Friday, April 25, 2008

Petunjuk mimpi bukan penentu calon suami

Soalan:

SAYA sering bermimpi berjumpa lelaki yang saya kenali. Dalam mimpi itu dia mengusap ubun-ubun saya, menasihati supaya jangan bersedih, bersama saya bersolat jemaah dan membetulkan cara perlakuan solat seperti rukuk dan tomakninah. Perkara itu datang berulang-ulang. Paling membingungkan ialah pada Ramadan lalu, saya bermimpi dia mendatangi saya seolah-olah saya dan dia baru saja diijabkabulkan.

Untuk pengetahuan, saya tidak bermimpi pada tengah malam tetapi mimpi itu datang selepas saya melakukan solat hajat dan istikharah (kerana dia adalah harapan saya untuk dijadikan suami). Harapan ini terbina pun kerana mimpi berkenaan. Pun begitu, saya dan dia tidak menjalinkan apa-apa hubungan. Ini sudah berlanjutan sejak Januari 2007. Semoga tuan dapat meleraikan kekusutan saya.

Sang Pemimpi,
Johor Baru

Jawapan:

SEBELUM saya ulas dan memberi pandangan, sebaiknya kita perjelaskan kedudukan mimpi dalam Islam. Kita sering mendengar mimpi adalah permainan tidur. Ini adalah penilaian umum terhadap mimpi orang awam (orang biasa seperti saya dan anda). Dalam Islam, kita berpegang dengan satu prinsip yang jelas iaitu mimpi bukan hujah. Maksudnya kita tidak boleh menjadikan mimpi sebagai hujah atau fakta untuk menegakkan suatu pendirian atau pendapat. Contohnya jika kita bermimpi bahawa ada orang salih memberitahu mengenai suatu perkara, tidak ada
kewajipan untuk kita mengikut saranannya, apatah lagi jika saranan itu bertentangan dengan syariat Islam.

Berlawanan dengan mimpi orang awam, mimpi nabi dan Rasul adalah kebenaran yang tidak boleh dipersoal. Ini kerana nabi dan Rasul terpelihara daripada godaan syaitan dan bisikan hawa nafsu. Juga ada di antara nabi yang diberi kemampuan untuk mentafsirkan mimpi seperti Nabi Yusuf. Mimpi orang salih boleh dianggap sebagai ilham yang dianugerahkan Allah. Namun seperti mimpi orang awam, ia tetap tidak boleh dijadikan sandaran dan hujah untuk menetapkan sesuatu perkara. Umat Islam tetap perlu kembali kepada al-Quran dan hadis serta ijtihad ulama berdasarkan istinbat hukum dan hujah untuk memutuskan urusan umat Islam.


Mimpi sama sekali tidak boleh menyokong satu pendapat atau sebaliknya kerana dikhuatiri menimbulkan perpecahan kerana tidak ada neraca yang boleh diguna pakai dalam menentukan isyarat terkandung dalam mimpi seseorang. Bagi manusia biasa seperti kita, mimpi ada kalanya boleh dianggap sebagai petunjuk atau pertolongan Allah. Banyak perkara yang harus di dunia ini membabitkan pemilihan sama ada sesuatu itu baik atau buruk hanya Allah yang mempunyai pengetahuan lengkap mengenainya. Ayat al-Quran ada yang memberitahu kita mengenai perkara yang tidak kita sukai sedangkan ia baik buat kita dan cenderung kepada sesuatu yang disukai tetapi sebenarnya ia tidak baik untuk kita.

Dalam soal memilih pasangan, kita diingatkan Allah, antara lain supaya tidak mengahwini wanita musyrik sungguhpun perasaan cenderung kepadanya. Sebab itu kita dianjurkan berdoa seperti doa pemuda al-Kahfi yang tertidur dalam gua yang diceritakan dalam surah Al Kahfi. Mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami di sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus dalam urusan kami.” Berbalik kepada isu ditanyakan apakah mimpi boleh dijadikan sandaran?

