Friday, August 31, 2007

Bicara Kalbu: Suami mengaku curang, ambil dadah untuk hilang sunyi

SAYA berumur 28 tahun dan baru saja berkahwin. Selepas 11 hari berkahwin, saya meninggalkan suami (dengan izinnya) untuk menyambung pelajaran di luar negara selama setahun. Suami bekerja pegawai pelancongan di pulau peranginan di Malaysia.

Ketika di luar negara, saya menghubunginya dan kadangkala dia menghubungi saya dua atau tiga kali setiap hari. Saya dijangka pulang ke Malaysia tidak lama lagi. Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang memberitahu mengenai kecurangan suami saya.


Saya terkejut tetapi cuba bersikap rasional. Saya menghubungi suami dan meminta beliau berterus terang.

Suami mengaku berlaku curang, meminum minuman keras dan mengambil dadah. Semua perbuatan itu disebabkan rasa sunyi kerana rasa ditinggalkan. Beliau menangis dan menyesali tindakannya.

Saya masih menghubungi suami setiap hari dan cuba menasihatinya. Bagaimanapun, saya dalam dilema dan berharap bimbingan menghadapi keadaan tidak diduga ini. Terima kasih.

Sakura
Nagoya, Jepun


Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Suami puan dilanda sindrom kesunyian akibat hidup berjauhan dengan isterinya. Meskipun puan dan suami saling berhubung melalui telefon, namun ini tidak dapat memenuhi naluri ingin mendampingi dan didampingi.

Apatah lagi, baru 11 hari mendirikan rumahtangga, puan dan suami terpaksa berjauhan kerana tugas dan mengejar cita-cita. Kesunyian dialaminya ditambah pula dengan perasaan bimbang akan kehilangan puan. Walaupun puan setia terhadap suami, namun rasa cemburu tetap menjengah di hatinya, kerana berjauhan begitu di negeri orang.

Sebenarnya semua yang dialami suami puan sesuatu yang lumrah. Adat muda menanggung rindu adalah ungkapan biasa kita dengar. Rindu yang menggamit inilah kadang-kadang menyebabkan hati tidak keruan. Jika tiada kawalan dan panduan boleh menyebabkan seseorang itu cuba melupakannya dengan cara yang tidak wajar.

Jelas suami puan terjebak dalam perbuatan tidak wajar kerana dia tiada panduan dalam menangani kekosongan hatinya menyebabkan terdorong mendampingi wanita lain, minum arak dan akhir sekali mengambil dadah bagi mengurangkan tekanan perasaan yang dialaminya. Di sinilah kesilapan suami puan.

Sebagai orang beriman kita sepatutnya mempunyai pedoman. Rasa kekosongan dan kesunyian tidak seharusnya menyebabkan kita mengikut kata hati dan gelora nafsu. Jika kita tidak mempunyai pertahanan jiwa yang ampuh pasti kita akan terseret melakukan perbuatan negatif seperti dialami suami puan.

Di sinilah letaknya kepentingan mendirikan solat dan menjaga hubungan dengan Allah supaya terpelihara segala perbuatan mungkar dan maksiat.

Justeru, puan perlu mengembalikan keyakinan kepada suami supaya pulang ke pangkal jalan. Berilah dia peluang memperbaiki diri dan tidak mengulangi perbuatan yang lalu.

Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan boleh di layari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, August 24, 2007

Taat setia kepada suami lambang kebebasan sejati

Bicara Kalbu: Oleh Marihah Suhaimi (www.bicarakalbu.blogspot.com)


KETIKA bujang, saya rasa lebih bebas dan merdeka. Apabila berumahtangga, saya rasa terbelenggu kerana suami yang berkuasa atas segala-galanya. Apakah erti kemerdekaan seorang wanita Islam yang bersuami?


Serdang.

