Friday, April 28, 2006

Suami poligami kena bijak jaga perasaan madu

Bicara Kalbu: Suami poligami kena bijak jaga perasaan madu

? BAGAIMANA mengubat hati apabila suami menceritakan kebaikan madu dan hubungan intim mereka. Saya berasa berkecil hati tapi saya pendamkan saja. Bolehkah berikan sedikit nasihat dan tips memujuk hati sendiri dan melancarkan kembali keintiman hubungan dengan suami?


Isteri terkilan
Lumut, Perak

SOALAN yang ditanya bukan untuk suami mengamalkan poligami tetapi bagaimana berhadapan dengan kerenah suami berpoligami yang menceritakan kebaikan madu dan hubungan intim mereka.

Saya jangkakan hati puan memang sudah terluka kali pertamanya apabila suami berkahwin lain. Hati yang luka tadi tambah dilukai apabila suami tergamak menceritakan mengenai madu puan.

Ada yang perlu puan lakukan dan ada pula yang suami perlu lakukan.

Pada pihak puan, bersabar dan meredai suami berkahwin lain adalah jalan yang terbaik.

Anggaplah ia telah ditakdirkan dan pasti ada hikmah yang besar jika tidak sekarang, dan di kemudian hari.

Mengubat hati yang dikecewakan dengan memperbanyakkan sabar dan mengerjakan solat adalah formula terbaik untuk mencari ketenangan hidup dan kesejahteraan hati.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Amat menghairankan seorang Muslim itu, apabila diberi nikmat dia syukur, apabila ditimpa musibah dia sabar. Maka kedua-dua keadaan berkenaan memberi kebaikan kepadanya.”

Di pihak suami puan pula, beliau harus mempelajari hukum, adab dan akhlak orang yang berpoligami.

Mengikut hukum, beliau wajib bersikap adil dari segi agihan masa, sara hidup dan keperluan (bergantung kepada saiz keluarga).

Dari segi kasih sayang dan kecenderungan, tidak ada hukum syarak yang mewajibkan seorang suami cenderung sama rata terhadap isteri dari segi perasaan.

Namun dari segi tindakan dia tidak wajar melebihkan seorang daripada yang lain, apatah lagi memberi perhatian yang berlebihan. Inilah yang dikatakan adil terhadap isteri-isteri bagi suami yang berpoligami.

Berkaitan adab pula, suami tidak harus menceritakan kelebihan isterinya di hadapan isteri yang lain kerana ini akan menyebabkan timbulnya perasaan kecil hati.

Ini terutama sekali jika kelebihan itu adalah anugerah Allah SWT seperti kecantikan paras rupa dan kelebihan fizikal yang tertentu.

Namun jika si suami menceritakan sesuatu yang positif seperti isterinya kuat beribadat, rajin menuntut ilmu dan ringan tulang membantu jiran, maka anggaplah ini sebagai dorongan untuk berlumba-lumba ke arah kebajikan.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “Tidak diharuskan iri hati sesama Muslim kecuali dalam dua perkara, seorang Muslim yang diberi harta lalu dia berbelanja pada jalan Allah dan kedua seorang Muslim yang diberi ilmu lalu dia memanfaatkan untuk ummah.”

Jika suami puan menceritakan perkara positif seperti ini, katakanlah puan amat setuju dan berdoa serta berusaha untuk mencontohi beliau.

Tetapi jika pujiannya adalah terhadap aspek fizikal seperti paras rupa, puan wajar menasihatinya supaya menghentikannya.

Sebagaimana puan menghormati dan menjaga perasaan isterinya yang satu lagi, puan juga harus menuntut suami supaya menjaga dan menghormati perasaan puan.

Suami perlu ingat tidak wajar menceritakan hubungan intim dengan isteri meskipun terhadap isterinya yang lain.

Terdapat amaran tegas dari Rasulullah SAW dalam hal ini melalui firman Baginda yang bermaksud: “Seburuk-buruk lelaki ialah dia menggauli isterinya kemudian menceritakan kepada orang lain.”

Ini bermakna urusan dalaman rumah tangga adalah rahsia yang tidak boleh didedahkan kepada orang lain termasuklah isteri jika dia beristeri lebih dari seorang.