Seperti dijelaskan, mimpi boleh menjadi isyarat atau petunjuk. Sering kali apabila kita keliru dan tidak pasti keputusan apakah patut diambil, kita memohon petunjuk Allah supaya memberikan jawapan atau penyelesaian. Ia boleh datang dalam bentuk gerak hati, mimpi atau petanda tertentu yang menyebabkan hati kita berasa tenteram terhadap sesuatu keputusan.

Rasulullah SAW ada menyebut dalam hadis yang bermaksud: “Jika kamu tidak pasti, tanyakanlah hatimu.” Ini yang sering kali disebut ‘tepuk dada, tanya selera’. Tetapi sebelum tanya selera kita, kena tepuk dada tanya iman. Jika selera tadi tidak bertentangan dengan syariat, maka teruskanlah.

Letakkan azam dan bertawakal seperti firman Allah yang bermaksud: “Apabila kamu sudah berazam bertawakallah kepada Allah.” Dalam soal memilih pasangan, Islam memberi panduan iaitu wanita dikahwini kerana empat, harta, kecantikan, keturunan dan agama. Maka pilihlah yang beragama, nescaya beruntung kedua-dua tanganmu. Jelas dalam hadis itu kita perlu memilih pasangan yang dipastikan pegangan agamanya mantap. Yang selain daripada itu adalah nilai tambah atau bonus. Kecantikan, keturunan dan harta boleh memusnahkan dan mendatangkan penderitaan berpanjangan jika tidak ada pegangan agama kukuh.

Jika dari sudut zahirnya lelaki itu taat beragama dan berpegang teguh dengan Islam, ia adalah pilihan yang baik. Namun seperti digariskan, hanya Allah yang tahu sama ada pilihan kita baik atau sebaliknya. Di sinilah kita memohon petunjuk dengan melakukan solat istikharah dan bermunajat kepada Allah dengan hati ikhlas untuk menjaga agama dan menjunjung syariat Islam dalam kehidupan mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk dalam bentuk gerak hati, mimpi atau kecenderungan tertentu.

Namun, perlu berhati-hati dengan syaitan kerana ia sentiasa berusaha menimbulkan syak wasangka dan ragu-ragu di hati kita. Oleh itu sentiasalah memohon perlindungan dari Allah daripada syaitan yang direjam supaya gerak hati kita adalah petunjuk dan isyarat dari Allah. Untuk memastikan mendapat petunjuk Allah hendaklah kita menjaga hubungan dan syariat Islam. Seperti dijelaskan dalam persoalan ini, saudari tidak pernah menjalin apa-apa hubungan dengan lelaki berkenaan.

Teruskanlah memelihara adab dan akhlak serta batas pergaulan digariskan Islam. Jangan terikut-ikut aliran hari ini di mana umat Islam terjebak dalam budaya memadu cinta seperti orang Barat. Keluar berpasangan sedangkan mereka tidak ada ikatan sah sebagai suami isteri. Di samping itu, hasrat murni saudari perlu disampaikan mengikut saluran yang betul. Sampaikan hajat dan harapan saudari kepada pihak ketiga yang boleh dipercayai, selalunya pasangan suami isteri yang amanah untuk menyampaikan kepada lelaki berkenaan. Jangan bimbang dikata orang ‘perigi mencari timba’. Dalam Islam tiada halangan untuk seorang wanita menyampaikan hasratnya kepada lelaki yang baik untuk menjadi calon suami, seperti Saidatina Khadijah yang menghantar wakil menyampaikan hasratnya kepada Rasulullah SAW.

