Monday, June 19, 2006

Beban keluarga diutama berbanding ibu

Bicara Kalbu: Beban keluarga diutama berbanding ibu

SAYA anak sulung daripada lima beradik dan tiga orang lagi masih bersekolah. Saya memberikan wang setiap bulan kepada emak dan ayah yang berpendapatan kecil. Saya memberi mereka RM500 sebulan. Kadang-kadang emak minta lebih jika ada hal kecemasan. Contohnya, saya berikan RM2,000 untuk emak. Sebenarnya duit itu daripada pinjaman insurans. Untuk pengetahuan, saya juga menanggung perbelanjaan keluarga sendiri kerana gaji lebih tinggi daripada suami.

Saya tertekan kerana terpaksa menanggung dua keluarga ini. Saya sebenarnya rasa bersalah sangat sebab cerita mengenai emak. Saya tersangat sayang emak dan tidak sanggup menghampakannya. Saya takut menjadi anak derhaka apabila terbit rasa 'mak asyik minta daripada saya'. Namun, saya cepat-cepat tepis perasaan itu. Mungkin syaitan hasut supaya hubungan saya dan emak keruh.

ANAK KERESAHAN,
Kuala Lumpur.

Masalah ini saya lihat sebagai keadaan yang berlaku kerana anda tidak gariskan batasan hak ibu terhadap anda sejak awal. Sebenarnya, sebagai anak perempuan bukan tanggungjawab anda memberikan wang kepada ibu, tetapi anda berikan juga. Ia adalah suatu kebaikan.

Dalam hal ini anda perlu gariskan batas bantuan yang boleh diberikan kepada ibu. Memang dia ibu kandung dan anda ada tanggungjawab terhadapnya. Tetapi, tanggungjawab yang dituntut daripada anda untuk menjaga keperluan diri dan anak terlebih dulu. Lagipun, yang diminta bukan untuk makan dan minum serta keperluan asas.

Lagi lama anda tangguh untuk menyuarakan batas yang mampu, lagi susah anda hendak gariskan. Maka, tindakannya kelak akan menjadi lebih hebat. Anda perlu kuatkan jiwa dan hadapi keadaan kalau reaksi ibu adalah marah dan merajuk. Anda perlu bertanya pada diri apa sebab sebenar tidak dapat memberitahu ibu bahawa tidak mampu menunaikan sebahagian permintaannya.

Mungkin anda takut menjadi anak derhaka. Tetapi, ia tidak mungkin kerana selama ini anda memberikan kepadanya jauh lebih banyak daripada tanggungjawab terhadapnya. Adalah lebih baik apa yang diberikan yang anda mampu dan rela memberikan kepadanya.

Anda perlu berusaha mendapat jiwa tenang dan penuh syukur serta reda. Ia kerana Allah hanya menjemput orang yang memiliki nafsu mutmainnah iaitu jiwa yang tenang untuk memasuki syurga-Nya.

# Jawapan disediakan Dr Suriya Osman, seorang doktor dan ‘life coach’ serta boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my. Persoalan dan jawapan layari www.bicarakalbu.blogspot.com

Monday, June 12, 2006

Bicara Kalbu: Doa pelembut hati mampu tangani anak nakal

SOALAN:

SAYA ibu muda yang bekerja sebagai jurutera serta mempunyai empat anak kecil yang rapat usia. Saya bekerja untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga, menabung serta melangsaikan pinjaman dan hutang.



Anak amat rapat dengan saya walaupun lasak. Tetapi kelasakan anak sulung, membuat saya berfikir, rungsing, sedih dan sentiasa menyalahkan diri sendiri sehingga ke pada satu tahap mahu berhenti kerja.

Sikapnya menyebabkan pembantu rumah tidak betah dan tidak tahan bekerja dengan keluarga kami.

Kebanyakannya mengadu mengenai perangainya yang garang, melawan dan suka marahkan mereka.