Hukum adat telah sama-sama kita maklumi. Pepatah Melayu mengatakan 'sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi'.

Suami puan telah mendapat isteri yang baru. Maklumlah orang baru, lebih cantik dan lebih segar pada pandangan mata. Namun kecantikan bukanlah ukuran sebenar yang membahagiakan seorang suami.

Nasihat saya kepada diri dan kepada semua marilah kita memberi tumpuan kepada usaha mendandan hati kita supaya sentiasa cantik dan berseri. Hati yang bersih akan menyerlah pada wajah.

Tanyakan pada orang yang berpengalaman, di manakah letaknya kecantikan, percayalah mereka akan mengatakan kecantikan itu datangnya dari hati yang sejahtera.

Dalam pada itu, puan juga harus melihat apa sebenarnya yang tersirat di sebalik kata-kata suami puan itu?

Mungkinkah dia ingin puan lebih 'intim' dengannya? Mungkin selama ini saranan secara tidak langsung diutarakan kepada puan mengenai perlunya meningkatkan hubungan intim tidak diterima atau disedari puan.

Saya tidaklah menyalahkan puan, tetapi apa salahnya puan membaca buku yang memberi panduan bagaimana menyemarakkan hubungan suami isteri.

# Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor, pensyarah Universiti PutraMalaysia dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

INTI PATI:

# Mengubat hati yang dikecewakan dengan memperbanyakkan sabar dan mengerjakan solat adalah formula terbaik untuk mencari ketenangan hidup dan kesejahteraan hati.

# Seorang Muslim apabila diberi nikmat dia syukur, apabila ditimpa musibah dia sabar. Maka kedua-dua keadaan itu memberi kebaikan kepadanya.

# Dari segi kasih sayang dan kecenderungan, tidak ada hukum syarak yang mewajibkan seorang suami cenderung sama rata terhadap isteri dari segi perasaan.

# Suami perlu ingat tidak wajar menceritakan hubungan intim dengan isteri meskipun terhadap isterinya yang lain.

# Usaha mendandan hati perlu dilakukan supaya sentiasa cantik dan berseri. Hati yang bersih akan menyerlah pada wajah.

# Harus melihat apa sebenarnya yang tersirat di sebalik kata-kata suami.

# Perlu membaca buku yang memberi panduan bagaimana menyemarakkan hubungan suami isteri.

Friday, April 21, 2006

Ikatan keluarga saudara baru tak boleh diputuskan

Ikatan keluarga saudara baru tak boleh diputuskan

SAYA ada seorang kawan yang baru saja memeluk Islam beberapa minggu lalu. Dia seorang perempuan berbangsa Cina. Dia sering menjadikan saya tempat rujukannya dalam perkara berkaitan Islam.

Tetapi saya sendiri masih kurang arif dan tidak mengetahui secara mendalam mengenai Islam. Baru-baru dia bertanyakan saya mengenai hubungannya (yang memeluk Islam) dengan keluarganya.

Keluarganya belum lagi mengetahui statusnya yang memeluk Islam. Dia takut keluarganya tidak dapat menerimanya.

Saya sendiri tidak pasti bagaimana untuk menjawab persoalan itu supaya dia tidak berasa keliru dengan agama Islam dan perhubungannya dengan keluarga yang bukan Islam.

Persoalan saya ialah:

(a) Bagaimana perhubungan dia yang memeluk Islam dengan keluarganya yang masih bukan Islam?

(b) Bagaimana jika keluarganya sukar untuk menerimanya?

(c) Apakah cara untuk dia terus berbakti kepada keluarganya dalam keadaan sekarang?

(d) Bagaimana adat atau pantang larang ketika mereka tiggal bersama?

Saya berharap dapat membantu teman saya dan tidak mahu dia keliru dengan agama yang baru dianuti.



Siti Zam,



Siswi UPSI, Tanjung Malim, Perak.





Bersyukurlah kerana saudari berada di dalam situasi yang unik untuk menimba pahala ganjaran Allah mendampingi dan membimbing saudari yang baru memeluk Islam. Tidak dinafikan, dalam saat seperti itu beliau amat memerlukan teman yang boleh memberi sokongan dan teman berbicara.

