunjungi dan hubungi mereka seperti selalu. Berikan yang terbaik semoga dengan itu hati mereka akan lembut.

Saya berpendapat buat permulaan, terutama sekali pada peringkat awal mereka mengetahui keIslaman beliau, mungkin inilah antara cabaran yang paling besar dan paling berpotensi menyebabkan pergeseran.

Perlu diingat, Islam tidak bertapak di mana-mana pelusuk bumi dan memusnahkan adat resam setempat selagi adat resam itu tidak bercanggah dengan aqidah dan syariah.

Kerana itu Islam boleh bertapak dan makmur dari timur Jepun ke barat benua Amerika, dari utara Iceland ke selatan Afrika.

Secara amnya, sekiranya amalan itu adalah amalan keagamaan seperti membakar colok dan menyembah berhala, ini jelas mesti dielakkan.

Begitu juga dengan makanan, perlu bertegas tetapi dengan cara hikmah dalam hal ini kerana memang sukar untuk tidak menjamah masakan ibu yang bertahun-tahun membesarkan kita.

Terangkan dengan baik, dan mungkin juga boleh tawarkan diri untuk memasak supaya dapat memilih makanan yang boleh dimakan saja.

Selain itu, dalam hal amalan harian, tidak ada halangan untuk saudara baru memeluk Islam bersama meraikan dengan keluarga.

Kami mendoakan kesejahteraan saudari dan semoga Allah membantu meringankan segala urusan.

Sebagai panduan, boleh merujuk kepada buku Kisah Saya Saudara Baru terbitan syarikat PTS Millennia Sdn Bhd, yang ditulis oleh saudara baru, Nuraishah Chua Abdullah.



l Jawapan disediakan Amir Razelan, Perunding Kejuruteraan di Lembah Silikon Amerika Syarikat dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Friday, April 14, 2006

Bermunajat cara terbaik tentukan kesesuaian memilih calon suami

Bicara Kalbu: Bermunajat cara terbaik tentukan kesesuaian memilih calon suami

SOALAN: SAYA menghadapi masalah di antara keluarga dan masa depan. Semuanya bermula apabila saya berkenalan dengan seorang lelaki. Dia ingin mengambil saya sebagai isteri. Keluarganya menerima saya dengan baik.


Pada hari perkahwinan sepupu saya, ibu bapa menyuruh membawa teman lelaki ke majlis kenduri itu. Tidak diduga selepas hari itu, ibu bapa saya tidak sukakannya dengan pelbagai alasan.

Alasan teman lelaki saya kurang kacak, adakah itu menjadi faktor yang terlalu penting? Berpunca dengan alasan itu, timbul banyak lagi alasan lain.

Ibu bapa saya berjumpa bomoh, dukun dan orang tertentu, kononnya untuk menyelidik latar belakang teman lelaki saya. Jawapan yang saya terima amat mengecewakan. Ibu bapa menentang habis-habisan sehingga bapa sanggup mengeluarkan kata-kata akan membuang saya daripada keluarga jika meneruskan hubungan dengan teman lelaki itu.

Alasan yang diberikan, semua bomoh, dukun dan orang tertentu yang mereka jumpa mengatakan keturunan keluarga teman lelaki saya membela hantu. Tetapi, saya agak musykil dengan cerita ibu kerana kebiasaannya, lain yang orang kata, lain yang disampaikan. Sehingga kini, ibu bapa saya masih mempercayainya.

Buat pengetahuan, kami tiada masalah untuk berkahwin kerana kedudukan kewangan yang agak kukuh. Keluarga teman lelaki daripada golongan yang agak kuat beragama. Sehingga kini saya runsing dan seakan-akan tertutup hati untuk berkahwin disebabkan tekanan ini.

Gadis Dalam Dilema,
Puchong, Sekangor.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Saya tidak mempunyai jawapan kepada masalah saudari. Apa yang digariskan hanya panduan yang difikirkan boleh diikuti berdasarkan gambaran masalah yang dikemukakan.

Pertama, berkaitan calon suami/isteri.

Calon terbaik untuk dibuat pasangan hidup ialah yang teguh berpegang dengan Islam. Asasnya ialah sabda Rasulullah SAW bermaksud wanita dikahwini kerana empat sebab iaitu cantik, kaya, keturunan baik-baik dan agama. Pilihlah yang beragama nescaya beruntung kedua-dua tanganmu (mendapat keuntungan dunia/akhirat).

Kedua-dua pihak yang hendak berkahwin dan ibu bapa mesti menerima dan meyakini bahawa inilah faktor yang terpenting dalam memilih jodoh.

Kedua, kepercayaan kepada bomoh/dukun dan seumpama.

Islam mempunyai garis panduan jelas dan tegas mengenai perkara ini. Mempercayai dan beriman dengan dukun adalah ditegah kerana ia adalah perbuatan syirik kepada Allah.

Tidak dinafikan ada pengamal perubatan Islam yang boleh merawat pesakit terutama yang berkaitan dengan gangguan spiritual dan makhluk halus.

Namun, mereka perlu dipastikan tidak melakukan perbuatan yang ditegah oleh syarak seperti berhubungan dengan jin dalam amalan perubatan mereka.

Lazimnya ini boleh ditentukan dengan melihat kepada cara hidup yang tidak menyimpang daripada Islam dan diketahui umum oleh masyarakat sebagai orang yang berpegang teguh dengan syariat Islam.

Ketiga, didampingi jin dan seumpama.

Memang jika ditanya kepada orang yang pakar dalam perkara ini, seseorang itu boleh didampingi oleh jin atau boleh mewarisinya daripada keluarga meskipun tanpa pengetahuannya.

Orang yang beriman akan sentiasa berlindung dengan Allah, pemilik dan penguasa segala makhluk di bumi ini, yang nyata mahupun ghaib.

Dalam surah an-Naas kita dianjurkan untuk memohon perlindungan daripada bisikan syaitan yang membisikkan keraguan, baik dari kalangan jin atau manusia.

Keempat, mencari kepastian terhadap dakwaan ibu bapa saudari.

Pandangan saya ialah dapatkan pandangan daripada pengamal perubatan Islam yang theqah (yang tidak diragui amalan Islam dan keperibadian mereka). Minta pandangan mereka apa yang perlu dilakukan demi menyelesaikan kekusutan ini.

Kelima, jangan berputus asa.

Jangan sekali-kali menutup pintu hati daripada hasrat untuk berumah tangga. Berkahwin adalah sunnah yang besar dan mohonlah kepada Allah supaya ditemukan jodoh yang baik.

Ada kalanya kita cenderung kepada seseorang, tetapi dalam pengetahuan Allah, dia bukan calon yang sesuai dengan kita. Maka, urusan dipersulitkan oleh Allah dengan meletakkan pelbagai halangan.

Namun, apabila ada halangan, tidak bermakna pilihan saudari tidak baik. Itu juga mungkin ujian yang disediakan oleh Allah untuk meningkatkan darjat kita di sisinya dan diberi pahala.

Keenam, mohonlah petunjuk kepada Yang Maha Mengetahui.

Kesimpulannya bermunajat (berdoa) kepada Allah yang mengetahui semua mengenai kita, apa yang baik dan tidak baik untuk kita.