Jawapan disediakan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di

Friday, April 18, 2008

Isteri digantung tak bertali khuatir jadi madu

Soalan:

SAYA seorang isteri yang digantung tidak bertali. Saya mengkategorikan diri sebagai wanita bujang berusia matang. Beberapa bulan lalu saya ditemukan semula dengan bekas kekasih zaman remaja. Kami intim dan selalu berjumpa. Kami berkongsi cerita suka duka dan sama-sama menyelesaikan beberapa kekusutan diri sendiri serta masalah keluarga masing masing.
Tiba-tiba cinta lama berputik semula. Beliau mengajukan niat untuk menjadikan saya isteri keduanya. Tiada apa yang kurang dengan isterinya tetapi niat berpoligami kerana kasihan dan rasa tanggungjawab sebagai lelaki Islam yang wajib melindungi wanita Islam. Baginya, saya wanita dianiaya kerana digantung tidak bertali oleh suami yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya lagi, pertemuan terlalu kerap menjadikan kami intim dan perlu dihalalkan dengan pernikahan. Namun saya berbelah bagi dengan stigma masyarakat terhadap status isteri kedua sebagai perampas suami orang.

SEDAR DIRI, Taman Sri Gombak, Selangor
Jawapan:
KASIH sayang, cinta dan rindu adalah satu anugerah. Ia perlu dididik dan dibentuk supaya membawa manfaat kepada kehidupan yang sejahtera, bukan sebaliknya. Sebagai manusia beriman yang diberi akal, seharusnya mengawal perasaan dan bertindak secara rasional dalam apa juga keadaan. Memandangkan status puan yang masih lagi bergelar isteri, saya yakin puan faham batas pergaulan seorang isteri dengan lelaki bukan muhrim, lebih-lebih lagi dengan bekas kekasih.

Sebagai panduan, hayati firman Allah yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada wanita yang beriman supaya menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka (daripada perkara yang haram) dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir." (Surah al-Nur, ayat 31).
Status gantung tidak bertali perlu diselesaikan di Mahkamah Syariah. Puan tidak boleh berkahwin selagi status itu tidak selesai untuk mengelakkan daripada status bersuami dua kerana ia haram di sisi Islam. Poligami adalah sesuatu yang dibenarkan syarak walaupun ia masih dianggap sebagai satu stigma dalam masyarakat.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil terhadap anak yatim, maka kahwinilah perempuan yang kamu sukai dua, tiga dan empat, tetapi jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil hendaklah satu saja dan ia adalah lebih baik bagi kamu." – (Surah an-Nisa, ayat 3). Berpandukan ayat itu adalah harus bagi seorang suami mempunyai lebih daripada seorang isteri. Walau bagaimanapun, hak ini adalah tertakluk kepada kemampuan. Ia bukan satu keistimewaan tetapi lebih kepada satu pertanggungjawaban.

Contoh terbaik adalah Rasulullah SAW mengahwini wanita yang suami mereka syahid untuk melindungi wanita itu serta anaknya. Puan mungkin akan gusar dengan tanggapan masyarakat yang menyatakan puan adalah perampas dan perosak rumah tangga. Pasti puan lebih arif mengenai perasaan terhadap bekas kekasih yang mana ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isterinya. Andai kata perasaan puan adalah ikhlas terhadap bekas kekasih tanpa ada niat ingin menyakiti hati sesiapa, maka berlaku adil pada perasaan bekas kekasih dan isterinya.
Jangan terikut-ikut dengan anggapan bahawa isteri kedua adalah perampas suami orang dan perosak rumah tangga kerana ini adalah anggapan masyarakat semata-mata. Ia harus dinilai daripada pelbagai aspek. Puan juga perlu bersedia membuka minda menerima hakikat bahawa seseorang lelaki tidak semestinya perlu alasan selain alasan syarie untuk berpoligami. Kita mesti hapuskan mitos bahawa apabila suami ingin berpoligami, ia adalah disebabkan kekurangan isteri.
Dalam hal ini niat kekasih mengahwini puan bukan kerana kekurangan isterinya tetapi kerana ingin menolong puan keluar daripada kepompong penganiayaan suami. Hidup berpoligami jika diamalkan dengan baik serta niat yang ikhlas akan membawa kepada kesejahteraan di dunia dan akhirat. Namun pengamal poligami perlu sedar tanggungjawab masing-masing dan impak yang akan dirasai anak serta sesiapa saja yang dekat dengan mereka.
Setiap individu yang akan berpoligami perlu secara sedar mengenali harapan dan tanggungjawab masing-masing. Perbincangan tiga penjuru perlu diadakan supaya semua pihak dapat mengenali dan memahami perasaan serta situasi masing-masing. Cuba elakkan sebarang prasangka dan berbincanglah dengan hati yang terbuka. Suami yang berhasrat untuk berpoligami mestilah berlaku adil dan mampu secara material, wang ringgit, fizikal dan mental. Adil bukan bermaksud semuanya sama rata tetapi setiap pihak mendapat haknya mengikut keperluan dan kedudukan masing-masing. Perlulah ada kesepakatan dalam menangani masalah dalam berkongsi kasih.
Akhir sekali mohon petunjuk daripada Allah dengan beristikharah dan mesyuarat. Bak kata alim ulama, tidak kecewa orang yang beristikarah dan tidak rugi orang yang bermusyawarah. Mengadulah kepada-Nya, moga puan beroleh petunjuk dan diberi penyelesaian terbaik menangani situasi ini.
Jawapan disediakan Ketua Wanita JIM Kuala Lumpur, Dr Niekmah Adam. Soalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www. bicarakalbu.blogspot.com.