SUDAH menjadi fitrah setiap manusia dilahirkan di dunia ini memerlukan kebebasan. Rasa bebas dan merdeka ini penting demi memelihara maruah dan memupuk keyakinan diri. Sebaliknya, keadaan mengongkong, dijajah dan dikawal berlebihan pula boleh menyebabkan rasa tertindas, terbelenggu dan terhina.

Rakyat ditindas sering bangun menuntut hak kemerdekaan dan kebebasan. Tetapi adakah semua jelas bentuk kemerdekaan dan kebebasan yang dilaungkan itu? Apakah jaminan kebebasan mereka peroleh kelak membawa kebaikan atau mungkinkah ia tiket kepada kemusnahan diri dan bangsa mereka?

Menurut Carl Rogers, seseorang itu perlu memaklumkan dirinya erti kebebasan yang sebenar dan pada masa sama, bertanggungjawab terhadap pilihannya itu.

Sebagai umat Islam berpegang teguh kepada ajaran Allah, kita melihat kemerdekaan dan kebebasan memerlukan takrif lebih tepat dalam konteks manusia sebagai hamba Allah.






Firman Allah SWT yang bermaksud, “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (ketika engkau Muhammad berjaya menguasai Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya sangat menerima taubat" (Surah an-Nasr: 1-4).

Ayat di atas memberikan kita makna kemerdekaan dan kebebasan dalam erti kata yang luas. Kemerdekaan bukan sekadar pembebasan diri daripada belenggu penjajahan (atau suami) secara fizikal tetapi mengangkat diri sebagai manusia atau umat bermaruah dan mempunyai harga diri yang tinggi.

Hubungan manusia dengan Allah adalah sumber kemerdekaan sebenar kerana keimanan dan keyakinan kepada Allah membebaskan jiwa daripada rasa perhambaan dan takut kepada sesama manusia.

Sebelum datangnya Islam, wanita dinafikan hak yang lazimnya diterima oleh lelaki. Wanita dianggap hak milik suami boleh diwarisi oleh anak lelaki suami. Suami pula boleh mengambil beberapa isteri tanpa had dan isteri ini hidup di bawah bayang suami tanpa mempunyai hak mewarisi harta pusaka atau menentukan jodoh dan masa depan mereka apabila suami meninggal dunia.

Rasulullah pada kurun ketujuh Masihi membawa perubahan dianggap sungguh radikal pada zaman itu. Buat kali pertama dalam sejarah tamadun dunia, wanita diangkat setaraf dengan lelaki dan diberikan hak asasi. Mereka dibenarkan bercakap untuk mempertahankan hak mereka, diberi hak waris, mereka tidak lagi diwarisi oleh anak lelaki suami apabila suami meninggal dunia, mereka boleh memohon fasakh daripada suami dan lelaki cuma dibenarkan mengambil empat orang isteri maksimum saja pada suatu masa.

Tohmahan yang dilempar Barat terhadap wanita Islam sebagai golongan yang ditindas dan dianiaya semata-mata kerana memakai hijab, menjaga batasan pergaulan dengan lelaki bukan muhrim dan taat setia kepada suami adalah tidak tepat sama sekali.

Malahan sekarang pun, wanita Barat yang digembar gemburkan sebagai liberated, sebenarnya adalah hamba media massa yang menentukan saiz dan bentuk badan mereka, fesyen pakaian mereka dan sering diambil kesempatan oleh syarikat pengiklanan.

Bandingkan dengan wanita Islam yang cuma perlu berhias untuk suami, wanita Barat terdesak dengan keadaan perlu sentiasa berhias di dalam dan di luar rumah dan menjadi hamba fesyen.

Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu neraka dan terbuka pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab. Itulah keistimewaan wanita Islam.

Islam mengubah segala kezaliman dan kekejaman terhadap wanita Islam memberi wanita hak mewarisi harta pusaka. Islam memberi mereka pilihan untuk memilih pasangan suami mereka. Islam memberi wanita hak untuk mengundi. Kebebasan wanita Islam yang bergantung kepada keterikatan dan taat kepada Allah dan suami bukan bererti tiada kebebasan malah inilah kebebasan yang sebenar.