Jawapan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor, Universiti Putra Malaysia. Permasalahan dan pandangan hubungi wanitajim@jim.org.my

Friday, April 07, 2006

Wajib nasihat jika berdepan kemungkaran

Bicara Kalbu: Wajib nasihat jika berdepan kemungkaran

SAYA baru memakai tudung. Saya bertudung selepas memahami dan terpanggil untuk mengamalkan syariat menutup aurat. Sebelum memakai tudung, saya tidak kisah amalan kawan sepejabat. Tetapi, selepas bertudung saya rasa perlu mengajak mereka melakukan kebajikan dan menjauhi larangan agama. Ada dua perkara yang sangat memusykilkan saya mengenai rakan itu. Pertama, rakan sepejabat itu bertudung lebih awal daripada saya. Tetapi, saya agak pelik melihat kelakuannya yang liat untuk solat. Dia tidak pernah solat Zuhur atau Asar di pejabat. Katanya, kadang-kadang solat di rumah. Alasannya kerana di pejabat susah hendak solat. Di pejabat kami surau untuk wanita amat selesa. Malah, setiap Jumaat ada kuliah khas untuk wanita. Alasannya lagi, kerana payah hendak tanggal dan pakai tudung. Kedua, tingkah lakunya dalam pergaulannya dengan kawan lelaki. Perhubungan mereka amat intim, pergi dan balik dari pejabat bersama-sama. Pergaulannya amat tidak manis dipandang mata. Saya nasihatkan mereka kahwin secepat mungkin. Katanya, duit belum cukup lagi!



Sahabat Dalam Dilema



Kuala Lumpur



Apa yang saudari alami adalah lumrah kepada sesiapa yang hendak menegakkan kehidupan secara Islam. Apa yang saudari lakukan sebenarnya adalah kewajipan yang dituntut dalam Islam iaitu memberi teguran atau nasihat jika berlaku kemungkaran. Sebab itulah kita dianjurkan untuk berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran (maksud surah Al-asr).

Anggaplah reaksi kawan sebagai asam garam orang yang hendak melakukan amar makruf nahi mungkar. Jika saudari istiqamah, mereka akan menghormati prinsip dan tidak akan melakukan kemungkaran di hadapan saudari. Mana tahu dengan keikhlasan dan melalui contoh yang baik, suatu hari nanti terdorong untuk melakukan kebaikan dan memperbaiki sikap dan cara hidup mereka.

Sesungguhnya dakwah yang paling berkesan adalah dengan menunjukkan contoh yang baik serta pergaulan yang mesra, penuh kasih sayang dan ikhlas.

Tunjukkan empati saudari. Fahami dulu sebab dia jadi begitu. Nasihat saya ialah terus menjaga hubungan dengan kawan dan mengambil tahu masalah mereka serta membantu mana yang boleh. Tunjukkan kepadanya bahawa saudari hanya ingin menolong, bukan untuk mengajar!

Mengenai persoalan solat pula, perlu dijelaskan kedudukan solat bagi seorang Muslim. Solat menurut hadis Rasulullah SAW adalah tiang ‘deen’. Deen ini jangan ditafsirkan sebagai ‘agama’ kerana deen dalam Islam adalah kehidupan. Ini adalah berdasarkan kepada kefahaman bahawa Islam itu adalah satu sistem hidup. Ini bermakna sesiapa yang meninggalkan solat bererti meruntuhkan kehidupannya sendiri.

Solat adalah tonggak dalam kehidupan. Justeru, ia tidak boleh ditinggalkan sama sekali atas apa juga alasan kecuali dibenarkan syarak. Sebab itulah di dalam Islam ada kemudahan solat qasar (memendekkan solat bagi bermusafir) dan solat jamak (menggabungkan solat bagi yang bermusafir dan atas keperluan yang mendesak seperti seorang doktor yang sedang melakukan pembedahan yang mengambil masa melangkaui dua waktu solat).

Begitu juga Islam mengajar cara solat bagi mereka yang sakit dan solat ketika peperangan atau kecemasan. Semua ini menunjukkan tidak ada ruang bagi umat Islam meninggalkan solat atau menangguhkannya.

Seseorang itu hanya dimaafkan tertinggal solat dalam keadaan terlupa atau tertidur. Itu pun dituntut dilaksanakan solat sebaik terjaga atau kembali ingatan meskipun waktu solat itu telah luput.

Alasan yang diberi oleh rakan saudari tidak dapat diterima oleh syarak. Menangguhkan solat kerana mekap jelas meninggalkan solat di atas sebab yang tidak boleh diterima. Kalau kita boleh memperuntukkan waktu untuk makan, apa yang menghalang kita untuk melakukan solat.

Islam juga melarang seorang wanita berhias (bertabarruj) selain kepada suami sendiri. Ini tidak bermakna Islam melarang wanita kelihatan anggun. Dengan menutup aurat secara sempurna dan berdandan ala kadarnya seperti mengenakan bedak, sudah memadai.

Saya cadangkan saudari memanfaatkan program kuliah mingguan untuk wanita di pejabat. Cadangkan kepada guru agama untuk menjelaskan isu yang diterangkan di atas.

Mengenai hubungan kawan saudari dengan teman lelakinya juga gejala tidak memahami batas hubungan di antara lelaki dan perempuan. Kebanyakan muda-mudi menganggap hubungan cinta dan pertunangan sebagai lesen bergaul bebas. Seorang lelaki hanya boleh bergaul bebas dengan perempuan yang telah sah menjadi isterinya, bukan yang akan menjadi isterinya. Tidak ada alasan yang boleh menghalalkan pergaulan bebas di antara lelaki perempuan, termasuk yang bertunang.

Apa yang boleh dilakukan ialah menasihati rakan dan temannya supaya memelihara batas hubungan.



Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor, pensyarah Universiti Putra Malaysia dan boleh dihubungi di emel wanitajim@jim.org.my.



lArtikel dengan kerjasama Wanita Jemaah Islam Malaysia.

Friday, March 31, 2006

Poligami bukan sekadar ghairah tambah isteri

Poligami bukan sekadar ghairah tambah isteri

SAYA berusia 31 tahun, isteri kedua dan mempunyai seorang anak lelaki berumur 10 bulan. Kami berkahwin selama dua tahun.

Masalah saya ialah suami selalu membandingkan saya dan isteri pertama.

Saya beranggapan suami lebih menyayangi isteri pertama. Saya bingung mengapa dia berkahwin dengan saya jika isteri pertamanya ‘sempurna’ seperti yang dikatakannya.

Saya tidak tahu di mana kekurangan diri ini kerana melayannya dengan baik ibarat menatang minyak yang penuh. Tolong beri saya nasihat dan pandangan untuk menguatkan semangat dalam menghadapi cabaran dan dugaan dalam rumahtangga kami.

Saya juga ingin tahu hak sebagai isteri kedua. Adakah anak saya mendapat hak yang sama seperti anak dengan isteri pertama. Bagaimana dengan suami yang adil dalam berpoligami?



ISTERI KECEWA,

Kuala Terengganu, Terengganu.



