Friday, July 29, 2005

Panduan bagaimana memilih Taska terbaik

Soalan Saya seorang ibu muda yang sangat mementingkan soal pendidikan anak. Tidak dinafikan ibu bapa mahukan menjaga dan mengasuh anaknya sendiri. Dalam keadaan tertentu, tugas itu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Masalah saya adalah untuk mencari penjaga atau taman asuhan, pusat jagaan atau kelas fardu ain yang baik untuk anak-anak. Saya berharap puan dapat membantu dalam hal ini.

Ibu Muda,

Tanah Merah, Kelantan

Jawapan:

Sebagai seorang yang menguruskan taska, tadika dan pusat jagaan harian kanak-kanak selama lebih 10 tahun, insya-Allah saya dapat membantu puan.

Ada beberapa tips dan kriteria pemilihan pusat jagaan kanak-kanak.


  • Mesti berdaftar.

Taska dan pusat jagaan mesti berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tadika pula dengan Jabatan Pelajaran.


  • Berjumpa, bersemuka dan berbincang dengan pengusaha/penyelia.

Hasil perbincangan itu puan dapat melihat dan menilai sendiri bahawa dia mengetahui sedikit sebanyak mengenai tata cara, peraturan dan penjagaan anak-anak.

Pastikan dia itu seorang yang mesra, peramah dan penyayang. Daripada situ juga puan boleh menilai sama ada dia mempunyai pengalaman, terlatih, minat pada tugas dan ikhlas.

Jika dia suka kerja itu, maka anak anak kita akan gembira. Keikhlasan, pengalaman dan pendedahan latihan sangat penting.


  • Kebersihan.

Pastikan puan masuk ke dalam kelas dan melihat dapur. Pastikan ia dalam keadaan memuaskan.


  • Bayaran Yuran.

Puan perlu bertanya dengan sejelas-jelasnya dan kalau memungkinkan boleh tawar menawar jika yurannya terlalu mahal. Buat perbandingan dengan pusat jagaan lain. Tanyakan juga bayaran lebih masa jika puan lambat mengambil anak.


  • Program.

Pastikan pusat itu mempunyai program tersusun supaya anak-anak mendapat pengisian mental, jiwa dan emosi sewajarnya.


  • Takaful.

Pastikan pusat itu mempunyai insurans takaful.


  • Kegiatan membabitkan ibu bapa.

Adakah mereka menggalakkan kegiatan seumpama?


  • Peraturan taska/tadika/pusat jagaan. Pastikan pusat jagaan mempunyai peraturan dan simpan satu salinannya.

  • Keceriaan.

Pastikan suasana riang dan ceria di sekitarannya. Suasana banyak faktor penggalak pengembangan minda anak-anak.


  • Fardu ain.

Ada tadika dan pusat jagaan menawarkan pembelajaran fardu aini. Bagaimanapun, puan perlu pastikan bagaimana mereka menekankan kegiatan amali mengambil wuduk dan solat.


  • Bayaran balik.
Puan perlu bertanya mengenai bayaran yang telah dibayar jika bertukar fikiran sebelum habis sebulan anak dihantar ke situ. Bolehkah puan dapatkan sebahagian bayaran balik daripada yuran yang dibayar? Ramai ibu bapa tertipu dalam perkara ini.

Bagi anak yang berumur empat tahun, mereka boleh dihantar ke taska, tadika atau pusat jagaan.

Saya lebih suka menghantar anak ke taska kerana konsep bermain sambil belajarnya yang lebih bebas dan sesuai pada tahap usia ini.


  • Senyum selalu. Banyak berdoa dan tawakal. Insya-Allah, semua masalah boleh diatasi.


Dijawab oleh Rosnah Ahmad, pengurus dan pengusaha taska. Pandangan dan masalah layari www.wanitajimceria.blogspot.com

Saturday, July 09, 2005

Bimbingan ilmu seksologi ikut usia,jodoh ujian untuk capai kebahagiaan

Soalan

Bagaimanakah caranya untuk mendedahkan pengetahuan mengenai seks atau seumpama dari sudut positif tidak mengira usia. Hal ini kerana pada masa ini apabila persoalan mengenai seks diutarakan, ramai ibu bapa seolah-olah tidak bersetuju. Apa pendapat puan?
Nurul, Kuala Lumpur.