Jawapan disediakan Aktivis Wanita, Marihah Suhaimi, dengan kerjasama Wanita JIM. Soalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, August 17, 2007

Beriman dalam pergaulan mampu elak perbuatan zina

SAYA mempunyai seorang adik ipar perempuan yang bekerja dan duduk berasingan daripada keluarga. Beliau berumur sekitar awal 20-an. Beliau bercinta secara senyap-senyap kerana hubungan tidak direstui keluarga kedua-dua pihak. Teman lelakinya muda dua tahun daripadanya dan masih belajar. Baru-baru ini saya jumpa gambar mereka berdua berlatarbelakangkan bilik tidur yang jelas mereka berzina. Kami amat malu untuk menceritakan pada sesiapa dan tidak tergamak melaporkan kepada orang tuanya. Kami terfikir untuk bersemuka dengan adik ipar. Kami ingin menasihatkan supaya bertaubat. Kami masih bingung bagaimana caranya untuk menghadapi adik kami ini.

Kakak ipar prihatin





SAYA simpati dengan apa yang dilalui puan. Puan perlu membuat persiapan mental dan kekuatan jiwa untuk menghadapi musibah ini.



Cara bersemuka juga perlu secara rasional dan matang. Puan berdua perlu memahami sebenar-benarnya dan memantapkan konsep laa taqrabuz zina untuk meyakinkan adik nanti. Kebingungan akan hilang apabila keyakinan mengambil tempat dalam diri. Dalam pada itu sentiasalah mendoakan secara khusus dan serulah namanya apabila berdoa setiap kali habis sembahyang.

Sebelum iman seseorang itu mampu menjadi benteng untuk menolak godaan syaitan, dia mesti memahami dulu apa itu iman. Secara ringkasnya iman itu ialah menetapkan keyakinan di hati, membenarkan dengan lisan dan membuktikan dengan amal.

Dalam konteks zina, seseorang itu mesti beriman dengan perintah atau larangan Allah tentang zina dan perbuatan yang menjurus kepadanya. Semua garis panduan, arahan dan tegahan dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah. Di dalam al- Quran, Allah berfirman yang bermaksud “Jangan kamu hampiri zina, sesungguhnya ia amat keji dan jalan yang sangat buruk”.

Seseorang yang beriman dengan tuntutan ayat ini akan meletakkan keyakinan di dalam dirinya, membenarkannya dan beramal secara praktikal terhadap tuntutan ayat ini.

Masalah yang berlaku pada hari ini, umat Islam yang tidak memahami tuntutan 'jangan kamu hampiri zina' membuka pintu ke arah maksiat zina seluas-luasnya. Apabila pintu sudah terbuka dan syahwat sudah teransang amat payah malah mustahil untuk mengelak terjebak dalam kancah perzinaan.

Oleh itu sering kali kita mendengar pasangan mengaku terlanjur sehingga melakukan perbuatan terkutuk. Sebenarnya mereka tidak terlanjur kerana mereka menempah untuk melakukan perbuatan itu sejak awal lagi iaitu pada saat mula pertemuan.

Prof Hamka pernah didatangi oleh seorang ibu yang menangis teresak-esak mengadukan hal anaknya yang mengandung di luar nikah, sedangkan anaknya seorang yang taat mendirikan solat. Prof Hamka menjelaskan, solat hanya mampu menyelamatkan seseorang daripada kejahatan dan kemaksiatan jika jalan menuju kemaksiatan itu tidak ditempuh.

Ubat kepada menjauhi zina kata beliau 'jangan didekat'! seperti yang disarankan oleh al-Quran. Apa yang boleh kita rumuskan di sini ialah puan perlu memujuk adik ipar puan untuk memahami hakikat ini. Selagi dia tidak memahami tuntutan iman dalam kehidupan dan tuntutan iman dalam perkara yang berkaitan dengan hubungan silang jantina yang boleh membawa kepada maksiat zina, selagi itulah dia akan terus hanyut.

