Friday, May 30, 2008

Rujuk guna kaedah ‘cina buta’ tak sah, dikutuk

Soalan;

Isteri saya seorang yang degil, tetapi mudah percaya cakap orang dan mudah dipengaruhi. Kami pernah bergaduh besar semata- mata kerana cerita dan hasutan kawannya. Katanya, kawannya menceritakan kepadanya mengenai skandal saya dengan gadis yang juga kenalannya. Selepas itu pergaduhan antara kami terus berlaku walaupun atas perkara yang kecil. Kadangkala daripada perkara kecil ini akan merebak besar yang sering kali diakhiri dengan perbuatan cabar mencabar. Satu hari isteri saya mencabar saya supaya menceraikan dia terus dengan talak tiga. Saya pula sambut cabaran dengan penuh keegoan. Selepas jatuh talak, saya katakan kepadanya bahawa inilah akibat tidak percaya pada suami dan lebih percayakan pada orang lain. Memang benar ada orang yang gembira selepas kami bercerai. Perceraian ini menyakitkan, kami insaf dan menyesali perbuatan kami. Kami masih sayang menyayangi, namun demi malu dan mengelak daripada pengetahuan orang, kami bersekedudukan hampir setahun. Saya rasa berdosa dengan cara kehidupan yang dilarang ini. Kami bertindak mencari ‘cina buta’ untuk menyelesaikan hubungan haram ini di Selatan Thailand. Sebaik saja upacara pernikahan cara ‘cina buta’ itu, isteri saya diceraikan serta-merta tanpa menyentuhnya. Selepas edah, maka kami bernikah semula secara senyap. Soalan saya, adakan perkahwinan saya ini sah dari segi Islam dan bagaimanakah kedudukan anak dilahirkan.
Hamba Allah Serba Salah.
Sijangkang, Selangor.

Jawapan;

Nasihat saya kepada saudara ialah hentikanlah hidup bersekedudukan dengan bekas isteri yang saudara ceraikan dengan talak tiga. Saudara sudah tidak punya hubungan yang sah dengan isteri saudara. Tindakan saudara cuba untuk menghalalkan perbuatan saudara melalui kaedah 'cina buta' juga tidak betul.

Berdasarkan hukum, apabila seseorang itu menceraikan isterinya dengan talak tiga jika dia hendak mengahwini bekas isterinya, isterinya mesti berkahwin dengan orang lain dulu. Selepas dia diceraikan suami keduanya barulah bekas isteri saudara boleh mengahwini saudara semula. Syarat untuk perbuatan ini diterima ialah perkahwinan itu berlaku tanpa ‘diatur’, bererti ia berlaku dengan kehendak hati tanpa diupah atau dipaksa. Sebab itu, timbulnya istilah ‘cina buta’.

Masyarakat Melayu dulu mengambil jalan mudah iaitu ‘menggunakan’ muallaf (orang yang baru masuk Islam - biasanya orang Cina) untuk berkahwin dengan isteri diceraikan dengan talak tiga. Selepas bercerai dengan muallaf itu dia pun mengahwini bekas isterinya. Perbuatan ini menurut agama adalah terkutuk dan orang yang sanggup dipergunakan tujuan ‘cina buta’ ini sebenarnya
tak ubah seperti kambing jantan yang dipinjamkan untuk membuntingkan kambing betina orang kampung.

Maka, anak yang lahir dari hubungan saudara dengan isteri ini adalah anak yang tidak sah tarafnya. Menurut hukum muamalat dari apa yang saya pelajari dari kitab Muta'albadrin pula ialah perkahwinan saudara dengan bekas isteri saudara hanya sah jika isteri saudara diceraikan selepas disetubuhi suami keduanya. Bererti 'the marriage is consumed'.

Dalam kes seperti saudara sebutkan keadaan ini tidak berlaku. Nasihat saya pada saudara dan bekas isteri ialah seperti berikut:

  • Failkan perceraian saudara dengan isteri di mahkamah syariah. Biar hakim memutuskan dan mengesahkan perceraian saudara dan ‘isteri’ (saya tulis ‘isteri’ kerana dari sudut hukum beliau bukan lagi isteri saudara, tetapi harus disahkan menurut hukum/undang- undang). l Jika hakim memutuskan saudara menjatuhkan talak tiga dengan isteri saudara terimalah hakikat ini.
  • Bertaubatlah dan bersabarlah di atas keterlanjuran kerana gopoh dalam mengambil sesuatu keputusan.
  • Terima hakikat isteri saudara tidak akan kembali kepada saudara melainkan dia mengahwini orang lain dengan sukarela tanpa diatur dan kemudian diceraikan sama ada cerai mati atau hidup.
  • Saudara dan 'isteri' ambillah haluan masing-masing selepas berpisah dan berserah kepada Allah soal jodoh dan pertemuan.
  • Akhir sekali, ingatlah dunia ini tempat sementara. Janganlah kita menderita di akhirat kerana perbuatan melanggar hukum yang jelas haramnya dalam agama kita.

