Friday, March 30, 2007

Suri rumah boleh manfaat ilmu untuk kerja sukarela

Soalan;

Saya seorang ibu dan isteri berusia 35 tahun. Selepas tamat pengajian dari pusat pengajian luar negara saya bekerja sebagai seorang Jurutera Awam yang menghabiskan masa di tapak projek. Apabila saya berumahtangga dan melahirkan 3 orang anak saya merasa kehidupan saya berubah. Cabaran memenuhkan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu bekerja amatlah besar. Saya merasa bersalah terhadap suami dan anak anak kerana selalu balik lewat malam dan keluar pagi terlalu awal. Tambahan pula pembantu rumah silih berganti. Akhirnya saya memutuskan untuk berhenti kerja kerana kedudukan kewangan keluarga semakin baik dan perniagaan suami telah meningkat. Suami saya adalah orang yang paling bahagia dalam dunia apabila mengetahui mengenai keputusan itu. Sejak hari itu anak anak saya bersarapan pagi bersama dan sentiasa mencium tangan saya setiap kali mereka akan keluar ke sekolah. Mereka kelihatan seronok dan saya rasa sungguh bahagia.

Setelah lebih kurang 5 tahun menjadi suri rumah sepenuh masa, anak-anak saya membesar dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran masing-masing. Dua dari anak saya telah memasuki sekolah berasarama penuh. Kini tinggal anak bongsu yang masih bersekolah rendah. Sejak akhir akhir ini saya rasa bosan, tidak berkembang dan rendah harga diri (low self esteem). Tambahan pula, suami semakin sibuk dengan perniagaannya yang telah menjangkau ke arena antarabangsa.

Tiba-tiba datang idea dan hasrat untuk bekerja semula. Suami saya hanya mendiamkan diri apabila saya mengajukan hasrat saya itu. Anak bongsu saya terkedu dan senyuman nya hilang seketika. Adakah saya seorang yang pentingkan diri sendiri. Tolong berikan sedikit pandangan.

Ibu Dilema
Subang Jaya

JAWAPAN;

Apabila saya membaca masalah puan, saya merasakan bahwa puan adalah seorang isteri dan ibu yang sempurna. Puan telah mengecap erti kebahagiaan dalam kehidupan. Keluarga yang stabil dan bahagia, suami yang penyayang dan anak anak yang comel adalah anugarah Ilahi yang puan harus syukuri.

” Nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan”. Maksud Surah Ar Rahman, ayat 12
”Dan jiwa beserta penyempurnaannya
Allah mengilhami jiwa kebaikan dan keburukan
Beruntunglah mereka yang membersihkannya
Dan merugilah mereka yang mengotorinya”...Maksud Surah As Syams ayat:7-10)
Mungkin kebosanan dan perasaan sunyi sekali sekala menghantui jiwa puan. Bersihkan jiwa puan dari belenggu itu.Apakah matlamat yang lebih mulia dalam hidup ini selain untuk mendapat keredhaan Allah, kasih sayang suami dan keluarga dan pengiktirafan masyarakat sekeliling. Kepuasan diri tercapai apabila kita berjaya membahagiakan manusia lain. Kepuasan diri seorang wanita boleh dicapai tanpa mengira samada dia bekerja atau tidak bekerja.

Ramai beranggapan bahawa selepas berhempas pulas belajar di menara gading, kita mesti bekerja di tempat yang setara dengan kelulusan yang dicapai dan memperoleh pendapatan yang tinggi. Selain dari itu ada juga yang beranggapan dengan bekerja, wanita akan memperoleh kebebasan dan memenuhi kepuasan diri. Menurut pandangan ini, dengan bekerja wanita akan bebas daripada belenggu yang menyebabkan mereka tertinggal di belakang. Anggapan ini kurang tepat.

Demikian juga wanita yang memilih untuk tidak bekerja, pasti mempunyai alasan yang kukuh juga. Tidak bekerja atau berhenti kerja bukan semata-mata semata-mata kerana sudah kaya raya dan cukup duit atau sudah puas mengecapi kebebasan. Alasannya jauh lebih murni daripada itu. Jadi alasan untuk bekerja atau tidak bekerja bukanlah semata-mata kerana isu wang ringgit atau isu hendakkan kebebasan atau kepuasan diri sendiri sahaja. Apakah kekayaan dan kepuasan diri semata-mata yang dikejar atau ada sesuatu perkara lain yang menjadi matlamat hidup kita?