Saranan saya pujuk adik ipar puan untuk kembali kepada jalan orang yang beriman. Tetapi bukan dengan jalan memarahi atau menyalahkannya.

Ia memerlukan suasana pembelajaran yang memberi tumpuan kepada aspek membina kefahaman. Sebaiknya adik puan perlu disusun di dalam sistem halaqah atau usrah di mana aspek asas di dalam Islam seperti iman boleh dipelajari secara sistematik dan berterusan.

Wanita JIM adalah satu contoh di mana usaha seperti ini dilakukan secara berterusan. Puan boleh dapatkan maklumat untuk menghubungi mana-mana cawangan atau daerah JIM di mana puan berada.

Di samping itu jika keadaan sudah tidak terkawal maka saya sarankan supaya puan menghubungi Raudathus Sakinah, sebuah institusi perlindungan remaja puteri yang diusahakan oleh Wanita JIM dalam membimbing anak remaja yang terjebak dalam masalah seumpama ini. Puan boleh dapatkan maklumat Wanita JIM dan Raudathus Sakinah dengan menghubungi ibu pejabat JIM di talian 03-41073379.



Jawapan disediakan Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor, dengan kerjasama Wanita JIM. Segala persoalan dan jawapan boleh layari www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, August 10, 2007

4 tahun suami abai nafkah batin, tak solat

Bicara Kalbu: 4 tahun suami abai nafkah batin, tak solat

SETIAP wanita ingin kebahagiaan dunia dan akhirat. Saya sudah berkahwin hampir empat tahun, namun masih belum mempunyai cahaya mata. Di samping itu, suami saya tidak memberikan nafkah batin.

Saya tidak pernah mengungkit walaupun naluri seorang wanita memerlukan nafkah batin daripada suami. Mungkin kerana tiga tahun lalu beliau menjalani pembedahan dan sebelah kakinya terpaksa dipotong.



Apa yang tambah memilukan hati, sejak berkahwin suami saya tidak pernah sembahyang. Walaupun suami sentiasa bercakap dengan kawannya bahawa dia bahagia dengan kehidupan rumah tangganya, tidak bagi saya.

Suami tidak dapat membahagiakan saya seperti apa yang saya harapkan. Namun, saya cuba bersabar untuk menjadi seorang isteri yang baik. Setiap kali sembahyang, saya memohon kepada Allah supaya memberi kesabaran kepada saya dan hidayah kepada suami.



Apa yang perlu saya lakukan supaya suami saya sembahyang. Saya berharap mendapat panduan dan nasihat.

Isteri derita
Seberang Prai, Pulau Pinang


Saya melihat puan berhadapan dengan dua masalah iaitu suami tidak berkemampuan memenuhi tanggungjawab asas sebagai suami dan tidak menunaikan sembahyang. Seorang suami wajib menunaikan hak isteri iaitu memberikan nafkah zahir dan batin.

Jika seorang suami tidak mampu menyediakan salah satu darinya atau kedua-duanya sekali, beliau tidak diharuskan berkahwin. Ini mengelak daripada timbul penganiayaan kepada isteri seperti dialami puan.

Apa yang boleh saya nasihatkan ialah suami puan perlu mendapatkan pandangan pakar atau nasihat doktor. Apakah yang menghalang beliau memenuhi nafkah batin kepada isterinya. Kadang kala ia disebabkan faktor lemah tenaga batin atau komplikasi yang menyebabkan penyakit seperti disfungsi erektik.

Semua masalah ini perlu dirujuk kepada doktor berkelayakan. Puan ada menyebut suami menjalani amputasi kaki. Mungkin keadaan suami puan ada kaitan dengan penyakit dihadapi. Jadi, berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan bagi mengatasi masalah ini.