Friday, April 11, 2008

Doa mampu kurangkan beban dosa sesama insan

Soalan,

BANYAK artikel atau ceramah yang saya dengar mengatakan kita hendaklah sentiasa beristighfar kepada Allah supaya diampunkan dosa. Apa yang saya faham, ia adalah dosa kita dengan Alah. Bagaimana dosa sesama manusia? Bagaimana cara menghapuskan dosa sesama manusia sedangkan kita sendiri tidak sedar sudah melakukan dosa dengan orang berkenaan atau orang yang kita lakukan dosa terhadapnya tidak ditemui, tidak dapat dihubungi atau sudah meninggal dunia.

Remaja musykil,
Selat Klang.

Dosa boleh berlaku secara menegak iaitu yang berkaitan hubungan dengan Tuhan dan boleh berlaku secara mendatar, berkaitan hubungan sesama manusia. Dalam pergaulan hidup sehari-hari sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak.

Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda. Persoalannya, jika dosa dengan Allah boleh diatasi dengan beristighfar dan taubat, bagaimana pula untuk menebus dosa sesama manusia. Seperti seorang itu wajib bertaubat kepada Allah, manusia juga wajib bertaubat daripada dosa membabitkan sesama manusia. Ulama menggariskan tiga syarat taubat iaitu memohon keampunan dengan beristighfar, menyesali perbuatan lalu dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Apabila dosa tadi berkaitan dengan manusia, maka wajib meminta maaf dan mengembalikan haknya. Jika kita mengambil hartanya (curi, pecah amanah, melalui jalan tidak jujur) hendaklah kita mengembalikan setiap sen daripadanya kecuali dia menghalalkan.
Jika membabitkan maruah diri seperti difitnah, dizalimi, dianiaya, maka wajib satu pengakuan terbuka dibuat untuk membersihkan namanya. Ia termasuk melunaskan apa juga tuntutan ganti rugi akibat kesusahan menimpanya seperti hilang mata pencarian kerana diaibkan.

Jika membabitkan jenayah, maka dalam Islam sudah ada peruntukan dalam bentuk qisas dan takzir. Kesalahan itu termasuk jenayah membunuh, mencederakan dan memperkosa. Bagaimana jika seseorang itu tidak sedar dia sudah melakukan kesalahan dan berdosa kepada orang lain. Di sinilah kita perlu memohon maaf dan sentiasa memaafkan orang lain kerana manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Kadang-kala perkataan atau perbuatan kita menyinggung perasaan orang lain sedangkan kita tidak bermaksud untuk melukakan hatinya. Mungkin seseorang itu salah faham dengan apa yang kita hendak sampaikan.