Keperluan untuk memilih samada keluar bekerja atau tidak berkerjaya bergantung kepada keperluan sesuatu keluarga. Setiap keluarga mempunyai keperluan yang berbeza. Satu keluarga satu skrip yang unik. Perkara yang penting wanita tersebut tahu, dia punya alasan yang kukuh dan yakin terhadap pilihan yang telah dibuat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah akan tetapi kekayaan yang sebenar-benarnya ialah kaya jiwa”.

Semua wanita mempunyai impian apabila bergelar isteri dan ibu, mahu menjadi ibu misali kesayangan anak-anak. Ramai yang bercita-cita ingin menjadi pendidik dan pembimbing kepada anak-anak; seperti Asma' Binti Abu Bakar, yang tanpa jemu meniupkan semangat jati diri dan perjuangan kepada anaknya, Abdullah Ibn Zubair.

Ramai pula berhasrat menjadi wanita sejati dan mencontohi wanita-wanita tauladan. Ingin menjadi teman dan penghibur kepada suami di kala senang dan susah; seperti Saidatina Khadijah, isteri Rasulullah saw . Peranan yang dimainkan oleh Saidatina Khadijah tentu begitu besar dan berkesan, sehingga suaminya Rasulullah saw berkata:
" Siapakah yang boleh terfikir akan berkahwin selepas ketiadaan Khadijah?" . Isteri mana yang tidak menginginkan pengiktirafan seperti itu dari suami tercinta.

Tetapi berapa orang wanita wanita yang bertuah mendapatkan semua itu?

Saya telah bekerja selama lebih 20 tahun. Saya menemui ramai wanita berkerjaya dan juga pengurus rumahtangga sepenuh masa. Saya temui wanita bekerjaya yang berjaya di alam pekerjaan dan masyarakat dan ada juga yang tertekan dengan kerjaya yang mencabar. Demikian juga saya temui suri-suri rumah sepenuh masa itu yang telah memberikan sumbangan hebat mereka kepada keluarga, masyarakat dan negara dengan efektif. Saya menyedari bahawa untuk mencontohi wanita-wanita mithali tersebut diatas tadi, kita tidak semestinya semata-mata 'bekerja' atau 'tidak bekerja'. Perkara yang penting ialah niat dan matlamat kita bekerja atau tidak bekerja untuk apa, untuk siapa dan mahu ke mana?. Kita tidak harus memikirkan diri sendiri dan keluarga sendiri sahaja. Sebaliknya kita perlu memanfaatkan potensi diri dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan warga negara yang memberi manfaat. Kita memberi sumbangan kepada masyarakat untuk mencapai keredhaan Ilahi. Inilah nilai yang lebih murni.

Namun saya juga dapati ramai wanita yang tidak bekerja, menjadi surirumah (saya lebih suka memanggilnya sebagai Pengurus Rumahtangga) merasa rendah diri dan bosan dengan kerjaya ini. Duduk terperap di rumah dari pagi hingga ke malam. Dunianya hanyalah dapur, kain baju, anak-anak dan pelbagai kerja-kerja rutin rumahtangga, tertutup dari perkembangannya dunia luar. Benarkah begitu tertutupnya dunia rumahtangga mereka?

Saya teringat sebahagian isi ceramah Dr Robiah Kulup, seorang pakar motivasi yang membicarakan peranan pengurus rumahtangga. Profession suri rumah bukan sekadar nasi tambah, malahan wanita bergelar pengurus rumah tangga adalah kunci hidangan kebahagiaan utama untuk sesebuah keluarga. Peranan surirumah adalah satu tuah dan anugerah dari Allah. Wanita diberi kuasa untuk menguruskan rumah.Wanita boleh melihat anak membesar dengan jayanya di depan mata, boleh melihat dan mengurus kain baju yang kotor, boleh memandang langsir yang senget tidak terutus. Kelebihan wanita iaitu mampu mengenalpasti benda-benda yang tidak sempurna dirumah walau sekecil mana pun. Suami mencari nafkah kerana menjadi ketua keluarga, isteri pula menjadi pembantu dalam keluarga sebagai pengurus rumahtangga dan pendidik serta pembimbing anak anak.