Keengganan suami mendirikan sembahyang, puan perlu mendapatkan penjelasan kenapa suami enggan bersembahyang. Mungkin suami tidak menyedari kewajipan mengerjakan solat. Jika ini puncanya, maka suami puan harus belajar.

Berikan galakan kepada suami supaya menyedari kewajipan mengerjakan solat seperti menyediakan buku atau VCD yang memudahkan suami puan untuk belajar. Kemudahan ini menyediakan keselesaan baginya yang mungkin kurang daripada sudut fizikal untuk mengikuti kuliah di masjid.

Kemungkinan juga beliau tahu kewajipan solat, tetapi tidak menguasai dengan baik amalan solat secara praktikal. Di sini suami puan perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan fardu ain. Pelbagai bahan mengenai amalan solat ada di pasaran sama ada dalam bentuk buku, poster, VCD dan sebagainya.

Kesedaran wajibnya mengerjakan solat akan mendorong suami puan untuk bersungguh-sungguh menguasai ilmu berkaitan dengan solat hingga dapat mengerjakannya dengan sempurna (termasuk kaedah solat bagi orang yang cacat fizikal seperti suami puan).

Solat adalah tiang agama (tiang kehidupan). Barang siapa mendirikan solat maka dia sudah mendirikan agama, barang siapa meninggalkannya, maka dia meruntuhkan agamanya (maksud sebuah hadis).

Jawapan disediakan Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor, dengan kerjasama Wanita JIM. Segala persoalan dan jawapan boleh layari www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, August 03, 2007

Tiga unsur didik insan berubah kepada kebenaran

Bicara Kalbu:

SAYA baru bertaubat nasuha sejak tiga bulan lalu. Dulunya saya seorang pemuda yang suka berpeleseran, membuat segala jenis maksiat dan jenayah hingga ditahan polis dan dipenjarakan. Syukur Allah memberi hidayah kepada saya. Apabila membaca beberapa artikel mengenai peranan ibu bapa dalam mempengaruhi dan membentuk karakter anak, ia membuat saya sedih dan kecewa. Saya kesal mengenai nasib saya dan adik.

Selama ini ibu bapa saya tidak ambil pusing atau prihatin dalam memberikan didikan agama kepada kami. Walaupun mereka bersembahyang, mereka tidak pernah mengajar, menyuruh atau memaksa kami bersembahyang, apalagi mengajar ilmu fardu ain.



Kini, saya mula bercerita mengenai sembahyang, ibadat dan ilmu agama setakat yang saya tahu kepada adik. Saya ajar mereka sembahyang, ajak dan kadang kadang paksa mereka supaya solat bersama.

Untuk memberikan semangat mereka untuk rajin beribadat, saya ajarkan fadilat amal, menceritakan kisah nabi dan sahabat. Namun, tidak ada riak positif daripada ibu bapa saya. Saya risau andainya umur tidak panjang, bagaimana dengan adik yang saya tinggalkan. Siapa akan mengajar dan mengajak mereka sembahyang dan teruskan pendidikan agama? Apa harus saya buat.



Abang Joe
Ampang Indah, Selangor

Tahniah kepada saudara kerana sudah menemui jalan pulang. Syukur ke hadrat Allah yang memberi petunjuk kepada kita semua untuk menjalani kehidupan menurut jalan diredai-Nya.

Berdasarkan hadis qudsi, Rasulullah SAW ada mengatakan: “Wahai anak Adam, kamu semua berdosa, maka mohon ampunlah kepada-Ku, nescaya-Ku ampunkan.”

Mengenai persoalan adik saudara, bersyukurlah kerana saudara turut mengambil berat mengenai penghayatan agama mereka. Apa yang saudara lakukan iaitu membimbing dan menunjuk ajar mereka adalah sesuatu yang terpuji dan wajar diteruskan. Perubahan pada diri saudara sendiri sudah cukup untuk menjadi contoh dan ikutan adik-adik.