Dalam Islam apabila seseorang lelaki berpoligami dia perlu bersikap adil. Keadilan yang dimaksudkan di sini ialah dari segi penyediaan nafkah zahir dan batin. Ini termasuk giliran bermalam serta aspek fizikal dan keperluan kehidupan dalam bentuk kebendaan yang lain.

Dari segi perasaan, seorang suami mungkin mempunyai kecenderungan yang lebih ke atas salah seorang isterinya. Ini adalah tabii (fitrah semula jadi) yang tidak mungkin dimungkiri oleh jiwa manusia.

Namun, suami itu dilarang menunjuk-nunjuk kecenderungan terhadap mana-mana isteri, apatah lagi menyebutnya di depan isteri yang lain. Dalam erti kata lain, meskipun suami itu cenderung pada salah seorang isterinya, dia tidak boleh mempamerkannya pada isteri yang lain. Perbuatannya ini akan melukakan hati isteri lain dan Islam melarangnya.

Mengenai persoalan anak pula, seperti dituntut Islam, seorang suami hendaklah bersikap adil kepada isteri-isterinya. Begitu juga seorang ayah wajib berlaku adil kepada anak-anaknya sama ada anak daripada isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat.

Meskipun sebagai ayah atau ibu kadang-kadang kita cenderung kepada mana-mana anak atas sebab tertentu seperti paras rupa atau kepandaiannya. Namun, perlu disedari haram hukumnya melebihkan seorang anak ke atas anak yang lain atas sebab ini.

Setiap anak wajar mendapat perhatian dan layanan yang sama. Tidak wajar seorang anak merasakan ibu bapanya menyayangi adik-beradiknya yang lain lebih daripada dirinya. Mungkin anak itu kekurangan dari segi rupa paras atau kurang pandai, namun sepatutnya faktor inilah yang mendorong ibu bapa untuk menunjukkan keprihatinan yang lebih bagi meningkatkan keyakinan anak itu.

Dalam melayari kehidupan rumah tangga, lebih-lebih lagi berpoligami banyak cabaran yang perlu dihadapi.

Suami dan isteri wajib memahami tujuan berumahtangga. Mendirikan rumahtangga untuk memenuhi tuntutan fitrah semula jadi iaitu memperoleh kasih-sayang (mawaddah) dan rahmah (belas ihsan). (Rujuk surah ar-Rum, ayat 30). Untuk memenuhi tuntutan ini, setiap suami dan isteri mesti melaksanakan hak dan tanggungjawab masing-masing.

Jika suami terus-terusan membandingkan puan dengan isteri pertama, ini bermakna beliau tidak memahami hak isteri untuk dihormati perasaan dan maruahnya. Membuat perbandingan di antara isteri di hadapan mana-mana isteri bererti menjatuhkan maruah dan mengguriskan perasaan isteri. Perbuatan ini jelas menggugat kebahagiaan dan kesejahteraan rumahtangga.

Pandangan saya ialah puan berterus terang dengan suami. Nasihati beliau supaya tidak lagi menyebut-nyebut kelebihan isteri pertamanya di hadapan puan. Seperti puan menghormati isteri pertamanya, begitu jugalah puan mengharapkan suami menghormati perasaan puan sebagai isteri keduanya.

Namun, puan boleh juga menggunakan pendekatan reverse psychology. Maksud saya jika suami menyebut kelebihan isteri pertamanya, jika ia benar, puan hendaklah mengiyakan dan berusaha untuk mencontohinya. Jika kelebihan isteri pertama adalah perkara yang wajar dicontohi seperti suka berbuat kebajikan kepada orang lain, rajin menuntut ilmu dan pandai bergaul dengan masyarakat, maka tidak ada sebab yang menghalang puan untuk menyaingi isteri pertama.

Kita juga diperingatkan sifat Rasulullah SAW di dalam pergaulan berumahtangga. Baginda sering menyebut kebaikan isteri pertamanya Saidina Khadijah kepada isterinya yang lain selepas wafatnya Khadijah.

Saidatina Aishah terasa hati sehingga memarahi Rasulullah SAW yang sering menyebut-nyebut kebaikan Khadijah. Lalu Baginda berkata: “Dialah orang yang beriman kepadaku ketika orang lain kufur, dialah orang yang menyokongku ketika orang lain menolak dan memerangiku.”

Jelasnya di sini, Rasulullah SAW menyebut perkara yang baik mengenai Khadijah yang wajar dicemburui oleh isterinya yang lain. Namun, tidak ada kewajaran bagi suami menyebut kelebihan mana-mana isteri jika kelebihan itu adalah berkaitan paras rupa atau aspek fizikal yang lain.

Akhirnya, berusahalah untuk melakukan kebaikan dan amal salih, bukan sekadar untuk merebut hati suami, tetapi untuk memperoleh kasih-sayang Allah. Jika Allah mengasihi kita, maka kasih sayang manusia juga akan tumpah kepada kita. Mudah-mudahan puan memperoleh kebahagiaan yang dicari.



l Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor, pensyarah Universiti Putra Malaysia dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Friday, March 24, 2006

Dakwah, perangi kemungkaran secara bersama

Bicara Kalbu: Dakwah, perangi kemungkaran secara bersama

?AKHIR-akhir ini terlalu banyak kemungkaran yang saya lihat di sekeliling kita.

Sebagai contoh, lihat saja di kompleks beli-belah. Berapa ramai pasangan yang berpeleseran, bahkan sebahagiannya melakukan perbuatan yang amat mencolok mata. Lebih menyedihkan mereka adalah orang Melayu.

Tetapi apa yang lebih dikesalkan ialah sikap orang ramai termasuk diri saya yang tidak berbuat apa-apa. Ibarat syaitan bisu seolah-olah perbuatan itu tidak menyalahi norma kehidupan.

Pada pandangan puan, tindakan bagaimana yang sepatutnya kita lakukan?

IBU PRIHATIN,
Johor Bahru, Johor.

Memang benar, mempertahan dan menegakkan kebenaran ajaran Islam adalah kewajipan yang tidak boleh dipertikaikan oleh setiap Muslim. Amar makruf nahi mungkar adalah slogan Islam yang diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya untuk kita bina dan bangunkan pada diri sendiri dan orang lain.

Firman Allah: “Wahai orang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad, ayat 7)

Kita sepatutnya sedar bahawa musuh Islam sentiasa berusaha untuk memporak-perandakan Islam. Ia bukan saja dengan cara kekerasan, bahkan kadangkala dengan siasah yang cukup halus dan tanpa disedari. Ini termasuk menerapkan unsur negatif seperti pergaulan bebas dalam budaya hidup seharian.

Saya bersetuju dengan apa yang saudari diperkatakan. Oleh kerana selalu sangat berhadapan dengan situasi sedemikian, kadangkala kita merasakan ia bukan luar biasa atau bukan termasuk dalam kemungkaran yang wajib diperangi. Sekiranya ini yang kita rasakan, saya ingin mengajak untuk kita semua merenung hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, dia hendaklah mengubah dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu (mengubah dengan tangan – kuasa), maka hendaklah dia mengubah dengan lidahnya (teguran dan nasihat), dan sekiranya tidak juga mampu, dia hendaklah mengubah dengan hatinya (yakni tidak rela dan benci dengan kemungkaran tersebut) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi."