Rumah adalah sekolah pertama dan ibubapa pula adalah guru pertama bagi anak-anak. Pendidikan tidak berkesan jika ibubapa tidak berperanan di rumah. Rumah adalah tempat berkumpulnya kasih sayang, perhubungan mesra, membina harga diri, kemahiran asas sosial, pemahaman agama dan kelancaran berkomunikasi.

Apabila ia pincang ia, maka pincanglah rumahtangga itu. Kerana itu, bosan atau memandang rendah tanggungjawab pengurus tangga adalah tidak tepat sama sekali. Malahan wanita yang berkesempatan menjadi surirumah tangga sepenuh masa, harus rasa bersyukur kerana diberi peranan sebesar itu. Bukan semua wanita mendapat peluang keemasan ini. Ramai wanita bekerja di luar sana yang mimpikan kesempatan tersebut tetapi kebanyakan mereka tidak mendapat peluang itu. Masing maisng mempunyai skrip yang berbeza.

Puan terasa bosan dan kesunyian mungkin kerana puan menutup minda puan dari dunia luar dan alam sekeliling. Puan seorang yang berpelajaran dan punya wawasan, mesti sentiasa peka, sentiasa meningkatkan diri dengan ilmu pengetahuan baru, sentiasa memperkasakan diri dengan pelbagai kemahiran hidup. Gabungkan diri puan dengan organisasi bukan kerajaan, badan-badan kebajikan dan dakwah. Badan-badan ini mempunyai program yang tersusun dan perlukan sukarelawan yang bijak seperti puan untuk menyumbang. Puan boleh menyumbang idea, wang ringgit dan berkongsi pengalaman. Cuba jinakkan diri dan hadir majlis-majlis ilmu yang selalu di adakan oleh badan badan ini samada di masjid atau dewan-dewan perhimpuan. Hubungi kawan-kawan lama, kongsikan hasrat dan cerita terbaru puan.

Apabila puan ingin berkerja semula puan akan risau, adakah anak puan diberi makan oleh pembantu rumah. Puan mula akan rasa bimbang anak keluar rumah sesuka hati, kerana puan tiada lagi sentiasa di rumah ada untuk mengawasinya. Perasaan cemas puan seperti dulu akan datang kembali, kadangkala menghadapi dilema, badan di pejabat tetapi hati di rumah.

Hargailah peranan besar itu, kekalkan status diri puan sebagai Ratu kepada suami dan anak-anak. Berikan nilai tambah Puan sebagai sukarewalan yang penuh bakti.
It’s not how much we give but how much love we put into giving." - Mother Teresa
(Bukanlah berapa banyak yang anda berikan, tetapi berapa banyak ‘cinta’ yang anda tuangkan dalamnya).
Balasan daripada kebaikan yang puan curahkan itu akan memayungi Puan di akhirat kelak. Maksud ayat-ayat dari Srah Ar Rahman boleh kita renungi bersama :

Bukankah ada balasan yang terbaik bagi amal yang terbaik baik pula? - Ayat 60
Nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Ayat 61
Penduduk Syurga itu bersenang senang dengan berteleku di atas (bantal) cadar cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah. Ayat -76
Nikmat tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Ayat 77
Maha sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.Ayat 78.

Jawapan disediakan oleh Endok Sempo binti Mohd Tahir dengan kerjasama Wanita JIM. Permasalahan dan jawapan boleh di layari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, March 23, 2007

Isteri perlu seimbangkan cita-cita, tanggungjawab

Bicara Kalbu: Isteri perlu seimbangkan cita-cita, tanggungjawab

SAYA seorang ibu dan isteri berusia 28 tahun yang bercita-cita melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi serta menjawat jawatan terbaik sebelum saya berusia 40 tahun. Untuk pengetahuan puan, saya sudah berkahwin tiga tahun dan pernah berkata pada suami yang saya akan memastikan cita-cita saya tercapai walau apa pun terjadi. Suami saya tidak pernah menghalang niat saya. Selama perkahwinan, saya berkali-kali menunda proses untuk mencapai cita-cita. Sebagai contoh, saya menunda permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan menolak tawaran bekerja ke jawatan yang lebih baik untuk menumpukan perhatian terhadap keluarga. Tetapi, sekarang saya berasakan sudah tiba masanya untuk saya memulakan langkah. Cuma sekarang saya berasa ragu-ragu. Adakah saya sekarang sedang mementingkan diri dan mengabaikan keluarga yang saya sayangi? Saya tidak mahu kebahagiaan yang dikecapi sekarang punah. Saya bimbang nanti ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.’ Saya masih memegang kukuh impian saya untuk sentiasa menjadi seorang ibu, isteri serta muslimah bekerjaya yang cemerlang dunia dan akhirat. Saya amat perlukan nasihat puan.

