Friday, February 23, 2007

Rancang kerjaya buat diri seronok kerja

? SAYA bekerja di sebuah kilang sejak 10 tahun lalu. Hidup saya bosan, jemu kerana membuat kerja yang sama bertahun-tahun. Saya anggap diri saya tidak ke mana kerana prestasi hari ke hari tidak menampakkan peningkatan diri.

Gaji tidak naik dan peluang naik pangkat jauh sekali sedangkan saya penat serta letih kerana Subuh sudah keluar bekerja, malam baru pulang ke rumah. Tetapi, semuanya seperti tidak ada perubahan atau hasil memberangsangkan.

Rutin pekerjaan membosankan saya. Apa yang patut saya lakukan untuk menghilangkan rasa jemu ini. Saya masih perlu bekerja untuk sesuap nasi pagi dan petang. Mohon nasihat untuk motivasi diri.
Mariani,

Kuala Lumpur

Selangor.

Saya ingin menuliskan sebuah sketsa kehidupan dua sahabat untuk dijadikan teladan.

Dua sahabat, Ali dan Adi, bekerja sebagai buruh bangunan. Sepuluh tahun berlalu, keduanya mengalami perubahan yang ketara dan jauh berbeza.

Kehidupan Ali berjaya dan kerjayanya meningkat, sedangkan Adi tidak mengalami perubahan yang bererti. Apabila keduanya ditanya mengenai kemajuan masing masing, keduanya mempunyai jawapan tersendiri.

Adi tidak mengalami kemajuan kerana sepanjang kerjayanya bekerja di syarikat itu, dia hanya memikirkan gaji yang akan diterimanya pada akhir bulan. Sementara Ali mempunyai rasa bangga ketika melakukan pekerjaan walaupun hanya sebagai buruh.

Sketsa ini menunjukkan bagaimana Adi bekerja tanpa visi masa depan, sementara Ali mempunyai visi yang jelas. Di sini ada dua jenis insan yang bekerja mencari rezeki.

Pertama, Adi yang hanya sibuk mengira gaji dan mengisi masa tidak menyedari bahawa dirinya mengerjakan hal yang rutin selain tidak mempunyai cita-cita meningkat diri.

Ali pula tergolong jenis insan yang sibuk mengejar tujuan dan mencapai matlamat hidup.

Mungkin apa yang sedang Mariani rasai di kala ini adalah sama dengan apa yang dialami Adi selepas 10 tahun bekerja. Untuk mengatasi hal ini, Mariani perlu mengubah cara berfikir.

Mulai hari ini, binalah satu visi yang kuat atau tujuan hidup yang jelas kerana apabila kita mempunyai tujuan hidup, setiap langkah adalah tahap meningkatkan prestasi dan melepaskan diri dari belenggu kebosanan hidup.

Apabila melakukan pekerjaan dengan tujuan seseorang itu akan membuat kerja penuh keseronokan, akhirnya kerja yang dilakukan menjadi sempurna dan menghasilkan kepuasan diri.

Pakar perancang kewangan di Amerika, Robert Kiyosaki, menulis dalam bukunya Rich Dad Poor Dad; “Apabila kita melakukan kerja yang kita paling suka, ia adalah satu percutian menyeronokkan, sebaliknya jika kita melakukan kerja yang kita tidak gemari ia adalah satu beban kerja yang membosankan dan tidak membawa kebahagiaan.”

Langkah yang perlu dilakukan ialah merancang dan merencana secara sistematik. Matlamat jangka panjang dibahagikan kepada beberapa perancangan untuk matlamat jangka pendek.

Pastikan matlamat serta tujuan dapat dicapai dan berpijak di bumi nyata. Selepas itu ambil langkah yang perlu dipatuhi.

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah. Hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah dilakukannya sebagai persediaan untuk hari esok. Bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah mengetahui apa yang kamu lakukan.” – (Surah Al Hasyr, ayat 18)

Jawapan disediakan Jawatakuasa Wanita JIM Pusat, Endok Sempo Mohd Tahir. Sebarang persoalan dan jawapan boleh layari di www.wanitajimceria.blogspot.com

Friday, February 16, 2007

Bacaan secara santai bantu remaja minat terokai ilmu

Bicara Kalbu: Bacaan secara santai bantu remaja minat terokai ilmu

?SAYA mempunyai tiga orang anak lelaki berumur antara 12 hingga 16 tahun. Dua daripada mereka tinggal bersama saya dan seorang lagi bersekolah di sekolah berasrama penuh.


