Saturday, November 26, 2005

Isteri terlampau ‘handal’ punca suami kahwin lagi

Bicara Kalbu: Isteri terlampau ‘handal’ punca suami kahwin lagi

SAYA sedang mengandungkan anak kedua. Baru-baru ini, saya dapat tangkap suami bersama perempuan lain. Mereka baru saja berkenalan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), tetapi suami sudah ingin masuk meminang.

Ketika saya tangkap, mereka baru pertama kali berjumpa (di syarikat perempuan itu bekerja).

Perempuan itu terkejut apabila mendapat tahu lelaki yang dicintai itu suami saya. Saya meminta dengan cara baik agar perempuan itu menjauhkan diri daripada suami saya dan dia akur kerana tidak rela dimadu.

Bagaimanapun, baru-baru ini saya mendapati perempuan itu masih lagi mengirimkan SMS kepada suami saya.

Sebelum ini, saya mempercayai suami seratus peratus, tetapi sekarang sudah tidak mempercayainya lagi.

Buat pengetahuan, sebelum ini kami jarang bergaduh dan hidup bahagia.

Kami juga masih tinggal berasingan kerana tempat kerja berjauhan. Saya di selatan dan suami di utara tanah air. Dalam keadaan ini, saya sangat tertekan. Apakah yang patut saya lakukan?

Isteri tertekan
Johor Bahru, Johor

Mungkin suami puan berasa dia berhak berkahwin lebih daripada seorang atas beberapa alasan dan sebab yang hanya dia tahu.

Berikutan itu , berbincang dengan suami dan tanya kepadanya dengan baik kenapa dia fikir perlu berkahwin lagi. Ada banyak sebab suami ingin berkahwin lebih daripada seorang.

Ramai lelaki terfikir untuk menambah isteri bagi menyelesaikan masalah dengan isteri yang ada atau membantu isteri.

Kadang kala masalahnya mungkin hubungan mereka tidak intim dan kurang mesra. Ada kalanya berkahwin lagi satu tidak menyelesaikan masalah ini.

Suami puan yang tinggal berjauhan mungkin merasakan kehidupannya kosong dan dia fikir kahwin dua akan mengisi kesunyian itu.

Ada kemungkinan juga dia berbuat begitu kerana mendapat sokongan atau dorongan daripada rakannya. Atau mungkin juga dia berbuat demikian kerana berasa kasihan dan untuk menolong wanita yang belum berkahwin.

Pada pendapat saya, isteri yang mendapat suami yang ingin berpoligami tidak harus berasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena atau kekurangan pada dirinya yang menyebabkan suami hendak berkahwin lain.

Ada sesetengah suami yang teringin hendak berkahwin lain bukan kerana isterinya ada kekurangan.

Sebaliknya, mungkin isteri yang overfunction, supermum, terlalu handal dan serba boleh yang membuat semua kerja di rumah, menangani urusan anak dan membayar semua bil keluarga.

Akhirnya isteri memikul hampir semua tugas ’suami’ sehingga menyebabkan suami merasakan hidupnya terlalu mudah dan banyak masa lapang. Perkara beginilah yang menyebabkannya suami terfikir dia memiliki kemampuan untuk berkahwin lagi.

Saranan saya, hentikan overfunction ini dan kembalikan fungsi suami seperti sepatutnya. Barulah suami akan sedar bahawa sebenarnya dia kurang berkemampuan untuk berkahwin lagi.

Mungkin dia juga perlu dinasihatkan terhadap tanggungjawabnya sebagai suami terhadap isteri yang ada.

Kalau anda sukar untuk menasihatkannya berjumpa guru agama yang boleh memberi nasihat yang wajar kepada suami mengenai poligami.

Perkara ini berlaku kerana ramai lelaki yang ingin berpoligami tidak mengetahui tanggungjawabnya dan risiko perbuatannya itu. Ada yang hanya fikirkan keseronokan semata-mata.

Apapun, puan perlu berbincang dan cubalah bawa masalah ini kepada pihak ketiga untuk menasihatkannya.

Kalau suami masih hendak berkahwin lain juga sebenarnya isteri tidak boleh berbuat apa-apa.