Ibu muda was was
KLIA,Sepang

Jawapan

SAYA tidak nampak sebarang alasan munasabah untuk puan memendamkan cita-cita murni. Walaupun puan sudah nyatakan cita-cita puan. Ia adalah permulaan yang penting. Namun, puan perlu tentukan apakah matlamat dan arah tujuan kerjaya puan? Bagaimanakah keputusan puan nanti akan mengubah cara hidup keluarga puan?

Bekerja atau tidak bekerja bagi seorang wanita yang bergelar ibu dan isteri adalah satu persoalan yang perlu direnungkan dan difikirkan dengan mendalam. Tindakan seorang isteri, apatah lagi ibu akan memberi kesan besar dalam kehidupan keluarga termasuk suami dan anak.

Apakah puan perlu bekerja atau terus menjadi suri rumah tangga sepenuh masa adalah satu persoalan yang saya kira perlu diambil serius. Dalam keadaan ini ayat Allah di dalam Surat at Taubah ayat 71 yang bermaksud: “Orang yang beriman lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong kepada yang lain. Mereka menyuruh dengan yang makruf dan melarang dari yang munkar”.

Bertitik tolak daripada ayat di atas, dapat dirumuskan bahawa manusia sama ada lelaki atau wanita perlu tolong-menolong dalam melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam apa keadaan sekalipun sama ada di tempat kerja atau di rumah. Persoalan bagaimanakah tanggungjawab ini boleh diselaraskan dan diseimbangkan. Keseimbangan ini perlu dilaksanakan dengan baik dan berkesan ke arah pembentukan keluarga dan masyarakat yang sejahtera serta diredai Allah SWT. Jadi sama ada bekerja atau tidak puan perlu mempunyai alasan yang kukuh.

Secara objektifnya, jangan sekali-kali benarkan ‘perasaan’ mengemudi hidup kita. Biarkan rasional dan fahaman syariah Islam menolong puan membuat pertimbangan, kerana mengikut perasaan semata-mata kita tidak akan ke mana. Beberapa tip di bawah mungkin berguna untuk puan fikirkan dan bincangkan bersama suami.

Pertama, wajar dibezakan antara ‘ego’, ‘keazaman’ dan ‘pentingkan diri’. Puan lebih arif untuk menjawab persoalan ‘egokah saya?’, kerana apa yang terbuku dan terpendam di hati dan fikiran saudari tidak ada orang lain yang tahu. Adakah saudari seorang yang mementingkan diri sendiri? Daripada apa yang puan tulis, saya tidak nampak. Puan sudah beberapa kali menangguhkan hasrat itu. Ia menggambarkan puan bukan seorang yang mementingkan diri sendiri. Apa yang lebih penting, puan perlu sedar yang pilihan dalam hidup ini tidak semestinya ‘mutually exclusive’.

Memilih A tidak bererti kita tidak boleh melakukan B sama sekali. Dalam banyak

keadaan, kita boleh memilih A- DAN B+ umpamanya. Saudari boleh menjadi pelajar dan pada masa sama masih menjadi isteri dan ibu dan sebagainya. Namun, puan perlu sedar pula cabaran hebat yang bakal puan hadapi. Puan perlu ketahanan jiwa yang kental menangani perubahan ini.

Saudari sudah bincangkan dengan suami, suami tidak ada halangan. Mungkin kata-kata hikmat seorang filosof China boleh dipegang; If you wish to know the mind of a man, listen to his words (Jika kamu ingin mengetahui minda seorang lelaki, dengarlah apa yang diperkatakannya). Ia menunjukkan suami puan bersifat terbuka, memberikan sokongan penuh dan komunikasi puan suami isteri dalam keadaan yang harmonis. Inilah modal utama kejayaan puan pada masa akan datang.

Kedua, jangan takut tercicir yang dikendong atau tidak dapat yang dikejar.

Dengan sokongan suami dan ahli keluarga yang lain, saudari berpeluang cerah untuk berjaya. Biar sesal mencuba, daripada sesal mengharap tanpa usaha. Kuncinya, pastikan saudari mampu imbangi tugas, tanggungjawab dan cita-cita.

Atasi ketakutan dengan tindakan sebab takut itu dalam bahasa Inggeris ialah ‘fear’ - False Evidence Appear Real- (bukti yang palsu tetapi kelihatan seolah nyata dan benar). Ketakutan puan bukan dinding tebal, tetapi hanya halangan yang rapuh. Keberanian bukan kerana kita tidak takut. Keberanian sebenarnya ialah apabila kita mampu menguasai atau mengendali perasaan takut itu.

Jadi, bagaimana kita hendak mengatasinya? Puan perlu mulakan langkah daripada sekarang. Ketakutan yang selalu menghalang kita. Pada saat kita mula melangkah, kebimbangan akan mula lesap sedikit demi sedikit. Puan akan mula menumpukan perhatian puan kepada apa yang puan lakukan dan apa yang berlaku di sekeliling puan. Puan tidak lagi terjerat dengan ketakutan yang tidak menentu. Bila puan melakukan langkah pertama, langkah kedua menyusul dan seterusnya puan akan melakukannya satu persatu. Rasa takut itu ibarat kertas tisu yang sangat tipis. Satu langkah yang berani akan mengoyakkan perasaan cemas dan takut itu. Hayatilah maksud ayat al-Quran, surah Ar Ra?du ayat 11: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”

Ketiga, setiap keputusan yang puan buat ada implikasi, cabaran, keperluan dan pengorbanan. Soalnya, apakah puan dan suami sudah bersedia untuk korbankan sedikit sekarang, untuk mencapai sesuatu yang lebih besar pada masa depan? Ia sangat mencabar. Bagi seorang wanita yang mempunyai suami dan anak, melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit.

Puan perlu belajar membahagikan masa melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar, isteri dan ibu. Masa yang ada untuk belajar dan membuat tugasan adalah antara jam 8.30 pagi hingga jam 5.00 petang, iaitu pada hari bekerja. Selain daripada waktu itu dan pada hujung minggu puan terpaksa melaksanakan tugas sebagai isteri dan ibu. Jika ada tugasan yang perlu dihantar atau ketika menghadapi peperiksaan, puan akan berjaga malam. Namun, peluang berjaga malam selalunya tidak lama, kerana terpaksa berhenti untuk menyusukan anak atau menyalinkan lampin yang basah. Keadaan persekitaran juga tidak banyak membantu wanita berkeluarga untuk melanjutkan pelajaran. Tanpa mengira siapapun anda; bujang, berkahwin, mengandung, mempunyai anak dan sebagainya, puan dianggap sama dan diharap untuk 'perform' seperti rakan lain.

Kejayaan tidak datang bergolek. Dari manakah kekuatan untuk berupaya melakukan semua itu? Berdoa kepada Allah SWT agar Allah memudahkan tugas puan. Puan perlu cekal dan meyakini bahawa “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”- maksud Al Quran, surah Al Baqarah ayat 286.

Apapun bentuk cabarannya, keputusan untuk meneruskan pelajaran (dan kemudian bekerja) adalah pilihan puan sendiri. Puan bulatkan tekad, tempuhi cabaran dan kesukaran itu, walau hanya dengan langkah demi langkah. Puan perlu lengkapkan diri dengan kesabaran kental. Usaha yang bersungguh-sungguh dan doa yang tidak pernah putus daripada Allah SWT.

Jawapan disediakan oleh Endok Sempo Tahir dan Amir Razelan dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dikongsi di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, March 16, 2007