Jawapan:
Pendidikan seks menurut perspektif Islam diajarkan mengikut empat peringkat usia. Pertama, prabaligh (7 hingga 10 tahun), baligh (11 hingga 13 tahun), remaja (14 hingga 16 tahun) dan dewasa muda/belia (17 tahun ke atas).Perkara yang perlu didedahkan juga berbeza mengikut peringkat umur. Ramai ibu bapa tidak setuju kerana kekurangan ilmu bagaimana mahu menjelaskan perkara ini kepada anak mereka. Namun, saya sangat merasakan ilmu ini amat penting diajarkan oleh ibu bapa sendiri. Saya dan rakan berusaha menunjukkan jalan dan cara mendidik anak mengenai perkara berhubung seks kepada ibu bapa. Harap saudari bersabar menunggu kesediaan ibu bapa hari ini untuk menjalankan peranan itu. Saya juga berharap agar saudari merujuk sumber sahih apabila bertanya mengenai seks seperti ibu bapa (sekiranya mereka bersikap terbuka), guru biologi, guru agama serta orang dewasa yang matang dan bertanggungjawab. Jangan bincang sesama kawan dan teman saja.
Dijawab oleh Dr Harlina Halizah Siraj, doktor pakar sakit puan.

Soalan
Kita didedahkan lelaki yang baik dipasangkan dengan perempuan yang baik. Lelaki yang jahat pula dipasangkan dengan perempuan yang jahat. Begitu sebaliknya. Di sini saya timbul sedikit keraguan mengenai perkahwinan itu. Tidakkah lelaki atau perempuan jahat yang sudah insaf dan bertaubat, mesti berkahwin dengan orang seperti mereka sebelum insaf dan bertaubat? Tidakkah mereka perlu berkahwin dengan orang baik supaya lebih dapat membimbing ke jalan yang diredai Allah?Abang C.

Jawapan:

Dalam surah an-Nur, ayat 26, Allah berfirman maksudnya: "Wanita yang keji untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji bagi wanita yang keji. Dan wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik...." (baca hingga ke akhir ayat) Ayat ini diturunkan sempena peristiwa ‘al-ifki’ iaitu ketika Saidatina Aisyah difitnah oleh puak munafik di Madinah bahawa beliau melakukan perbuatan curang dengan seorang sahabat yang baik bernama Sofwan bin Mu'attol.Allah mempertahankan kesucian Aisyah dan menegaskan bahawa jika benarlah Aisyah itu jahat, masakan beliau dapat mendampingi seorang manusia paling suci seperti Nabi Muhammad SAW dan sangat disayangi pula oleh Baginda? Pengajaran daripada ayat itu adalah hubungan intim antara pasangan suami isteri itu hanya berlaku apabila wujud persamaan dari segi akhlak serta cara hidup. Orang yang mulia akhlaknya tidak akan bahagia di sisi orang yang jahat dan begitulah sebaliknya.Hal itu tidak menafikan adanya jodoh antara dua insan yang berbeza matlamat serta cara hidupnya seperti Asiah dengan Firaun dan pasangan lain yang dapat kita saksikan sepanjang sejarah manusia. Semua itu adalah ujian. Lagipun hati manusia ini sering berbolak balik. Hari ini baik, esok berubah, kemudian baik semula.

Dijawab oleh Prof Madya Maznah Daud, pensyarah syariah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor. Pandangan dan permasalahan layari www.bicarakalbu.blogspot.com

Saturday, July 02, 2005

Gadis dihantui dosa silam dengan bekas kekasih

Soalan:

SAYA gadis berusia 26 tahun dan bakal bertunang dengan jejaka pilihan hati yang direstui keluarga. Apa yang menghantui diri adalah dosa silam dengan bekas kekasih.
Bakal suami mengetahui kisah saya yang pernah bercinta, kemudian berpisah kerana keluarga tidak merestui perhubungan kami. Namun, bakal suami selalu bertanya apa yang kami lakukan pada masa lalu. Dia mengharap saya tidak melakukan perkara bertentangan dengan agama.Patutkah saya memberitahu bakal suami bahawa kami pernah tidur sekatil (tidak berzina)? Saya amat menyesali apa yang berlaku.Tunang ingin tahu apakah yang telah saya lakukan dengan bekas kekasih. Katanya, kasih sayangnya kepada saya mungkin tergugat jika mengetahui perkara itu daripada orang lain. Dia mahu mengetahuinya kerana mungkin menerima saya selagi berkata benar dan menceritakan keseluruhannya. Dalam hal ini patutkah saya berkata benar dan menceritakan keburukan dan kesilapan lalu.Siapakah lagi yang boleh menutup aib sendiri jika saya yang membukanya? Apakah perasaan bakal suami apabila mengetahui bahawa kami pernah tidur sekatil? Adakah dia benar-benar dapat menerima saya selepas itu? Saya ingin tahu adakah saya sekufu dengan bakal suami dan patutkah teruskan hubungan ini? ADIK DALAM DILEMA,Johor Bahru, Johor.