Ketiga-tiga anak saya ini lebih suka menghabiskan masa mereka khususnya pada musim cuti sekolah di depan komputer untuk bersembang di laman sembang, bermain permainan komputer dan bermain bola sepak. Jarang sekali saya melihat mereka membaca surat khabar, jauh sekali membaca buku.

Saya dan suami memang gemar membaca dan menjadikan ia aktiviti harian. Kami juga memiliki perpustakaan mini di ruang tamu dan bilik tidur utama untuk menempatkan koleksi bahan bacaan.

Kami berusaha menggunakan masa berinteraksi dengan anak untuk menggalakkan mereka membaca tetapi setakat ini tidak memperlihatkan sebarang kesan positif.

Saya ingin anak saya berpengetahuan luas supaya mereka lebih berdaya saing dan berjaya dalam kehidupan. Mohon pandangan dan cadangan untuk menyelesaikan isu yang sering mengganggu fikiran saya ini.

Ibu moden prihatin,
Kajang, Selangor.

Syabas puan. Kesungguhan dan keinginan puan yang tinggi untuk menyediakan minda dan diri anak remaja sebagai pencari ilmu seharusnya menjadi salah satu tujuan ibu bapa masa kini dalam mendidik anak.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang sentiasa diperbaharui lagi mantap, remaja akan dapat membuat keputusan, penilaian dan pemilihan yang tepat dalam mengharungi alam remaja penuh bergelora serta semakin mencabar.

Sesuai dengan jiwa remaja yang kreatif dan dinamik, banyak perkara perlu diambil kira bagi memujuk mereka merasa keseronokan membaca. Remaja lelaki khususnya gemar kepada suasana mencabar dan jauh daripada kelaziman. Mereka turut mempunyai cita rasa yang pelbagai dan berbeza antara individu dengan individu lain.

Berikut adalah saranan yang diharapkan dapat membantu puan dan ibu bapa dalam memupuk tabiat membaca di kalangan generasi muda khususnya remaja lelaki:

# Persekitaran yang kondusif. Wujudkan suasana bersantai yang tidak mirip perpustakaan. Contohnya menyediakan sofa yang empuk atau buaian dengan susun atur yang unik. Pendingin udara dengan alunan muzik yang lembut mampu memukau mereka. Mohon pandangan dan pembabitan anak remaja dalam mereka bentuk ruang bacaan di rumah.

# Bawa mereka bersama membeli bahan bacaan. Lakukan penyelidikan berkenaan bahan bacaan kegemaran mereka. Contohnya, muzik, animasi, seram (horror) dan sukan (sports).

# Pelbagaikan bahan bacaan seperti majalah, komik, buletin, surat khabar mingguan, majalah berkala, buku fiksyen, buku bukan fiksyen, buku agama, buku motivasi dan lain-lain.

# Wujudkan bekas bahan bacaan yang menarik dan mudah alih mengikut kategori atau jenis.

# Sediakan katalog buku terkini daripada pelbagai penerbit bagi menggalakkan mereka untuk terus membaca dan tidak ketandusan bahan bacaan kontemporari.

# Jemput rakan mereka dan anak jiran untuk bersama menikmati keseronokan membaca bersama.

# Sentiasa mencari peluang berkongsi pandangan, pengalaman dan komentar mereka mengenai bahan yang dibaca sama ada ketika berada dalam kereta atau ketika makan.

# Berikan pengukuhan dalam bentuk material seperti memenuhi kehendak semasa mereka atau jika mereka berjaya menghabiskan bahan bacaan.

# Jangan lupa menanamkan kesedaran kendiri pentingnya membaca untuk kecemerlangan masa depan mereka.

# Galakkan mereka menyertai kelab membaca serta peluang membeli buku secara on-line sekali sekala.

# Ada ribuan laman web yang boleh membantu remaja lelaki memilih dan berkongsi bahan bacaan yang sesuai lagi menarik.

Jawapan disediakan oleh pensyarah Institut Perguruan Ipoh Perak, Norhayati Sidek