Berdasarkan sedikit pengalaman bergaul dengan saudara baru di perantauan, saya harap dapat berkongsi pandangan terhadap masalah yang dihadapi rakan saudari.

Islam tidak sekali-kali menyuruh penganutnya memutuskan perhubungan keluarga walaupun berbeza agama. Malah, Islam menganjurkan setiap umatnya agar sentiasa mengasihi, menghormati keluarga, terutama sekali ibu bapa.

Ini jelas sekali dalam firman Allah yang bermaksu: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, kepada Ku juga tempat kamu kembali. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu mengenainya maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia ini dengan baik...” (Surah Luqman, ayat 14-15)

Apatah lagi selepas beliau memeluk Islam, alangkah cantiknya sekiranya beliau lebih menghormati, menyayangi dan mengasihi ibu bapanya.

Sekiranya sebelum ini hanya sekadar bersalaman saja dengan ibu bapa setiap kali bertemu. Kali ini cubalah lakukan keajaiban dan kelainan dengan mencium tangan keduanya.

Peluk mereka setiap kali sebelum berpisah, moga-moga dengan itu, akan terdorong atau terbuka pintu hati ibu bapanya. Tidak ada salahnya meneruskan perhubungan antara ibu bapa dan anak walaupun mereka belum Islam.

Mengenai penerimaan keluarga, ini banyak bergantung kepada sejauh mana rapatnya perhubungan beliau dan keluarga sekarang. Ada kes yang mudah kerana perhubungan keluarga yang rapat, keluarga faham kebebasan dan menghormati pendirian ahli keluarga yang lain. Ada juga kes yang rumit.

Sekiranya beliau rapat dengan ahli keluarga dan merasakan mereka boleh diajak berbincang, boleh menghormati pendirian ahli lain, maka berterus terang mungkin pilihan terbaik.

Jelaskan mengapa dan mungkin bagaimana beliau boleh memilih Islam kepada keluarga. Insya-Allah, sekiranya mereka memahami bagaimana proses beliau memilih Islam, tentangan dan perselisihan tidak rasional akan dapat dielakkan.

Tetapi sekiranya beliau merasakan keluarga adalah sebaliknya, mungkin pilihan terbaik ialah dengan cara perlahan-lahan. Cabaran paling besar, pada pengamatan saya dalam perhubungan keluarga ialah hal makanan dan sambutan perayaan atau upacara keagamaan.

Sekiranya keluarga sukar menerima, fahami kenapa keluarga bersikap demikian. Adakah kerana mereka tidak faham Islam, takut kehilangan seorang anak tersayang atau ada sebab lain. Memahami sebab-sebab itu akan memudahkan proses berikutnya.

Dalam pada itu, jangan lalai berdoa. Allah adalah pemilik hati-hati kita semua. Berdoalah agar Allah membuka hati ibu bapa, adik-adik, abang atau kakak agar mereka menerima kebenaran.

Tidak ada bezanya bagaimana beliau harus berbakti kepada keluarga sama ada dulu dan sekarang, selagi tidak melanggar syariah. Kunjungi dan hubungi mereka seperti selalu. Berikan yang terbaik semoga dengan itu hati mereka akan lembut.

Saya berpendapat buat permulaan, terutama sekali pada peringkat awal mereka mengetahui keIslaman beliau, mungkin inilah antara cabaran yang paling besar dan paling berpotensi menyebabkan pergeseran.

Perlu diingat, Islam tidak bertapak di mana-mana pelusuk bumi dan memusnahkan adat resam setempat selagi adat resam itu tidak bercanggah dengan aqidah dan syariah.

Kerana itu Islam boleh bertapak dan makmur dari timur Jepun ke barat benua Amerika, dari utara Iceland ke selatan Afrika.

Secara amnya, sekiranya amalan itu adalah amalan keagamaan seperti membakar colok dan menyembah berhala, ini jelas mesti dielakkan.

