Friday, November 30, 2007

Isteri boleh ambil harta suami secara makruf

Isteri boleh ambil harta suami secara makruf

?SAYA sudah mendirikan rumah tangga hampir dua tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata berumur 11 bulan. Sejak berkahwin suami tidak pernah memberi duit atau wang tunai untuk perbelanjaan saya. Mungkin kerana saya juga bekerja dan pendapatan saya hampir sama dengan suami. Saya ada mendengar pandangan beberapa pihak menyatakan suami wajib memberikan duit kepada isterinya walaupun isteri bekerja dan ada pendapatannya sendiri. Suami tidak pernah membebankan saya dengan perbelanjaan rumah dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keperluan anak. Untuk pengetahuan, anak kami dijaga oleh ibu saya di kampung kerana suami saya tidak yakin anak boleh dijaga dengan sempurna oleh orang lain atau di pusat asuhan. Saya ingin meminta pandangan puan mengenai keperluan nafkah zahir. Perlu atau tidak suami memberi duit kepada isterinya tiap-tiap bulan sebagai perbelanjaan untuk isteri.


ISTERI PROFESIONAL
Kluang, Johor

SUAMI wajib memberi nafkah kepada isteri berdasarkan perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan orang yang disempitkan rezekinya maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

Ayat itu menjelaskan suami wajib menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal untuk isteri secukupnya, berdasarkan kemampuan tanpa lokek atau berlebih-lebihan. Jika suami tidak menjalankan tanggungjawabnya atau nafkah yang diberi tidak mencukupi sedangkan dia mampu maka isteri boleh mengambil daripada harta suami dengan cara yang makruf walaupun dia tidak mengetahuinya.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan mengadu kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah kepadaku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya tanpa pengetahuannya. Baginda menjawab: Ambillah apa yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang makruf.”

Pemberian nafkah boleh dilakukan dengan cara suami menyediakan segala yang diperlukan isteri dan anaknya atau suami memberikan wang kepada isteri untuk membeli keperluannya. Jika suami sudah sediakan nafkah wajib ke atasnya, wang tidak perlu diberikan lagi.

Dalam kes puan, nampaknya suami sudah melakukan tanggungjawabnya. Namun puan sebagai ibu kepada anaknya, adakah puan sudah melakukan tanggungjawab sepenuhnya untuk membelai, memberikan kasih sayang kepada anak. Anak adalah tanggungjawab puan.

Status kemuliaan ibu yang diletakkan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada ibu adalah amat tinggi. Ia kerana institusi keluarga bahagia bermula daripada kasih sayang seorang ibu yang memberi penekanan terhadap aspek kasih sayang, moral dan sosial serta menjadi contoh kepada anak sebagai insan berakhlak mulia.

Kajian menunjukkan hubungan ibu anak penting dalam usia awal sehingga 10 tahun. Masa inilah anak memerlukan belaian kasih sayang ibunya secara berterusan. Anak yang tidak mendapat kasih sayang menyebabkan hubungan ibu anak longgar dan punca berlakunya gejala sosial.



Jika seorang ibu itu berjaya melengkapkan anak mereka dengan persiapan kental daripada segi sokongan emosi dan pendidikan berterusan, pastinya gejala sosial akan dapat ditangani.

Dengan memberikan sepenuh tugas menjaga anak kepada ibu di kampung, puan secara tidak langsung sudah mengabaikan tanggungjawab keibuan puan. Saya mengharapkan ini adalah urusan sementara.

Apabila anak berumur tiga atau empat tahun, puan perlu mengambilnya semula dan membelanya sendiri. Puan masukkan dia ke Tadika atau Taska. Dengan demikian hubungan rapat puan dengan anak akan dapat dibina semula.

Janganlah terus membebankan ibu puan yang sedari dulu sudah melahirkan, membesarkan dan mendidik puan sejak kecil. Apabila puan sudah berkeluarga, anak adalah tanggungjawab puan bukan tanggungjawab nenek.

Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, November 16, 2007

Gusar tunang, bakal mentua tak penting agama

SAYA wanita berusia 23 tahun, sudah bertunang dan merancang mendirikan rumah tangga Mac 2008. Masalah saya ialah tidak suka kepada bakal mentua kerana mereka kurang mementingkan agama. Dalam tempoh perkenalan dan pertunangan saya banyak mengenali serta mengetahui mengenai keluarga tunang saya. Bapa tunang saya mempunyai kebolehan menghalau makhluk halus, tetapi peliknya, saya tidak pernah melihat beliau sembahyang. Malah, pernah kami keluar bersama dari pagi hingga petang, beliau tidak meminta untuk berhenti di masjid mendirikan solat. Lagi satu, penampilan bapa mentua tidak sekemas bapa saya yang bertubuh sasa serta mementingkan nilai agama kepada isteri serta anak. Perkara itu membuatkan saya memandang rendah keluarga tunang saya. Persoalannya bagaimana saya dapat menerima keluarga bakal suami. Antara tujuan saya mengahwini tunang adalah untuk mengubah beliau menjadi lebih baik dengan bantuan ibu bapa saya.