Dalam hadis lain Rasulullah SAW selanjutnya bersabda lagi yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman: Suruhlah (manusia) berbuat makruf dan cegahlah mereka daripada kerja mungkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, Allah tidak lagi menerimanya, dan kamu memohon pertolongan lalu Allah tidak menolong kamu lagi."

Kedua-dua hadis itu menjelaskan, bagi memerangi kemungkaran, berdakwah adalah dituntut kerana ia amalan mulia. Dengannya Islam tersebar ke seluruh penjuru dunia. Rasul juga diutus oleh Allah untuk berdakwah demi memerangi kemungkaran dan menegakkan kesejahteraan dalam kehidupan umat manusia.

Firman Allah bermaksud: “Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi, pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru kepada agama Allah dengan izin-Nya dan untuk menjadi cahaya yang menerangi.” (Surah al-Ahzab, ayat 45-46)

Usaha memastikan peraturan Islam terlaksana adalah tanggungjawab setiap orang sama seperti kewajipan terhadap syariat lain.

Bagi membina kehidupan masyarakat dan memakmurkannya atas dasar kebenaran dan kebaikan, Islam meletakkan tanggungjawab itu ke atas setiap lelaki atau wanita, mengikut batas dan kemampuan masing-masing.

Oleh kerana beramal dan bekerja untuk memerangi kemungkaran adalah kewajipan individu dari sudut syarak, ia juga kewajipan secara organisasi atau berpasukan dari sudut tanggungjawab dan pelaksanaannya. Tanggungjawab dan kewajipan ini terlalu berat untuk dipikul oleh orang perseorangan.

Tugas berat seperti ini sebenarnya menuntut pengorbanan tinggi, kemampuan dan kesungguhan yang tidak terbatas. Ia tidak mungkin mampu dipikul atau dilaksanakan oleh mana-mana individu sekalipun dengan memerah seluruh tenaga, kegigihan dan kesanggupan menghadapi segala dugaan dan rintangan.

Sebaliknya tanggungjawab ini hanya mampu dipikul atau dilaksanakan secara terancang dalam satu pasukan yang tersusun rapi. Bekerja dalam satu pasukan seperti ini akan menggabungkan segala kemampuan dari sudut kesedaran, penyusunan dan kekuatan dalam menghadapi suasana yang semakin mencabar.

Bahkan, ada dalil jelas daripada al-Quran dan sunnah yang menuntut supaya amal ini dilakukan dalam satu pasukan yang tersusun kemas.

Firman Allah bermaksud: “Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa dan janganlah kamu tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran" (Surah al-Maidah, ayat 2).

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya serigala itu (musuh Islam) hanya akan dapat memakan kambing (umat Islam) yang tersisih dari kumpulannya.”


# Jawapan disediakan Sumilah Marto, pensyarah Maktab Perguruan di Johor Bahru, Johor dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Friday, March 17, 2006

Suami curang tak tahu tujuan berumah tangga

Bicara Kalbu: Suami curang tak tahu tujuan berumah tangga

ADAKAH dalam Islam mempunyai istilah suami curang? Jika ada, apakah hukumnya suami mempunyai hubungan cinta dan perempuan lain dan mengabaikan tanggungjawab untuk menyayangi isteri dan lebih menyayangi kekasihnya serta menunjuk dia amat menyayangi kekasihnya dan menyakiti hati isteri seperti menunjukkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan segala yang berkaitan dengan kekasihnya. Apakah pula hukum seorang perempuan yang mempunyai hubungan cinta dengan suami orang?

Puan Tiramisu
Subang Jaya

Persoalan yang dihadapi oleh puan adalah gejala betapa sesetengah suami atau isteri tidak memahami tujuan berumahtangga di dalam Islam pada hari ini.

Tujuan mendirikan rumah tangga di dalam Islam ialah agar kedua-dua suami dan isteri memperoleh ketenangan di antara satu dengan lain. Malah perkahwinan adalah keperluan fitrah (semula jadi) untuk seseorang lelaki dan wanita meluahkan kasih-sayang dan belas ihsan di antara satu sama lain.

Perkahwinan juga akan melengkapkan agama (penghayatan agama) seseorang sebagaimana sabda junjungan”'Apabila berkahwin maka lengkaplah separuh dari agamanya, maka hendaklah ia bertakwa dalam separuh lagi”.

Perkahwinan adalah institusi suci yang tidak boleh dicemari dengan sebarang bentuk perbuatan yang tidak jujur terhadap pasangan masing-masing. Perbuatan suami puan yang berbangga mempunyai 'kekasih' yang lain jelas adalah satu bentuk kecurangan yang sangat keji. Beliau melakukan dosa besar dan perbuatannya itu boleh dianggap sebagai menghampiri zina. Firman Allah dalam al-Quran 'Jauhilah zina, sesungguhnya ia amat keji dan seburuk-buruk jalan"

Pujuk suami puan supaya meninggalkan perbuatannya itu. Tidakkah dia berasa malu dengan puan dan dengan anak-anak? Tidakkah dia memikirkan kesan perbuatannya itu terhadap puan dan jiwa anak-anak? Tidakkah dia memikirkan kesan perbuatannya itu terhadap harga dirinya sendiri sebagai seorang suami?

Penyelesaian jangka panjang kepada kemelut ini ialah suami mesti berusaha mempertingkatkan kefahaman tentang hubungan suami-isteri di dalam Islam. Apakah hak dan tanggungjawab seorang suami dan seorang isteri demi memastikan rumah tangga mendapat rahmat dan penuh dengan sakinah (kebahagiaan) sebagaimana yang dijamin di dalam Al-Quran.

Hukum bagi suami atau isteri yang menjalin hubungan dengan orang lain adalah sama iaitu tetap berdosa kepada Allah, kepada pasangan dan kepada anak.

# Dr Hafidzi Mohd Noor, Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Friday, March 10, 2006

Solat tahajud dapat kurangkan tekanan kerana kenaikan harga minyak

Bicara Kalbu: Solat tahajud dapat kurangkan kenaikan harga minyak

SEJAK kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen, hampir semua barang di pasaran termasuk tempat meletak kereta yang tidak membabitkan petrol turut naik hingga memberi kesan kepada bajet keluarga. Suasana kehidupan sekeluarga semakin muram dan tertekan. Minta pandangan bagaimana hendak menghadapi dugaan ini agar suasana kembali ceria dan ekonomi keluarga tidak mengalami defisit?

Ibu tertekan,
Kuala Lumpur

Harga barang semua naik adalah keluhan sebahagian besar rakyat yang kita dengar apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol.

Oleh itu lebih baik kita cuba menyelesaikan secara praktikal untuk menghadapi kemelut harga barang yang meningkat dan menguatkan mental serta spiritual agar lebih tenang berhadapan masalah bajet.

Dengan kadar pendapatan masih di aras lama, pilihan yang ada hanyalah mengubah ‘gaya’ hidup dan mengurangkan perbelanjaan.

Di sini ada beberapa langkah praktikal yang boleh dibincangkan bersama ahli keluarga agar impak dapat ditangani sebijak mungkin.

Pertama ialah memperkayakan rohani dan menguatkan spiritual dengan melakukan solat tahajud untuk menenangkan hati.

Allah SWT berfirman bermaksud, “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah Al-Israa', ayat 79)

Solat tahajud dilakukan di tengah malam di kala kebanyakan manusia terlena dalam tidur yang nyenyak akan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Solat tahajud dikerjakan dengan ikhlas mampu mengurangi beban kejiwaan yang sedang menyelimuti seseorang.

Allah SWT berfirman bermaksud, “Wahai orang yang berselimut. Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat).” (Surah Al-Muzzammil, ayat 1-2)

Kata ‘berselimut’ dalam ayat di atas secara kontekstual dapat diertikan dengan orang yang sedang dirundung masalah, kegelisahan, kecemasan, kekhuatiran, atau ketakutan kerana menghadapi berbagai permasalahan yang menimpanya.

Ayat dari surah Muzammail diturunkan setelah Rasulullah SAW mendapat ejekan dan ancaman dari kaum Quraisy menyebabkan baginda tertekan dengan suasana itu.

Ketenangan dan ketenteraman yang diperoleh setelah melakukan solat Tahajud memiliki nilai spiritual yang sangat tinggi kerana dalam solat itu terdapat dimensi zikrullah (mengingat Allah).

Ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud, “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Ar-Ra'd, ayat 28)

Kedua, banyakkan bersedekah kepada anak yatim, golongan miskin dan kalangan yang memerlukan kerana semakin banyak kita bersedekah semakin membersihkan harta, hati dan nafsu kita semakin jinak kepada takwa.

Apabila kita bersedekah kepada yang memerlukan, kita membina hubungan ukhuwah sekali gus mereka yang miskin ini mendoakan untuk kita agar lebih makmur, sekurang kurangnya makmur jiwa berhati besar.

Ketiga, banyakkan berpuasa seperti orang soleh setiap Isnin dan Khamis atau tiga kali sebulan. Ataupun mungkin masa ini sebaik-baik kita mula puasa ala Nabi Daud, satu hari berpuasa dan satu hari berbuka.

Umar bin Khattab mengatakan, “Hendaklah kalian waspada pada perut yang penuh makanan kerana sesungguhnya perut adalah hal yang memberatkan di dalam kehidupan ini dan adalah kebusukan setengah mati.”

Abdullah Al Qusyairi, seorang sufi mengatakan, “Hikmah dan ilmu telah diletakkan dalam rasa lapar, sementara maksiat dan kebodohan telah diletakkan dalam kekenyangan.”

Di antara manfaat lapar, menjernihkan hati, menyalakan kebijaksanaan dan menajamkan penglihatan hati. Abu Yazid Al Busthomi, seorang sufi berkata, “Lapar adalah awan maka apabila seorang hamba lapar, keluarlah hujan hikmah dari hatinya.”

Antara manfaat lapar yang paling utama ialah mematahkan keinginan nafsu terhadap semua bentuk bermewah-mewah dan maksiat serta menguasai nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan.

Aisyah mengatakan, “Bid'ah yang pertama kali terjadi sepeninggalan Rasulullah SAW adalah kenyang, sesungguhnya manusia ketika kenyang perutnya menjadi liarlah nafsunya dalam menghadapi dunia ini.”

Jika nafsu sudah terkekang dan keinginan nafsu untuk hidup bermewah berlebihan telah dikawal, manusia tidak lagi berusaha mengumpul harta secara haram dan berbuat kemaksiatan.

Hal ini akan melahirkan kesederhanaan dalam hidup, memungkinkan seseorang untuk mengutamakan orang lain dan bersedekah dengan makanan yang lebih kepada anak yatim serta orang miskin.

Seterusnya, kenal pasti dan klasifikasi semula keperluan serta keinginan. Umpamanya mengucapkan selamat tinggal kepada rancangan TV yang berbayar seperti Astro atau kurangkan makan di luar.

Amalkan masak dan makan di rumah bagi mengeratkan lagi hubungan seisi keluarga, bawa bekal ke pejabat atau ke sekolah, kaji penggunaan telefon di rumah dan telefon bimbit sekeluarga.

Beli hanya bila perlu, bukan bila mahu. Nafsu tanpa sempadan semua nampak berkilau tetapi jika kita tahu barang yang perlu dibeli maka kita akan mengurangkan pembaziran.

Jika sebelum ini kita kerap menonton wayang, berhibur, maka mulai sekarang duduklah saja berhibur di rumah, menonton televisyen atau bermain dengan anak-anak.

Sekiranya anda merokok, fikirkan secara serius, inilah masanya untuk berhenti, begitu juga jika kerap membeli pakaian baru hampir setiap bulan, maka mulai sekarang belilah pakaian baru setahun sekali semasa hari raya saja.

Langkah di atas mungkin nampak kecil, tetapi beberapa langkah kecil yang diamalkan berterusan akan memberi impak besar.

Jawapan oleh Endok Sempo dan Amir Razelan dari JIM dan boleh dihubungi di wanitajim@jim.org.my

INTI PATI

# Memperkayakan rohani dan menguatkan spiritual dengan melakukan solat tahajud untuk menenangkan hati.

# Banyakkan bersedekah kepada anak yatim, golongan miskin dan kalangan yang memerlukan.

# Banyakkan berpuasa seperti orang soleh setiap Isnin dan Khamis atau tiga kali sebulan.

# Kenal pasti dan klasifikasi semula keperluan serta keinginan.

# Minta maklum balas daripada orang yang mendengar dan jadi pendengar yang baik.

# Dalam menegur, berikan kata-kata perangsang dan naikkan semangat serta gantikan perkataan ‘tetapi’ dengan perkataan ‘dan’.

Friday, March 03, 2006

Buat kerja rumah bersama erat hubungan keluarga

Bicara Kalbu: Buat kerja rumah bersama erat hubungan keluarga

SAYA seorang isteri dan ibu kepada enam orang anak yang sedang meningkat remaja. Pada masa yang sama saya juga seorang yang berkerjaya. Rutin harian saya bermula seawal jam 5 pagi menguruskan hal rumah tangga sebelum bergegas ke tempat kerja. Semua ini saya lakukan dengan reda demi kebahagiaan keluarga. Masalah saya ialah kadang-kadang apabila dalam keadaan yang terlalu penat, saya terasa seolah-olah ingin melarikan diri dari semua tugas yang sepatutnya saya lakukan. Apa pandangan puan?

Isteri tertekan
Johor Baru

Terlebih dulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada puan kerana berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang wanita berjaya.

Sebagai wanita bekerja, memang ada ketikanya kita pulang ke rumah dalam keadaan penat tambahan apabila banyak urusan di pejabat yang tidak selesai.

Akibatnya kemurungan berlaku dan pada ketika ini kita tidak lagi berupaya melakukan kerja rumah.

Dari maklumat yang puan berikan, saya melihat masalah puan ialah puan tidak mempunyai pembantu rumah yang dapat membantu meringankan kerja di rumah dan saya yakin keputusan itu atas alasan dipersetujui bersama di antara puan dan suami.