Jawapan:

RASA sesal atas kesalahan yang pernah dilakukan pada masa silam adalah antara tanda taubat diterima. Tidak pernah ada seorang pun di dunia ini yang tidak melakukan kesalahan. Baik kesalahan itu kecil atau besar. Sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan dan dosa adalah bertaubat dan meminta ampun daripada Allah.Perasaan adik yang rendah diri kerana mendapat pasangan yang ‘baik’ itu adalah akibat daripada perasaan berdosa terhadap perbuatan masa silam. Adik berhak mendapat seorang suami yang soleh setelah bertaubat dan bercita-cita menjadi wanita solehah.Pernahkah adik membaca kisah sahabat Nabi Muhammad SAW, tidak sedikit daripada mereka yang dulunya hidup dalam keadaan jahiliah. Minum arak, berzina, berjudi, makan riba dan membunuh anak perempuan kerana malu. Itu adalah antara kebiasaan masyarakat kafir Arab pada masa itu. Namun, kemudian mereka bertaubat dan memeluk Islam. Jadi keIslaman mereka menghapus semua dosa yang pernah dilakukan sebelumnya. Kenyataan sejarah menunjukkan sahabat adalah orang terbaik sepanjang sejarah umat Islam. Nabi Muhammad pernah mengatakan bahawa kurun masa hidup sahabat itu sebagai ‘khairul qurun’ iaitu masa terbaik untuk umat manusia.Dengan melihat kepada apa yang berlaku pada diri sahabat, tidak salahnya adik sekarang melakukan perkara sama. Berhenti terus melakukan dosa, bertaubat dan minta ampun kepada Allah. Hapuskan semua kisah memori masa lalu yang kelam dan ganti dengan lembaran hidup baru yang putih bersih.Beritahu tunang adik, bahawa adik tidak pernah berzina dan masih suci. Minta dia cuba memahami hakikat kehidupan yang dilalui. Kita pasti melalui dua fasa iaitu fasa jahiliah dan Islam. Sewaktu jahiliah kita melakukan beberapa perkara yang tidak syarie kerana kejahilan dan kelemahan sendiri. Namun, sebaik memasuki fasa Islam, kita mula memahami tuntutan Islam. Kini adik sudah bertaubat dan tidak akan melakukan perkara yang tidak elok seperti dulu. Perkara yang berlalu biarkan disimpan dalam lipatan sejarah. Tidak payah diungkit-ungkit lagi. Jangan biarkan syaitan membuai perasaan ‘rasa bersalah’ itu. Bina hidup baru dengan perspektif baru. Jangan ceritakan peristiwa hitam itu secara terperinci. Hal ini akan menyusahkan diri sendiri dan akan mengubah tanggapan tunang kepada adik.Ingatan penting! Jangan sekali-kali adik benarkan tunang sekarang menyentuh atau berpegang tangan dengan adik. Keadaan ini kerana 'pertunangan' tidak menghalalkan pergaulan bebas, apa lagi bersentuhan, sebab belum ada sebarang ikatan yang menghalalkannya.Adik perlu ingat bahawa jika benarkan perkara itu berlaku dengan tunang ia akan menimbulkan tanda tanya tunang terhadap perhubungan dulu.Dari sekarang adik hendaklah solat sunat taubat setiap kali ada masa terluang. Mohon kepada Allah supaya mempermudahkan segala urusan. Semoga adik istiqamah mempertahankan mahkota Muslimah.

Dijawab Prof Madya Maznah Daud Pensyarah Syariah Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor. Pandangan dan persoalan layari www.wanitajimceria.blogspot.com