Saranan saya kita perlu faham bahawa hidup ini bukan kerana suami tetapi kerana Allah.

Berikutan itu apabila kita bermuraqabah menghampirkan diri kepada Allah, insya-Allah bertambahlah cinta kepada Allah dan ia akan menolong kita reda perbuatan suami menduakan isterinya.

# Jawapan oleh Dr Suriya Osman dan boleh dihubungi pada www.wanitajimceria.blogspot.com

Saturday, November 12, 2005

Pergaulan, seks bebas petanda kehancuran ummah

Pergaulan, seks bebas petanda kehancuran ummah

SAYA bercinta dengan seorang wanita. Demi cinta kami terlanjur. Tetapi, saya tidak berasa bersalah sebab ikhlas dengannya. Saya hendak mengambilnya sebagai isteri. Saya tidak bertujuan mempermainkannya.

Rakan saya mengatakan tindakan itu adalah ‘gentleman’.

Tetapi, saya dimarahi oleh orang tua saya. Saya berasa mereka berfikiran kolot. Apakah pandangan dan nasihat tuan.

BOBOY,
Pulau Pinang

SAYA bersyukur terhadap ’keikhlasan’ saudara dan berharap itulah asas perbincangan kita. Dengan keikhlasan itu jugalah saya memberikan jawapan ini kepada saudara.

Dunia pada hari ini sedang dilanda krisis. Antaranya ialah krisis nilai. Krisis nilai inilah yang menjadi sebab keruntuhan Empayar Rom. Edward Gibbon dalam bukunya The History of Decline and Fall of the Roman Empire menulis bahawa: “Segala dasar akhlak dan moral di Rom telah runtuh sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas.

Pada akhir abad keenam, kerajaan Romawi Timur berada pada ambang keruntuhan yang paling dahsyat sekali!”

Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menyelamatkan kita daripada kehancuran. Sabda Rasulullah bersabda: ”Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Nilai akhlak inilah yang menjadi landasan dan kayu pengukur yang penting bagi kita. Akhlak tidak menghalang kehendak fitrah. Ia mencantikkannya.

Contohnya, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya.

Alangkah indahnya firman Allah bermaksud: “Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu! (Surah al-Baqarah, ayat 223).

Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskan nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya.

Saya harus mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep Machiavellianisme yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence, Itali, Niccolo Machiavelli.

Machiavelli, dalam bukunya The Prince menekankan konsep ‘the end justifies the means’ atau niat menghalalkan cara.

Memang ada yang berpendapat bahawa pergaulan dan seks bebas ini adalah lambang kemajuan dan kemodenan.

Jika demikian, mari kita perhatikan hasil dan sumbangan seks bebas kepada dunia. Seks bebas telah berjaya merebakkan penyakit Aids, contohnya di Thailand, sehinggakan akhbar Der Spiegel pernah menjadikan tajuk ‘Aids in Asia – Killer Epidemic in Sex Paradise.’ (Aids di Asia – Wabak Pembunuh di Syurga Seks), sebagai tajuk muka depannya.

Di California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada 1997. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika mendapati anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada dua kali ganda kemungkinan diserang masalah emosi dalam hidup mereka, berbanding dengan anak lain (Rujukan: California Teenage Pregnancy Statistics).

Kita di Malaysia juga telah dimalukan dengan kes pembuangan bayi luar nikah di kalangan remaja. Semua ini bukanlah sumbangan yang membanggakan bagi dunia moden.

Islam menekankan bahawa niat dan cara perlu betul. Niat kena ikhlas, cara kena mengikut syariat. Syariat mengharamkan zina.

Nabi Muhammad bersabda, selepas dosa syirik kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya! (Hadis riwayat Ahmad dan Tabrani).

Saya berharap saudara Boboy akan kembali ke jalan yang murni berdasarkan agama. Seks bebas dan keruntuhan moral bukannya lambang kemajuan sebaliknya lambang kemunduran dan kehancuran.

Jawapan Dr Danial Zainal Abidin, Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy. Soalan dan jawapan boleh dilayari www.wanitajimceria.blogspot.com