Kesedaran berubah perbaiki urusan rumah tangga

SAYA adalah seorang ibu yang mempunyai dua anak. Anak sulung belajar di universiti dan yang bongsu belajar di Tingkatan Lima. Saya ibu yang bekerja. Dalam banyak hal, saya secara realitinya membesarkan anak dengan tenaga, wang ringgit dan masa yang padat (harapnya yang berkualiti). Saya berasa teraniaya dengan perbuatan suami yang kurang bertanggungjawab ini. Saya cuba memahami keadaan suami saya (namakan sebagai AS) dan dia berasal dari kampung. Alhamdulillah, AS mendapat pendidikan yang boleh dikatakan baik. Saya tidak kenal dia dengan begitu rapat sebelum kahwin. Selepas berkahwin saya dapati dia seorang yang suka bercakap besar, riak dan suka berbelanja tanpa perancangan. Lama-kelamaan tingkah lakunya itu membuat AS tersepit sendiri. Hingga sekarang ini saya terpaksa menanggung belanjanya pula. Kadang-kadang saya risau, terutama pada masa sekarang semua barang mahal dan pendapatan sedikit. Cukup bulan tolak ini tolak itu, hampir tidak berbaki. Bagaimana hendak menyimpan duit?. Bagaimana hendak menabung untuk masa depan anak, bayaran tuisyen anak, duit buku, belanja makan dan sebagainya. Walaupun saya sentiasa berdoa, berzikir, sembahyang wajib dan sunat, itulah cara saya berserah kepada Allah. Namun, saya masih bimbang, risau terhadap masa depan keluarga kami yang seolah-olah terumbang-ambing. Minta sedikit nasihat untuk meredakan yang terbuku dalam hati.


Pencari Sinar
Melaka

Syabas, puan menggunakan pendekatan spiritual mendekati Allah dalam meredakan gelodak kebimbangan puan. Namun, tindakan ini perlu disokong dengan beberapa langkah seterusnya.

Kunci penyelesaian atau langkah pertama untuk keluar daripada permasalahan ini ialah melakukan ‘perubahan’. Namun sebelum seseorang itu mampu berubah, dia mesti menyedari dan berasakan dia perlu melakukan perubahan. Jika kesedaran ini tidak ada bagaimana seseorang itu boleh berubah kerana dia tidak berasakan perlu untuk berubah.

Jadi, dalam kes puan ini, saya rasa puan perlu berkomunikasi dengan suami puan. Puan perlu menerangkan kenapa suami puan perlu berubah. Berikut langkah yang boleh puan lakukan:

# Cuba puan buat draf belanjawan keluarga dengan mencatatkan jumlah pendapatan dan anggaran perbelanjaan bulanan serta pecahannya seperti berapa duit gaji diperoleh suami isteri, berapa pula anggaran belanja dapur, persekolahan anak, ansuran kereta, ansuran rumah, duit minyak, bil elektrik, air, telefon dan lain-lain. Prinsip pertama dalam menyusun belanjawan keluarga ialah tidak boleh berakhir dengan ‘defisit’ iaitu perbelanjaan lebih tinggi daripada pendapatan.

Prinsip kedua ialah mesti ada lebihan walaupun sedikit untuk perbelanjaan luar jangka. Soal pendapatan siapa yang lebih besar sama ada suami atau isteri bukan soal pokok. Kedua pihak bersetuju dan bersepakat untuk mengurus dan berkongsi perbelanjaan rumah tangga berdasarkan pendapatan terkumpul kedua-dua suami isteri. Memang pada asasnya suami bertanggungjawab untuk menyara keluarga. Namun, dalam kehidupan serba kompleks hari ini, isteri juga turut berperanan mengukuhkan ekonomi keluarga. Apabila wujud satu keadaan pendapatan isteri lebih besar, maka apa juga sumbangan isteri ke arah memenuhi tuntutan ekonomi rumah tangga adalah pahala bagi pihak isteri kepada keluarga.

Saya yakin selepas puan bentangkan belanjawan ini kepada suami, beliau akan menilai kembali sikap dan cara dia berbelanja. Mungkin selama ini beliau tidak menyedari sebahagian besar perbelanjaan rumah tangga ditanggung oleh puan. Jadi, dengan ada dokumentasi perbelanjaan rumah tangga ini dia akan sedar betapa besarnya pengorbanan puan selama ini yang sepatutnya dipikul oleh dia. Mudah-mudahan akan menimbulkan keinsafan kepadanya dan akan bersikap lebih bertanggungjawab dalam berbelanja dan menghentikan sifat boros dan membazir.

# Cuba puan nasihatkan suami puan supaya melihat ke hadapan. Anak sudah masuk ke universiti dan tidak lama lagi seorang lagi anak akan melanjutkan pelajaran ke sana, Insya-Allah. Ia memerlukan komitmen kewangan yang besar. Walaupun anak puan mendapat pinjaman kewangan (Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan sebagainya) namun, mereka masih memerlukan sokongan kewangan ibu bapa. Bagaimanakah keperluan anak boleh dipenuhi jika tabiat berbelanja suami isteri masih pada takuk lama.