Sebagai mukadimah kepada persoalan puan, ingin saya utarakan dua buah hadis sebagai halwa minda untuk kita renungkan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Wanita sebagai penjaga, pengawas dan pemimpin di dalam rumah suaminya, maka dia hendaklah bertanggungjawab terhadap tugasnya ini.”

Sabda baginda lagi yang bermaksud, “Apabila seorang wanita itu telah melakukan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, memelihara maruah dan mentaati suaminya maka diserukan kepadanya, “Masuklah dari mana-mana pintu syurga yang kamu sukai.”

Kedua-dua hadis di atas mengiktiraf peranan wanita dan apakah ganjaran yang bakal diterima bagi mereka yang berjaya melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga.

Sekiranya hadis ini sentiasa kita ingat, nescaya akan hilang segala kepenatan dan sebagai gantinya keikhlasan menjelma.

Begitu juga seandainya kita mengamati kembali peristiwa sejarah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, bagaimana baginda merestui peranan puterinya sebagai isteri dan ibu, kita juga menginsafi peranan yang sewajarnya kita mainkan.

Tetapi Allah telah menjanjikan ganjaran yang jauh lebih baik buat isteri yang berkhidmat untuk suami dan keluarganya.

Antara pesanan Baginda Rasulullah SAW, “Mana-mana perempuan yang mengisar tepung untuk suami dan anak maka Allah tuliskan baginya bagi setiap biji gandum yang dikisar satu kebajikan dan mengangkat baginya satu darjat.

“Mana-mana perempuan yang berpeluh kerana mengisar gandum untuk suami dan anak, maka Allah menjadikan antara dirinya dan api neraka tujuh buah parit.

“Mana-mana perempuan yang meminyakkan rambut anak dan menyikatkannya serta membasuh pakaian mereka, maka Allah catatkan baginya ganjaran orang yang memberi makan kepada seribu orang yang lapar dan memberi pakaian kepada seribu orang yang telanjang.

Bagaimanapun, dalam menghadapi kemelut kehidupan masa kini serta bertambah tanggungjawab harus dipikul oleh wanita sama ada di dalam mahu pun di luar rumah, elok juga jika kita dapat melaksanakan team work dalam urusan seharian.

Antara perkara yang boleh dijadikan panduan ialah melaksanakan agihan tugas antara suami dan isteri. Melalui akad nikah, suami isteri diikat dengan tiga perjanjian persefahaman iaitu tanggungjawab, kasih sayang dan komitmen.

Dalam konteks kehidupan masa kini apabila isteri turut berperanan membantu ekonomi keluarga, maka secara imbal balik suami juga sepatutnya berperanan untuk membantu isteri dalam urusan rumah tangga.

Ini menjadi sebagai salah satu tanggungjawab yang perlu dipenuhi suami isteri. Cuma isteri perlu pandai mohon pertolongan dari suami kerana salah satu kelemahan suami ialah tidak peka dengan urusan rumah tangga.

Melatih anak-anak menguruskan pakaian dan keperluan sendiri. Bagi anak yang meningkat remaja, segala urusan peribadi seperti mengemas bilik tidur, membasuh pakaian, melipat dan menggosoknya eloklah digalakkan melakukannya sendiri.

Di samping itu galakkan anak yang lebih besar melakukannya untuk adik-adik yang masih kecil. Secara tidak langsung kita telah mula menyemai sifat tanggungjawab di dalam diri anak.

Mengajar anak kemahiran urusan rumah tangga seperti memasak dan menyediakan makanan sendiri tanpa mengira anak lelaki atau perempuan agar apabila dewasa atau tinggal berjauhan mereka akan dapat melaksanakan sendiri keperluan seharian.

Sentiasa mencatatkan tugas harian yang perlu dilaksanakan kerana dengan ini kita akan dapat melaksanakan semua kerja dengan mendahulukan mana lebih utama.

Sediakan menu harian supaya tidak perlu memikirkan apakah juadah yang hendak dihidangkan. Kadangkala disebabkan tiada menu harian, kita menggunakan masa yang lama di pasar untuk memutuskan barang yang perlu dibeli.

Menyediakan semua keperluan memasak pada hujung minggu. Misalnya ayam dan ikan yang telah dibersihkan, sayur yang telah dicuci dan dipotong, cili yang telah dikisar dan bawang yang telah dikupas.

Menguasai kemahiran menguruskan masa di mana kita belajar untuk melaksanakan lebih dari satu kerja pada satu masa.


# Jawapan disediakan oleh Sumilah Marto, pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Ibrahim Johor Baru

Friday, February 24, 2006

Beramal perkukuh keimanan

Beramal perkukuh keimanan


SAYA berusia 23 tahun dan ingin mendapat pandangan serta pendapat mengenai perubahan diri sejak memasuki alam pekerjaan. Saya sendiri hairan akan perubahannya yang amat berbeza berbanding ketika sebagai pelajar institusi pengajian tinggi. Dulu, saya mudah tersentuh hati apabila mendengar tazkirah dan nasihat agama dan sentiasa mengingati Allah. Namun, setelah setahun bekerja, saya dapat merasakan perubahan yang ketara. Saya bekerja sehingga 12 tengah malam. Tentunya rasa letih, mengantuk melebihi rasa ingin beribadat kepada Tuhan. Saya ingin sekali kembali kepada Ilahi dan menjadi lebih baik daripada dulu. Cuma saya tidak mempunyai pembimbing, tambahan pula saya menanggung kesepian ini seorang diri. Saya rasa sepi, jauh daripada Tuhan. Tetapi, saya tidak pasti kenapa Dia menarik kembali pemberian agung yang diberikan kepada saya suatu ketika dulu. Saya sedih melihat diri yang semakin jauh ini.



GADIS INGIN KEMBALI,



Seremban, Negeri Sembilan



Hakikat kejadian hati memang akan sentiasa berbolak-balik. Iman yang tempatnya di hati juga akan sentiasa ada pasang surutnya. Ini lumrah kehidupan - ada masa dan ketikanya kita akan berasa hilang motivasi dan hilang minat untuk beribadat.

Sifat Maha Pengasih dan Penyayang Allah tidak memungkinkan Allah menarik balik nikmat ini. Jauh atau lupa kita kepada Allah adalah kerana kelemahan sendiri.

Tidakkah kerana kasih dan sayang Allah kepada saudari, maka Dia mengilhamkan yang saudari semakin jauh daripada-Nya?

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah berfirman: Aku bagi hamba-hamba-Ku adalah sebagaimana mereka mengharap pada-Ku, Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Andainya dia mengingati-Ku di dalam hati, Aku mengingatinya bersama-Ku, dan sekiranya dia mengingati-Ku di dalam majlis/perhimpunan, Aku akan menyebutnya di dalam majlis/perhimpunan yang lebih baik. Dan sekiranya dia datang kepada-Ku berjalan, Aku datang kepadanya dengan lebih pantas."

Hassan al-Basri berkata, iman bukan suatu yang boleh dikecap dengan hanya berharap. Kesungguhan beramal adalah buah dan baja keimanan. Kesungguhan beramal juga menuntut kesabaran.

Ibnu Qayyim al-Jauzi mengkategorikan sabar kepada tiga perkara iaitu sabar dalam taat, sabar dalam menjauhi larangan dan sabar apabila diuji dengan musibah/kesusahan.

Antara yang boleh saudari lakukan:

l Jangan sekali-kali biarkan perasaan mengawal diri.

Ketika rasa malas menyelinap, padamkan terus. Baca al-Quran biarpun sekadar lima minit. Amal yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.

l Amalkan doa bermaksud: “Allahumma, aku berlindung pada-Mu daripada rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung pada-Mu daripada rasa malas, dan aku berlindung pada-Mu daripada sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung pada-Mu daripada cengkaman hutang dan penindasan orang.” (Rujuk himpunan zikir al-ma'thurat)

l Amalkan juga doa bermaksud: “Ya Allah, yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami atas jalan-Mu, tetapkanlah hati-hati kami pada ketaatan kepada Mu."

l Bijak memilih kawan.

Pastikan saudari kelilingi diri dengan kawan yang menggalakkan kita berbuat baik. Paling baik sertai kumpulan pengajian, halaqah atau usrah.



Jawapan disediakan Amir A Razelan.

lArtikel ini dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia.Persoalan dan pandangan hubungi wanitajim@jim.org.my

Friday, February 17, 2006

Kemampuan ekonomi syarat berkahwin

Kemampuan ekonomi syarat berkahwin

Soalan;

SAYA seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bertunang dengan pilihan hati, juga seorang pelajar, dua bulan lalu. Sebenarnya pada peringkat awal, kami memohon izin daripada ibu bapa untuk terus bernikah supaya perhubungan kami sah di sisi syarak. Keadaan ini kerana kami telah berkenalan selama empat tahun. Namun, ibu bapa menghalang hasrat murni itu.

Saya cuba memujuk ibu dan ayah, tetapi mereka menolak dengan alasan kami masih belajar dan kewangan ditampung oleh biasiswa. Kami merasakan cukuplah dinikahkan dulu dan majlis kenduri perkahwinan boleh diadakan selepas tamat pengajian ijazah kami yang tinggal dua tahun lagi.

Kami sungguh kecewa dan hampa. Kami cuma disuruh bersabar. Dapatkah kami bertahan menghindari kemaksiatan walau sekecil mana pun, dapatkah kami elakkan? Ironinya ibu bapa tidak pernah menghalang jika kami ingin berjumpa. Mereka tidak pernah pun ambil tahu mengenai kami.

Selama empat tahun kami harungi ikatan perhubungan ini tanpa sebarang ikatan yang sah. Kami ingin ibu bapa kami faham bahawa tahap kematangan seksualiti anak zaman sekarang semakin cepat. Bukan kami saja yang mengalaminya, malah ramai lagi anak remaja lain.

Fahamilah, alasan ‘masih belajar’ untuk melewatkan perkahwinan adalah antara faktor meningkatnya perlakuan seks luar nikah di kalangan pelajar IPT. Kami tidak mahu tergolong dalam kumpulan yang melakukan perbuatan keji itu. Kami ingin tempuhi hidup ini dengan ketenangan dan mendapat keredaan Allah.

Kami pernah cuba untuk bernikah di sempadan Thailand, tetapi kerana pergolakan yang sedang berlaku di sana, kami terpaksa membatalkan niat itu. Sungguh pelik orang dewasa, mengapa apabila sudah mengandung atau terlanjur baru tergesa-gesa mencari tok kadi untuk dikahwinkan?



Gadis IPT,
Kuala Lumpur.

Jawapan,

Mari kita lihat masalah ini dari sudut pandangan kaca mata ibu bapa dulu. Mengapa mereka menentang perkahwinan anda?

Saya cuba melihat persoalan ini dari kaca mata saya sendiri sebagai seorang ayah. Di antara kebimbangan saya ialah kemampuan bakal suami untuk menyara sebuah keluarga. Ini ada asasnya dalam Islam.

Rasulullah SAW menggalakkan orang muda berkeluarga. Tetapi, bagi yang tidak mampu, hendaklah berpuasa (berpuasa fizikal dan menjauhkan diri daripada merangsang keinginan untuk berkelamin).

Adakah pasangan anda yang saya kira masih belajar ada kemampuan ekonomi untuk memikul tanggungjawab sebagai suami?

Saya tidak bersikap judgemental di sini. Satu satu sebab ibu bapa hari ini tidak mengizinkan anak yang masih remaja berumah tangga kerana sebilangan besar ibu bapa ini kurang jelas mengenai hubungan lelaki-wanita kerana kurangnya pengetahuan dan kesedaran beragama.

Buktinya kenapa mereka masih mengizinkan anak mereka menjalin hubungan dan berpasangan, sedangkan perbuatan itu ditegah Islam.

Jika mereka faham naluri anak untuk berpasangan, pastinya mereka usahakan supaya anak diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah.

Di sini akan tertutuplah pintu perzinaan yang amat dikutuk oleh agama. Jika mereka merasakan anak belum mampu, pastilah mereka mendidik dan menasihati mereka dengan adab dan etika pergaulan dalam Islam iaitu elakkan daripada pergaulan bebas dan berdua-duaan lelaki perempuan.

Kini mari kita lihat daripada perspektif anda pula.

l Ukurlah kemampuan diri. Adakah anda dan bakal suami mempunyai persediaan yang mencukupi untuk memasuki gerbang perkahwinan.

Benar, pendidikan hari ini menyebabkan perkahwinan tertangguh. Tetapi, satu soalan yang anda perlu tanya adalah apakah anda dan bakal suami mempunyai kemampuan ekonomi untuk berkahwin.

Anda mungkin berasakan sudah bersedia dari sudut emosi, tetapi hakikatnya perkahwinan adalah institusi yang dibina di atas kemampuan biologi, emosional (kematangan) dan ekonomi (kewangan).

l Jika persediaan ekonomi menjadi halangan, anda hendaklah bersikap rasional dan berusaha untuk bersabar untuk sementara dengan melakukan perkara berikut:

l Jauhilah pergaulan bebas – bataskan hubungan anda dengan ‘tunang’ atau ‘kekasih’ anda. Ikutilah anjuran agama supaya sentiasa menjauhi perhubungan intim yang boleh menimbulkan keinginan untuk sentiasa berdampingan.

l Ini tidak bermakna anda harus memutuskan hubungan sama sekali. Tunang masih boleh menziarahi anda, tetapi di rumah dengan kehadiran muhrim (ibu bapa atau keluarga yang bertanggungjawab) dan jagalah pergaulan secara terhormat.

l Bersabarlah sehingga anda menamatkan pengajian dan ada kemampuan ekonomi untuk melayari sebuah rumah tangga.

Jika anda hendak juga bernikah, calon suami perlu bersedia untuk melakukan apa saja untuk menyediakan makan, minum, pakaian dan sakit pening keluarga (kalau dikurniakan anak).

Ini mengambil kira senario hari ini apabila graduan sukar mendapat pekerjaan.

Calon suami mesti memikirkan aspek kewangan dari sekarang jika anda berdua ingin berumah tangga.

Nasihat saya lagi, jauhilah pergaulan bebas dengan calon suami anda dan teruskan berdoa semoga Allah memberi jalan keluar yang terbaik, melembutkan hati keluarga dan memberi serta kemampuan mental dan ekonomi untuk mendirikan rumah tangga.