Jawapan disediakan oleh Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama wanita JIM. Persoalan dan jawapan bagi persoalan yang lepas boleh dilayari di ww.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, May 23, 2008

Persepsi salah punca Islam dipandang serong

Soalan,
SAYA seorang pelajar bukan Islam sedang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di salah sebuah universiti di Taiwan. Penyelia saya yang berbangsa Taiwan memberikan satu tajuk yang unik. Penyelidikan saya ini katanya adalah satu tajuk yang banyak polemik dan menarik untuk dikaji iaitu mengenai amalan poligami di kalangan orang Islam. Ketika saya membuat beberapa pembacaan dan sesi temu bual dengan beberapa pasangan Islam terbabit, saya lebih terdedah dengan ajaran Islam dan amalan adat istiadat Melayu yang dianggap Islam. Di kalangan umat Islam sendiri ada pelbagai persepsi berbeza.

Antaranya Islam dianggap sebagai agama berbentuk upacara. Islam dilihat hanya mementingkan lima rukun Islam seperti sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji.

Contoh lain seperti majlis kenduri untuk si mati, adat nikah kahwin dan adat istiadat Melayu. Ada juga memandang beberapa ajaran Islam sebagai ketinggalan zaman dan menyusahkan. Perbualan saya dengan mereka sedikit sebanyak mengesahkan pandangan beberapa kawan bukan Islam mengenai amalan seperti berkhatan, menunaikan haji dan sembahyang lima waktu amat membebankan.

Persepsi lain termasuk tanggapan Islam menindas wanita. Wanita diwajibkan menutup aurat, taat pada suami dan tiada hak untuk memiliki harta. Islam juga mengenakan hukuman berat kepada pesalah seperti hukuman rejam kepada penzina, bunuh untuk murtad dan potong tangan untuk pencuri. Apakah persepsi itu betul?

Sue,
Pelajar Malaysia di Taiwan

Jawapan,

Terima kasih kerana bertanya dan menunjukkan minat untuk membetulkan persepsi. Beberapa perkara mengenai fahaman salah beberapa orang Islam yang saudari sebutkan itu memang ada benarnya. Cuma saya mohon saudari dapat bezakan antara Islam dengan orang Islam.
Ada beza antara amalan orang Islam dengan Syariah Islam. Islam bukan hanya untuk orang Melayu atau Arab saja. Bahkan jika dikaji statistik, umat Islam di China lebih ramai dari umat Islam di Malaysia. Islam diturunkan sebagai rahmat ke seluruh alam yang melindungi semua ciptaan Allah di kalangan manusia, haiwan dan alam semesta.

Islam adalah satu cara hidup yang mencakupi semua aspek kehidupan daripada kebersihan diri hinggalah kepada pemerintahan negara. Permasalahan utama umat Islam ialah salah faham penganutnya sendiri dan juga persepsi negatif bukan Islam. Permasalahan ini perlu di tangani melalui pembacaan dan perbincangan dengan orang yang mempunyai kuasa dalam bidang agama. Islam memberi kebaikan kepada manusia ibarat ubat yang pahit tetapi mujarab. Contohnya Islam melarang pergaulan bebas untuk mencegah daripada penyakit kelamin seperti Aids dan HIV, merosakkan keturunan dan membunuh jiwa anak yang tidak berdosa.

Kebenaran Islam terbukti secara saintifik. Saintis Barat sudah membongkar rahsia keajaiban beberapa ajaran Islam contohnya solat yang memberi impak kesihatan yang baik. Al-Quran juga menekankan solat itu mencegah umatnya melakukan kejahatan. Selain itu, saintis membuat pelbagai kajian dan menjumpai penemuan terbaru dari semasa ke semasa. Contohnya Harun Yahya yang menulis dalam bukunya menemui bukti saintifik dalam Al-Quran tanda kebesaran Allah dalam segala bidang.

Beberapa penemuan baru ditemui pada abad ini sebenarnya sudah termaktub dalam al-Quran lebih 1400 tahun lalu seperti penemuan kerak bumi yang bergerak dan mawar merah. Islam adalah agama fitrah. Allah sebagai Pencipta manusia menyediakan manual kehidupan dengan panduan al-Quran dan sunnah. Firman Allah yang bermaksud: “Pada hari ini telah Ku sempurnakan untukmu agamamu dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan Aku menyukai Islam itu menjadi agamamu.” - (Surah al-Maidah, ayat 3).

Persepsi yang betul terhadap Islam dapat melahirkan umat yang mengamalkan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan seharian. Kisah pengorbanan sahabat Nabi Muhammad SAW seperti Abu Bakar mendermakan keseluruhan hartanya pada Islam. Begitu juga sahabat Nabi bernama Hanzalah yang syahid di malam pertama perkahwinan untuk menegakkan Islam. Oleh itu, umat Islam diseru untuk membetulkan persepsi mengenai Islam dan beramal dengan amal Islami sebenar.

Pada masa sama, kita lihat banyak persepsi negatif daripada orang bukan Islam khasnya di Barat yang tidak memenangkan Islam kerana ada dua persepsi dalam melihat sesuatu. Satu nilai kepada orang Islam dan satu nilai yang lain kepada bukan Islam. Mereka menggunakan neraca berbeza untuk menimbangkan perkara yang sama. Mereka tidak bandingkan antara satu epal dengan epal yang lain.

Contohnya di Barat, mengapa seseorang Yahudi dibolehkan menyimpan janggut untuk mengamalkan kepercayaannya, tetapi bila seorang Muslim berbuat demikian, dia dianggap ekstrim dan pengganas? Mengapa seorang rahib Kristian boleh menutup keseluruhan tubuhnya kerana memperhambakan diri kepada Tuhannya, tetapi apabila seseorang perempuan Islam melakukan, ia dikatakan kuno dan tertindas? Mengapa apabila wanita Barat menjadi suri rumah sepenuh masa, dia dihormati kerana dikatakan berkorban untuk keluarganya, tetapi apabila wanita Islam berbuat begitu, mereka kata, “Dia mesti dibebaskan.” Mengapa mana-mana gadis boleh ke universiti dengan berpakaian mengikut kesukaannya kerana punyai hak dan kebebasan, tetapi apabila wanita Muslim memakai hijab, dia tidak boleh menjejakkan kakinya ke universiti? Mengapa apabila seseorang kanak-kanak meminati sesuatu bidang, dia dikatakan punyai bakat, tetapi apabila kanak-kanak meminati Islam, dia dikatakan tidak punya masa depan dan tidak berguna? Mengapa apabila seseorang Kristian atau Yahudi membunuh, agamanya tidak dikaitkan dengan dirinya, tetapi apabila orang Muslim didakwa melakukan jenayah, nama Islam turut diadili. Mengapa apabila seseorang berkorban diri untuk melihat orang lain hidup, dia amat disanjungi, tetapi apabila seseorang warga Palestin mengangkat senjata untuk membela diri, keluarga, rumah tangga dan masjidnya, dia dicop sebagai pengganas? Mengapa apabila seseorang memandu kereta mewah dengan cara bahaya, keretanya tidak pernah dipertikaikan, tetapi apabila seseorang Muslim melakukan kesalahan, orang kata ia adalah kerana agama Islamnya.

Saya minta saudari melihat Islam daripada kacamata syariah Islam dan belajar Islam daripada cerdik pandai Islam yang mengamalkan Islam dengan ikhlas. Saya berharap saudari akan lebih tekun mempelajari Islam dan menerima Islam sebagai satu cara hidup.

Jawapan disediakan setiausaha Wanita JIM Kuala Lumpur, Julie Rosita. Semua persoalan yang lepas boleh di layari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, May 02, 2008

Siswazah menganggur jangan cepat putus asa

Soalan :

SAYA berasal dari Pahang dan mengkategorikan diri sebagai penganggur terhormat. Saya berkelulusan universiti tetapi tidak mempunyai pekerjaan tetap. Saya runsing kerana kebanyakan rakan sudah mempunyai pekerjaan. Saya menghadiri pelbagai ujian dan beberapa sesi temu duga, namun gagal. Saya berasa sangat kecewa dan rendah diri. Saya tidak pernah penat berdoa kepada Allah, nampaknya sehingga saat ini rezeki saya belum ada lagi. Nasib baik belum menyebelahi saya. Minggu ini saya dipanggil untuk satu temu duga lagi. Jauh di lubuk hati, saya rasa bimbang, takut dan gementar. Takut dikecewakan lagi. Apa patut saya lakukan.

Siswazah Runsing,
Pahang Darul Makmur.

Jawapan:

Kerunsingan saudara adalah sesuatu yang normal. Sudah tentulah seorang graduan universiti mengharapkan pekerjaan sesuai dengan kelulusannya. Di samping ingin menyara kehidupan, anda juga menjadi harapan keluarga di kampung.

Sudah tentu mereka mengharap dan meletakkan harapan menggunung kepada saudara untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dan barangkali untuk membela keluarga serta adik di kampung. Saudara jangan berputus asa. Sebenarnya tempoh yang saudara lalui untuk memperoleh pekerjaan adalah sebahagian daripada proses pendedahan dan pengalaman itu juga adalah pekerjaan. Proses temu duga misalnya memberikan kita latihan dan lebih keyakinan untuk berdepan dengan bakal majikan. Sekalipun kita gagal dalam siri temu duga, ia sebaliknya memberi nilai tambah kepada kita untuk menghadapi sesi temu duga seterusnya dengan lebih yakin dan berketrampilan.

Dengan bersikap positif, saudara akan mempamerkan prestasi lebih baik dalam temu duga akan datang. Jangan terlalu kecewa kerana saudara baru beberapa kali dipanggil untuk sesi temu duga. Thomas Edison mencuba sebanyak 1,000 kali untuk mendapat cahaya elektrik. Jadikan kegagalan dalam sesi temu duga yang lalu sebagai dorongan untuk membuat sedikit kerja rumah iaitu mencari apakah kelemahan yang perlu dielakkan supaya tidak berulang dalam sesi temu duga seterusnya.

Apa pula kekuatan yang perlu ditampilkan untuk meyakinkan bakal majikan. Anggaplah setiap kegagalan sebagai peluang untuk memperbaiki mutu persembahan dan ketrampilan apabila dipanggil untuk sesi temu duga buat sekian kalinya. Hari ini, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, bakal majikan menilai calon secara menyeluruh. Kelayakan akademik ibarat pasport untuk memohon pekerjaan tertentu. Namun, sama ada seseorang itu berjaya mendapat pekerjaan diidamkan bergantung kepada kualiti yang menggambarkan potensi seseorang pekerja.

Majikan akan menilai seseorang berdasarkan kepada kriteria yang boleh membawa kejayaan kepada organisasi atau syarikat. Sering kali dalam dunia pekerjaan yang kompetitif pada hari ini, pencapaian akademik tidak lagi menjadi kriteria utama bahkan jatuh pada nombor dua atau tiga. Bakal majikan lebih cenderung menguji kematangan calon, bakat kepemimpinan, kemampuan berinteraksi sosial, kemampuan berdepan dengan cabaran dan tekanan. Universiti hari ini berusaha menerap nilai insaniah, memperkasa emosi, sosial, spiritual dan kemahiran kemasyarakatan.

Perasaan rendah diri kerana rakan sudah memiliki pekerjaan boleh disingkirkan. Perasaan itu terjadi kerana saudara suka membandingkan diri dengan mereka yang sudah bekerja. Cuba bandingkan diri dengan mereka yang belum mempunyai pekerjaan. Sekurang-kurangnya saudara ada kerja walaupun tidak tetap. Yakinlah setiap orang sudah ditentukan rezeki masing-masing dan kita harus berusaha untuk mendapatkannya.

Pemahaman konsep tawakal perlu diserap dalam pemikiran saudara. Pada masa sama, teruskanlah membina jaringan dengan kawan yang sudah mendapat pekerjaan. Mereka boleh menjadi mata dan telinga saudara untuk mengintai peluang pekerjaan yang wujud di agensi dan tempat kerja masing-masing. Di samping itu belajarlah daripada pengalaman mereka, bagaimana mereka menghadapi sesi temu duga. Mungkin ada panduan tertentu boleh dikongsikan yang menjadi rahsia kejayaan mereka.

Saya juga ingin mencadangkan saudara mendapatkan buku panduan yang banyak di pasaran mengenai cara menghadapi temu duga atau strategi mendapatkan pekerjaan. Buku itu ditulis dengan bahasa mudah dan contoh praktikal berdasarkan pengalaman sebenar. Saya yakin saudara akan mendapat manfaat yang banyak daripada buku itu.

Jangan lupa untuk berdoa dan menyerahkan kepada Allah selepas kita berusaha. Solat hajat memohon Allah memberikan pekerjaan yang sesuai untuk saudara, lebih penting yang membawa kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Ingat dan yakinlah, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Kadang-kadang kita mengharapkan sesuatu, tetapi Allah tahu ia tidak baik bagi kita lalu ditangguhkan hajat itu supaya kita mendapat yang lebih baik daripada yang terlepas.

Satu hari nanti saudara akan mendapat pekerjaan. Apabila mendapat pekerjaan nanti semua kesusahan dan keresahan yang dilalui hari ini akan menjadi pengalaman manis yang memperkaya hidup kita di muka bumi ini. Saya tahu bagaimana perasaan saudara dan apa erti dunia pengangguran kerana saya juga adalah graduan pada zaman ekonomi meleset sekitar tahun 1987/88. Pelbagai kerja saya lakukan termasuklah pekerjaan yang tidak memerlukan sebarang kelulusan. Itu adalah kenangan manis yang memperkaya jiwa dan mewarnai kehidupan.

Jawapan disediakan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan yang lepas boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com