Siswi positif
Serdang, Selangor

Saya ada beberapa pandangan mengenai masalah saudari. Pertama, kembali kepada asas perkahwinan dalam Islam, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang wanita itu dikahwini kerana keturunannya, hartanya, rupa parasnya dan agamanya. Maka, pilihlah yang beragama nescaya beruntung kedua tanganmu."

Apa yang boleh disimpulkan ialah Nabi SAW mengatakan lumrah bagi seseorang itu berkahwin kerana empat sebab terbabit. Tetapi, sebab yang keempat akan membawa kebahagiaan berpanjangan dan berkekalan (dunia hingga akhirat).

Inilah kiasan di sebalik 'beruntung kedua tanganmu'. Sebab lain sifatnya duniawi dan sementara. Harta bukan sesuatu yang kekal dan boleh pindah milik pada bila-bila masa. Rupa paras ada tempoh luputnya. Wajah cantik tidak kekal lama dan ketika itu pandangan beralih kepada lebih menawan.

Lelaki yang bijak akan memilih isteri yang beragama. Bukan mudah untuk seorang berubah melalui perkahwinan. Ramai bertekad untuk mengubah pasangannya selepas berkahwin. Kenyataannya ramai yang gagal kerana yang ingin mengubah itu juga tidak kuat pegangan agamanya.

Penghayatan agama adalah sesuatu yang dihayati dan bukan didorong faktor luaran. Penghayatan agama bermula dengan pendidikan sejak kecil hingga amalan seperti solat dan kewajipan lain menjadi darah daging dalam diri seseorang.

Jika seseorang itu mahu berubah dan menghayati agama kerana jatuh cinta pada seseorang, ia sangat diragui. Keinginannya untuk berubah adalah didorong rasa cintanya. Kerana cinta ia sanggup melakukan apa saja.

Tetapi, apabila sudah berumahtangga dan cinta mulai pudar kembalilah ia kepada cara lamanya. Saya tidak mengatakan tidak ada orang yang berubah selepas berkahwin, tetapi peratus amat kecil sehingga tidak boleh dijadikan sandaran.

Jika lelaki berhadapan dengan cabaran besar untuk mendidik isteri yang kurang beragama, bagaimana pula halnya isteri hendak mendidik suami? Suami punya egonya tersendiri apatah lagi suami yang kurang agamanya.

Dia sekali-kali tidak akan tunduk kepada isteri yang dianggap cuba untuk mengajarnya. Sedangkan perintah Allah pun tidak diendahkan, inikan pula untuk menerima nasihat seorang isteri? Jauh panggang daripada api.

Pembawaan bakal bapa mentua dan anaknya yang tidak mendirikan solat juga sudah cukup untuk menggambarkan latar belakang pendidikan agama bakal suami anda. Barang siapa yang meninggalkan solat bererti meruntuhkan agamanya.

Nabi SAW bersabda bermaksud: "Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama, sesiapa yang meninggalkannya bererti meruntuhkan agama."

Mungkin tidak adil jika saya kaitkan bapa dengan anak kerana anak boleh berubah walaupun tidak dididik dengan soal keagamaan oleh keluarganya. Namun, apabila saudari mendedahkan tunang anda pun jarang solat dan mencuaikan solat Jumaat, nampaknya dia tidak jauh berbeza daripada ayahnya dalam soal ini.

Cubalah saudari bincangkan perkara ini dengan ayah dan keluarga. Saya yakin keluarga saudari yang berpegang teguh dengan agama pasti membimbing saudari untuk membuat keputusan terbaik dalam hal ini.

Ingatlah, membina rumah tangga adalah membina takwa. Sabda Nabi SAW bermaksud: "Apabila berkahwin seseorang dia melengkapkan separuh agamanya. Maka, hendaklah dia bertakwa pada selebihnya."

Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, November 02, 2007

Dosa cinta sejenis diluput dengan taubat nasuha

SAYA seorang remaja perempuan berusia awal 20-an dan sedang belajar di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA). Saya bukan anti atau membenci lelaki, tetapi pernah menjalin hubungan intim dengan kaum sejenis. Pada mulanya kami hanya berkawan dan apabila hubungan menjadi terlalu rapat, berlaku peristiwa tidak diduga. Saya pernah cuba mengelak, tetapi teman saya bijak memujuk hingga kami terlanjur melakukan hubungan yang dilarang Allah. Bukan saya tidak boleh menjauhkan diri, tetapi perasaan sayang kepada persahabatan terjalin membuatkan saya sukar untuk mengelak daripada berjumpanya. Tetapi sejak enam bulan kebelakangan ini, dia tidak lagi menghubungi saya dan hingga kini saya tidak tahu puncanya. Saya juga tidak lagi melakukan hubungan terlarang itu. Bagaimana cara untuk saya meminta ampun kepada Allah atas dosa yang dilakukan dan apakah tanda dosa saya diampuni. Apakah doa yang dapat saya baca untuk melupakan perbuatan itu dan dia?

Ingin bertaubat nasuha,

Lembah Klang.


KAMI bersimpati dengan nasib saudari dan pada masa sama marilah kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah yang menanamkan rasa insaf dalam diri kita semua. Itu adalah satu tanda besar Allah masih menyayangi kita.

Memang jelas sekali apa yang sudah berlaku adalah sesuatu yang terkutuk dan dilaknati Allah. Kita lihat bagaimana Allah membinasakan kaum Nabi Lut. Oleh itu, saudari sepatutnya bersyukur kerana diberi hidayah dan segera insaf untuk bertaubat.

Itu adalah satu daripada ciri orang yang bertakwa seperti dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: �Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)." (Surah Ali-Imran, ayat 135)

Dalam pada itu, saudari perlu faham persahabatan atau persaudaraan hakiki ialah persaudaraan yang dijalin atas dasar kasih sayang kerana Allah, untuk mencari keredaan Allah, ingat memperingati supaya bertakwa kepada Allah.

Persahabatan yang dijalin bukan atas landasan itu adalah persahabatan yang tidak mendatangkan kebaikan, malah akan membawa penyesalan di akhirat kelak.

Allah berfirman yang bermaksud: "Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)." (Surah Al-Zukhruf, ayat 67)

Berdasarkan apa yang saudari nukilkan, kelihatan kawan saudari belum bersedia menjalin persahabatan kerana Allah. Justeru, jika saudari tidak mampu memimpinnya, jauhkan diri daripada hubungan intim dengannya.

Dia sedang dilanda penyakit jiwa yang memerlukan rawatan khusus. Perasaan cinta sejenis (lesbian atau homoseksual) adalah satu jenis penyakit jiwa yang perlu mendapat rawatan pakar. Pakar psikiatri mempunyai cara tersendiri dan ubat khusus untuk merawat penyakit ini.

Bagaimana cara meminta ampun pada Allah, langkah pertama ialah dengan memperbanyakkan beristighfar dan bertaubat. Apakah beza taubat dan istighfar? Ulama menggariskan, istighfar adalah untuk dosa yang kita tidak sedari atau untuk perbuatan yang kita tidak tahu dosanya, manakala taubat adalah khusus untuk perbuatan yang kita tahu berdosa dan kita sedar ia adalah dosa.

Langkah kedua, kita menyesali perbuatan kita yang lalu dan membencinya semata-mata kerana takut akan azab Allah dan pada masa sama mengharapkan belas ehsan, rahmat serta kasih sayang-Nya. Sebutan dan lafaz istighfar bukan setakat di mulut, tetapi hati kita turut menangis menginsafi dosa dan azab Allah.

Akhir sekali kita mesti bertekad untuk tidak mengulanginya. Carilah jalan supaya segala lorong yang membawa kita ke arah perbuatan itu juga kita tutup rapat. Liciknya syaitan dalam memperdaya anak Adam, seperti disebut oleh Rasulullah SAW, adalah seperti darah yang mengalir dalam badan kita. Dan mohonlah supaya Allah berikan kita kekuatan untuk menghindarinya.

Seperti Allah nyatakan berkali kali dalam al-Quran, Allah Maha Pengampun. Sebesar manapun dosa hamba-Nya, keampunan Allah itu lebih besar. Sekalipun dosa itu kita ulangi dan ulangi, selagi mana kita ikhlas dan bersungguh, yakinlah Allah sudah ampunkan dan menerima taubat kita kerana itulah janji Allah.

Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dan Amir A Razelan dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan yang lalu boleh di layari di www.bicarakalbu blog spot.com