# Mengenai kelemahan suami yang dikatakan suka bercakap besar, riak dan berbelanja besar, saya rasa kelemahan ini adalah kerana dia berkawan dengan 'kawan-kawan' yang salah. Maksud saya dia berkawan dengan orang yang suka mengambil kesempatan. Ada jenis kawan yang mengambil peluang daripada kelemahan suami puan dengan mencabar dia supaya berbelanja besar. Ia menyuburkan sikap suka menunjuk-nunjuk (riak) dengan berbelanja lebih daripada kemampuan semata-mata supaya kononnya 'dihormati' dan 'dipandang tinggi' orang lain. Dalam keadaan sedemikian ada juga yang 'mengipas' suami puan supaya mereka mendapat manfaat darinya.

Jadi dalam keadaan sedemikian, jika ia berlaku eloklah suami menyemak kembali siapakah yang menjadi teman pergaulannya. Kita disuruh untuk berkawan dengan semua orang tetapi berteman dengan orang yang salih dan tawaduk. Jika suami puan mampu menjauhkan diri daripada pengaruh buruk rakannya dan mula mencari teman daripada kalangan kelompok yang positif, sedikit demi sedikit dia akan berasa perubahan dalam dirinya. Kawan adalah cermin diri sendiri. Dengan siapa seseorang itu bergaul menggambarkan sedikit sebanyak tingkah laku dan peribadinya.

# Puan mengatakan puan menyempurnakan semua tuntutan sebagai seorang Muslim dengan menyempurnakan solat fardu dan juga mendirikan solat sunat. Puan tidak menyatakan dalam surat puan, tetapi sebuah rumah tangga yang harmoni dan 'beres' kualiti yang ada pada puan juga perlu ada pada suami. Maaf, jika andaian saya tidak tepat. Jika suami ada kekurangan dari aspek ini, sebaiknya puan dengan nasihat dan penuh hikmah mengajak suami puan bersama-sama melakukannya. Insya-Allah rumah tangga puan akan diberkati dan dirahmati Allah. Ajaklah sekali sekala solat berjemaah bersama-sama terutama solat Maghrib dan galakkan dia bersolat Isyak di surau.

# Teruskan mengharap bantuan dan pertolongan daripada Allah seperti yang puan lakukan selama ini. Yakinlah Allah mendengar pengaduan hambanya dan pasti akan menjawab dan mengurniakan apa yang diminta oleh setiap hambanya.


# Jawapan disediakan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor (Pensyarah UPM) dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dikongsi di www.bicarakalbu.blogspot.com.

Saturday, March 03, 2007

Tenangkan emosi hadapi kerenah anak

Bicara Kalbu: Tenangkan emosi hadapi kerenah anak

SAYA ingin memohon jasa baik puan berhubung masalah mendidik anak. Saya berumur 33 tahun, bekerja sebagai pendidik dan mempunyai anak berumur empat dan dua tahun.


Saya cuba menjadi ibu terbaik tetapi sering berasakan saya gagal berbuat demikian. Saya agak garang dengan anak terutama apabila terlalu letih dengan kerja rumah dan atau pulang dari kerja.

Saya akan menengking dan memukul anak. Biasanya saya rasa menyesal sejurus selepas berbuat demikian. Anak saya pernah mengadu kepada neneknya bahawa saya selalu menengking dan memukulnya.

Saya berusaha mendapatkan kaedah atau tips mendidik anak tetapi gagal melaksanakannya kerana sukar mengawal kemarahan. Saya harap puan dapat membantu saya.

Ibu prihatin,
Seremban, Negeri Sembilan.

SAYA berasa empati dengan masalah puan. Sememangnya tugas sebagai pendidik amat mencabar dan memenatkan. Sebagai isteri dan ibu yang berkerjaya, kita mesti sentiasa berusaha mencari keseimbangan dalam kehidupan.

Ibu bekerjaya perlu bijak menguruskan masa dan meletakkan keutamaan. Kita juga tidak boleh melakukan semua perkara seorang diri. Berbincanglah dan bahagikan tugas dengan suami. Dapatkan bantuan lain sekiranya perlu.