Hari ini umat Islam memerlukan contoh yang hidup, boleh mereka saksikan dalam kehidupan seharian mereka. Dalam erti kata lain, mereka mahu melihat Islam dalam bentuk nyata, bukan dalam bentuk ceramah atau nasihat.

Bagi anak ini, segala nasihat dianggap sebagai leteran dan bebelan saja, tetapi jika mereka melihat cara hidup Islam itu dipraktikkan dengan istiqamah tanpa di pengaruhi suasana atau keadaan sekeliling, mereka akan terkesan dan mula berfikir.

Contohnya, mereka melihat saudara dengan istiqamah (berterusan) mendirikan solat walau dalam keadaan apa sekalipun, pasti mereka tidak akan mengambil sikap sambil lewa terhadap nasihat saudara. Lama kelamaan akan timbul rasa senang di dalam jiwa mereka sehingga terdorong mengikut jejak langkah saudara.

Saudara berasa bimbang dengan masa depan mereka jika sesuatu berlaku dan saudara tidak dapat bersama membimbing mereka. Dalam hal ini, saudara usah bimbang. Ada tiga unsur yang perlu ada untuk membina seorang insan.

Tiga unsur itu ialah guru yang membimbing, sistem pembelajaran dan suasana yang salih. Untuk memastikan adik terus dibimbing, saudara mesti menyediakan ketiga-tiga unsur ini. Bagaimana untuk melakukannya. Di sinilah usaha ini perlu digarap secara kolektif. Saudara perlu meletakkan diri dan adik dalam satu sistem yang menyediakan unsur ini.

Adik saudara perlu dibesarkan dalam suasana yang salih. Di samping mewujudkan suasana yang salih di rumah, kita perlu wujudkan suasana salih dalam konteks lebih luas. Ia membawa maksud mereka perlu bercampur dengan anak dan kumpulan yang mendukung kesedaran sama.

Apabila berada dalam kelompok rakan sebaya lebih luas, mereka akan berasa unsur kepunyaan dan ia mengukuhkan lagi asas yang diletakkan saudara dalam membimbing mereka.

Faktor kedua ialah guru pembimbing. Saudara sudah melaksanakan peranan ini dengan baik, tetapi adalah lebih berkesan jika mereka diletakkan dalam satu sistem pembelajaran sistematik seperti sistem halaqah yang dipimpin seorang ketua. Sistem pembelajaran sistematik ini akan menjadikan adik saudara mempunyai asas ilmu kukuh kenapa cara hidup Islam perlu dihayati.

Faktor ketiga iaitu sistem pembelajaran turut terlaksana apabila adik saudara berada di dalam sistem halaqah ini. Dengan izin Allah, melalui pendekatan ini tidak seorangpun yang akan bersendirian dalam usahanya untuk menegakkan Islam dalam kehidupannya.

Saudara juga perlu banyak bersabar. Tidak ada pekerjaan yang lebih memerlukan kesabaran daripada merubah manusia. Saidina Umar pernah mengatakan: “Aku lebih rela memindahkan gunung daripada merubah (perangai) manusia.”

Ia menggambarkan tidak mudah untuk mendidik manusia supaya mereka berubah kepada keadaan yang lebih baik. Apa yang boleh kita pesan pada saudara dan pada semua termasuk ialah banyakkan bersabar dan memohon pertolongan Allah.

Hidayah di tangan Allah dan Dia akan mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sedang tugas kita di dunia ini hanya berusaha dengan bersungguh. Surah Al-Asr juga mengingatkan kita bahawa tugas mengajak manusia kepada kebenaran Islam memerlukan kesabaran dan orang berjaya ialah mereka yang saling berpesan untuk bersabar dalam menyampaikan yang hak.

Jawapan disediakan pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di laman www. Bicarakalbu.blogspot.com