Kerana itu dituntut untuk memohon maaf sesama insan terutama yang berada dalam lingkungan pergaulan kita (keluarga, sanak-saudara, rakan dan kenalan), walaupun kita tidak berasa pernah melakukan kesilapan dengannya. Kemudian kita dituntut untuk sentiasa memaafkan orang lain. Ia berdasarkan kisah seorang sahabat di zaman Rasulullah SAW yang disebut sebagai ahli syurga. Sahabat lain tidak melihat apa-apa kelebihan pada sahabat itu sehingga dia disebut sebagai calon ahli syurga. Apabila ditanya apakah amalannya, sahabat itu mendedahkan bahawa setiap kali sebelum melelapkan mata dia memaafkan orang lain dan berlapang dada terhadap mereka.

Kisah itu memberi iktibar kepada kita supaya sentiasa memaafkan kesalahan orang pada kita, maka Allah akan mengampunkan semua dosa kita pada orang lain termasuk yang tidak kita sedari atau tidak disengajakan. Bak kata pepatah Inggeris, 'kemaafan adalah pembalasan dendam yang terbaik'.

Memohon maaf kepada orang yang tidak dapat ditemui lagi atau sudah meninggal dunia, dalam situasi seperti itu hendaklah kembali kepada Allah. Serahkan urusan itu kepada Allah semoga keinsafan dan penyesalan untuk memohon maaf didengari Allah dan melepaskan kita daripada bebanan dosa berkenaan. Kemudian hendaklah seseorang itu berusaha menjejaki keluarga atau warisnya jika ia membabitkan pengambilan harta secara tidak hak dan kembalikan harta itu kepada warisnya.

Jika warisnya tidak ditemui maka sedekahkan kepada mana-mana badan dakwah dan kebajikan. Semoga Allah menerima sedekah sebagai penebus dosa. Hendaklah memperbanyak kerja kebajikan dan kebaikan seperti bersedekah, menyambung silaturahim dan melakukan kebajikan yang membawa manfaat.

Satu daripada langkah orang yang berdosa selepas bertaubat ialah menutup kesalahannya atau menyusulinya dengan perbuatan yang baik. Dalam konteks insan lain yang tidak dapat ditemui atau sudah meninggal dunia, alim ulama kontemporari berpendapat antara lain yang perlu dilakukan ialah memperbanyakkan doa supaya Allah mengampuni dosa mereka.

Allah menjanjikan antara doa yang makbul ialah doa daripada seorang saudara kepada saudaranya yang lain tanpa pengetahuannya. Malaikat juga akan mengaminkan doa kita. Berdoa kepada Allah memberikan seperti yang kita doakan untuk saudara kita. Harapan kita ialah apabila terampun dosa mereka, maka tidak ada lagi bebanan dosa yang akan terpindah kepada kita di hari akhirat kelak. Begitulah antara tanda kasih dan sayangnya Allah kepada hamba-Nya.


INTI PATI Melakukan dosa sesama manusia
Manusia wajib bertaubat daripada dosa dengan Allah dan sesama manusia.
Jika dosa berkaitan dengan manusia, maka wajib meminta maaf dan mengembalikan haknya.
Jika membabitkan harta seperti mencuri, pecah amanah dan sebagainya wajib dikembalikan setiap sen yang dicuri kecuali dihalalkan.
Jika membabitkan maruah diri seperti difitnah, dizalimi atau dianiaya, wajib membuat pengakuan terbuka untuk membersihkan nama mangsa.
Islam memperuntukkan qisas dan takzir bagi kesalahan jenayah.
Jika tidak sedar dosa dilakukan, maka dituntut memohon maaf dan memaafkan orang lain.
Mohon maaf kepada Allah jika tidak berjumpa dengan orang yang kita lakukan dosa. Cari waris untuk mengembalikan harta jika membabitkan jenayah harta.