Begitu juga dengan makanan, perlu bertegas tetapi dengan cara hikmah dalam hal ini kerana memang sukar untuk tidak menjamah masakan ibu yang bertahun-tahun membesarkan kita.

Terangkan dengan baik, dan mungkin juga boleh tawarkan diri untuk memasak supaya dapat memilih makanan yang boleh dimakan saja.

Selain itu, dalam hal amalan harian, tidak ada halangan untuk saudara baru memeluk Islam bersama meraikan dengan keluarga.

Kami mendoakan kesejahteraan saudari dan semoga Allah membantu meringankan segala urusan.

Sebagai panduan, boleh merujuk kepada buku Kisah Saya Saudara Baru terbitan syarikat PTS Millennia Sdn Bhd, yang ditulis oleh saudara baru, Nuraishah Chua Abdullah.



l Jawapan disediakan Amir Razelan, Perunding Kejuruteraan di Lembah Silikon Amerika Syarikat dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Friday, April 14, 2006

Bermunajat cara terbaik tentukan kesesuaian memilih calon suami

Bicara Kalbu: Bermunajat cara terbaik tentukan kesesuaian memilih calon suami

SOALAN: SAYA menghadapi masalah di antara keluarga dan masa depan. Semuanya bermula apabila saya berkenalan dengan seorang lelaki. Dia ingin mengambil saya sebagai isteri. Keluarganya menerima saya dengan baik.


Pada hari perkahwinan sepupu saya, ibu bapa menyuruh membawa teman lelaki ke majlis kenduri itu. Tidak diduga selepas hari itu, ibu bapa saya tidak sukakannya dengan pelbagai alasan.

Alasan teman lelaki saya kurang kacak, adakah itu menjadi faktor yang terlalu penting? Berpunca dengan alasan itu, timbul banyak lagi alasan lain.

Ibu bapa saya berjumpa bomoh, dukun dan orang tertentu, kononnya untuk menyelidik latar belakang teman lelaki saya. Jawapan yang saya terima amat mengecewakan. Ibu bapa menentang habis-habisan sehingga bapa sanggup mengeluarkan kata-kata akan membuang saya daripada keluarga jika meneruskan hubungan dengan teman lelaki itu.

Alasan yang diberikan, semua bomoh, dukun dan orang tertentu yang mereka jumpa mengatakan keturunan keluarga teman lelaki saya membela hantu. Tetapi, saya agak musykil dengan cerita ibu kerana kebiasaannya, lain yang orang kata, lain yang disampaikan. Sehingga kini, ibu bapa saya masih mempercayainya.

Buat pengetahuan, kami tiada masalah untuk berkahwin kerana kedudukan kewangan yang agak kukuh. Keluarga teman lelaki daripada golongan yang agak kuat beragama. Sehingga kini saya runsing dan seakan-akan tertutup hati untuk berkahwin disebabkan tekanan ini.

Gadis Dalam Dilema,
Puchong, Sekangor.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Saya tidak mempunyai jawapan kepada masalah saudari. Apa yang digariskan hanya panduan yang difikirkan boleh diikuti berdasarkan gambaran masalah yang dikemukakan.

Pertama, berkaitan calon suami/isteri.

Calon terbaik untuk dibuat pasangan hidup ialah yang teguh berpegang dengan Islam. Asasnya ialah sabda Rasulullah SAW bermaksud wanita dikahwini kerana empat sebab iaitu cantik, kaya, keturunan baik-baik dan agama. Pilihlah yang beragama nescaya beruntung kedua-dua tanganmu (mendapat keuntungan dunia/akhirat).

Kedua-dua pihak yang hendak berkahwin dan ibu bapa mesti menerima dan meyakini bahawa inilah faktor yang terpenting dalam memilih jodoh.

Kedua, kepercayaan kepada bomoh/dukun dan seumpama.

Islam mempunyai garis panduan jelas dan tegas mengenai perkara ini. Mempercayai dan beriman dengan dukun adalah ditegah kerana ia adalah perbuatan syirik kepada Allah.

Tidak dinafikan ada pengamal perubatan Islam yang boleh merawat pesakit terutama yang berkaitan dengan gangguan spiritual dan makhluk halus.