Pada tahap umur anak puan, mereka memerlukan kasih sayang, belaian dan perhatian kerana anak yang ditinggalkan semasa bekerja akan menagih kasih apabila ibu pulang.

Cuba sediakan emosi yang tenang dan sentiasa fokus apabila pulang supaya dapat memberikan keutamaan kepada anak dengan melakukan aktiviti masa berkualiti.

Anak empat tahun mempunyai tumpuan yang singkat dan mereka lebih suka melakukan aktiviti berbentuk fizikal seperti berlari dan melompat.

Bermain dan bercerita bersama sebenarnya sangat berkesan untuk mendekati anak dan mereka rasa disayangi. Biasanya sekiranya keperluan emosi dan fizikal anak dipenuhi mereka tidak lagi meragam.

Mutakhir ini ramai ibu bapa mahukan anak cepat membaca dan mengaji. Ia sesuatu yang baik tetapi mestilah dilakukan dengan cara yang menarik minat anak dan tidak menekan.

Mungkin lebih berkesan mengajar anak dengan pujukan dan tidak terlalu lama. Memadai dengan satu atau dua kali ulang. Yang penting kita konsisten melakukannya.

Untuk memotivasikan anak melakukan sesuatu, cara memberi ganjaran adalah lebih sesuai dengan fitrah anak. Ganjaran adalah teknik keibubapaan dengan cara berlemah lembut sesuai dengan kehendak Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesunggguhnya Allah mencintai berlemah lembut dalam segala urusan.” (Riwayat Bukhari)

Ganjaran diberikan secara segera dan konsisten apabila anak berusaha melakukan tingkah laku yang baik dan apabila anak berusaha meninggalkan tingkah laku yang tidak baik.

Ganjaran berbentuk pujian, ciuman kasih sayang, pelukan, penghargaan dan pengiktirafan diberikan sambil menekankan perbuatan baik anak seperti, “Bagus, pandai Amir buang sampah ke dalam tong sampah.”

Elakkan daripada memberi ganjaran apabila anak melakukan yang terbaik saja. Yang lebih penting adalah mereka mengekalkan usaha kecil mereka yang akhirnya akan membawa kepada kejayaan lebih besar.

Sebagai contoh, beri pujian kepada anak yang berusaha mengaji walaupun masih banyak bacaan perlu dibetulkan. Sentiasa ingat bahawa mereka masih kecil dan belajar daripada kesilapan.

Ganjaran berupa hadiah seperti coklat, mainan dan alatan menulis tidak boleh kerap diberikan. Ini bagi mengelakkan penggantungan anak kepada hadiah untuk melakukan sebarang usaha.

Saya lebih suka memberi ganjaran berbentuk aktiviti seperti bercerita dan bermain. Aktiviti begini memberi kesan jangka panjang yang lebih besar dan mendalam dalam jiwa anak.

Sebaliknya, hukuman seperti memukul dan merotan tidak digalakkan terutama pada anak yang masih kecil. Ia hanya berkesan membetulkan sikap anak untuk sementara waktu saja dan tidak untuk jangka panjang berbanding teknik ganjaran.

Lebih memudaratkan lagi, anak yang selalu dimarahi dan dipukul berkemungkinan membenci si pemukul dan berasakan perbuatan memukul adalah sesuatu yang dibenarkan untuk dilakukan kepada orang lain.

Mereka juga mungkin bertindak menyembunyikan perbuatan atau menipu kerana takut dihukum. Walau bagaimanapun, ketegasan perlu dalam pendidikan supaya anak mengetahui had atau batasan yang dibenarkan.

Tegur dan nasihat dengan sabar dengan menerangkan akibat perbuatan mereka apabila anak melakukan perkara yang membahayakan diri, orang lain, merosakkan barang atau alam semula jadi, yang tidak mengikut akhlak serta syariat Islam.

Mengasuh dan mendidik anak memerlukan kita sentiasa berdoa yang terbaik, berkongsi pengalaman dan berfikiran positif supaya kita menjadi lebih berhikmah dalam menangani masalah anak.

Saya berdoa semoga puan dapat mengatasi masalah puan dan berjaya mendidik anak dengan lebih cemerlang. Sayangi dan dekati anak kita.

Jawapan disediakan Pengurus Tadika Islam dan Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pahang, Rosnah Ahmad. Sebarang soalan dan jawapan layari di www.wanitajimceria.blogspot.com