Artikel dengan kerjasama Wanita Jamaah Islah Malaysia. Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor, Universiti Putra Malaysia

Friday, February 03, 2006

Pujian, asah minda bantu anak berjaya

Bicara Kalbu: Pujian, asah minda bantu anak berjaya
Dr Hafidzi Mohd Noor

SAYA mempunyai empat anak. Anak sulung berusia 15 tahun dan boleh dikategorikan sebagai cerdik kerana mula membaca dengan lancar ketika berumur lima tahun. Tetapi, dia mempunyai sedikit kekurangan, enggan menyalin kerja di sekolah. Saya kasihan melihat keadaannya yang kadang kala dimarahi dan dipukul guru kerana perkara itu. Pelbagai kaedah saya lakukan, termasuk berjumpa guru untuk menyelesaikan masalah ini. Lagi satu, dia suka berkhayal ketika ujian dan peperiksaan. Dia hanya akan menjawab beberapa soalan yang mudah.

Apabila membaca soalan yang memerlukan berfikir, dia tinggalkan begitu saja. Saya bimbang sekiranya ini akan menjadi kebiasaan tidak baik. Anak kedua pula tidak berapa cerdik. Dia masih merangkak-rangkak membaca, tetapi cekap menghafal. Apabila saya bacakan sesuatu teks kepadanya beberapa kali, dia boleh mengingat dengan mudah.

Dia juga anak yang banyak mulut dan kerap memarahi pembantu rumah. Kadangkala pembantu saya berkecil hati dengannya, sedangkan saya tidak pernah memarahi pembantu di hadapan anak. Tolong berikan sedikit panduan menangani masalah anak saya ini.

IBU BIMBANG,
Kuala Lumpur.

TINDAKAN guru memukul adalah tidak wajar walaupun berada dalam keadaan tertekan dengan disiplin pelajar, tidak mendengar kata dan beban kerja yang bertambah.

Guru perlu mengubah paradigma. Mereka harus sedar, profesion perguruan hari ini sangat mencabar dan memerlukan beberapa perubahan pendekatan dalam mendekati pelajar bermasalah.

Pelajar sekolah degil dan tidak berdisiplin kerana dirangsang faktor luaran, termasuk didikan, pendedahan dan kawalan di rumah serta di luar kawalan guru.

Apa yang boleh dilakukan ialah menggunakan pendekatan memberi galakan dan pujian. Beberapa kajian di Barat menunjukkan guru yang memberi pujian ke atas perbuatan positif pelajar berjaya meningkatkan prestasi pelajar bermasalah dari segi akademik dan disiplin walaupun sedikit.

Pendekatan sama boleh dilakukan di rumah. Ibu boleh memberi galakan atau pujian berpatutan setiap anak menyiapkan tugas atau kerja sekolah. Perkara itu walaupun pada peringkat awal tidak dilakukan sepenuhnya. Anak tadi akan terangsang dan merasakan dirinya dihargai setiap kali menyempurnakan tugas. Secara beransur-ansur prestasi kerjanya akan meningkat.

Mengenai anak malas menjawab soalan yang memerlukan dia berfikir, kita kena sama-sama fikirkan bagaimana mereka boleh teruja dengan menjawab soalan yang memerlukannya berfikir.

Pertama perlu budayakan berfikir bersama-sama anak. Berfikir banyak faedahnya, termasuk merangsang minda, menjadikan seseorang itu lebih tajam fikirannya dan lebih ceria menghadapi kehidupan. Ini sebenarnya nikmat yang hanya dirasakan oleh mereka yang berfikir.

Cuba bersama anak menjawab soalan atau masalah Matematik yang memerlukan berfikir. Tunjukkan betapa nikmat yang dikecapi apabila berjaya menjawab soalan selepas melalui proses berfikir yang meskipun mencabar, tetapi memberi pulangan.

Pulangan jangka pendek ialah kita mendapat kepuasan menjawab soalan dengan menggunakan kekuatan minda. Pulangan jangka panjang ialah menjadikan otak lebih tajam dan cekap dalam menyelesaikan masalah.

Mungkin puan boleh guna contoh yang digunakan saintis dalam kajian primate (beruk cimpanzi). Seekor cimpanzi dalam kurungan diberikan sebiji pisang yang diletakkan di luar kurungan, tetapi cukup jauh untuk dicapai. Haiwan itu juga diberikan dua batang kayu. Satu kayu pendek dalam kurungan, tetapi tidak cukup panjang untuk mencapai pisang. Satu kayu lagi lebih panjang di luar kurungan.

Apa yang dilakukan oleh cimpanzi tadi ialah menggunakan kayu pendek untuk mencapai kayu yang lebih panjang. Dengan kayu yang lebih panjang itu, ia berjaya mencapai pisang tadi. Ini satu contoh di mana haiwan itu menggunakan ‘fikirannya’ untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan kehidupannya.

Bayangkan apa yang bakal terjadi jika ia malas menggunakan 'fikirannya'. Pasti ia akan kelaparan.

Kemampuan berfikir kita tentu lebih hebat daripada cimpanzi. Kita pasti akan mengagumi betapa akal fikiran yang dikurniakan Tuhan kepada kita sangat hebat sehingga dapat menyelesaikan masalah yang jauh lebih kompleks.

Galakkan berfikir sebagai satu tanda kesyukuran ke atas anugerah Allah paling mahal kepada kita yang bergelar insan.

Mengenai masalah anak kedua puan, mungkin gejala memarahi pembantu rumah adalah manifestasi daripada rasa rendah dirinya. Dia meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada pembantu rumah. Kenapa pembantu rumah? Mungkin dia berasa lebih selamat daripada memarahi adik-adiknya. Risiko memarahi pembantu rumah mungkin tidak akan mendapat teguran daripada ibu bapa berbanding menegur adik-adiknya.

Apa yang boleh dilakukan adalah terangkan bahawa pembantu rumah adalah sebahagian daripada ‘keluarga’ kita. Peranannya cukup besar kerana banyak membantu kerja rumah demi kesejahteraan keluarga.

Ajarkan juga akhlak menghormati orang yang lebih tua. Pembantu rumah sebagai orang tua wajib dihormati.

Dalam hal ini, anak diajar supaya bersopan santun dan berbudi bahasa ketika hendak meminta sesuatu daripada pembantu rumah.

Ingatkan dia bahawa pembantu rumah walaupun digaji oleh ibu dan ayah, tidak bermakna anak-anak boleh berlagak seperti tuan terhadapnya.

Mengenai anak yang mempunyai masalah membaca, pada pandangan saya membaca adalah kemahiran dan perlu dipupuk. Berikan dia bahan bacaan ringan yang boleh menanam minat membaca dan membacalah bersamanya.

Elok juga dibawa berjumpa pakar untuk memastikan anak puan tidak mengalami masalah kesihatan seperti autisme dan lembam kerana memang ada masalah kesihatan yang berkait dengan masalah membaca yang lambat.

# Jawapan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor, Pensyarah Universiti Putra Malaysia. Sebarang persoalan dan jawapan layari www.wanitajimceria.blogspot.com