Dia sudah pandai ponteng sekolah. Kenakalannya mencapai tahap teruk selain memukul pembantu, sudah pandai mengambil wang tanpa izin. Anehnya, jika saya ada di rumah, perangainya berubah. Dia tidak marah-marah.

Dalam keadaan begini, saya terfikir untuk berhenti kerja supaya dapat memberi tumpuan yang lebih kepada anak. Malangnya, suami kurang bersetuju.

IBU DALAM DILEMA.

JAWAPAN:

DALAM menyelesai atau meringankan bebanan masalah puan, perkara paling utama ialah meminta pertolongan daripada Allah. Minta tunjukkan penyelesaian terbaik buat keluarga puan.

Tenangkan fikiran, lapangkan dada dan tarik nafas perlahan-lahan.

Kedua, puan dan suami perlu ada satu mindset untuk berubah. Tentu jika tiada apa yang berubah dalam tindakan puan dan suami dalam menanganinya, keadaan tidak akan berubah dan masalah akan bertambah lagi. Pasti perlu ada perubahan selepas berbincang dengan suami .

Ketiga, perlu ada perbincangan dua hala (puan dan suami) dalam suasana bertenang dan bersifat objektif serta mempunyai matlamat untuk mencapai satu keadaan ‘menang-menang’.

Perbincangan semata-mata untuk mencari penyelesaian tanpa membabitkan emosi dan kepentingan diri.

Keempat, jika puan memutuskan untuk berhenti kerja, perbincangan perlu berkisar di sekitar perbelanjaan yang diperlukan.

Begitu juga penelitian ke mana wang yang ada dibelanjakan dengan terperinci. Dengan ini mungkin akan lebih jelas apa akan berlaku jika puan berhenti kerja buat seketika sehingga masalah perangai anak sulung dapat ditangani dengan baik dan perubahan positif berhasil.

Kelima, jika memutuskan masih perlu bekerja, maka mungkin puan perlu dapatkan cara lain seperti balik kerja lebih awal untuk memberikan ‘masa kualiti’ yang lebih kepada anak.

Dalam pada itu pengurusan masa yang efektif ketika di pejabat perlu diperhalusi kerana kerja di pejabat tidak akan pernah habis!

Keenam, puan dan suami perlu berperanan dalam mengubahkan perangainya. Anak ini perlu didisiplinkan.

Untuk mendisiplinkannya puan perlu memberitahu kepadanya, perbuatan dan perangai bagaimana yang tidak boleh diterima dan apa denda jika dia lakukannya.

Berpakatlah dengan suami untuk bertindak sama, jangan puan buat lain, suami pula bertindak cara lain. Nanti anak puan akan keliru.

Cuba mendisiplinkan anak dengan tegas, konsisten dan lembut serta penuh dengan sifat rahmah. Perlu banyak bersabar.

Jangan lupa berdoa dan munajat untuk anak dalam solat. Doanya: “Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyatina qurrata a’ayun, wajaalna lill mutaqiina imama.” Maksudnya: “Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa.”

Sebenarnya untuk menangani masalah ini, puan dan suami perlu lakukan transformasi dalam mindset dan tindakan.

Jika semua usaha ini tidak berhasil, puan perlu membawa anak ini berjumpa pakar untuk merawatnya.

Pelbagai rawatan boleh dipilih sama ada dari pakar psikologi kanak-kanak, kaedah rawatan energy healing, homeopati, perubahan cara pemakanan dan mengamalkan banyak doa pelembut hati.

Jangan tawakal dengan usaha fizikal dan mental saja, usaha spiritual juga perlu. Tawakal semestinya kepada kekuasaan Allah dengan memohon pertolongan daripadanya sepanjang masa.

DOA DISIPLINKAN ANAK
‘’Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyatina qurrata a’ayun, wajaalna lill mutaqiina imama”

Maksudnya: “Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa”



JAWAPAN disediakan oleh Dr Suriya Osman, doktor perubatan dan perunding ‘life coach’. Soalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com


Artikel dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia.