Friday, February 24, 2006

Beramal perkukuh keimanan

Beramal perkukuh keimanan


SAYA berusia 23 tahun dan ingin mendapat pandangan serta pendapat mengenai perubahan diri sejak memasuki alam pekerjaan. Saya sendiri hairan akan perubahannya yang amat berbeza berbanding ketika sebagai pelajar institusi pengajian tinggi. Dulu, saya mudah tersentuh hati apabila mendengar tazkirah dan nasihat agama dan sentiasa mengingati Allah. Namun, setelah setahun bekerja, saya dapat merasakan perubahan yang ketara. Saya bekerja sehingga 12 tengah malam. Tentunya rasa letih, mengantuk melebihi rasa ingin beribadat kepada Tuhan. Saya ingin sekali kembali kepada Ilahi dan menjadi lebih baik daripada dulu. Cuma saya tidak mempunyai pembimbing, tambahan pula saya menanggung kesepian ini seorang diri. Saya rasa sepi, jauh daripada Tuhan. Tetapi, saya tidak pasti kenapa Dia menarik kembali pemberian agung yang diberikan kepada saya suatu ketika dulu. Saya sedih melihat diri yang semakin jauh ini.



GADIS INGIN KEMBALI,



Seremban, Negeri Sembilan



Hakikat kejadian hati memang akan sentiasa berbolak-balik. Iman yang tempatnya di hati juga akan sentiasa ada pasang surutnya. Ini lumrah kehidupan - ada masa dan ketikanya kita akan berasa hilang motivasi dan hilang minat untuk beribadat.

Sifat Maha Pengasih dan Penyayang Allah tidak memungkinkan Allah menarik balik nikmat ini. Jauh atau lupa kita kepada Allah adalah kerana kelemahan sendiri.

Tidakkah kerana kasih dan sayang Allah kepada saudari, maka Dia mengilhamkan yang saudari semakin jauh daripada-Nya?

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah berfirman: Aku bagi hamba-hamba-Ku adalah sebagaimana mereka mengharap pada-Ku, Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Andainya dia mengingati-Ku di dalam hati, Aku mengingatinya bersama-Ku, dan sekiranya dia mengingati-Ku di dalam majlis/perhimpunan, Aku akan menyebutnya di dalam majlis/perhimpunan yang lebih baik. Dan sekiranya dia datang kepada-Ku berjalan, Aku datang kepadanya dengan lebih pantas."

Hassan al-Basri berkata, iman bukan suatu yang boleh dikecap dengan hanya berharap. Kesungguhan beramal adalah buah dan baja keimanan. Kesungguhan beramal juga menuntut kesabaran.

Ibnu Qayyim al-Jauzi mengkategorikan sabar kepada tiga perkara iaitu sabar dalam taat, sabar dalam menjauhi larangan dan sabar apabila diuji dengan musibah/kesusahan.

Antara yang boleh saudari lakukan:

l Jangan sekali-kali biarkan perasaan mengawal diri.

Ketika rasa malas menyelinap, padamkan terus. Baca al-Quran biarpun sekadar lima minit. Amal yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.

l Amalkan doa bermaksud: “Allahumma, aku berlindung pada-Mu daripada rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung pada-Mu daripada rasa malas, dan aku berlindung pada-Mu daripada sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung pada-Mu daripada cengkaman hutang dan penindasan orang.” (Rujuk himpunan zikir al-ma'thurat)

l Amalkan juga doa bermaksud: “Ya Allah, yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami atas jalan-Mu, tetapkanlah hati-hati kami pada ketaatan kepada Mu."

l Bijak memilih kawan.

Pastikan saudari kelilingi diri dengan kawan yang menggalakkan kita berbuat baik. Paling baik sertai kumpulan pengajian, halaqah atau usrah.



Jawapan disediakan Amir A Razelan.

lArtikel ini dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia.Persoalan dan pandangan hubungi wanitajim@jim.org.my

Friday, February 17, 2006

Kemampuan ekonomi syarat berkahwin

Kemampuan ekonomi syarat berkahwin

Soalan;

SAYA seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bertunang dengan pilihan hati, juga seorang pelajar, dua bulan lalu. Sebenarnya pada peringkat awal, kami memohon izin daripada ibu bapa untuk terus bernikah supaya perhubungan kami sah di sisi syarak. Keadaan ini kerana kami telah berkenalan selama empat tahun. Namun, ibu bapa menghalang hasrat murni itu.

Saya cuba memujuk ibu dan ayah, tetapi mereka menolak dengan alasan kami masih belajar dan kewangan ditampung oleh biasiswa. Kami merasakan cukuplah dinikahkan dulu dan majlis kenduri perkahwinan boleh diadakan selepas tamat pengajian ijazah kami yang tinggal dua tahun lagi.

Kami sungguh kecewa dan hampa. Kami cuma disuruh bersabar. Dapatkah kami bertahan menghindari kemaksiatan walau sekecil mana pun, dapatkah kami elakkan? Ironinya ibu bapa tidak pernah menghalang jika kami ingin berjumpa. Mereka tidak pernah pun ambil tahu mengenai kami.

Selama empat tahun kami harungi ikatan perhubungan ini tanpa sebarang ikatan yang sah. Kami ingin ibu bapa kami faham bahawa tahap kematangan seksualiti anak zaman sekarang semakin cepat. Bukan kami saja yang mengalaminya, malah ramai lagi anak remaja lain.

Fahamilah, alasan ‘masih belajar’ untuk melewatkan perkahwinan adalah antara faktor meningkatnya perlakuan seks luar nikah di kalangan pelajar IPT. Kami tidak mahu tergolong dalam kumpulan yang melakukan perbuatan keji itu. Kami ingin tempuhi hidup ini dengan ketenangan dan mendapat keredaan Allah.

Kami pernah cuba untuk bernikah di sempadan Thailand, tetapi kerana pergolakan yang sedang berlaku di sana, kami terpaksa membatalkan niat itu. Sungguh pelik orang dewasa, mengapa apabila sudah mengandung atau terlanjur baru tergesa-gesa mencari tok kadi untuk dikahwinkan?



Gadis IPT,
Kuala Lumpur.

Jawapan,

Mari kita lihat masalah ini dari sudut pandangan kaca mata ibu bapa dulu. Mengapa mereka menentang perkahwinan anda?

Saya cuba melihat persoalan ini dari kaca mata saya sendiri sebagai seorang ayah. Di antara kebimbangan saya ialah kemampuan bakal suami untuk menyara sebuah keluarga. Ini ada asasnya dalam Islam.

Rasulullah SAW menggalakkan orang muda berkeluarga. Tetapi, bagi yang tidak mampu, hendaklah berpuasa (berpuasa fizikal dan menjauhkan diri daripada merangsang keinginan untuk berkelamin).

Adakah pasangan anda yang saya kira masih belajar ada kemampuan ekonomi untuk memikul tanggungjawab sebagai suami?

Saya tidak bersikap judgemental di sini. Satu satu sebab ibu bapa hari ini tidak mengizinkan anak yang masih remaja berumah tangga kerana sebilangan besar ibu bapa ini kurang jelas mengenai hubungan lelaki-wanita kerana kurangnya pengetahuan dan kesedaran beragama.

Buktinya kenapa mereka masih mengizinkan anak mereka menjalin hubungan dan berpasangan, sedangkan perbuatan itu ditegah Islam.

Jika mereka faham naluri anak untuk berpasangan, pastinya mereka usahakan supaya anak diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah.

Di sini akan tertutuplah pintu perzinaan yang amat dikutuk oleh agama. Jika mereka merasakan anak belum mampu, pastilah mereka mendidik dan menasihati mereka dengan adab dan etika pergaulan dalam Islam iaitu elakkan daripada pergaulan bebas dan berdua-duaan lelaki perempuan.

Kini mari kita lihat daripada perspektif anda pula.

l Ukurlah kemampuan diri. Adakah anda dan bakal suami mempunyai persediaan yang mencukupi untuk memasuki gerbang perkahwinan.

Benar, pendidikan hari ini menyebabkan perkahwinan tertangguh. Tetapi, satu soalan yang anda perlu tanya adalah apakah anda dan bakal suami mempunyai kemampuan ekonomi untuk berkahwin.

Anda mungkin berasakan sudah bersedia dari sudut emosi, tetapi hakikatnya perkahwinan adalah institusi yang dibina di atas kemampuan biologi, emosional (kematangan) dan ekonomi (kewangan).

l Jika persediaan ekonomi menjadi halangan, anda hendaklah bersikap rasional dan berusaha untuk bersabar untuk sementara dengan melakukan perkara berikut:

l Jauhilah pergaulan bebas – bataskan hubungan anda dengan ‘tunang’ atau ‘kekasih’ anda. Ikutilah anjuran agama supaya sentiasa menjauhi perhubungan intim yang boleh menimbulkan keinginan untuk sentiasa berdampingan.

l Ini tidak bermakna anda harus memutuskan hubungan sama sekali. Tunang masih boleh menziarahi anda, tetapi di rumah dengan kehadiran muhrim (ibu bapa atau keluarga yang bertanggungjawab) dan jagalah pergaulan secara terhormat.

l Bersabarlah sehingga anda menamatkan pengajian dan ada kemampuan ekonomi untuk melayari sebuah rumah tangga.

Jika anda hendak juga bernikah, calon suami perlu bersedia untuk melakukan apa saja untuk menyediakan makan, minum, pakaian dan sakit pening keluarga (kalau dikurniakan anak).

Ini mengambil kira senario hari ini apabila graduan sukar mendapat pekerjaan.

Calon suami mesti memikirkan aspek kewangan dari sekarang jika anda berdua ingin berumah tangga.

Nasihat saya lagi, jauhilah pergaulan bebas dengan calon suami anda dan teruskan berdoa semoga Allah memberi jalan keluar yang terbaik, melembutkan hati keluarga dan memberi serta kemampuan mental dan ekonomi untuk mendirikan rumah tangga.

Artikel dengan kerjasama Wanita Jamaah Islah Malaysia. Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor, Universiti Putra Malaysia

Friday, February 03, 2006

Pujian, asah minda bantu anak berjaya

Bicara Kalbu: Pujian, asah minda bantu anak berjaya
Dr Hafidzi Mohd Noor

SAYA mempunyai empat anak. Anak sulung berusia 15 tahun dan boleh dikategorikan sebagai cerdik kerana mula membaca dengan lancar ketika berumur lima tahun. Tetapi, dia mempunyai sedikit kekurangan, enggan menyalin kerja di sekolah. Saya kasihan melihat keadaannya yang kadang kala dimarahi dan dipukul guru kerana perkara itu. Pelbagai kaedah saya lakukan, termasuk berjumpa guru untuk menyelesaikan masalah ini. Lagi satu, dia suka berkhayal ketika ujian dan peperiksaan. Dia hanya akan menjawab beberapa soalan yang mudah.

Apabila membaca soalan yang memerlukan berfikir, dia tinggalkan begitu saja. Saya bimbang sekiranya ini akan menjadi kebiasaan tidak baik. Anak kedua pula tidak berapa cerdik. Dia masih merangkak-rangkak membaca, tetapi cekap menghafal. Apabila saya bacakan sesuatu teks kepadanya beberapa kali, dia boleh mengingat dengan mudah.

Dia juga anak yang banyak mulut dan kerap memarahi pembantu rumah. Kadangkala pembantu saya berkecil hati dengannya, sedangkan saya tidak pernah memarahi pembantu di hadapan anak. Tolong berikan sedikit panduan menangani masalah anak saya ini.

IBU BIMBANG,
Kuala Lumpur.

TINDAKAN guru memukul adalah tidak wajar walaupun berada dalam keadaan tertekan dengan disiplin pelajar, tidak mendengar kata dan beban kerja yang bertambah.

Guru perlu mengubah paradigma. Mereka harus sedar, profesion perguruan hari ini sangat mencabar dan memerlukan beberapa perubahan pendekatan dalam mendekati pelajar bermasalah.

Pelajar sekolah degil dan tidak berdisiplin kerana dirangsang faktor luaran, termasuk didikan, pendedahan dan kawalan di rumah serta di luar kawalan guru.

Apa yang boleh dilakukan ialah menggunakan pendekatan memberi galakan dan pujian. Beberapa kajian di Barat menunjukkan guru yang memberi pujian ke atas perbuatan positif pelajar berjaya meningkatkan prestasi pelajar bermasalah dari segi akademik dan disiplin walaupun sedikit.

Pendekatan sama boleh dilakukan di rumah. Ibu boleh memberi galakan atau pujian berpatutan setiap anak menyiapkan tugas atau kerja sekolah. Perkara itu walaupun pada peringkat awal tidak dilakukan sepenuhnya. Anak tadi akan terangsang dan merasakan dirinya dihargai setiap kali menyempurnakan tugas. Secara beransur-ansur prestasi kerjanya akan meningkat.

Mengenai anak malas menjawab soalan yang memerlukan dia berfikir, kita kena sama-sama fikirkan bagaimana mereka boleh teruja dengan menjawab soalan yang memerlukannya berfikir.

Pertama perlu budayakan berfikir bersama-sama anak. Berfikir banyak faedahnya, termasuk merangsang minda, menjadikan seseorang itu lebih tajam fikirannya dan lebih ceria menghadapi kehidupan. Ini sebenarnya nikmat yang hanya dirasakan oleh mereka yang berfikir.

Cuba bersama anak menjawab soalan atau masalah Matematik yang memerlukan berfikir. Tunjukkan betapa nikmat yang dikecapi apabila berjaya menjawab soalan selepas melalui proses berfikir yang meskipun mencabar, tetapi memberi pulangan.

Pulangan jangka pendek ialah kita mendapat kepuasan menjawab soalan dengan menggunakan kekuatan minda. Pulangan jangka panjang ialah menjadikan otak lebih tajam dan cekap dalam menyelesaikan masalah.

Mungkin puan boleh guna contoh yang digunakan saintis dalam kajian primate (beruk cimpanzi). Seekor cimpanzi dalam kurungan diberikan sebiji pisang yang diletakkan di luar kurungan, tetapi cukup jauh untuk dicapai. Haiwan itu juga diberikan dua batang kayu. Satu kayu pendek dalam kurungan, tetapi tidak cukup panjang untuk mencapai pisang. Satu kayu lagi lebih panjang di luar kurungan.

Apa yang dilakukan oleh cimpanzi tadi ialah menggunakan kayu pendek untuk mencapai kayu yang lebih panjang. Dengan kayu yang lebih panjang itu, ia berjaya mencapai pisang tadi. Ini satu contoh di mana haiwan itu menggunakan ‘fikirannya’ untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan kehidupannya.

Bayangkan apa yang bakal terjadi jika ia malas menggunakan 'fikirannya'. Pasti ia akan kelaparan.

Kemampuan berfikir kita tentu lebih hebat daripada cimpanzi. Kita pasti akan mengagumi betapa akal fikiran yang dikurniakan Tuhan kepada kita sangat hebat sehingga dapat menyelesaikan masalah yang jauh lebih kompleks.

Galakkan berfikir sebagai satu tanda kesyukuran ke atas anugerah Allah paling mahal kepada kita yang bergelar insan.

Mengenai masalah anak kedua puan, mungkin gejala memarahi pembantu rumah adalah manifestasi daripada rasa rendah dirinya. Dia meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada pembantu rumah. Kenapa pembantu rumah? Mungkin dia berasa lebih selamat daripada memarahi adik-adiknya. Risiko memarahi pembantu rumah mungkin tidak akan mendapat teguran daripada ibu bapa berbanding menegur adik-adiknya.

Apa yang boleh dilakukan adalah terangkan bahawa pembantu rumah adalah sebahagian daripada ‘keluarga’ kita. Peranannya cukup besar kerana banyak membantu kerja rumah demi kesejahteraan keluarga.

Ajarkan juga akhlak menghormati orang yang lebih tua. Pembantu rumah sebagai orang tua wajib dihormati.

Dalam hal ini, anak diajar supaya bersopan santun dan berbudi bahasa ketika hendak meminta sesuatu daripada pembantu rumah.

Ingatkan dia bahawa pembantu rumah walaupun digaji oleh ibu dan ayah, tidak bermakna anak-anak boleh berlagak seperti tuan terhadapnya.

Mengenai anak yang mempunyai masalah membaca, pada pandangan saya membaca adalah kemahiran dan perlu dipupuk. Berikan dia bahan bacaan ringan yang boleh menanam minat membaca dan membacalah bersamanya.

Elok juga dibawa berjumpa pakar untuk memastikan anak puan tidak mengalami masalah kesihatan seperti autisme dan lembam kerana memang ada masalah kesihatan yang berkait dengan masalah membaca yang lambat.

# Jawapan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor, Pensyarah Universiti Putra Malaysia. Sebarang persoalan dan jawapan layari www.wanitajimceria.blogspot.com