Namun, mereka perlu dipastikan tidak melakukan perbuatan yang ditegah oleh syarak seperti berhubungan dengan jin dalam amalan perubatan mereka.

Lazimnya ini boleh ditentukan dengan melihat kepada cara hidup yang tidak menyimpang daripada Islam dan diketahui umum oleh masyarakat sebagai orang yang berpegang teguh dengan syariat Islam.

Ketiga, didampingi jin dan seumpama.

Memang jika ditanya kepada orang yang pakar dalam perkara ini, seseorang itu boleh didampingi oleh jin atau boleh mewarisinya daripada keluarga meskipun tanpa pengetahuannya.

Orang yang beriman akan sentiasa berlindung dengan Allah, pemilik dan penguasa segala makhluk di bumi ini, yang nyata mahupun ghaib.

Dalam surah an-Naas kita dianjurkan untuk memohon perlindungan daripada bisikan syaitan yang membisikkan keraguan, baik dari kalangan jin atau manusia.

Keempat, mencari kepastian terhadap dakwaan ibu bapa saudari.

Pandangan saya ialah dapatkan pandangan daripada pengamal perubatan Islam yang theqah (yang tidak diragui amalan Islam dan keperibadian mereka). Minta pandangan mereka apa yang perlu dilakukan demi menyelesaikan kekusutan ini.

Kelima, jangan berputus asa.

Jangan sekali-kali menutup pintu hati daripada hasrat untuk berumah tangga. Berkahwin adalah sunnah yang besar dan mohonlah kepada Allah supaya ditemukan jodoh yang baik.

Ada kalanya kita cenderung kepada seseorang, tetapi dalam pengetahuan Allah, dia bukan calon yang sesuai dengan kita. Maka, urusan dipersulitkan oleh Allah dengan meletakkan pelbagai halangan.

Namun, apabila ada halangan, tidak bermakna pilihan saudari tidak baik. Itu juga mungkin ujian yang disediakan oleh Allah untuk meningkatkan darjat kita di sisinya dan diberi pahala.

Keenam, mohonlah petunjuk kepada Yang Maha Mengetahui.

Kesimpulannya bermunajat (berdoa) kepada Allah yang mengetahui semua mengenai kita, apa yang baik dan tidak baik untuk kita.

Jawapan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor, Universiti Putra Malaysia. Permasalahan dan pandangan hubungi wanitajim@jim.org.my

Friday, April 07, 2006

Wajib nasihat jika berdepan kemungkaran

Bicara Kalbu: Wajib nasihat jika berdepan kemungkaran

SAYA baru memakai tudung. Saya bertudung selepas memahami dan terpanggil untuk mengamalkan syariat menutup aurat. Sebelum memakai tudung, saya tidak kisah amalan kawan sepejabat. Tetapi, selepas bertudung saya rasa perlu mengajak mereka melakukan kebajikan dan menjauhi larangan agama. Ada dua perkara yang sangat memusykilkan saya mengenai rakan itu. Pertama, rakan sepejabat itu bertudung lebih awal daripada saya. Tetapi, saya agak pelik melihat kelakuannya yang liat untuk solat. Dia tidak pernah solat Zuhur atau Asar di pejabat. Katanya, kadang-kadang solat di rumah. Alasannya kerana di pejabat susah hendak solat. Di pejabat kami surau untuk wanita amat selesa. Malah, setiap Jumaat ada kuliah khas untuk wanita. Alasannya lagi, kerana payah hendak tanggal dan pakai tudung. Kedua, tingkah lakunya dalam pergaulannya dengan kawan lelaki. Perhubungan mereka amat intim, pergi dan balik dari pejabat bersama-sama. Pergaulannya amat tidak manis dipandang mata. Saya nasihatkan mereka kahwin secepat mungkin. Katanya, duit belum cukup lagi!



Sahabat Dalam Dilema



Kuala Lumpur



Apa yang saudari alami adalah lumrah kepada sesiapa yang hendak menegakkan kehidupan secara Islam. Apa yang saudari lakukan sebenarnya adalah kewajipan yang dituntut dalam Islam iaitu memberi teguran atau nasihat jika berlaku kemungkaran. Sebab itulah kita dianjurkan untuk berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran (maksud surah Al-asr).