Jawapan disediakan oleh Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dan Amir Razelan Adnan. Sebarang permasalahan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, April 04, 2008

Bicara Kalbu: Tinggal bersama bukan muhrim hampiri zina

www.bicarakalbu.blogspot.com

Soalan SAYA mempunyai kawan berasal dari China yang datang ke Malaysia kerana mengikuti program pertukaran pelajar di institut pengajian tinggi selama tiga bulan. Sepanjang berada di sini, beliau menunjukkan minat mendalami Islam kerana terpikat dengan budaya orang Melayu serta wanita Islam yang bersolat, bertudung dan amalan lain. Bagaimanapun, tanpa disedari beliau tinggal menyewa bersama teman lelaki beragama Islam kerana beranggapan perbuatan itu tidak salah menurut agama dianutinya. Apa yang mengejutkan, beliau menghantar mesej kepada kami memberitahu dirogol teman lelakinya. Beliau sedih kerana tidak menyangka perkara itu akan berlaku memandangkan teman lelaki itu beragama Islam. Beliau tidak pernah menyangka peristiwa hitam ini terjadi kepada dirinya dan mula mempersoalkan di manakah kasih sayang Allah? Kami tergamam dengan kejadian memalukan ini. Apakah yang perlu kami jelaskan ?

Siswi simpati Lembah Klang

Jawapan

Persoalan ini perlu ditangani dengan cara sebaiknya. Kita seharusnya bersimpati dan memberi pertolongan serta sokongan kepadanya di atas apa yang menimpa beliau. Kita perlu menjelaskan kepada beliau perbuatan lelaki itu mewakili Islam dan tidak boleh diandaikan Muslim sejati. Persoalan rasa selamat kerana lelaki itu Islam tidak ada berkaitan dengan kes ini.

Seharusnya sebaik saja dia dirogol, dia mesti buat laporan polis kerana ini bukan persoalan agama, tetapi berkaitan kes jenayah. Dia seharusnya diberitahu dalam Islam adalah haram lelaki dan perempuan yang bukan muhrim tinggal bersama. Fahamkan kepadanya prinsip murni perhubungan lelaki perempuan dalam Islam ialah tidak ada seks sebelum perkahwinan. Apalagi untuk tinggal bersama. Apa yang berlaku tidak ada kena mengena dengan kasih sayang kerana Allah. Islam datang bersama manual kehidupan yang amat lengkap iaitu al-Quran dan hadis. Jika semua mengikut kedua-dua sumber yang ditetapkan, hidup akan sejahtera. Manusia diberi pilihan sama ada untuk ikut atau sebaliknya. Jika sesuatu perkara tidak baik berlaku jangan salahkan Allah atau Islam. Yang salah individu itu sendiri.

Islam bukan sekadar menegah perlakuan zina, malah Islam melarang perbuatan yang boleh mendekatkan seseorang kepada zina termasuk tinggal bersama lelaki perempuan, berdua-duaan di tempat gelap dan keintiman yang tidak ada batasan. Firman Allah bermaksud: "Dan Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." (Surah al-Isra' ayat 32) .

Manusia adalah makhluk yang dikurniakan akal. Oleh itu, dia diberi pilihan sama ada untuk mengikuti agama atau menyimpang agama. Dalam kes ini, wanita berkenaan menjadi mangsa kejahatan lelaki itu. Tidak adil jika Allah dipersalahkan sedangkan yang melakukan perbuatan itu adalah orang yang tidak mengikut perintah Allah. Walaupun wanita itu kecewa dengan apa yang berlaku ke atasnya, jangan berputus asa dengan kehidupan. Dia perlu kuatkan semangat untuk terus menjalani hidup, dan berdoa kepada Tuhan semoga hidupnya lebih sejahtera.

Jangan jadikan peristiwa ini sebagai penutup jalan hidupnya. Mungkin banyak lagi kebahagiaan lain yang menanti, yang dia sendiri tidak pernah menjangka. Allah berfirman yang bermaksud: "Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka." (Surah al-Thalaaq, ayat 2-3) Orang di sekeliling juga perlu sentiasa memberi sokongan dan semangat padanya Di saat genting seperti ini, dia perlukan sokongan dan panduan. Persaudaraan Islam perlu dizahirkan melalui aktiviti sokongan, kaunseling dan hubungan kasih simpati.

Jawapan disediakan panel penasihat PAKSI JIM. Setiap persoalan boleh dilayari www.bicarakalbu.blogspot.com