Anggaplah reaksi kawan sebagai asam garam orang yang hendak melakukan amar makruf nahi mungkar. Jika saudari istiqamah, mereka akan menghormati prinsip dan tidak akan melakukan kemungkaran di hadapan saudari. Mana tahu dengan keikhlasan dan melalui contoh yang baik, suatu hari nanti terdorong untuk melakukan kebaikan dan memperbaiki sikap dan cara hidup mereka.

Sesungguhnya dakwah yang paling berkesan adalah dengan menunjukkan contoh yang baik serta pergaulan yang mesra, penuh kasih sayang dan ikhlas.

Tunjukkan empati saudari. Fahami dulu sebab dia jadi begitu. Nasihat saya ialah terus menjaga hubungan dengan kawan dan mengambil tahu masalah mereka serta membantu mana yang boleh. Tunjukkan kepadanya bahawa saudari hanya ingin menolong, bukan untuk mengajar!

Mengenai persoalan solat pula, perlu dijelaskan kedudukan solat bagi seorang Muslim. Solat menurut hadis Rasulullah SAW adalah tiang ‘deen’. Deen ini jangan ditafsirkan sebagai ‘agama’ kerana deen dalam Islam adalah kehidupan. Ini adalah berdasarkan kepada kefahaman bahawa Islam itu adalah satu sistem hidup. Ini bermakna sesiapa yang meninggalkan solat bererti meruntuhkan kehidupannya sendiri.

Solat adalah tonggak dalam kehidupan. Justeru, ia tidak boleh ditinggalkan sama sekali atas apa juga alasan kecuali dibenarkan syarak. Sebab itulah di dalam Islam ada kemudahan solat qasar (memendekkan solat bagi bermusafir) dan solat jamak (menggabungkan solat bagi yang bermusafir dan atas keperluan yang mendesak seperti seorang doktor yang sedang melakukan pembedahan yang mengambil masa melangkaui dua waktu solat).

Begitu juga Islam mengajar cara solat bagi mereka yang sakit dan solat ketika peperangan atau kecemasan. Semua ini menunjukkan tidak ada ruang bagi umat Islam meninggalkan solat atau menangguhkannya.

Seseorang itu hanya dimaafkan tertinggal solat dalam keadaan terlupa atau tertidur. Itu pun dituntut dilaksanakan solat sebaik terjaga atau kembali ingatan meskipun waktu solat itu telah luput.

Alasan yang diberi oleh rakan saudari tidak dapat diterima oleh syarak. Menangguhkan solat kerana mekap jelas meninggalkan solat di atas sebab yang tidak boleh diterima. Kalau kita boleh memperuntukkan waktu untuk makan, apa yang menghalang kita untuk melakukan solat.

Islam juga melarang seorang wanita berhias (bertabarruj) selain kepada suami sendiri. Ini tidak bermakna Islam melarang wanita kelihatan anggun. Dengan menutup aurat secara sempurna dan berdandan ala kadarnya seperti mengenakan bedak, sudah memadai.

Saya cadangkan saudari memanfaatkan program kuliah mingguan untuk wanita di pejabat. Cadangkan kepada guru agama untuk menjelaskan isu yang diterangkan di atas.

Mengenai hubungan kawan saudari dengan teman lelakinya juga gejala tidak memahami batas hubungan di antara lelaki dan perempuan. Kebanyakan muda-mudi menganggap hubungan cinta dan pertunangan sebagai lesen bergaul bebas. Seorang lelaki hanya boleh bergaul bebas dengan perempuan yang telah sah menjadi isterinya, bukan yang akan menjadi isterinya. Tidak ada alasan yang boleh menghalalkan pergaulan bebas di antara lelaki perempuan, termasuk yang bertunang.

Apa yang boleh dilakukan ialah menasihati rakan dan temannya supaya memelihara batas hubungan.



Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor, pensyarah Universiti Putra Malaysia dan boleh dihubungi di emel wanitajim@jim.org.my.



lArtikel dengan kerjasama Wanita Jemaah Islam Malaysia.